Categories
NASIONAL SELANGOR

Calon BN DUN Gombak Setia Gagal Hadir Debat

Debat 01

GOMBAK, 1 MEI: Calon BN DUN Gombak Setia, Datuk Said Anuar Said Ahmad gagal hadir dalam Debat Politik ‘Agenda Gombak Setia’.

Said Anuar dijangka berdebat dengan calon PAS, Hasbullah Ridzwan di Dewan Beringin Sri Gombak bagi menyahut budaya politik matang anjuran Dewan Pemuda PAS Gombak.

Kesempatan ini digunakan sebaiknya Hasbullah bagi menerangkan agenda dan perancangan kawasan Gombak Setia selain menerangkan Manifesto Rakyat yang diperkenalkan Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Debat 02

“Saya difahamkan jemputan dihantar secara surat berdaftar bertarikh 24 April ke pejabat beliau dan saya sendiri menerima jemputan berkenaan daripada pihak penganjur.

“Sebarang tuduhan (memburukkan) itu tidak wajar.

“Tidak timbul soal memburukkan. Berdasarkan format ianya adil untuk kedua-dua belah pihak di pentas yang sama rata,” katanya.

Sebelum itu, Said Anuar membuat laporan polis di Balai Polis Gombak berhubung pemaparan kain rentang dan sebaran di laman web berkenaan satu debat politik berkenaan.

Menurutnya, laporan ini dibuat bagi menafikan sebarang bentuk pelawaan sama ada berbentuk tulisan mahupun lisan melainkan paparan di kain rentang serta sebaran di laman web tanpa memperolehi persetujuan daripada pihaknya.

Dalam pada itu, bercakap dihadapan hampir 250 orang awam, Ustaz Hasbullah menjelaskan, pembangunan infrastruktur dan modal insan merupakan fokus utama yang akan diberikan perhatian sekiranya diangkat menjadi wakil rakyat pada 5 Mei ini.

surat 01

Categories
NASIONAL SELANGOR

Wakil Rakyat BN Abai Infrastruktur Kg Bagan Parit Baru Baroh

Aziz Bari 01

SABAK BERNAM 27 APRIL : Kira-kira 200 penduduk Kampung Bagan Parit Baru Baroh di sini kecewa dengan sikap Umno-BN yang mengabaikan pembangunan infrastruktur kampung itu yang wujud sejak 1970-an.

Seorang penduduk Ng Tiam Chai,44, yang ditemui wartawan Selangor Kini berkata, wakil rakyat Umno-BN tidak pernah turun padang melihat kedaifan perkampungan nelayan itu.

Katanya, kesukaran penduduk di situ ditambah lagi dengan laluan pejalan kaki yang diperbuat daripada kayu telah usang dan berisiko tinggi untuk roboh bila-bila masa.

Beliau mengharapkan wakil rakyat yang dipilih selepas ini akan dapat membaiki laluan pejalan itu dengan konkrit yang lebih kukuh dan selamat untuk dilalui penduduk.

Justeru, beliau dan penduduk di situ tekad memberikan sokongan kepada calon daripada Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini agar mendapat pembelaan kelak.

Dalam pada itu, kesusahan penduduk itu mendapat perhatian Calon Pakatan Rakyat Parlimen Sabak Bernam, Dr Abdul Aziz Bari dan Calon DUN Sungai Air Tawar, Wahid Rais yang turun padang bertemu masyarakat di sana.

Aziz Bari 02

“Apabila tiada wakil rakyat yang berwibawa di kawasan ini maka penduduk di sini bagaikan ‘ayam kehilangan ibu’ yang tiada tempat untuk mengharapkan pembelaan,” kata Dr Aziz.

Tambah Dr Aziz, beliau akan menangani masalah yang dihadapi penduduk di sini ke peringkat persekutuan yang mempunyai dana pembangunan yang lebih besar.

“Ia melibatkan Kementerian Pertanian dan beberapa agensi lain jadi pembangunan infrasruktur ini sesetengahnya bukan melibatkan kuasa di bidang negeri.

“Sebab itu Pakatan Rakyat ingin mendapatkan kerajaan di peringkat pusat agar masalah seperti ini dapat di atasi,” ujar beliau.

Sementara itu, calon DUN Sungai Air Tawar, Wahid Rais berkata beliau agak terkejut dengan kedaifan infrastruktur di kampung itu yang disifatkan beliau dianaktirikan daripada pembangunan yang sewajarnya.