Categories
NASIONAL SELANGOR

Persatuan Bas Henti-Henti Dakwa Rapid Penyebab Muflis

william-radipKL-copy

PETALING JAYA, 29 MAC: Ahli Parlimen Selayang, William Leong mendedahkan Pan Malaysia Bus Operators Association’s (PMBOA) mendakwa syarikat bas Rapid KL yang dimiliki Kumpulan Prasarana Negara Berhad faktorĀ  menyebabkan ahli gabungannya berdepan muflis.

Dalam sidang media itu William memaparkan surat aduan pihak PMBOA kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang tidak diendahkan.

Dalam surat bertarikh 9 Januari daripada PMBOA kepada SPAD, persatuan terbabit merungut bahawa ahli-ahlinya tidak dapat bersaing dengan bas Rapid yang turut rancangan untuk meluaskan perkhidmatan bas Rapid ke seluruh negara.

Pada masa ini bas Rapid menjana keuntungan RM180 million, tetapi menerima subsidi sebanyak RM280 million berbanding dengan pengusaha syarikat bas henti-henti yang tidak menerima subsidi.

William juga memaklumkan, sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, pengusaha syarikat bas henti-henti akan diberikan peranan yang sesuai untuk membantu perkhidmatan bas Rapid.

Menurutnya kegagalan perkhidmatan syarikat bas henti-henti hingga mengakibatkan pengambilalihan oleh Prasarana berpunca daripada masalah polisi yang lemah.

“Apa yang diperlukan adalah satu sistem koridor di mana sesebuah syarikat yang diberikan laluan berpendapatan tinggi, mesti diwajibkan melalui laluan-laluan yang kurang mendatangkan keuntungan.

“Kalau tiga syarikat dibenarkan bersaing hanya untuk laluan berpendapatan tinggi, maka mereka tidak akan memberikan perkhidmatan di laluan yang lain,”katanya.

Selain itu, pengusaha bas henti-henti tetap akan mempunyai peranan untuk membawa penumpang, sebagai contoh, dari Petaling Jaya dan kawasan persekitaran ke bandar.

“Kemudian, di bandar, ada perkhidmatan bas (milikĀ  negeri), maka kedua-dua operasi ini tidak akan bersaing antara satu sama lain,” katanya pada satu sidang media di ibupejabat PKR hari ini.

Rapid kini beroperasi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan terbaru dilancarkan di Kuantan.

Beliau menambah PR juga akan menjamin tempoh servis laluan bagi syarikat bas henti-henti, agar syarikat terbabit boleh mendapatkan pinjaman dari pihak bank bagi menambah bilangan bas.