Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 dalam norma baharu

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan 2020 esok akan melakar sejarah tersendiri apabila ia diadakan dengan amalan norma baharu bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dikuatkuasakan.

Jika sambutan sebelum ini dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan pasukan beruniform serta agensi kerajaan dan swasta tetapi pada kali ini perarakan seumpamanya tidak diadakan dan digantikan dengan acara membabitkan pergerakan dan jumlah minimum hadirin.

Acara kali ini, dijadual bermula jam 8 pagi di Dataran Pahlawan, Putrajaya itu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiada penyertaan daripada komponen lain bagi menjaga penjarakan fizikal susulan pandemik Covid-19.

Majlis dijadualkan bermula dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Pahlawan dengan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut sama menyambut keberangkatan Seri Paduka berdua ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Ia kemudian diikuti dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ sebelum Seri Paduka berdua berangkat ke Dewan Serbaguna untuk Al-Sultan Abdullah menyampaikan Titah Diraja Sempena Hari Kebangsaan 2020.

Sebaik selesai Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta orang kenamaan dijadual akan menyaksikan siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di layar besar yang disediakan oleh RTM.

‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini dengan membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Norma baharu: Masyarakat perlu letak agenda negara melebihi peribadi

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Masyarakat perlu meletakkan agenda negara sebagai keutamaan harian melebihi agenda peribadi, dalam konteks pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) seperti yang ditetapkan kerajaan, selari dengan pembudayaan norma baharu mencegah penularan Covid-19.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, meskipun pemupukan budaya baharu itu mengambil sedikit masa, namun ia akan tetap berjaya dan sebati dalam kalangan masyarakat, sekiranya dipraktikkan secara menyeluruh ketika negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Tujuannya bukan untuk menyusahkan masyrakat, bukan juga untuk sukarkan kehidupan masyarakat, tetapi untuk pastikan negara dalam keadaan selamat,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Pembudayaan Norma Baharu Perkasa Komuniti’ terbitan Bernama TV malam tadi.

“Masyarakat ketika ini seolah-olah sudah lupa senario atau realiti sebenarnya, kerana majoritinya menjangka bahawa Covid-19 sudah dapat dihapuskan secara holistik. Akhir-akhir ini kealpaan masyarakat melaksanakan perintah (SOP), angka kes baharu meningkat kepada dua angka.

“Saya yakin masyarakat dan kerajaan tidak mahu melaksanakan PKP asal, kerana akan beri impak negatif kepada sektor ekonomi dan negara,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Rosnah Ramly berkata, amat penting masyarakat untuk memahami bagaimana virus Covid-19, boleh menjangkiti dan merebak kepada orang ramai.

“Ia merebak melalui rembesan batuk dan bersin dengan jarak satu meter, itu asasnya. KKM sentiasa nyatakan dan memberi peringatan kepada masyarakat, untuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala dan pentingkan amalan jarak fizikal.

“Kadang-kadang masyarakat tidak sedar setelah memasukkan tangan ke dalam hidung dan mulut dan droplets itu jatuh pada permukaan dan apabila disentuh boleh terkena jangkitan. Pematuhan dan pembudayaan norma baharu ini amat penting bukan sahaja kerana adanya Covid-19, mungkin sahaja satu hari nanti ada jangkitan lain yang tidak diketahui,” katanya.

Beliau menegaskan, KKM mahukan masyarakat untuk sentiasa beringat dan mengamalkan budaya 3W iaitu, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam, yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala, dan amaran dari KKM, yang lebih berkonsep peringatan seperti elakkan bersalaman atau bersentuhan.

Bagaimanapun, beliau memuji berdasarkan laporan harian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP yang ditetapkan adalah pada tahap tinggi, dan hanya sebilangan kecil sahaja yang ingkar.

Pada 8 Ogos lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu dan buku Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Covid-19, yang memuatkan konsep pembudayaan norma baharu dan strategi kerajaan ketika PKPP.

Buku 26 muka surat itu yang diterbitkan KKM, turut memaparkan tindakan yang perlu diambil baik dari sudut orang perseorangan, keluarga dan komuniti, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM gesa rakyat anggap diri petugas barisan hadapan perangi Covid-19

MUAR, 8 OGOS: Masyarakat perlu menganggap diri sendiri sebagai “petugas barisan hadapan” dan terus mengamalkan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyeru masyarakat, Perdana Menteri berkata pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang sedia ada perlu diperluaskan lagi.

Katanya ini bagi mengelakkan daripada wujudnya kluster baharu yang menyebabkan peningkatan kes positif Covid-19 di negara kita.

“Justeru, kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri ahli masyarakat pada setiap masa,” kata ahli parlimen Pagoh itu.

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian Covid-19, saya menyeru anda semua terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau pasti masyarakat tidak mahu kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya jika keadaan ini terjadi, sudah tentu banyak masalah lain timbul termasuklah mengganggu usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Tambahan pula, kerajaan telah memperuntukkan RM295 billion untuk memulihkan ekonomi selepas terkesan akibat Covid-19 dengan sebahagian daripada wang itu sudahpun diagihkan diberi kepada pihak-pihak yang memerlukan,” katanya.

“Kalau kita kembali semula dan terpaksa mengenakan PKP semula seperti asal maka ekonomi kita pastinya menghadapi kesan yang amat buruk dan kesannya itu akan dapat sama-sama dirasakan oleh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat tidak boleh alpa dan perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Bersempena pelancaran berkenaan, Muhyiddin turut memperkenalkan logo dan slogan kempen “Bersama Hentikan Wabak Covid-19” serta menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Mohd Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam.

Mohd Nor Fakihin Aqsa memenangi Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline kempen itu yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 1 hingga 10 Julai lepas.

Selain itu, Perdana Menteri turut melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengandungi 26 muka surat.

Buku itu antara lain menekankan mengenai strategi kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), komuniti sebagai barisan hadapan, serta tindakan keluarga, institusi pendidikan, masjid dan lain-lain dalam bersama-sama mengekang penularan Covid-19.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Membudaya norma baharu pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Apabila tiada tanda-tanda bila akan berakhirnya pandemik Covid-19, nasihat terbaik kepada rakyat Malaysia bagi melindung diri masing-masing adalah meneruskan amalan pemakaian pelitup separuh muka apabila keluar rumah, kerap membasuh tangan dan mengamalkan jarak fizikal.

Amalan norma baharu rakyat Malaysia ini telah pun diterapkan sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan 18 Mac lepas.

Dan kini selepas hampir lima bulan PKP termasuklah PKP Bersyarat (PKPB) dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos nanti, rakyat kebanyakannya sudah semakin menerima adaptasi norma baharu ini dalam kehidupan seharian mereka.

Namun apabila berlakunya peningkatan semula jumlah kes baharu pada akhir Julai menyebabkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka kepada setiap orang berkuatkuasa 1 Ogos terutama ketika menggunakan pengangkutan awam dan berada di tempat tumpuan umum yang sesak bagi tujuan membendung pandemik Covid-19.

Peraturan baharu itu memperuntukkan denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), jika ada yang gagal mematuhinya.

Lihat sudut positif

Perubahan kepada norma baharu secara ‘tiba-tiba’ disebabkan penularan pandemik ini, memanglah sesuatu yang bukan mudah untuk diterima dan diadaptasi dengan sekelip mata oleh rakyat.

Ini kerana ia menuntut kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat untuk sama-sama memastikan #kitamenang dalam ‘melawan’ Covid-19.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Profesor Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, norma baharu perlu dilihat dari sudut positif bagi mengelakkan masyarakat daripada rasa tertekan dan terbeban dengan pengamalannya.

“Masyarakat perlu melihat perkara ini dari aspek kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan. Sebelum ini (sebelum krisis Covid-19) seseorang mungkin dianggap sebagai penghidap penyakit obsesi berlebihan seperti Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) apabila kerap membasuh tangan dan menggunakan pelitup separuh muka.

“Namun hari ini perkara itu telah berubah menjadi suatu kemestian malah penggunaan pelitup separuh muka turut diwajibkan di kawasan tertentu.

“Rakyat perlu melihat bagaimana normal baharu ini membawa perubahan yang baik kepada perkara yang sebelum ini kurang dititikberatkan, sebagai contohnya, tidak menjaga etika batuk dan bersin, tidak mengambil berat simptom demam, selsema malah kita kini menjadi semakin peka dengan soal kesihatan dan kebersihan diri sendiri dan orang lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini berhubung isu norma baharu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Pagoh, Muar.

Alah bisa, tegal biasa

Ibarat peribahasa ‘alah bisa, tegal biasa’, Dr Muhammad Muhsin berkata apabila sesuatu perkara itu menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat, ia akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.

Meskipun norma baharu ini belum begitu menjadi budaya, namun rata-rata rakyat mengamalkannya kerana bimbang akan penularan Covid-19, patuh kepada undang-undang dan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan, selain kesedaran turut meningkat apabila kes Covid-19 kembali naik.

“Cuma, dalam tempoh hampir lima bulan kita mengadaptasi norma baharu ini (sejak PKP), rakyat boleh dikatakan semakin terbiasa. Impaknya turut diterjemah melalui tahap kepatuhan terhadap PKP dan SOP yang ditetapkan yang sekaligus menyumbang kepada kadar penurunan kes penularan Covid-19 di negara ini.

“Apa yang kita harapkan amalan norma baharu ini akan terus dipertingkatkan dan dijadikan normalisasi serta budaya dalam kehidupan. Apabila semua pihak tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing, norma baharu ini akan diadaptasi sebagai sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

Beliau pada masa sama tidak menolak tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk rakyat membudayakan norma baharu.

“Untuk membudayakan norma baharu ia bukan bersifat ‘top-down’ berlandaskan polisi dan SOP yang ditetapkan pihak kerajaan semata-mata sebaliknya rakyat sendiri perlu ada kesedaran dan tahap keprihatinan yang tinggi.

“Norma baharu ini juga akan lebih mudah diikuti oleh masyarakat sekiranya mereka yang mempunyai ‘pengaruh’ seperti pemimpin, golongan selebriti, petugas kesihatan dan guru menunjukkan contoh pengamalannya dalam kehidupan seharian,” katanya sambil menambah tahap kesedaran rakyat ada ‘turun-naik’ dan perlu sentiasa dibekalkan dengan maklumat dan peringatan secara berterusan.

Lebih berdisiplin, tertib

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya yang juga merupakan kaunselor, Dr Ahmad Shamsuri Muhamad berkata norma baharu secara tidak langsung turut mendidik masyarakat menjadi lebih berdisiplin dan tertib dalam tindakan mereka.

Situasi bersesak-sesak dan berasak-asak semakin berkurangan dan rakyat ‘akur’ untuk beratur dan menjaga jarak fizikal. Contohnya, ketika membeli barang di pusat membeli-belah, menggunakan lif serta tangga bergerak.

“Masyarakat belajar dan berubah kepada sesuatu perkara melalui antaranya melihat contoh apa yang dilakukan oleh orang lain, melalui pujian dan penghargaan serta melalui hukuman atau denda yang dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan.

“Ada individu yang boleh diingatkan melalui kempen kesedaran yang dijalankan, ada yang memerlukan ‘pulangan’ sebagai balasan kepatuhan mereka dan terdapat juga yang perlu dikenakan hukuman atau denda bagi tujuan memberi kesedaran,” katanya.

Beliau turut berpendapat kaedah penyampaian maklumat kepada masyarakat perlu dipelbagai agar objektif kerajaan untuk membudayakan norma baharu dapat dicapai.

Sebagai contoh, sebelum ini ramai yang bekerja dari rumah tidak sabar menunggu siaran sidang media berhubung Covid-19 namun berikutan kebanyakan rakyat kembali bekerja dan menjalankan rutin harian seperti biasa, momentum (keterujaan rasa ingin tahu perkembangan terkini kes Covid-19) semakin menurun disebabkan kekangan masa.

“Untuk itu kaedah penyampaian maklumat berhubung situasi semasa Covid-19 perlu dipelbagaikan di samping cara penyampaian perlu sesuai mengikut peringkat umur agar semua kumpulan masyarakat boleh faham, mempunyai kesedaran dan mengamalkan normal baharu sebagai budaya dalam kehidupan mereka.

“Maklumat juga perlu dipastikan boleh diakses oleh semua golongan termasuk mereka yang berhadapan kekangan tertentu seperti orang kurang upaya (OKU) agar agenda membudayakan norma baharu ini dapat direalisasikan,” katanya yang juga OKU penglihatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB nasihat sekolah patuh SOP, amal norma baharu

SHAH ALAM, 25 JUN: Selepas hampir tiga bulan tidak beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sesi persekolahan mula dibuka semalam khusus bagi pelajar tingkatan lima dan enam.

Dato’ Menteri Besar menasihatkan pihak sekolah terus menempuh norma baharu dan patuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tuntut ilmu dengan norma baharu. Sesi persekolahan kembali membabitkan pelajar mengambil peperiksaan awam. Warga sekolah dan pelajar diingatkan untuk patuh SOP ketat KKM,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Antara saranan kepada sekolah adalah:

1. Saringan kesihatan di pintu masuk
2. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman
3. Pematuhan penjarakan sosial seperti di bilik mesyuarat, dewan makan, asrama dan pondok menunggu
4. Amalan etika batuk dan bersin yang betul
5. Tiada aktiviti melibatkan perhimpunan
6. Lakukan pembersihan pada permukaan yang kerap disentuh
7. Buka tingkap dan pintu bilik darjah bagi pengudaraan baik
8. Tandas sekolah sentiasa bersih dan ada sabun

Categories
AGENDA NASIONAL

E-Bazar Ramadan bawa rakyat Malaysia jalani norma baharu

SHAH ALAM, 8 MEI: Konsep e-Bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka secara dalam talian antara norma baharu rakyat Malaysia susulan penularan Covid-19.

Memetik portal Astro Awani, larangan niaga secara fizikal memaksa peniaga bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meraih pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketua Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Grab Ebi Azly Abdullah berkata permintaan terhadap e-bazar wujud sebelum PKP kemudian diperluaskan dengan kerjasama Kerajaan Selangor.

“Cabaran peniaga ialah adaptasi secara digital. Mereka perlu berada di lokasi e-dapur pada 12 tengah hari dan menggunakan peralatan elektronik untuk menerima serta memproses tempahan secara dalam talian,” katanya.

Terdapat 11 lokasi e-dapur yang beroperasi iaitu Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya dan Batu Caves.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penyediaan 200 ruang niaga untuk menjual juadah berbuka puasa melalui Grab dan Platform Selangor (Plats).

Penghantaran makanan melalui dua saluran e-dagang tersebut dibuat melalui Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch bermula 2.30 sehingga 5.30 petang.

Antara norma baharu lain ialah membuat transaksi dalam talian termasuk mencari rumah sewa, menganjurkan acara atau seminar secara dalam talian dan menggunakan khidmat ‘Doctor On Call’.