Categories
AGENDA JENAYAH

Pegawai bank disyaki terbabit tujuh kes pecah amanah ditahan

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Seorang pegawai bank antarabangsa ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan tujuh kes pecah amanah bernilai kira-kira RM4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di Cheras, di sini, pada 21 Sept lepas.

Beliau berkata lelaki itu yang berkhidmat sebagai pengurus perhubungan pelanggan disyaki melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang simpanan tetap milik mangsa bagi membeli tujuh jongkong emas untuk dirinya sendiri.

Kamarudin berkata setakat ini satu kes telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 27 Sept lepas manakala enam lagi sedang disiasat.

“Kita percaya ramai lagi mangsa mengalami kerugian akibat perbuatan suspek namun belum membuat laporan polis dan mereka yang terbabit dinasihatkan untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Syed Saddiq didakwa pecah amanah dana parti RM1.12 juta

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad,Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir serta Mohd ‘Afif Ali.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S. Ambiga dan Haijan Omar.

Terdahulu, Faridz menawarkan jaminan RM500,000 dan RM300,000, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah dan salah guna wang dihadapi Syed Saddiq atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius selain memohon supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat.

“Tertuduh mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan jumlah jaminan juga sepatutnya tinggi kerana dia mendapat liputan media yang meluas. Jumlah jaminan perlu mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dilakukan.

“Tertuduh juga mempunyai peluang untuk mengganggu saksi pendakwaan dan jumlah jaminan tinggi bertujuan memastikan tertuduh tidak melarikan diri. Pendakwaan juga memohon perintah mahkamah supaya tertuduh tidak membuat apa-apa komen secara terbuka kerana kes ini telah dituduh dan ia boleh subjudis kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Gobind membantah jumlah jaminan itu yang disifatkan sangat tinggi dan memohon jaminan RM20,000, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah salah guna wang atas alasan tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Anak guam saya adalah seorang berkedudukan tinggi dan seorang MP (Ahli Parlimen) yang aktif di kawasan Muar. Dakwaan bahawa beliau akan mengganggu saksi pendakwaan adalah tuduhan liar berikutan tiada laporan dibuat menunjukkan tertuduh cuba mempengaruhi sesiapa.

“Beliau telah memberi kerjasama kepada pihak SPRM sejak siasatan dilakukan bermula April tahun lepas dan tiada risiko untuk anak guam saya melarikan diri,” katanya yang turut mempersoalkan tindakan pendakwaan menuduh anak guamnya ke mahkamah beberapa hari sebelum Parlimen bersidang, sedangkan pendakwaan memperoleh izin untuk mendakwa anak guamnya ke mahkamah, tujuh bulan lepas.

Berhubung perintah larangan memberi ulasan yang dimohon pendakwaan, Ambiga pula berkata ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perkara itu disokong oleh Gobind yang turut memaklumkan jika terdapat kenyataan yang ‘menyakitkan hati’, pendakwaan boleh membuat permohonan kepada mahkamah.

Sementara itu, Faridz berkata izin mendakwa tidak mempunyai tarikh luput dan terpulang kepada pendakwaan untuk membawa kes ke mahkamah dan pertuduhan dibuat adalah berasas.

“Tertuduh tidak perlu buat apa-apa komen yang subjudis kepada mahkamah dan dia ada peluang untuk membela diri di mahkamah bukannya di luar mahkamah,” kata Faridz.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azura membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menyerahkan pasport sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran, sebulan sekali.

Mahkamah membenarkan Syed Saddiq melunaskan bayaran ikat jamin sebanyak RM80,000 pada hari ini manakala baki RM250,000 selewat-lewatnya Selasa depan selain menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes.

Mahkamah bagaimanapun tidak membuat apa-apa perintah mengenai larangan memberi ulasan.

Faridz juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bharu dalam masa terdekat dan pihaknya juga akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Syed Saddiq, bersut hitam dan kemeja putih hadir ke mahkamah pada 9 pagi ditemani bapanya, Syed Abdul Rahman dan ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz. Turut hadir Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Naib Presiden KEADILAN Tian Chua.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kes pecah amanah dana penyelengaraan di kediaman berstrata

PETALING JAYA, 30 NOV: Kerani yang dilantik Badan Pengurusan Bersama (JBM) didapati paling ramai terlibat dengan kes jenayah pecah amanah dana kutipan yuran penyelengaraan kediaman berstrata di Petaling Jaya.

Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Sheila Sheron berkata, perkara ini berlaku kerana kerani yang menguruskan kutipan yuran penyelenggaraan rumah beroperasi secara bersendirian tanpa pemantauan ahli jawatankuasa JMB.

“Kerani berkenaan boleh mengambil wang tersebut dengan pelbagai cara dan kes-kes memalsukan tandatangan juga berlaku.

“Semua ini satu kesalahan yang jelas dan pelaku boleh didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah bertajuk Unit Penguatkuasaan Akta Penguatkuasaan 757 (Aspek Jenayah) pada Program Pemberdayaan Komuniti Ke Arah kehidupan Bandar Mampan di Perumahan Strata Bertingkat di Auditorium MBPJ, di sini, hari ini.

Katanya, selain itu terdapat juga beberapa kes membabitkan rakan subahat kepada kerani terbabit seperti rakan sejawatan dan Ahli Jawatankuasa JMB sendiri.

Ketika ditemui SelangorKini, Sheila bagaimanapun berkata, lazimnya perbuatan ini akan terbongkar dengan cepat jika polis memulakan siasatan atau pihak JIM sendiri melakukan semakan audit.

Selain pecah amanah membabitkan kerani, kes menipu membabitkan pengurus bangunan juga merupakan antara laporan diterima polis bahagian komersial.

“JMB melantik seorang pengurus bangunan dan antara tugasnya mencari kontraktor bagi melaksanakan sesuatu projek.

“Apa yang berlaku, pengurus bangunan ini menyalahguna kuasa untuk bersubahat dengan pihak ketiga bagi mendapatkan projek tersebut dengan memberi butiran sebut harga palsu,” katanya.

Sheila berkata, perbuatan ini dikategorikan sebagai rasuah dan pihak polis akan menyerahkan kes seperti ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut termasuk pendakwaan.

“Dari Januari 2019 hingga ke hari ini polis daerah ini menerima kira-kira 20 hingga 25 kes berkaitan JMB sama ada pecah amanah oleh kerani, rasuah untuk mendapatkan habuan oleh pengurus bangunan dan kes lain-lain.

“Bilangan ini tidaklah membimbangkan tetapi tidak boleh dibiarkan. Penduduk dan khasnya Ahli Jawatankuasa JMB perlu peka terhadap isu ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

ADUN Sungai Rambai mengaku tidak bersalah tuduhan pecah amanah

MELAKA, 9 JULAI: Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai dan seorang bekas kerani Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan pecah amanah dana Strategi Lautan Biru Kebamgsaan (NBOS) berjumlah RM318,400, dua tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Hasan Abd. Rahman, 57, dan Khuzaimah Abdullah, 34, yang masing-masing dihadapkan dengan 34 pertuduhan membuat pengakuan itu sejurus dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Berdasarkan kesemua pertuduhan terhadap Hasan, tertuduh yang telah diamanahkan ke atas peruntukan NBOS 2016 untuk negeri Melaka bagi Projek Tanaman Jagung, Tanaman Pisang dan Sayuran – Gantian Cili dan Ternakan Rusa didakwa telah melakukan pecah amanah dengan menandatangani 34 keping cek berjumlah keseluruhan RM318, 400.

Kesemua pembayaran itu bagaimanapun tidak diterima oleh penerima projek tersebut.

Mengikut pertuduhan kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di pejabat Japerun, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Sementara itu, Khuzaimah didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Hasan untuk melakukan jenayah pecah amanah dana NBOS bagi projek berkenaan pada tempat dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan Khuzaimah dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun mencadangkan jaminan RM50,000 setiap seorang dan meminta passport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Hasan diwakili Peguam Hamidi Mohd. Noh dan Mohd. Haziq Razali manakala Khuzaimah diwakili Peguam Ahmad Faiq Azizan dan Muhammad Nor Izzat Nordin.

Mohd Nasir kemudian membenarkan kedua-dua mereka dijamin sebanyak RM50, 000 setiap seorang dan mengarahkan passport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan tarikh 20 Ogos sebagai sebutan semula kes.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bekas eksekutif bank didakwa pecah amanah RM9,200

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Seorang bekas eksekutif operasi dan khidmat pelanggan sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang RM9,200 milik seorang individu, tiga tahun lepas.

J.G Subashini Tan, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Tertuduh didakwa sebagai eksekutif operasi dan khidmat pelanggan yang digajikan oleh Hong Leong Bank yang diamanahkan dengan harta iaitu wang tunai RM9,200 milik seorang individu telah melakukan pecah amanah jenayah dengan curangnya menyalahgunakan harta itu.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu di Hong Leong Bank Ground & Mezzanine Floor Wisma Sin Heap Lee, Jalan Tun Razak di sini pada 13 Ogos 2017. Dia dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 14 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hajar Hamzah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun Subashini yang diwakili peguam Razman Sahat memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun. Anak guam saya juga menjaga ibu bapanya yang uzur,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – BERNAMA