Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Dakwa MCA Rampas Tanah di Kampung Sungai Terentang

Rampas Tanah di Kampung Sungai Terentang 01

RAWANG, 29 APRIL : Seorang penduduk di Kampung Sungai Terentang di sini mendakwa tanah milik keluarganya seluas 6000 kaki persegi yang dimiliki sejak tahun 1954 dirampas dan ditukar hak milik secara sulit oleh pimpinan MCA yang mentadbir kawasan itu lebih 10 tahun lalu.

Penduduk, Ng Phei Yun mendakwa, kejadian itu mula dikesan pada tahun 1998 apabila beliau gagal memperbaharui tempoh pajakan tanah (geran) miliknya di pejabat tanah dan daerah.

Katanya, cubaan pertama untuk memperbaharui geran di pejabat tanah gagal dan ditolak atas alasan dokumen yang dibawa tidak lengkap.

Bagaimanapun setahun selepas itu, beliau terkejut apabila mendapati tanah itu sudah ditukar hak milik, malah keluasan asal tanah juga diubah dan disempadankan.

“Semasa BN menjadi pemerintah di Selangor, kebanyakan penduduk berjumpa dengan pemimpin MCA untuk mendapatkan sebarang bantuan berhubung tanah.

“Apabila sudah sampai tempoh untuk memperbaharui geran dan rujuk kepada MCA, mereka kata tanah itu ditukar milik dan dijual kepada ahli mereka juga.

“Kami sekeluarga merasa teraniaya kerana diperlakukan sebegini rupa. Apa hak mereka untuk merampas tanah kami? Mula-mula janji nak bantu kemudian mereka rampas,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR Selayang, di sini pagi tadi.

Hadir sama, calon PKR Parlimen Selayang, William Leong dan calon PKR DUN Rawang, Gan Pei Nei.

Tambah Phei Yun, beliau bimbang tanah milik keluarganya itu tidak dapat dikembalikan semula kerana sehingga kini ia masih dimiliki oleh pimpinan MCA.

Sementara itu, Gan Pei Nei menuntut supaya pihak MCA segera memulangkan tanah yang dirampas kepada penduduk asal kerana mereka tidak berhak untuk berbuat demikian memandangkan ia dimiliki keluarga Phei Yun lebih 50 tahun lalu.

“Terlalu banyak penyelewengan kuasa yang berlaku di zaman BN termasuklah mengambil tanah rakyat. BN harus sedar bahawa merompak dan merampas harta rakyat itu adalah satu kesalahan besar kerana mereka tidak berhak,” tegasnya.

Rampas Tanah di Kampung Sungai Terentang 02