Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Atur dialog kakitangan agama tolak vaksin bersama mufti

KLANG, 30 SEPT: Kakitangan institusi agama di negeri ini yang enggan menerima vaksin akan dibawa bertemu golongan agamawan termasuk mufti.

EXCO hal ehwal agama islam berkata pendekatan itu antara usaha memujuk kumpulan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah untuk menerima suntikan pelalian

“Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memujuk tetapi masih ada enggan. Jika alasan agama maka kita temukan mereka dengan alim ulama termasuk mufti untuk berdialog dan bersoal jawab.

“Kalau alasan kesihatan kita boleh aturkan mereka dengan pakar kesihatan untuk memberikan maklumat lebih jelas,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau ditemui selepas mengedar 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) DUN Sungai Kandis dalam program vaskin remaja di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin, di sini hari ini.

Pada 22 September,  Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JKNS sedia anjur semula program vaksin guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah

SHAH ALAM, 23 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedia menganjur semula program pelalian untuk kumpulan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya memahami kumpulan terbabit tidak mendapat input yang betul tentang vaksin.

“Mungkin apabila melihat kawan-kawan yang mengambil vaksin boleh mengajar dan terpanggil untuk mengambil suntikan kita akan cuba berikan.

“Kita akan mengadakan program vaksinasi sama seperti ini dan mereka boleh hadir walaupun tanpa janji temu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program vaksinasi khas Frontliner Jais di di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Terdahulu, seramai 872 guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah diarah hadir menerima suntikan menerusi program yang dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Bagaimanapun Mohd Shahzihan memaklumkan setakat jam 11 pagi semalam seramai 146 telah hadir tetapi 80 peratus daripadanya menolak terima vaksin.