Categories
NASIONAL

Rafizi Dakwa DBKL Tunduk Tekanan Politik Umno-BN

rafizi perhimpunan

SHAH ALAM 11 JUN : Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak memberikan jawapan jelas mengenai penggunaan Padang Merbok pada 23 Jun depan didakwa kerana terpaksa tunduk kepada tekanan politik Umno-BN.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, acara pada 23 Jun tidak melibatkan Padang Merbok dengan bermula dan berakhir di Dataran Merdeka, maka tidak ada alasan untuk tidak membenarkan himpunan aman #black505 berlangsung di Padang Merbok pada 22 Jun.

Katanya, Sekretariat Pakatan mendapat makluman bahawa DBKL menolak permohonan menggunakan padang itu melalui surat yang difakskan.

“Saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan hadir berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 14 Jun, tetapi kami tidak akan berganjak dari keputusan mengadakannya di Padang Merbok pada 22 Jun.

“Apatah lagi apabila terbukti padang itu tidak digunakan pada hari Sabtu dan Ahad minggu itu,” kata Rafizi dalam kenyataan medianya.

olympiccouncilfbKatanya, sebelum ini alasan permohonan itu ditolak bahawa Padang Merbok diperlukan pada 22 Jun sebagai persiapan kepada satu acara yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada keesokan harinya iaitu 23 Jun.

Ujarnya, pendirian pimpinan Umno-BN bahawa perhimpunan aman hanya boleh diadakan di tempat tertutup seperti stadium adalah tidak masuk akal dan bertentangan dengan hak berhimpun secara aman di semua tempat-tempat awam

routeJika pendirian pimpinan Umno-BN ini digunapakai, maka tidak ada majlis atau acara yang boleh dibuat di tempat terbuka dan akta itu perlulah ditukar namanya menjadi ‘Akta Perhimpunan Aman Dalam Stadium Sahaja’.

“Alasan bahawa perhimpunan akan menyebabkan kesesakan jalan raya tidak boleh dipakai kerana Larian Olimpik McDonald akan menyebabkan jalan-jalan ditutup di sekitar kawasan.

“Jika pihak berkuasa boleh menutup jalan untuk mempermudahkan larian itu, saya pasti pihak berkuasa juga boleh menutup jalan untuk perhimpunan aman #black505 pada 22 Jun,” kata Rafizi.

 

Categories
NASIONAL

Rafizi : Himpunan Blackout 505 Dianjak Ke 22 Jun

DSC_5441

PETALING JAYA 10 JUN : Pakatan Rakyat (PR) memutuskan mengadakan perhimpunan aman Blackout 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini berikutan tiada program lain dijalankan di kawasan itu pada tarikh berkenaan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata pihaknya mengambilkira pandangan pihak terlibat di mana pada tarikh asal iaitu 15 Jun, terdapat program karnival dan majlis perkahwinan akan diadakan di kawasan itu dan berhampirannya.

Sehubungan itu, PR memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan aman #blackout 505 dalam tempoh 10 hari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti ditetapkan.

“Permohonan kepada DBKL untuk menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun telahpun dibuat pada Jumaat 7 Jun lalu. DBKL juga mengesahkan tiada mana-mana pihak membuat permohonan mengadakan acara di padang itu pada tarikh tersebut.

“Oleh itu tiada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa majoriti rakyat Wilayah Persekutuan bersama PR maka DBKL dan Tengku Adnan diminta menghormati hasrat rakyat selain Padang Merbok adalah milik rakyat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gani: Bunuh Tahanan, 4 Anggota Polis Bakal Didakwa – BULETIN 13

Sinopsis

Buletin 13 Untuk 05062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penganjur Perhimpunan Aman #Black 505 memilih Padang Merbok sebagai tapak perhimpunan Black 505 Kuala Lumpur yang
diadakan pada 15 Jun nanti.

2. Anggota polis yang didakwa terlibat dalam kematian tahanan polis, N Dharmendran akan didakwa Rabu ini atas kesalahan membunuh, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

3. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar digesa untuk tidak meminggirkan negeri pentadbiran Pakatan Rakyat dalam membangunkan belia dan sukan di negara ini.

Categories
NASIONAL

#Black 505 Diadakan Di Padang Merbok, Kuala Lumpur

himpunan suara rakyat kelana jaya 03

PETALING JAYA, 5 JUN: Penganjur Perhimpunan Aman #Black 505 memilih Padang Merbok sebagai tapak perhimpunan yang diadakan pada 15 Jun nanti.

Menurut Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira pandangan Polis Diraja Malaysia yang menggesa perhimpunan itu tidak melibatkan Dataran Merdeka.

Himpunan tersebut merupakan kesinambungan dari himpunan-himpunan yang diadakan di seluruh negara sebelum ini bagi membantah keputusan pilihanraya ke-13 yang didakwa terpesong kerana penipuan.
“Surat makluman kepada pihak pemilik Padang Merbok dan PDRM akan dihantar hari ini sebagai memenuhi keperluan Akta Perhimpunan Aman dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut oleh pihak PDRM,” kata Rafizi dalam sidang media bersama PKR, PAS dan DAP di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.

Menurut beliau surat yang ditandatangani oleh pemimpin ketiga-tiga parti itu dihantar ke Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur dan DBKL selaku pemilik padang.

Menurut Rafizi lagi perhimpunan ini diteruskan bagi menolak penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dan menuntut reformasi sistem pilihan raya.

Antara tuntutan reformasi sistem pilihan raya tersebut termasuklah menuntut semua ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan dan melantik ahli-ahli interim baru SPR dengan persetujuan bersama Pakatan Rakyat (PR), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan kumpulan rakyat lain.

PR turut menuntut pilihan raya semula diadakan di kawasan yang terbukti berlaku penipuan terutamanya di 30 kerusi parlimen yang mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Manakala tuntutan ketiga pula, menuntut pindaan undang-undang pilihan raya bagi menghentikan SPR melakukan persempadan semula seperti yang berlaku sekarang sehinggalah semua ahli-ahli interim baru SPR dilantik semula.

“Perlantikan ahli SPR perlu mendapat sokongan dua pertiga Dewan Rakyat dan memenuhi tuntutan BERSIH selama ini untuk memastikan pilihan raya benar-benar adil dan bersih,” kata Rafizi lagi.

Selain Rafizi, turut hadir dalam sidang media tersebut Ahli Parlimen Sg Petani, Datuk Johari Abdul dari PKR, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mewakili DAP dan Adun Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Nawawi dari PAS.