Categories
AGENDA NASIONAL

Penggiat seni harap SOP penggambaran tidak sekat kebebasan berkarya

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Penggiat seni berharap agar pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat menggariskan prosedur operasi standard (SOP) di set penggambaran yang lebih fleksibel, dan tidak terlampau ‘rigid’ dengan kadar segera.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim berkata SOP seumpama itu penting agar tidak berlaku aspek penambahan kos dan tenaga kerja yang membebankan, selain menyekat kebebasan berkarya.

“Kami percaya SOP yang bakal dihasilkan ini tidak sama dengan SOP yang sedia ada dan diguna pakai sebelum ini.

“Mengenai SOP masa kini, ia agak ‘rigid’ dalam aspek kos dan penambahan tenaga kerja di lapangan dan banyak menyekat kebebasan penggambaran, terutama prasyarat Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masa kini,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Ibrahim yang juga lebih dikenali sebagai ‘Mat London’ berkata kebenaran semula operasi penggambaran dapat menyemarak dan merancakkan kembali industri perfileman dengan momentum dan norma baharu, sekali gus memberi kelegaan kepada penggiat filem yang tertekan sejak sekian lama.

“FDAM berharap pelan pemulihan negara tidak mengetepikan sektor industri kreatif khususnya industri perfileman, agar ia lebih memberi pengertian dan membangun semula ke arah keceriaan dan berdaya maju,” katanya.

Selasa lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran prosedur SOP Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif, termasuk penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio serta aktiviti panggung wayang, yang dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini.

Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19, serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

Sementara itu, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) akan memastikan SOP di pawagam dilaksanakan selaras dengan SOP yang diguna pakai pengusaha pawagam di luar negara, dalam menjamin keselamatan sekali gus menambah keyakinan penonton untuk kembali menonton filem di premis terbabit.

MAFE dalam satu kenyataan menyatakan kebenaran masuk hanya diberikan untuk penonton yang telah divaksin sepenuhnya sahaja iaitu 14 hari selepas dos kedua, berserta  bukti sijil digital vaksinasi COVID-19.

Kenyataan itu menyatakan pengusaha pawagam juga akan memastikan hanya kakitangan yang telah divaksin sepenuhnya dibenarkan bertugas, selain mempertingkatkan pemakaian PPE petugas dengan pemakaian dua lapis pelitup muka dan pelindung muka.

Kenyataan MAFE itu juga menyatakan pembelian tiket wayang, serta makanan dan minuman juga akan dilaksanakan tanpa kontak.

“Dengan SOP yang dipertingkatkan ini, semua pawagam di Malaysia telah bersiap siaga dan bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan semula para penonton, yang mendambakan pengalaman menonton dalam suasana yang terlindung dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun tinjauan Bernama di beberapa pusat membeli-belah di sekitar ibu negara hari ini mendapati, premis pawagam masih belum beroperasi.

Menurut jurucakap operator pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas, masing-masing masih menunggu SOP rasmi daripada MKN, sebelum memuktamadkan pelan dan garis masa untuk pembukaan semula.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lengkap dua dos boleh ke panggung wayang, terhad 50 peratus kapasiti

SHAH ALAM, 7 SEPT: Individu yang telah lengkap dos vaksin dibenar menonton wayang dengan kapasiti panggung wayang dihadkan kepada 50 peratus sahaja mulai Khamis ini.

Kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Satu bagi penggiat industri kreatif itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Persetujuan memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

“Kelonggaran ini juga diberi berasaskan faktor ada negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin atau mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aktiviti industri kreatif lain yang diberi kelonggaran seperti berikut:

  • Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
  • Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton sudah lengkap vaksinasi serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.
  • Penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
  • ‘Indoor busking’ kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
  • Persembahan di lounge hotel kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
  • Persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang sudah lengkap vaksinasi serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.
  • Pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang sudah lengkap vaksinasi dan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis.