Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19, dokumen tidak lengkap antara sebab tangguh nikah 165 pasangan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebanyak 165 kes nikah tertangguh di Selangor sejak 1 Julai hingga semalam, disebabkan pasangan pengantin atau wali dijangkiti Covid-19 selain gagal melengkapkan dokumen.

Pegawai Perhubungan Awam Seksyen Komunikasi Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan segelintir individu yang berkeras mahu meneruskan pernikahan biarpun positif Covid-19.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia hanya mengundang risiko kepada orang sekeliling.

“Mohon jangan jadi penyebar dan habiskan tempoh kuarantin terlebih dahulu kerana selepas itu pernikahan boleh diteruskan,” kata Wan Zainal Shahriman ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau mengulas berikutan terdapat kes pasangan pengantin yang tetap hadir ke Jais meskipun disahkan positif Covid-19.

Selain itu, Wan Zainal menyeru pihak yang tidak cukup butiran dokumen pernikahan juga diminta melengkapkannya dengan kadar segera agar urusan berjalan lancar.

Sementara itu,  katanya setakat Januari hingga Jun lalu, sebanyak 10,191 pasangan telah dinikahkan.

Sebelum ini Jais membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai yang hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah dari Isnin hingga Ahad.

Jais juga mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5514 3400/3600 atau emel [email protected].

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasangan tunang ambil langkah awal, vaksin sebelum nikah

BUKIT JALIL, 10 OGOS: Mahu mendirikan rumah tangga antara faktor utama Muhammad Aiman Abdullah hadir ke Program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place di sini.

Pemandu lori berusia 28 tahun itu mengambil langkah awal berikutan bimbang jabatan agama mewajibkan setiap pasangan perlu lengkap dua dos sebagai salah satu syarat dibenarkan nikah.

“Saya datang sini sebab hendak bernikah. Mungkin lepas ini ada syarat perlu vaksin untuk bernikah sebab sekarang ini masuk masjid pun perlu ada vaksin,” katanya ketika ditemui semalam.

Ditanya bila akan mendirikan rumah tangga, Muhammad Aiman berkata dia belum menetapkan tarikh dan akan membuat keputusan selepas situasi Covid-19 di negeri ini kembali reda.

Dia memaklumkan urusan pendaftaran melalui Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dilakukan oleh tunangnya yang dikenali sejak Februari menerusi permainan dalam talian ‘Call of Duty’.

Sementara itu, Nor Hafizah Mohd Suhaimi, 34, tunang kepada Muhammad Aiman berkata dia mendaftar untuk menerima vaksin selepas kesemua ahli keluarganya sudah disuntik.

Dia yang sebelum ini pernah menerima janji temu melalui MySejahtera terpaksa menolak berikutan lokasi PPV yang jauh dari rumahnya di Balakong.

“Saya terpaksa batalkan kerana jauh jadi saya cuba SELangkah, alhamdulilah sekali daftar terus dapat tarikh. Jumaat daftar, hari ini (semalam) sudah divaksin,” katanya yang juga guru mengaji.

Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program yang bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Majlis akad nikah bersemuka dibenar mulai 1 Julai

SHAH ALAM, 25 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai.

Menerusi poster dikongsi di Facebook, majlis hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dari Isnin hingga Ahad.

Pasangan perlu mendapatkan tarikh janji temu terlebih dahulu dan kehadiran adalah terhad kepada pengantin lelaki, perempuan serta wali.

Jais juga mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar.

Pada 1 Jun majlis akad nikah serta semua perkhidmatan di bawah Jais ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawi benarkan nikah di masjid luar zon merah mulai 1 Disember

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Berkuat kuasa 1 Disember ini, majlis akad nikah boleh dilangsungkan di masjid-masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang tidak berada di kawasan zon merah.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam kenyataan semalam memaklumkan keputusan itu dibuat mengikut data yang dikeluarkan pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

“Jabatan ini telah membuat ketetapan perluasan kebenaran berkahwin bertujuan untuk memberi lebih banyak pilihan tempat akad nikah kepada pasangan yang ingin melaksanakan majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Langkah ini juga bagi mengelak berlakunya perkumpulan atau kehadiran ramai orang di sesebuah masjid pada satu-satu masa,” menurut kenyataan itu.

Jawi memaklumkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ (PPNCR) bertanggungjawab memastikan semua pihak yang terlibat dalam majlis akad nikah itu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pengurusan tertinggi Jawi dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Jawi hanya membenarkan majlis akad nikah diadakan di Pejabat Jawi Kuala Lumpur, Putrajaya dan premis tertentu yang ditetapkan termasuk beberapa masjid tertentu sahaja.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Garis panduan nikah diumum selepas Aidilfitri

SHAH ALAM, 17 APRIL: Garis panduan nikah akan diumumkan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlarutan hingga sambutan Aidilfitri, kata Dato’ Menteri Besar.

Namun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri setakat ini kekal dengan keputusan menangguhkan urusan berkenaan selagi PKP berkuat kuasa.

“Kita tidak mahu hari bahagia seseorang itu jadi macam hari biasa. Ramadan ini pun kita rasa tak akan ada orang bernikah.

“Kita akan umum kaedah tertentu ini lepas Aidilfitri. Perkara ini pun sudah dibincangkan dengan Sultan Selangor,” katanya pada sidang media hari ini.

Amirudin berkata pasangan yang tetap mahu meneruskan pernikahan perlu merujuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk dinilai jika ada alasan munasabah.

“Sebelum ini, kita letakkan kawalan untuk majlis pernikahan namun orang tidak ikut. Dari pengalaman kita, majlis pernikahan di Hulu Langat menjadi kluster Covid-19 selepas dihadiri jemaah tabligh,” katanya.

Sebanyak 1,062 permohonan nikah terpaksa ditangguh mulai 20 Mac lalu, dua hari selepas PKP fasa pertama dilaksanakan.

Langkah itu berikutan beberapa jurunikah dikuarantin selepas mereka dikesan ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Tatacara nikah perlu perkenan Sultan Selangor

SELAYANG, 4 APRIL: Tatacara nikah di negeri ini perlu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku ketua agama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu bagi mengawal himpunan ramai dalam tempoh enam bulan hingga setahun seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan merujuk isu nikah dan kahwin daripada Jabatan Agama Islam Selangor dan mufti serta membabitkan pandangan pakar syariah dan munakahat untuk kebaikan semua,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada Majlis Perbandaran Selayang hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan mendapatkan kaedah bersesuaian supaya tidak berlaku himpunan ramai seperti majlis kenduri.

“Rakyat tidak boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan mengelakkan himpunan ramai supaya wabak ini dapat dilenyapkan,” katanya.

Sebelum ini, Jais menangguhkan urusan pernikahan di negeri ini sehingga Perintah Kawalan Pergerakan berakhir pada 14 April.

Categories
AGAMA AGENSI SELANGOR

Jurunikah Jais disyaki Covid-19, bakal pengantin diminta tangguh akad

SHAH ALAM, 20 MAC: Pasangan bakal melangsungkan akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diminta menangguhkan urusan itu, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata beberapa penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah dikuarantin kerana disyaki Covid-19 ketika melaksanakan urusan berkenaan.

“Bebarapa jurunikah disyaki terkena wabak itu dan kita minta sebarang urusan nikah ditangguhkan dahulu,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata tempoh penangguhan itu bergantung kepada perintah kerajaan.

“Jais tangguh sampai 31 Mac ini dan jika dilanjutkan, pasangan perlu tunggu.

“Akad nikah yang dijalankan selepas 31 Mac ini tetap tertakluk dengan Tatacara Perlaksanaan Majlis Akad Nikah Selangor sehingga 17 April ini,” katanya.