Categories
NASIONAL

Bajet defisit, Najib gagal lagi

Nurul-IzzahKUALA LUMPUR, 24 SEPT : Sasaran mengurangkan defisit negara kepada empat peratus seperti yang diusulkan dalam pembentangan bajet tahun lalu dijangka tidak mencapai sasaran sekiranya Kerajaan Pusat terus memohon peruntukan tambahan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata itu akan menyebabkan nisbah defisit belanjawan negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak daripada 4.5 peratus kepada 5.5 peratus.

“Sejak 1998, Malaysia sudah 16 tahun termasuk dalam belanjawan defisit walaupun sebelum itu pengurusan kewangan negara cukup sihat dengan belanjawan lebihan yang membanggakan.,” katanya di satu sidang media di ruang legar Parlimen, hari ini.

Dalam masa sesingkat tiga bulan sahaja, Kerajaan Pusat semalam membentangkan usul perbekalan tambahan kedua sebanyak RM14 bilion lagi untuk menampung perbelanjaan mereka. Pada Julai lalu dibawah tahun fiskal 2012, Kerajaan Pusat mencari tambahan RM13 bilion.

Usul ini merupakan usul perbekalan tambahan pertama bagi tahun fiskal 2013, akibat sikap Kerajaan Pusat berbelanja lebih dari kemampuan pada suku pertama tahun ini.

Media melaporkan Perkhidmatan Am Perbendaharaan memerlukan pertambahan terbesar, iaitu melebihi RM11 bilion, manakala Jabatan Perbendaharaan juga memerlukan tambahan RM600 juta. Di samping itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan mendahului senarai kementerian dan memerlukan pertambahan sebanyak RM322 juta dan RM300 juta.

Perbendaharaan adalah dibawah tanggungjawab Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, manakala Kementerian Pendidikan dibawah Menteri Pendidikan 1, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Kesihatan dibawah Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam.

“Najib gagal lagi kerana semalam baru usul perbekalan tambahan pertama. Selepas ini pasti akan ada tambahan lagi,” tegas Nurul.

Beliau berkata, perbelanjaaan tambahan bagi tahun 2013 juga berkemungkinan menyebabkan nisbah hutang awam melebihi had yang dibenarkan undang-undang. Katanya, pencapaian terburuk itu bakal meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai rekod defisit tertinggi di Asia Tenggara.

Perdana Menteri disarankan supaya mendengar dan mengambil intipati belanjawan alternatif 2014 yang akan diusulkan Pakatan Rakyat (PR) sebelum membentangkan bajet Kerajaan Pusat pada Oktober nanti.

Categories
NASIONAL

PKR Kutuk Najib Berhubung Tuntutan Kepada BERSIH

SHAH ALAM 25 MEI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat mengutuk keras pendakwaan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terhadap Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga serta ahli jawatankuasa Bersih.

Lebih mengecewakan, menurut Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sehingga kini pihak polis masih tidak dapat memastikan pihak yang bertanggungjawab melakukan kerosakan namun tetap mengambil tindakan undang-undang dan tuntutuan kerugian daripada ahli jawatankuasa Bersih.

“Kecuali bagi kes adik Mohd Safuan Mamat yang dipukul sewaktu dalam usaha menyerah diri dengan sukarela, kes lain polis masih tiada kata putus.

“Jadi adalah tidak adil untuk mendakwa mereka ini dalam kes kerugian yang dialami polis dengan tuntutan sehingga RM 122, 000 atas 15 kenderaan polis termasuk dua trak yang rosak ketika perhimpunan.

“Kita juga tidak jelas bagaimana jumlah ini diperolehi kerana tiada saksi dari kedua belah pihak dan kemungkinan juga kerosakan itu sengaja dilakukan untuk mewujudkan kos kerugian yang besar,” jelas Dr. Wan Azizah dalam kenyataannya.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan kerajaan pimpinan Najib untuk fokus kepada lapan tuntutan Bersih daripada sibuk mendakwa gerakan sivil rakyat.

“PKR mendesak Najib untuk memastikan segala sumber ditumpukan dalam usaha membersihkan sistem pilihanraya demi memastikan pilihanraya di Malaysia ini bersih dari sebarang penipuan.

“Kedua-dua Pengerusi dan Timbalan SPRM (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) juga seharusnya meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada muka-muka baru yang boleh bekerja dengan persatuan sivil dalam usaha menjadikan pilihanraya telus dan bebas,” akhiri beliau.