Categories
NASIONAL

BERSIH Lancar Garis Panduan Kerajaan Sementara

BERSIH Lancar Garis Panduan Kerajaan Sementara 01

KUALA LUMPUR, 4 APRIL : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) melancarkan kod etika dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan garis panduan kerajaan sementara sejajar hari ini.

Tindakan ini sejajar dengan pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengerusi Bersama Bersih 2.0, yang juga Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Enam kod etika penglibatan dalam PRU-13 ini menggariskan piawaian minimum etika bagi semua parti politik, calon, petugas kempen, sukarelawan dan penyokong di dalam pilihan raya umum selaras dengan norma-norma yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga berkata, Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia sejak tahun 1967, menjadi ahli Kesatuan Inter-Parlimen (IPU) dan terikat dengan piawaian yang tinggi bagi kod etika pilihan raya.

“Deklarasi IPU 1994 berkaitan Kriteria bagi Pilihan Raya Bebas dan Adil menetapkan piawaian yang diterima secara universal bagaimana mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.

“Resolusi IPU yang diterima pakai pada 20 April 2011 di Panama menekankan keperluan untuk mewujudkan rangka kerja pilihan raya yang berkesan.

“Yang harus berpaksikan beberapa elemen asas, termasuklah pilihan raya yang bebas dan adil yang diadakan secara berkala, kerahsiaan undi, proses pilihan raya yang kompetitif dan inklusif, akses media dan sumber negara secara adil dan seimbang kepada semua parti politik.

BERSIH Lancar Garis Panduan Kerajaan Sementara 03“Hak mengundi yang menyeluruh, proses pendaftaran pengundi yang boleh dipercayai dan badan yang bebas dan berkecuali yang diamanahkan bagi mengurus pilihan raya secara bebas dan adil,” katanya pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur(KLCAH).

Jelasnya, menjadi tanggungjawab semua parti politik dan calon untuk memastikan pematuhan kod etika ini oleh petugas kempen, sukarelawan dan penyokong masing-masing.

Enam kod etika yang dalam PRU-13 yang dibangkitkan Bersih 2.0 adalah larangan terhadap ucapan yang menghasut dan menggalakkan permusuhan, larangan terhadap kempen dengan cara memburuk-burukkan (smear campaign) dan kebebasan wartawan dan pemerhati pilihan raya untuk menjalankan tugas.

Tiga kod etika lain ialah larangan melakukan ugutan dan keganasan, kesalahan-kesalahan pilihan raya dan berkempen.

Ujar Ambiga, sebagai panduan, kempen yang mempunyai bahan kandungan yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak, mengandungi bahasa atau kelakuan kesat, penghinaan yang mencemar serta mengandungi tuduhan terhadap mana-mana individu disebabkan oleh etnik, jantina, agama dan kedudukan sosial adalah dilarang sama sekali.

Selanjutnya, dalam garis panduan kerajaan sementara antaranya menjelaskan peranan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri selepas pembubaran dimana mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar, membuat perlantikan-perlantikan penting mahupun menandatangani kontrak perjanjian besar.

Selain itu, kerajaan sementara tidak boleh mengumumkan sebarang geran kewangan baru dalam apa bentuk atau janji berkaitan dengannya serta membuat apa-apa janji-janji baru bagi membina infrastruktur atau melaksanakan projek-projek awam.

“Anggota kerajaan persekutuan atau Exco Negeri tidak boleh menggabungkan lawatan rasmi mereka dengan kerja pilihan raya.

“Mereka juga tidak akan menggunakan sumber, kenderaan, kakitangan dan jentera kerajaan semasa kerja kempen pilihan raya mereka,” ujarnya lagi.

Di dalam garis panduan kerajaan sementara juga turut menyatakan akses media dan penyiaran perlu dilakukan secara bebas dan adil.

Categories
NASIONAL

Demokrasi Sebenar Pelihara Nasib Melayu-Islam

forum mahasiswa-pru 13-dean beringin gombak 01

GOMBAK, 14 MAC : Cara terbaik untuk menjamin masa depan orang Melayu adalah dengan memastikan negara melaksanakan dasar demokrasi yang sebenar, kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki.

Menurut Zuhdi, negara yang berpegang teguh pada asas demokrasi mampu melahirkan rakyat yang bebas bersuara dan menyatakan pandangan mereka mengenai pelbagai perkara yang tidak hanya terhad kepada politik.

“Dalam konteks politik, tiada satu cara untuk mendamaikan Melayu melainkan kita berdiri atas dasar demokrasi sebenar.

“Tidak kiralah Umno-BN atau Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah, yang penting mereka mempunyai peluang untuk diturunkan.

“Berapa ramai pihak yang takut untuk menyertai parti politik lain kerana bimbang anak-anak mereka tidak diberikan biasiswa.

“Sampai saya sendiri apabila ke universiti, dipesan agar jangan berpolitik,” katanya semasa Forum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) : Harapan Malaysia di Dewan Beringin, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan berlakunya rusuhan seperti di Libya dan Syria oleh rakyat sekiranya aspek demokrasi masih tidak dipraktikkan sepenuhnya di negara ini.

Justeru katanya, pertubuhan Bersih yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih seharusnya dipandang dari sudut positif kerana ia merupakan platform untuk rakyat menuntut asas demokrasi yang sebenar.

“Kewujudan Bersih bukan untuk menyokong LGBT. Saya tidak pernah dengar Datuk S.Ambiga sebut LGBT akan dilaksanakan. Kita kena fokus kepada tuntutan Bersih yang adil sebagai suatu perlatan yang penting dalam demokrasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Penganalisis politik dan Pensyarah Kanan UIAM, Dr Maszlee Malik berkata, rakyat tidak boleh bersatu atas dasar politik, sebaliknya perlu berlandaskan dasar ekonomi.

Menurutnya, akidah Melayu-Islam dilihat semakin terjejas apabila mereka dimomokkan bahawa rezeki hanya boleh diberikan oleh sesebuah parti mahupun individu tertentu.

“Rakyat ramai berpandangan bahawa sekiranya sesuatu parti yang disokong itu kalah, mereka akan kehilangan rezeki dan bakal hidup susah. Kita kena hapuskan persepsi ini.

“Tidak pernah dalam sejarah orang bersatu atas dasar politik. Malah Umno-BN sendiri berpecah belah dan Tun Mahathir adalah individu yang menyaksikan Semangat 46 dalam parti itu.

“Dalam politik orang tidak akan bersatu, tetapi kita perlu bersatu atas dasar ekonomi,”katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kenyataan Dr Mahathir Tidak Gambarkan Ciri Seorang Negarawan

MB ramah mesra KLSCAH Koh Tsu Koon 01

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Kenyataan terbaru Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang kuasa melucutkan kerakyatan seseorang yang lantang mengkritik pentadbiran Umno-BN tidak mengambarkan seorang negarawan.

Seorang pemimpin yang pernah dianggap tokoh dunia ketiga, Sepatutnya bersikap lebih terbuka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terhadap orang yang berlainan pendapat, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, Dr Mahathir wajar membuat sedikit kajian sebelum beliau mengeluarkan sesuatu kenyataan.

MB ramah mesra KLSCAH Koh Tsu Koon 04“Saya pernah kerja di bawah beliau, saya fikir Tun boleh keluar kenyataan yang lebih baik dari itu,” kata beliau apabila ditemui di majlis ramah mesra Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Dalam ceramahnya tentang keselamatan dan perlembagaan semalam, Dr Mahathir berkata kerakayatan pengkritik Kerajaan Umno-BN seperti Pengerusi Bersama Pergerakan BERSIH, Datuk S Ambiga wajar dilucutkan.

Dr Mahathir menggesa orang ramai agar memberikan kemenangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat kepada Umno-BN dalam pilihan raya akan datang supaya perlembagaan negara berkaitan perlucutan kerakyatan seseorang dapat dipinda.

Dilaporkan bahawa pada masa ini, dalam Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan, kerakyatan hanya boleh dilucutkan apabila seseorang itu mendapat kerakyatan dari negara lain.

MB ramah mesra KLSCAH Koh Tsu Koon 02Atau seseorang itu melaksanakan hak eksklusif warganegara negara lain selain Malaysia, seperti mengundi atau menggunakan dokumen perjalanan negara lain.

Dalam isu lain, Abdul Khalid memberitahu Kerajaan Selangor hari ini mendahului kerajaan negeri lain dalam memberikan sumbangan kepada sekolah Persendirian Cina, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Tamil.

“Kepada sekolah Cina sahaja, Kerajaan Negeri memberi sumbangan sebanyak RM 6 juta setiap tahun.

“Kerajaan Selangor berpendapat negara kita perlu mengamalkan kebebasan untuk rakyat belajar sebab itu di Selangor kami terima kelulusan ijazah dari Taiwan, China, Indonesia dan Timur Tengah,” kata Abdul Khalid.

Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baru Cina yang diadakan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran beberapa pemimpin politik dari Pakatan Rakyat dan BN.

MB ramah mesra KLSCAH Koh Tsu Koon 03Selain Abdul Khalid, pemimpin PR lain termasuk, Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Chua Jui Meng dan Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu dan Teresa Kok.

Turut kelihatan dalam anjuran majlis anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor itu, Senator Tan Sri Koh Tsu Koon dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Turut hadir Timbalan Menteri Keewangan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie.

Categories
NASIONAL

‘Saya Tidak Biadap Tetapi Hanya Minta Beri Pendapat’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 04

KUALA LUMPUR 23 JAN : Aktivis Pelajar, KS Bawani menafikan bersikap biadap sewaktu forum di Universiti Utara Malaysia(UUM) pada 8 Januari lalu sebaliknya hanya mahu memberi pendapat berhubung pendidikan percuma.

Pelajar Undang-undang UUM itu berkata, pendapat diberikan selepas Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin melontarkan pertanyaan seandainya terdapat solusi mengenainya.

“Dalam masa isu PTPTN itu Puan Sharifah ada tanya, mansuh PTPTN ada solusi ke? Jadi saya angkat tangan kerana saya ada pendapat saya,” katanya yang merupakan Penyelaras Gabungan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) dalam Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina di sini malam tadi.

Tambahnya, dia hanya bertindak menyatakan pendapat selepas tidak diberi peluang semasa sesi soal jawab.

Dakwanya, sesi soal jawab yang sepatutnya berlangsung dalam beberapa peringkat seperti disingkatkan oleh penganjur.

“Ramai yang kata saya biadap tetapi saya tidak diberi peluang masa sesi soal jawab. Jadi saya nyatakan pendapat saya selepas itu dengan pergi ke pembesar suara.

“Saya pun tidak faham kerana forum itu ada bacaan ikrar kerana saya sudah banyak hadiri forum tetapi tak pernah diminta untuk baca ikrar,” katanya.

Forum tersebut juga disifatkan sebagai medan bagi ‘brainwash’ mahasiwa kerana katanya, ketika memperkatakan tajuk “Wanita Dan Politik” banyak dipaparkan video demo Bersih dan gambar protes PTPTN mahasiswa di Dataran Merdeka.

“Ditunjukkan Nurul Izzah dengan isu kebebasan agama dan Datuk S Ambiga dikatakan sebagai pencetus anarki negara.

“Forum semuanya memaparkan tentang pembangkang. Walaupun mereka tak menyatakan parti politik mana tetapi secara langsung kita boleh lihat sendiri. Isunya berkaitan satu pihak iaitu pembangkang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Buli Ambiga Tindakan Pengecut

SHAH ALAM 25 MEI : Tindakan sesetengah pihak yang terus-menerus melakukan huru-hara di hadapan rumah Datuk S Ambiga dilihat sebagai tindakan pengecut, kata Dr Yaakob Sapari.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan yang mendakwa penjaja/peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman bahawa mereka mengalami kerugian akibat himpunan ‘Duduk dan Bantah’ BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Bagi Dr Yaakob, beliau yang tuut hadir bersama-sama 250,000 orang berhimpun di Kuala Lumpur baru-baru ini, menganggap perhimpunan ini sebagai satu peluang yang besar kepada para peniaga bagi memperolehi pendapatan jauh lebih besar.

“Jika 250,000 orang ini membelanjakan RM10 seorang, bermakna peniaga bakal memperoleh RM 2.5 juta.

?Saya lihat bahawa orang ramai bersesak- sesak mahu masuk ke restoran-restoran yang dibuka pada hari itu. Malah, saya hendak membeli roti dan air kotak pun semuanya habis,? ujar Dr Yaakob yang juga Exco negeri yang bertanggungjawab terhadap usahawan di Selangor.

Beliau turut menyatakan bahawa di negara-negara maju, perhimpunan aman juga diadakan, tetapi kedai-kedai khususnya kedai makan di sana tidak tutup sebagaimana di Malaysia.

Justeru, para peniaga seharusnya bersikap positif bilamana pelanggan ramai. Dalam dunia ekonomi, ramai pelanggan bermakna banyak keuntungan.

Kumpulan anti-BERSIH yang dikepalai Datuk Jamal Md Yunus juga yang merancang untuk berniaga di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH 2.0 hari ini tetapi membatalkan hasrat selepas tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Categories
NASIONAL

PKR Kutuk Najib Berhubung Tuntutan Kepada BERSIH

SHAH ALAM 25 MEI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat mengutuk keras pendakwaan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terhadap Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga serta ahli jawatankuasa Bersih.

Lebih mengecewakan, menurut Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sehingga kini pihak polis masih tidak dapat memastikan pihak yang bertanggungjawab melakukan kerosakan namun tetap mengambil tindakan undang-undang dan tuntutuan kerugian daripada ahli jawatankuasa Bersih.

“Kecuali bagi kes adik Mohd Safuan Mamat yang dipukul sewaktu dalam usaha menyerah diri dengan sukarela, kes lain polis masih tiada kata putus.

“Jadi adalah tidak adil untuk mendakwa mereka ini dalam kes kerugian yang dialami polis dengan tuntutan sehingga RM 122, 000 atas 15 kenderaan polis termasuk dua trak yang rosak ketika perhimpunan.

“Kita juga tidak jelas bagaimana jumlah ini diperolehi kerana tiada saksi dari kedua belah pihak dan kemungkinan juga kerosakan itu sengaja dilakukan untuk mewujudkan kos kerugian yang besar,” jelas Dr. Wan Azizah dalam kenyataannya.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan kerajaan pimpinan Najib untuk fokus kepada lapan tuntutan Bersih daripada sibuk mendakwa gerakan sivil rakyat.

“PKR mendesak Najib untuk memastikan segala sumber ditumpukan dalam usaha membersihkan sistem pilihanraya demi memastikan pilihanraya di Malaysia ini bersih dari sebarang penipuan.

“Kedua-dua Pengerusi dan Timbalan SPRM (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) juga seharusnya meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada muka-muka baru yang boleh bekerja dengan persatuan sivil dalam usaha menjadikan pilihanraya telus dan bebas,” akhiri beliau.

Categories
NASIONAL

BERSIH: SUHAKAM Perlu Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Kekasaran Polis

KUALA LUMPUR 16 MEI: BERSIH 2.0 mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat segera kekasaran yang dilakukan polis terhadap peserta himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu.

Satu memorundum diserahkan oleh Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga kepada Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam beserta enam dakwaan terhadap polis.

Turut hadir sama adalah Peguam Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri dan Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Enam dakwaan tersebut adalah:

*Ketidak wajaran penggunaan gas pemedih mata dan semburan air kimia termasuk melepaskan tembakan secara terus kepada peserta himpunan.

* Kekasaran polis terhadap peserta himpunan termasuk mengasari mereka selepas ditahan.

*Menangkap, mencederakan petugas media selain merampat peralatan media.

* Menahan secara rambang peserta perhimpunan tanpa mendedahkan senarai nama mereka yang disyaki terlibat kepada umum.

*Kekasaran terhadap peserta perhimpunan selain menahan individu tanpa alasan yang memakai t-shirt BERSIH.

*Kegagalan polis mempamerkan butiran pengenalan peribadi seperti nama dan nombor identiti mereka.

Ambiga dalam sidang media berkata, penubuhan suruhanjaya bebas ini penting bagi menjelaskan kepada umum keadaan sebenar pada hari kejadian dan pihak SUHAKAM akan memutuskan perkara ini dalam masa terdekat.

Beliau mengulangi desakan BERSIH 2.0 yang mahu semua senarai nama mereka yang dikehendaki polis dipaparkan kepada umum melalui media dan bukannya memaparkan gambar kepada umum semata-mata.

“Mereka belum memutuskan sama ada akan mengadakan siasatan atau tidak. Ada kemungkinan mereka akan mengadakan mesyuarat minggu hadapan untuk memutuskan perkara ini,” katanya.

Bersih 2.0 juga menuntut jaminan polis agar mana-mana individu yang menyerah diri bagi membantu siasatan berada dalam keadaan selamat tanpa dicederakan selain dibenarkan untuk membawa peguam.

Awal minggu ini menyaksikan seorang peserta BERSIH 3.0, Mohd Safuan Mamat @ Nordin tampil menyerah diri membantu siasatan di balai Polis Dang Wangi namun dicederakan menggunakan batang paip hitam di dalam lokap.

Lebih mengejutkan, seorang tahanan turut menampar beliau sebanyak empat kali dan polis hanya memerhatikan tindakan berkenaan.

Beliau diminta untuk mengaku bersalah atas kejadian memusnahkan kereta polis dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta.

Safuan dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 turut diminta melaporkan diri di Balai Polis Merchang, Terengganu pada minggu pertama setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.