Categories
NASIONAL

Muzakarah Dengan Umno: PAS Nafi Bercanggah Pendapat

 

SHAH ALAM 14 MEI : Pimpinan PAS hari ini menafikan dakwaan bahawa berlakunya percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berhubung isu bermuzakarah dengan Umno-BN.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata secara dasarnya, PAS sanggup bermuzakarah, berbincang, berdebat dan berdialog dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Khalid yakin bahawa Umno-BN tidak akan bersetuju berhubung perkara tersebut malah tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara.

“Kita tahu Umno-BN memang tidak ikhlas walaupun mereka melakukan perkara yang salah tetapi tetap mahu mempertahankannya. Maka, Datuk Mahfuz itu bercakap berlandaskan pengalamannya dan PAS sendiri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Perkara sama turut dipersetujui Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyangkal dakwaan wujudnya percanggahan kenyataan sesama pimpinan PAS berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, muzakarah yang dimaksudkan Presiden PAS itu adalah bagi memberi penjelasan sebenar terhadap isu-isu negatif yang dibangkitkan media arus perdana dan kerajaan Umno-BN terhadap parti itu.

“Isunya bukan muzakarah PAS bergabung dengan Umno-BN, tetapi muzakarah kepada isu yang berbangkit antaranya PAS membuat kenyataan bercanggah dengan Majlis Fatwa, tuduhan kafir terhadap Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz dan beberapa isu negatif yang cuba menjatuhkan kredibiliti PAS,” ujarnya.

PAS dalam satu sidang media di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur semalam mengumumkan sedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN bagi menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan mengatakan parti itu sudah terpesong dari landasan perjuangannya.

Namun, kenyataan yang dimaklumkan Abdul Hadi itu kemudiannya disanggah Mahfuz yang mencelah ‘kecuali Umno’.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rahim Noor Bukti Produk Umno-BN Tanamkan Kebencian Terhadap Pembangkang

 

SHAH ALAM 10 MEI : Sikap Tan Sri Rahim Noor yang melabelkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bapa kafir’ menunjukkan mantan Ketua Polis Negera itu produk Umno-BN yang giat menanam kebencian kepada kakitangan awam supaya membenci pihak pembangkang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata hal itu juga membuktikan pemikiran pegawai kerajaan dirosakkan Umno-BN sehingga mereka tidak dapat bertindak secara profesional.

Katanya, sebagai pegawai kerajaan dan bekas Ketua Polis Negara beliau seharusnya bersikap neutral.

“Umno-BN sudah menanamkan kebencian kepada pegawai-pegawai kerajaan terhadap pembangkang sehingga kami (pembangkang) dianggap sebagai musuh. Itu tindakan zalim terhadap mereka yang bersama kita dalam apa jua perkara.

“Sikap berpihak kepada sesuatu pihak tidak sepatutnya ditunjukkan dalam institusi kerajaan,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya.

Tambahnya, sebagai negara demokrasi berparlimen, pembangkang mempunyai hak untuk dihormati.

“Sistem itu juga memungkinkan berlaku pertukaran kerajaan. Jadi jangan kerana Umno-BN mula sedar rakyat sudah menolak mereka, mereka mula menukar fakta dan meningkatkan propaganda bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri kepada keluarga lain yang diamalkan secara turun temurun itu.

“Jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, kita akan bebaskan mereka dari pengaruh politik. Kita tidak akan gunakan polis sebagai satu sayap parti untuk menentang pembangkang,” katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menambah hubungan polis dan rakyat kini tegang selepas perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

“Ini kerana polis sudah menganggap rakyat sebagai musuh dan pemberontak. Kita tidak mahu kefahaman ini diamalkan oleh mereka,” katanya.

Rahim sebelum ini didapati bersalah memukul separuh mati Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Aman pada tahun 1999.

Categories
NASIONAL

Nik Aziz : Umno-BN Tak Patut Takut Pada Bersih 3.0 Jika Menang Dengan Adil

SHAH ALAM, 5 MEI: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 dan berkata ia bukan untuk menggulingkan kerajaan sebaliknya menuntut sistem pilihanraya yang telus dan adil.

Menurut beliau, kerajaan pusat pimpinan Umno-BN tidak sepatutnya takut terhadap tuntutan himpunan tersebut sekiranya mereka selama ini menang dengan cara yang telus dalam pilihanraya sebelum ini.

“Takkan Bersih nak gulingkan kerajaan. Mereka menang selama ini bersih ke?” soal beliau di satu majlis makan malam di sini.

Dalam lawatannya ke Kelantan baru baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata peserta himpunan Bersih ingin menjadikan Dataran Merdeka seperti Tahrir Square di Mesir tahun lepas yang menjatuhkan presiden negara itu Hosni Mubarak.

Jelas Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, sistem pemerintahan yang dianjurkan Islam merupakan sistem yang terbaik memandangkan Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti negara lain.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggesa negeri Pakatan Rakyat yang lain agar mencontohi cara urus tadbir yang dilakukan oleh Kelantan yang dipimpin oleh Nik Aziz.

Katanya, Pakatan tidak harus patah semangat dengan segala tomahan yang dilemparkan oleh Umno-BN dalam usaha Pakatan untuk menawan Putrajaya dan mengingatkan semua pihak bahawa ujian lebih besar akan menanti apabila berjaya memerintah kelak.

Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat di I-City dianjurkan Dewan Pemuda Pas Kelantan. Ia bertujuan untuk mengumpul dana pilihanraya ke-13. Turut hadir Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan beberapa pimpinan Pas Kelantan.

Turut diadakan lelongan barangan peribadi milik Nik Aziz selain persembahan dikir barat dari Kumpulan Dikir Barat Warisan Darul Naim.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelbagai Pihak Kecam Utusan Sebar Gambar Lucah

SHAH ALAM, 2 MEI : Umno begitu terdesak apabila dua akhbar yang dinaunginya iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo, bertindak menyiarkan gambar lucah di muka hadapan hari ini.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan ini akan menjerumus generasi muda kepada keruntuhan akhlak danĀ  Umno sudah sangat terdesak.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya budaya pemberitaan seperti yang tersiar di muka hadapan Utusan Malaysia pada hari ini.

“Apa yang mereka lakukan ini menjerumuskan generasi muda kepada keruntuhan akhlak dan budaya seks songsang.. Kenapa isu-isu seperti ini yang diangkat untuk mendapat keuntungan politik? soal Nik Aziz dalam kenyataan di Facebooknya.

Bagi pendakwah bebas, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, tindakan penyiaran gambar berkenaan satu petanda kotor minda dan hati si pembuat keputusan menyiarkan gambar berkenaan.

“Saya sangat membantah siaran gambar-gambar lucah (tidak kiralah samada ia bermotif politik atau tidak, melibatkan wajah mirip pemimpin parti BN atau PR) yang disiarkan oleh mana-mana akhbar awam tempatan seperti yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dan Kosmo 2 Mei.

“Ingatlah siaran media awam ibarat iklan, sekali ia memberi idea & gambaran, sekiranya ada yang menurutinya, keseluruhan individu yang meluluskan keputusan siaran itu bakal mendapat saham dosa sehingga hari kiamat,” tulisĀ  Dr Zaharuddin dalam Facebook.

Sementara itu, penyiaran gambar berkenaan turut mengundang pemegang akaun Facebook di negara ini, antaranya Murni Salleh tulisnya “Anak-anak saya yang masih kecil pernah komen; “Issyy..!! tak bagus la suratkhabar tunjuk gambar-gambar tak elok!”

“Saya tak minat berpolitik..tapi saya seorang ibu dan seorang pendidik..rasa sangat malu dan geram..budak-budak kecil pun boleh bezakan yang elok dan tak elok..akibatnya..saya terpaksa tapis dulu berita-berita dalam suratkhabar sebelum benarkan anak-anaknya membacanya,” katanya yang juga seorang pendidik.

“Hari ini saya disajikan paparan majalah lucah terbitan berlesen untuk hiburan masyarakat Malaysia

“Saya juga pengamal media, tetapi saya tahu batas-batas dan etika yang perlu dihormati.

“Bangga sangatkah kalian dapat merosakkan pemikiran masyarakat dengan menyajikan perkara mungkar,” kata pengamal Media, Ahmad Nadi Karusan.