Categories
NASIONAL

Anwar Jamin PKR Bukan ‘Satu Lagi Umno’ Jika Menang PRU-13

SHAH ALAM, 18 OGOS: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi demokrasi yang kuat seperti badan kehakiman dan agensi penguatkuasa yang bebas akan memastikan Pakatan Rakyat tidak bertukar menjadi ?satu lagi Umno?.

Ini kerana Pakatan telah berjanji di dalam Buku Jingga bahawa institusi-institusi tersebut akan dibebaskan daripada campurtangan politik apabila perikatan itu berjaya memerintah negara.

Anwar memberi jaminan tersebut ketika menjawab satu soalan yang dikemukan di dalam program ‘Borak Bersama Anwar’ yang disiarkan secara langsung melalui portal video web ‘You Tube’ sebentar tadi.

Soalan yang dikemukakan oleh seorang yang dikenali sebagai ?Gunanaiker? melahirkan kebimbangan sekiranya PKR menjadi ‘satu lagi Umno’ selepas menakluki Putrajaya.

?Gunanaiker? berkata kerisauan itu berdasarkan kehadiran ramai bekas pemimpin Umno-BN di dalam PKR.

“Tanpa mengira samada mereka pernah menyertai mana-mana NGO, Umno, MCA atau atau MIC, mereka yang sertai PKR perlu terima budaya politi baru bagi menjayakan agenda reformasi dan menyokong polisi Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

PKR merupakan sebuah parti berbilang kaum dan mempunyai ahli dari pelbagai latar belakang termasuk bekas anggota Umno, MCA, MIC dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan.

Anwar berkata peranan institusi tersebut dipesongkan pada masa kini di bawah Umno-BN sehingga tindakan undang-undang tidak dapat diambil terhadap sesetengah pihak.

“Sekiranya badan-badan ini dibebaskan dari cengkaman politik kita tak perlu bimbang, kerana sesiapa sahaja boleh dikenakan tindakan.

“Kita tidak boleh mengambil sikap selektif dalam mengambil tindakan seperti yang berlaku terhadap Rafizi Ramli yang mendedahkan penyelewengan, tetapi membiarkan ‘perompak’ begitu sahaja,” kata Anwar lagi.

Sebelum ini Rafizi, yang merupakan pengarah strategik PKR, di dakwa di bawah satu akta kewangan setelah beliau mendedahkan dokumen-dokumen bank berhubung dengan projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan.

Pada masa yang sama, Anwar melahirkan keyakinan yang intergriti institusi polis di negara ini dapat diperbaiki.

Seperti institusi yang lain, kepercayaan rakyat terhadap polis hanya dapat dikembalikan sekiranya ia bebas dari pengaruh politik.

Anwar merujuk kepada kes bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang melakukan keganasan terhadap beliau di dalam tahanan polis pada tahun 1998, sebagai contoh bagaimana polis digunakan oleh pentadbiran sekarang.

“Menteri patut fokus untuk baiki imej polis dan bagaimana hendak mengurangkan jenayah, bukanya campuri tugas polis,” kata Anwar.

Program Interaktif yang dikendalikan oleh Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman dan disiarkan selama sejam itu merupakan satu-satunya program ‘Google Hangout’ yang melibatkan ahli politik Asia Tenggara.

Antara pemimpin dunia lain yang pernah ditampilkan dalam program sama adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Dalam program tersebut, selain menjawab soalan dari laman sosial, beliau turut menjawab soalan-soalan dari enam panelis terpilih dari pelbagai latar belakang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rahim Noor Bukti Produk Umno-BN Tanamkan Kebencian Terhadap Pembangkang

 

SHAH ALAM 10 MEI : Sikap Tan Sri Rahim Noor yang melabelkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bapa kafir’ menunjukkan mantan Ketua Polis Negera itu produk Umno-BN yang giat menanam kebencian kepada kakitangan awam supaya membenci pihak pembangkang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata hal itu juga membuktikan pemikiran pegawai kerajaan dirosakkan Umno-BN sehingga mereka tidak dapat bertindak secara profesional.

Katanya, sebagai pegawai kerajaan dan bekas Ketua Polis Negara beliau seharusnya bersikap neutral.

“Umno-BN sudah menanamkan kebencian kepada pegawai-pegawai kerajaan terhadap pembangkang sehingga kami (pembangkang) dianggap sebagai musuh. Itu tindakan zalim terhadap mereka yang bersama kita dalam apa jua perkara.

“Sikap berpihak kepada sesuatu pihak tidak sepatutnya ditunjukkan dalam institusi kerajaan,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya.

Tambahnya, sebagai negara demokrasi berparlimen, pembangkang mempunyai hak untuk dihormati.

“Sistem itu juga memungkinkan berlaku pertukaran kerajaan. Jadi jangan kerana Umno-BN mula sedar rakyat sudah menolak mereka, mereka mula menukar fakta dan meningkatkan propaganda bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri kepada keluarga lain yang diamalkan secara turun temurun itu.

“Jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, kita akan bebaskan mereka dari pengaruh politik. Kita tidak akan gunakan polis sebagai satu sayap parti untuk menentang pembangkang,” katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menambah hubungan polis dan rakyat kini tegang selepas perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

“Ini kerana polis sudah menganggap rakyat sebagai musuh dan pemberontak. Kita tidak mahu kefahaman ini diamalkan oleh mereka,” katanya.

Rahim sebelum ini didapati bersalah memukul separuh mati Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Aman pada tahun 1999.

Categories
NASIONAL

Rahim Noor Perlu Mohon Maaf Segera Kepada Nik Aziz

SHAH ALAM, 9 MEI : Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor digesa segera memohon maaf kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas tohmahan biadap yang dilemparkan.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Nik Aziz merupakan seorang ulama, tokoh politik dan ilmuan Islam berwibawa yang dihormati serta disegani setiap lapisan masyarakat.

“Orang Islam mahupun orang bukan Islam menyanjungi pekerti Tuan Guru(Nik Aziz) dan menghormati kegigihan beliau mentadbir Negeri Kelantan selaku Menteri Besar demi kemaslahatan rakyat negeri tersebut.

“Sebagai Mursyidul Am PAS, Tuan Guru merupakan teladan kepada ahli PAS serta menjadi antara rujukan utama kepada Muslim seluruh negara,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Tambah Azmin , Nik Aziz telah menampilkan kepimpinan bertunjangkan pesan agama Islam dan menzahirkannya sebagai suatu bentuk dakwah bil hikmah.

“Namun kita dikejutkan dengan tohmahan biadap dan melampau mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menggelar Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai bapa kafir,” katanya.

Azmin menegaskan Rahim  sebenarnya tidak layak mempersoal keimanan dan keyakinan  Nik Aziz.

“Kedangkalan kenyataan mantan Ketua Polis Negara itu jelas terserlah malah dicemuh rakyat,” katanya.

Rahim Noor sebelum ini didapati bersalah membelasah Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan pada tahun 1999, atas desakan rakyat satu Suruhanjaya Diraja ditubuh bagi menyiasat insiden mata lebam.

Perbuatan Rahim telah mencemarkan imej negara dan institusi polis dan beliau didapati bersalah dan dipenjarakan.

Categories
SELANGOR

BERSIH 3.0 Betul-betul Takutkan Najib, Umno-BN

BATU CAVES, 8 MEI : Perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu di Dataran Merdeka disifatkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai titik tolak kepada kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahan kerajaan Umno-BN.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan lebih 300,000 peserta pada perhimpunan itu menimbulkan reaksi kurang senang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang nyata semakin cuak terhadap desakan rakyat.

Ia dikuatkan lagi dengan tindakan Najib yang meminta bantuan tiga bekas Ketua Polis Negara untuk menyokong hujah beliau bagi mengaitkan BERSIH 3.0 sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

“Terdesaknya PM sehingga terpaksa minta Jabatan Fatwa mengeluarkan fatwa dan terdesaknya beliau sehingga terpaksa menggunakan khidmat Tun Hanif Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan yang masing-masing mempunyai rekod buruk bagi menyokong hujah beliau.

?Penyertaan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah lambang kepada kebebasan terhadap ugutan dan kezaliman Umno-BN,” katanya di satu ceramah perdana dan jelajah Merdeka Rakyat : Pasca BERSIH 3.0 di Kampung Baru di sini malam tadi.

Tambahnya, perhimpunan itu juga membuktikan kebangkitan rakyat untuk menolak sebarang percubaan penipuan dan manipulasi pilihan raya oleh badan pengendalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saifuddin turut menyelar tindakan SPR yang sewenang-wenangnya menukar kawasan mengundi seperti yang dialami Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dengan alasan mengubahsuai sempadan.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelskan, penyertaan ratusan ribu peserta semasa BERSIH 3.0 adalah sebagai saham dan perjuangan PR untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Beliau berkata, perhimpunan itu adalah sebagai satu permulaan di kalangan pemimpin PR dan rakyat untuk menentang kezaliman Umno-BN dan akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kita berikrar untuk bawa perubahan baik kepada negara ini mahupun terhadap rakyat. Perjuangan kita tidak akan selesai dengan perhimpunan sahaja, sebaliknya kita akan buat lagi untuk menyatakan hak dan prinsip kita di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan PR  akan terus mempertahankan hak asasi serta keadilan rakyat terutama kaum Bumiputera sebagai majoriti sekiranya diberi mandat memerintah negara.