Categories
AGENDA NASIONAL

Penggiat seni harap SOP penggambaran tidak sekat kebebasan berkarya

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Penggiat seni berharap agar pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat menggariskan prosedur operasi standard (SOP) di set penggambaran yang lebih fleksibel, dan tidak terlampau ‘rigid’ dengan kadar segera.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim berkata SOP seumpama itu penting agar tidak berlaku aspek penambahan kos dan tenaga kerja yang membebankan, selain menyekat kebebasan berkarya.

“Kami percaya SOP yang bakal dihasilkan ini tidak sama dengan SOP yang sedia ada dan diguna pakai sebelum ini.

“Mengenai SOP masa kini, ia agak ‘rigid’ dalam aspek kos dan penambahan tenaga kerja di lapangan dan banyak menyekat kebebasan penggambaran, terutama prasyarat Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masa kini,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Ibrahim yang juga lebih dikenali sebagai ‘Mat London’ berkata kebenaran semula operasi penggambaran dapat menyemarak dan merancakkan kembali industri perfileman dengan momentum dan norma baharu, sekali gus memberi kelegaan kepada penggiat filem yang tertekan sejak sekian lama.

“FDAM berharap pelan pemulihan negara tidak mengetepikan sektor industri kreatif khususnya industri perfileman, agar ia lebih memberi pengertian dan membangun semula ke arah keceriaan dan berdaya maju,” katanya.

Selasa lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran prosedur SOP Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif, termasuk penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio serta aktiviti panggung wayang, yang dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini.

Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19, serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

Sementara itu, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) akan memastikan SOP di pawagam dilaksanakan selaras dengan SOP yang diguna pakai pengusaha pawagam di luar negara, dalam menjamin keselamatan sekali gus menambah keyakinan penonton untuk kembali menonton filem di premis terbabit.

MAFE dalam satu kenyataan menyatakan kebenaran masuk hanya diberikan untuk penonton yang telah divaksin sepenuhnya sahaja iaitu 14 hari selepas dos kedua, berserta  bukti sijil digital vaksinasi COVID-19.

Kenyataan itu menyatakan pengusaha pawagam juga akan memastikan hanya kakitangan yang telah divaksin sepenuhnya dibenarkan bertugas, selain mempertingkatkan pemakaian PPE petugas dengan pemakaian dua lapis pelitup muka dan pelindung muka.

Kenyataan MAFE itu juga menyatakan pembelian tiket wayang, serta makanan dan minuman juga akan dilaksanakan tanpa kontak.

“Dengan SOP yang dipertingkatkan ini, semua pawagam di Malaysia telah bersiap siaga dan bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan semula para penonton, yang mendambakan pengalaman menonton dalam suasana yang terlindung dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun tinjauan Bernama di beberapa pusat membeli-belah di sekitar ibu negara hari ini mendapati, premis pawagam masih belum beroperasi.

Menurut jurucakap operator pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas, masing-masing masih menunggu SOP rasmi daripada MKN, sebelum memuktamadkan pelan dan garis masa untuk pembukaan semula.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kisah ratu skuasy Nicol David bakal difilemkan

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Selaku bintang sukan tersohor negara, kisah Datuk Nicol David akan difilemkan dalam satu biopik berjudul “I am Nicol David.”

Juara dunia lapan kali itu membuat pengumuman itu di laman media sosialnya malam tadi yang menjadikan pengikutnya teruja.

“Saya selalu mengimpikan satu hari nanti untuk menceritakan kisah saya dan mampu memberi inspirasi kepada setiap orang untuk bekerja keras mencapai apa yang mereka mahukan dan sentiasa mencabar diri sendiri untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

Saya sungguh bertuah saya berpeluang bekerjasama dengan ACE Pictures yang berkongsi perasaan ini dan saya tidak sabar-sabar untuk memulakannya! Ia satu perjalanan yang panjang dan saya teruja untuk mengharapkan sokongan anda dalam melaluinya,” katanya yang kini berusia 37 tahun dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Memegang rekod nombor satu selama 108 bulan berturut-turut dan kedudukan 10 teratas selama 151 bulan, Nicol memenangi 81 gelaran Juara Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam kerjaya profesionalnya selama hampir 20 tahun.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu adalah atlet Sukan Asia paling berjaya dengan meraih tujuh pingat emas secara keseluruhan.

Beliau juga dimahkotakan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, Februari tahun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Penggambaran filem, drama dibenar dalam studio, pawagam tutup

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Aktiviti penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya bagi rakaman dalaman (studio), dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 7 Jun.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan aktiviti itu dibenarkan dengan jumlah kru yang minimum tanpa penonton, selain perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) dan tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Industri Kreatif yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, operasi pawagam tersenarai sebagai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Aktiviti pawagam pandu masuk dibenarkan dengan syarat, perlu mematuhi SOP yang ditetapkan MKN serta semua garis panduan meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan,”kata Finas dalam kenyataan hari ini.

Perincian lanjut mengenai SOP dan garis panduan tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara sebagai langkah tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 berikutan trend kenaikan kes secara mendadak.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Usah alpa kelonggaran PKPP, waspada ancaman Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Bagi ‘kaki wayang’ dan penggemar filem tempatan, mahupun antarabangsa, pengumuman kerajaan semalam untuk membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai depan, sudah tentu merupakan satu perkhabaran gembira.

Selepas hampir tiga bulan terpaksa menonton ‘layar kecil’ di rumah dengan rancangan dan filem lama yang disiar berulang kali, baik menerusi siaran televisyen digital percuma, mahupun stesen televisyen berbayar, kelonggaran yang diberikan ini amat ditunggu-tunggu.

Antara filem yang dijadual untuk ditayangkan di pawagam adalah filem perisikan British terkenal, ‘James Bond: No Time To Die’, yang sepatutnya ditayangkan pada April lepas, namun terpaksa ditunda berikutan penularan wabak Covid-19.

Turut ‘beratur’ menunggu giliran untuk ditayangkan termasuk filem francais Marvel ‘Black Widow’; filem keluaran Walt Disney Pictures ‘Mulan’, serta filem seram ‘Antlers’ dan ‘Antebellum’.

Bukan sahaja dapat menonton wayang, kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan aktiviti teater dan ‘live event’, serta riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian.

Boleh Anjur Mesyuarat, Seminar Ikut SOP

Kebenaran yang sama juga diberikan terhadap penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan.

Namun dalam keghairahan terhadap kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan, aspek kawalan kendiri serta pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), yang ditetapkan oleh kerajaan perlu terus diutamakan.

Sudah tentu, kita tidak mahu kes jangkitan Covid-19 di negara ini kembali meningkat dan wujud kembali kluster baharu, dek kealpaan dan kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Lihat sahaja apa yang berlaku tiga hari lalu, apabila timbul kluster di Labu Lanjut, Sepang, yang menjangkiti lima individu setakat ini, dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung.

Walaupun jumlahnya hanya satu angka, tidak mustahil angka itu akan meningkat serta timbul lagi kluster baharu seumpamanya, jika aspek kawalan kendiri termasuk amalan jarak sosial diabaikan.

WHO Beri Amaran Fasa ‘Baharu Dan Berbahaya’

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri beberapa hari lepas mengeluarkan amaran tentang ‘fasa baharu dan berbahaya’ pandemik Covid-19, apabila orang ramai mula bosan dengan perintah berkurung dan kawalan pergerakan, sedangkan virus itu masih merebak.

Ingatlah, kita belum menang walaupun semalam buat kali kedua, tiada kes penularan di negara ini dalam kalangan warganegara direkodkan, selepas kali pertama dicatatkan pada 9 Jun lepas.

Berjaya atau tidak usaha untuk memutuskan rantaian pandemik ini, banyak bergantung kepada usaha rakyat sendiri, kerana Malaysia hanya boleh mengumumkan bebas daripada jangkitan Covid-19 sekiranya tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SENI

Interchange dimensi baru dunia seram

OLEH SYAZWANI SUFIAN

Interchange sebuah filem seram supernatural yang membawa kelainan berbanding filem lain yang mungkin pernah ditayangkan di Malaysia.

Filem arahan kedua Dain Iskandar Said selepas Bunohan diterbitkan bersama penerbit Indonesia, Cinesurya dan dibiayai Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Penampilan pelakon hebat gandingan Malaysia dan Indonesia menyentuh pelbagai etnik dan gabungan dua budaya antaranya Shaheizy Sam, Iedil Putra, Nadiya Nissa, Alvin Wong serta Chew Kin Wah selain Nicholas Saputra juga Prisia Nasution yang turut membintangi filem itu.

Mengintip wanita misteri

interchange2Interchange berkisar tentang seorang detektif, Man (Shaheizy Sam) bersama rakannya Adam (Iedil Putra) seorang jurufoto forensik, terlibat dalam satu siri kes pembunuhan ngeri di sebuah bandar yang penuh dengan rahsia.

Kes kematian yang berlaku lima bulan lalu amat mengerikan dan telah memberi igauan kepada Adam, bahkan sejak peristiwa itu, Adam mula menyendiri serta menghindari dunia nyata.

Bagaimanapun, Adam masih mengambil foto dan menerusi lensa kameranya, Adam mengintip Iva (Prisia Nasution) iaitu seorang wanita misteri berasal dari Borneo yang baru sahaja berpindah ke pangsapuri bertentangan.

Bukan sekadar mengintip, Adam turut mengambil foto Iva sehingga beliau mula terlibat dalam kisah misteri gadis Borneo itu.

Bermula daripada itulah Adam diselinap masuk ke dalam dunia penuh misteri Iva.

Sementara itu, pada waktu yang sama berlaku kes pembunuhan yang cukup mengerikan dan jarang sekali berlaku menyebabkan Man mula menyelidik dengan lebih mendalam bersama Adam serta dektektif lain.

Yang lebih misteri apabila Man menemui serpihan kaca filem di tempat pembunuhan berlaku.

Sedikit demi sedikit, Man mula berjaya memecah kebuntuan kes pembunuhan yang berlaku dengan menyiasat ke kedai jualan barangan antik yang turut menyimpan filem foto berbentuk kaca itu.

Terbongkar kisah gadis misteri dan burung

Akhirnya, bermulalah konflik dengan pelbagai kejadian mistik, ngeri dan kepercayaan dahulu kala yang menghantui mereka, bahkan lama-kelamaan Adam juga Iva mulai rapat.

Ketika menyelesaikan kes pembunuhan yang berlaku bersama Man, Adam mula menyedari ia mungkin berkait dengan Iva dan kisah mistik yang berlaku lebih seribu tahun dulu.

interchangeTatkala Adam menyedari Iva adalah wanita di dalam foto seribu tahun dulu, beliau dibawa masuk ke dalam dunia puak asli Iva dengan kepecayaan mereka iaitu terperangkap di dalam foto kaca yang dijumpai di tempat pembunuhan tersebut.

Adam juga turut menyedari Belian lakonon Nicholas Saputra merupakan seorang lelaki berpewatakan burung berkait rapat dengan apa yang terjadi antara kes pembunuhan dan kisah puak asli Iva.

Pada masa sama, Man berjaya mengorek kes pembunuhan yang berlaku dan akhirnya berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik, ngeri dan dipenuhi dengan kepercayaan dahulu kala yang kembali hidup.

Tapi dengan dua kes pembunuhan ‘ritual’ yang ‘dirakamkan’ Dain Said sebenarnya ia dilihat bagaikan satu ritual bunuh diri dengan rela untuk kembali ke tempat asal mereka.

Latar belakang Interchange

Filem ini mula tercetus apabila pengarah Interchange pernah ternampak sekeping gambar dengan kapsyen : perempuan mencuci badan bagi membuang bala atau kepercayaan mereka akan menimpa musibah selepas gambarnya dirakam.

Dain berkata, Interchange adalah filem yang agak perlahan permulaannya, namun ia penuh dengan misteri dan tanda tanya dengan kepercayaan zaman dahulu kala.

“Setiap kisah yang ingin disampaikan dan watak dilakonkan akan berkembang dengan sendiri dan bakal difahami satu persatu .

“Filem ini juga lebih terdedah kepada alam semula jadi yang perlu kita hargai,” katanya ketika sidang media karpet merah filem Interchange di Pavilion, baru-baru ini.

Katanya, filem itu bukan sekadar sebuah penyiasatan misteri klise iaitu detektif yang akan selesaikan setiap kes tetapi ia terarah kepada rangkaian dan bantuan oleh Adam.

interchange1“Detektif hanyalah satu warna sahaja dan saya tidak mahu terlalu fokus kepada beliau. Tetapi nak fokus pada mistik dan kekuatan kaum tersebut,” katanya.

Belian lakonon Nicholas Saputra sebenarnya adalah watak penting dan penuh mistik, lakonan beliau yang kuat dan penuh karisma juga bakal membawakan penonton mengerti apa yang berlaku.

Beliau digambarkan sebagai tiada perasaan dengan jarinya bagaikan mempunyai satu jari burung di kiri kanannya serta mempunyai kekuatan luar biasa apabila bertarung dengan detektif Azman .

Interchange ke persada antarabangsa

Filem Interchange arahan Dain Iskandar Said mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas Festival Filem Locarno yang berpangkalan di Switzerland bakal menayangkan filem tersebut di festival yang berprestij itu.

Selain itu, difahamkan Interchange mendapat perhatian pengedar filem antarabangsa, Reel Suspects yang berpangkalan di Paris untuk diedarkan di pasaran dunia.

Malah, filem ini juga akan ditayangkan pada salah sebuah pasaran filem terbesar di dunia, Cannes Marché du Film.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SENI

Temuan Takdir fokus tanggungjawab sosial polis kepada masyarakat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JULAI: Filem Temuan Takdir menggarap elemen dan tanggungjawab sosial anggota polis mengekalkan kesejahteraan dan keamanan masyarakat Malaysia.

Filem sentuhan pengarah baru, Dhyan Vimal mengutarakan persoalan sosial dan hubungan kasih sayang yang bukan sekadar memfokuskan kepada adegan aksi atau babak cinta.

“Filem ini memberi penonton pengertian mendalam terhadap kehidupan anggota polis dan pengorbanan mereka di sebalik seragam besi mereka.

image“Umpamanya masyarakat tidak menyelami bagaimana transisi kehidupan polis dalam menyelesaikan sesuatu kes jenayah dalam persekitaran mereka.

“Jadi, filem ini digarap daripada pelbagai transisi dalam dan luar supaya masyarakat mengetahui bagaimana kepayahan anggota polis berkhidmat kepada masyarakat,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Lebih istimewanya, filem itu membawa dimensi penonton berhubung kejadian yang berlaku dalam tempoh kurang 48 jam terhadap perilaku jenayah dalam persekitaran.

“Menariknya filem ini, kita membawa dimensi penonton berkenaan sesuatu kejadian yang berlaku dalam tempoh 48 jam dan bagaimana pihak polis menyelesaikannya.

“Ia sesuatu yang mudah apabila penontotn tidak perlu terlalu berfikir terhadap konteks perjalanan cerita kerana durasi masa kejadian berlaku untuk tempoh 48 jam sahaja,” katanya.

Filem Temuan Takdir mengisahkan dua adik-beradik polis, ASP Tuan Roslan dan Inspektor Shariff dalam misi memburu ketua penjenayah di sebalik kes rompakan sebuah van keselamatan.

Penyiasatan mereka membawa ke arah terbongkarnya identiti Omar, Faisal dan Vikram yang mempunyai agenda tersendiri selepas melakukan rompakan.

Filem itu menampilkan pelakon baru dan lama antaranya Zahim Albakri, Azura Zainal, Amal Kamarudin, Thanuja Ananthan dan Vanida Imran.

Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Ogos ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Figura terkenal fotografi & filem di Shah Alam 25 April

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 APR: Orang ramai dijemput menyertai program bual bicara kesenian dan kebudayaan, Borak-Borak Siri 3/2015 dan Inspirasi Seni, pada 25 April ini.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program bual bicara itu menampilkan figura terkenal dunia fotografi dan perfileman, Muhd Hidayatullah selain pelukis muda, Qaisy Jaslenda.

laman seni seksyen 7 MB 8a“Mereka akan berkongsi pengalaman dan cabaran sebagai seorang pembikin filem, jurufoto dan pelukis profesional.

“Program ini memberi peluang kepada golongan muda mempelajari dan mengetahui lebih lanjut berkenaan cabaran dunia perfileman tempatan, perkembangan seni fotografi dan seni lukis di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Borak-Borak Siri 3/2015 itu akan diadakan di Laman Seni 2, bermula jam 8 hingga 11 malam.

MBSASementara itu, program Inspirasi Seni pula akan berlangsung di Laman Budaya, Tasik Shah Alam, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Pengunjung akan dihidangkan dengan persembahan muzik dan nyanyian, bacaan puisi serta persembahan tarian kebudayaan,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Pegawai Kebudayaan MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail di talian 013-350 7888.

-NFN-