Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelancong belanja RM13.2 bilion di Selangor sepanjang 2018

SUBANG, 1 JAN: Selangor mencatatkan kutipan perbelanjaan RM13.2 bilion hasil kunjungan kira-kira 7.2 juta pelancong tempatan dan luar negara ke negeri ini pada 2018.

Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata
jumlah itu meletakkan Selangor di hadapan diikuti Sabah dan Sarawak.

“Jumlah perbelanjaan pelancong pada 2019 ialah RM15 bilion, namun jumlah tepat akan diperolehi pada April 2020,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Selamat Datang Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) peringkat Selangor di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal Subang Sky Park, di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nashir.

Pada majlis itu, kesemua penumpang yang tiba di lapangan terbang terbabit menerima kalungan kain batik dan cenderamata daripada Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Mengulas program berkenaan, Abdul Rashid berkata majlis itu dianjur sebagai pembuka tirai tahun baharu untuk merancakkan kempen TMM 2020.

Beliau turut menjangkakan 600 pelancong domestik dan luar negara tiba melalui pintu masuk Terminal Subang sepanjang hari ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Pelancong meningkat kepada 5.38 juta setakat September

SHAH ALAM, 10 DIS: Jumlah kedatangan pelancong di Selangor mencatatkan peningkatan empat peratus dalam tempoh sama tahun lalu iaitu 5.38 juta, sehingga September.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan jumlah kedatangan pelacong seramai 7.7 juta orang untuk tahun ini.

“Untuk 2020, Kerajaan Negeri mensasarkan jumlah kedatangan pelancong seramai 7.7 juta seiring dengan pelaksanaan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Hos Komuniti, pada 7 Oktober lalu.

Datuk Abdul Rashid Asari bersama Pemangku Pengurus Besar Tourism Selangor, Mohammad Zaim Mohammad Nashir menerima penerangan tentang peta budaya daerah yang dihasilkan oleh graduan Hos Komuniti Selangor. – Foto Tourism Selangor

Terdahulu, sektor pelancongan di Selangor dijangka menjana pendapatan lebih RM10 bilion pada tahun ini, dengan sasaran 9 juta kedatangan pelancong tahun ini.

“Kita begitu giat mengadakan program pelancongan, dan lawatan ke luar negara untuk mempromosi Selangor sebagai negeri yang harus dilawati.

“Selangor mempunyai keunikan dengan pelbagai makanan dan produk pelancongan serta diiktiraf Majlis Pelancongan Malaysia sebagai destinasi pilihan pada tahun lepas,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancong Thailand lawat Malaysia meningkat

BANGKOK, 24 OGOS: Sejumlah 829,787 pelancong Thailand melawat Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama 2019.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan 2.5 peratus berbanding 809,902 pada tempoh sama tahun lalu.

“Tahun lalu, 1.94 juta pelancong Thailand melawat negara kita menyaksikan negara itu menduduki tempat ke-4 dalam menyumbang ketibaan pelancong ke Malaysia,” katanya pada pelancaran “Visit Truly Asia Malaysia 2020” di Bangkok, Thailand, semalam.

Jojie berkata, pelancong Thailand mempunyai lebih banyak pilihan untuk melakukan perjalanan ke Malaysia sama ada melalui jalan raya, kereta api, laut dan udara.

“Sebagai contoh, kita berkongsi lapan laluan merentas sempadan, perkhidmatan rel dari sempadan Thailand ke Malaysia. Kita mempunyai banyak jadual penerbangan dari Thailand ke Malaysia.

“Ini berkat peningkatan kesalinghubungan udara pakej menarik oleh ejen pelancongan untuk mempromosikan Malaysia sebagai salah satu destinasi percutian keluarga utama Thailand,” katanya.

Bersempena dengan kempen promosi Visit Asia Malaysia 2020 di Thailand, Pelancongan Malaysia melancarkan pakej khas 2,020 baht dengan kerjasama Tanjung Point Residences (Pulau Pinang) dan menjual pakej itu dalam masa empat hari di Pameran Pengembaraan Antarabangsa Thailand 2019 (TITF # 25).

Timbalan Pengarah Pelancongan Malaysia (Bangkok), Mazreena Mohd Yusof berkata, sejumlah besar promosi 2020 pakej dibuat untuk kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020 sahaja.

Beliau berkata ia adalah usaha sama untuk menarik lebih ramai rakyat Thailand ke Malaysia.

“Malaysia berminat menarik lebih ramai pelancong Thailand melalui program insentif ini dan pembangunan produk pelancongan baru.

“Saya berharap usaha ini akan menggalakkan rakan perdagangan dan rakan-rakan kami dari media untuk terus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan,” katanya.

— BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sasar 10 juta pelancong tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MEI : Kerajaan Negeri menyasarkan 10 juta pelancong dalam dan luar negara bakal berkunjung ke Selangor, tahun ini.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, Selangor mencatatkan kemasukan pelancong dari luar negara sekitar 7.25 juta, tahun lalu.

“Selangor berjaya menyumbang kira-kira 28 peratus daripada jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia sebanyak 25.8 juta dan jumlah resit pelancongan pada tahun lalu dianggarkan mencecah sehingga 10 bilion.

“Pada tahun ini pula, kita sudah merancang beberapa program selaras dengan Tahun Melawat Malaysia.

“Malah, sebelum ini kita juga sudah pergi ke Berlin, Dubai dan Jepun untuk mempromosikan beberapa produk pelancongan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rasa Bubur Lambuk Mega Warisan Selangor di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Syamil Fahim Mohd Fahim dan Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (PADAT), Dato’ Paiman Keromo.

Terdahulu, sebanyak 5,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada warga Shah Alam sempena program yang dianjurkan Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Rasa.

Editor Pengurusan Majalah Rasa, Ida Abd Aziz berkata, program itu bertujuan mengimarahkan Ramadan dan salah satu usaha mengukuhkan semangat kerjasama serta penyatuan masyarakat di Selangor.

Katanya, sebanyak 20 periuk bubur lambuk dimasak secara gotong-royong dan kemudian diagihkan secara percuma kepada orang ramai, pasukan beruniform dan beberapa masjid sekitar Shah Alam dari jam 5 hingga 6.30 petang.

Program julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama dari Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor.

Selain itu, antara sukarelawan yang terlibat memasak bubur lambuk sejak jam 10 pagi tadi adalah UiTM Puncak Alam, Politeknik Sabak Bernam, beberapa selebriti dan chef terkemuka.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Usaha tingkat pelancongan di Kuala Selangor, Tg Karang & Sekinchan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan pihak korporat dan agensi kerajaan bagi menambah bilangan hotel atau ‘homestay’ sebagai usaha memperkembangkan lagi kawasan pelancongan di Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sekinchan.

Exco Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, usaha itu diberi perhatian kerana kekurangan tempat penginapan.

“Banyak promosi yang membabitkan kawasan ini namun kekurangan tempat penginapan menyebabkan pelancong kurang ke kawasan ini.

“Saya bercadang dengan adanya banyak tempat dinaiktaraf selepas ini, saya akan berbincang dengan pelbagai pihak untuk mewujudkan lebih banyak tempat penginapan supaya pelancongan dapat bermalam dan berbelanja di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan oleh Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati) di Sidang Dewan Negeri, di sini.

Abdul Rashid berkata, sebanyak RM573,000 diperuntukkan dalam tempoh lima tahun lepas bagi tujuan menaiktaraf kawasan pelancongan di beberapa kawasan di Kuala Selangor antaranya Bukit Melawati dan Kelip-kelip Kampung Kuantan.

“Bagi tempoh lima tahun lagi, Kerajaan Negeri sudah merangka beberapa pakej tarikan lain antaranya ‘magrive tour’ di sepanjang pantai Kuala Selangor, Sky Mirror, Bukit Melawati Heritage Walk, Pusat Pemeliharaan Kelip-Kelip Bukit Belimbing dan Kraf Tembikar,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalukan cadangan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) supaya mengemukakan cadangan atau kawasan yang boleh dinaiktaraf sebagai tempat pelancongan untuk diperkenalkan.

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Sasar 7.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 31 JUL: Selangor mensasarkan kira-kira 7.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu, kata EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya, pada suku pertama tahun ini berlaku penambahan jumlah kemasukan pelancong sebanyak 12 peratus dan ia turut berlaku bagi tempoh sama, tahun lalu.

“Kerajaan Negeri akan menambah pelbagai inisiatif dan strategi baru untuk menggalakkan pelancongan domestik termasuk menganjurkan aktiviti menarik bagi membolehkan pelancong tinggal lebih lama, di Selangor.

“Salah satunya ialah mengadakan lebih banyak aktiviti perkongsian budaya dan tradisi antara masyarakat bersama pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Karnival Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Selangor (MATTA Fair Selangor), di Serdang, pada 28 Julai lalu.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi MATTA Selangor, Datuk Syed Abdul Rahman Al Habshi.

Syed Abdul Rahman berkata, MATTA Fair Selangor berperanan sebagai landasan kepada usahawan pelancongan di negeri itu untuk meningkatkan pendapatan selain memperkenalkan produk peniagaan kepada pengunjung yang hadir.

“Karnival ini juga amat penting memandangkan sektor pelancongan adalah penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri ini.

“Malah, MATTA berharap supaya terus dapat mempromosikan Selangor dengan mengadakan karnival sama, pada tahun hadapan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pesta Air Pantai Bagan Lalang berpotensi jadi tarikan pelancong

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 19 SEPT: Pesta Air Pantai Bagan Lalang berpotensi dijadikan salah satu acara tahunan bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong dalam dan luar negeri ke daerah Sepang.

Hal itu berikutan pesta yang berlansung selama dua hari berkenaan berjaya menarik ramai pengunjung menghadiri pesta air yang dianjurkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) itu.

Pelajar dari Kelantan, Amin Nomli, 20, berkata kunjungannya ke pesta air itu tidak sia-sia apabila dapat menghabiskan cuti hujung minggu sambil menyaksikan pelbagai acara menarik yang diadakan sepanjang pesta berlangsung.

img_20160918_173340_852“Pesta air ini memang meriah dan menghiburkan dengan pelbagai acara yang diadakan. Sekurang-kurangnya dapat meredakan tekanan dengan bersantai di hujung minggu.

“Cuma apa yang diharapkan orang ramai perlu mendisplinkan diri untuk menjaga kebersihan di pantai. Penganjur pula kena pastikan kemudahan tempat membuang sampah secukupnya,” katanya kepada SelangorKini, di sini, semalam.

Bagi Fatin Syahirah, 20, pula berkata beliau teruja menonton pelbagai acara sukan air yang jarang dapat disaksikan.

“Saya dan saudara-mara yang datang memang seronok dapat tengok pelbagai acara. Harap acara seperti ini diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, peniaga dari Kajang, Muhammad Hassan Mustapha, 43, pula mencadangkan supaya kemudahan dipertingkatkan bagi menjamin keselesaan pengunjung.

“Perbanyakkan tempat duduk, cantikkan lagi tempat ini dan pelbagaikan aktiviti supaya pengunjung tidak bosan untuk melawat kawasan ini,” katanya.

img_20160918_173458_462Pesta Air Pantai Bagan Lalang yang diadakan itu berlangsung meriah apabila dianggarkan lebih 10,000 hadir sepanjang pesta itu berlangsung.

Antara acara yang menarik perhatian pengunjung adalah bola sepak pantai, bola tampar pantai, festival silat antarabangsa, membina istana pasir, tangkap itik, pukul bantal, panjat tiang licin dan pertandingan wau tegak serta wau cantik.

Selain itu, acara lain yang turut diadakan adalah pertandingan memanah tradisional, mewarna dan fotografi secara maya dan ‘lure model.’

Selain pelbagai acara yang turut menawarkan hadiah wang tunai, pesta itu turut menyediakan pelbagai gerai makanan dan cenderahati untuk pengunjung yang hadir.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Kuala Selangor terus catat peningkatan pelancong

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kuala Selangor terus mencatatkan peningkatan jumlah pelancong ke beberapa lokasi tarikan utamanya seperti Bukit Malawati, Kampung Kuantan dan Bago Taman Alam.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata peningkatan itu menunjukkan usaha Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan agensi lain menunjukkan hasil.

kuala selangorKatanya, usaha menaik taraf produk pelancongan masih perlu dipergiatkan bagi mempromosi daerah itu sebagai destinasi pelancongan makanan.

“Cendol Bakar, Cendol Borhan, Aroma Ikan Bakar, Soto Kuala Selangor dan Mee Udang antara tempat makanan sering dikunjungi.

“Kita juga ada inap desa yang banyak selain penjualan hasil laut seperti Pasir Penambang dan Pantai Remis,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 2015, seramai 128,130 pelawat mengunjungi Bukit Malawati berbanding 115,793 pada 2014 dengan peningkatan 11 peratus.

Pusat pelancongan kelip-kelip Kampung Kuantan pula mencatatkan 84,838 pengunjung pada 2015, meningkat 6 peratus berbanding 79,800 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Bago Taman Alam pula meningkat 8 peratus dengan 9,835 pelancong pada 2015 berbanding 9,124 pada 2014.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor sasar 2016 kedatangan 7.2 juta pelancong

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 JAN: Selangor mensasarkan kehadiran pelancong seramai 7.2 juta bagi 2016 susulan kejayaan mencapai sasaran 7 juta pelancong bagi 2015.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata Kerajaan Negeri enggan meletakkan sasaran tinggi kerana keadaan ekonomi semasa juga memainkan peranan terhadap kehadiran pelancong.

IMG_0385 a“Kita melihat sekarang kegawatan ekonomi yang bakal melanda semua negara bukan sahaja rantau Asia.

“Kita fokus terhadap pelancong tempatan dengan memberikan nilai wang (value for money) buat mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Malaysia Women Marathon (MWM) 2016.

Jelasnya berdasarkan perkembangan semasa berhubung serangan militan IS di Jakarta tempoh hari dijangka tidak memberikan kesan terhadap kehadiran pelancong ke Malaysia khususnya Negeri Selangor.

Namun beliau mengingatkan pemimpin politik supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta mampu menggugat sektor pelancongan negara.

“Kita yakin pihak berkuasa yang bertanggungjawab boleh menangani isu ini dan saya harap ahli politik tidak mengambil kesempatan untuk menjadi hero menerusi kenyataan tidak berasas serta menimbulkan rasa panik dalam kalangan orang awam,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Lima lokasi pilihan utama pelancong ke Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JUN: Tahun Melawat Selangor 2015 mendapat sambutan membanggakan dengan kehadiran pelancong di beberapa lokasi pelancongan strategik, stabil dan popular.

Pengurus Perhubungan Awam, Komunikasi dan Pemasaran Tourism Selangor, Nazri Tashriq Rahmat, berkata lokasi menarik di negeri itu antaranya Sunway Lagoon, I-city Shah Alam dan Sirkit Antarabangsa Sepang menjadi pilihan untuk dilawati kerana pelbagai kemudahan tersedia.

“Lokasi terbabit termasuk Zoo Negara dan Galeri Shah Alam yang menyediakan pengangkutan dan akses baik. Ia turut menjadi destinasi utama jadual lawatan agensi pelancongan yang membawa kumpulan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pulau_Ketam_5x7_11 (Medium)“Ia turut menyediakan kemudahan baik contohnya tempat membeli-belah, parkir yang luas dan berdekatan dengan tempat menarik di sekitarnya,” katanya kepada Selangor Kini.

Nazri berkata, tempat pelancongan itu juga dijadikan lokasi bagi acara pelancongan dan sukan peringkat tempatan serta antarabangsa seperti konsert, festival dan perlumbaan.

Katanya, faktor membantu lokasi itu terus menjadi pilihan kerana mempunyai kapasiti untuk penganjuran acara pelancongan.

“Lokasi dinyatakan sentiasa diperbaharui daya tarikannya seperti Sunway Lagoon yang kini dalam proses membina taman tema tambahan berkonsep karakter kartun popular ‘nickelodeon’ dan Zoo Negara mempunyai tarikan terbaru iaitu sepasang panda dari China.

“Lima lokasi pelancongan terbabit juga mempunyai medium pengiklanan yang luas dan program publisiti banyak dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat dalam dan luar negara,” katanya.

-NFN-