Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Datum Jelatek Usaha Anjak Paradigma Melayu Berkenaan Pemilikan Aset

DATUM JELATEK

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Projek Datum Jelatek di Keramat yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan satu usaha mengembangkan keupayaan masyarakat Melayu supaya lebih berjiwa besar dalam pemilikan aset.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini juga satu usaha membantu orang Melayu melakukan anjakan paradigma dalam pembangunan memandangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai matlamat sebenar sehingga hari ini.

“Salah satu kelemahan DEB, kita meletakkan masyarakat Bumiputera terkongkong dalam satu keadaan mereka akan dapat (sebagai contoh) apa yang dipanggil kek.

“Sekarang kita mencari jalan bagaimana ingin membesarkan kek tersebut.

“Kalau dahulu, orang Melayu hanya dapat harta RM30 hingga RM40 juta, sekarang kita besarkan harta supaya masyarakat Melayu terbuka kepada RM500 hingga RM700 juta,” katanya pada satu sidang media.

Abdul Khalid menyifatkan sesetengah ahli Umno-BN tidak arif mengenai perkara ini sehinggakan masyarakat Melayu takut untuk keluar berhadapan persaingan lebih besar.

“Boleh jadi, setengah daripada orang Umno tidak arif mengenai perkara ini. Biarkan dia, sebab itu setengah daripada orang Melayu tidak berjiwa besar.

“Datum Jelatek sebagai satu ujian. Kalau tidak kita masih seperti katak dibawah tempurung,” ujarnya lagi.

Laporan media sebelum ini memetik pembangunan Projek Datum Jelatek di Keramat akan melonjakkan pemilikan nilai hartanah masyarakat Bumiputera melebihi RM500 juta.

Keputusan ini sekaligus melonjakkan nilai pemilikan masyarakat Bumiputera sebanyak 15 kali ganda di mana sebelum ini nilai pemilikan masyarakat Bumiputera di kawasan itu hanya sekitar RM20 juta.

Pembangunan di kawasan Jelatek sebelum ini menyaksikan kos tidak melebihi RM20,000 seunit dengan dimiliki 99 peratus masyarakat bumiputera.

Sebelum itu, Abdul Khalid menyampaikan ucaptama sepena Forum Ekonomi Datum 2013 (DEF’13) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Membina Masyakarat dan Memperkaya Kehidupan’, Forum Ekonomi Datum dianjurkan oleh Datumcorp International turut dihadiri Pengerusi Roubini Global Economics, Nouriel Roubini, yang merupakan seorang pakar ekonomi dunia dan salah-seorang dari 100 pemikir ulung sejagat.

Selain itu, hadir sama Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Ahli Lembaga Pengarah PKNS, Azmin Ali.

Persidangan bertaraf dunia ini menemukan pemikir dasar, tokoh industri dan jaguh perniagaan untuk bersama berkongsi pendapat dan penyelesaian kepada senario ekonomi semasa serta cabaran masa hadapan.

Forum yang bertujuan untuk menonjolkan isu-isu berbangkit dalam usaha memperkaya kehidupan masyarakat kini selain mengukuhkan lagi perbincangan mengenai halatuju dan urustadbir kepimpinan.

Categories
SELANGOR

Pembangunan Datum Jelatek Lonjak Pemilikan Hartanah Bumiputera RM500 juta


 

KELANA JAYA 27 FEB : Pembangunan Projek Datum Jelatek di Keramat oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan melonjakkan pemilikan nilai hartanah masyarakat Bumiputera melebihi RM500 juta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebelum ini nilai pemilikan masyarakat Bumiputera di kawasan itu hanya sekitar RM20 juta.

“Apa yang dilakukan oleh PKNS ialah membelinya dengan 15 kali ganda daripada harga asal iaitu berjumlah RM300,000.

“Jadi masyarakat Bumiputera yang memiliki hartanah tersebut sudah memiliki nilai hartanah yang meningkat sebanyak 15 kali ganda.

“Ini tidak tergambar jika kita tidak membuat pembaharuan dalam pembangunan tersebut,” kata Abdul Khalid

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pecah Tanah Kompleks Kediaman Warga Industri di SS 8/2 di sini.

Abdul Khalid berkata, sebelum ini pembangunan di kawasan Jelatek yang mana kosnya tidak lebih RM20,000 seunit dengan dimiliki 99 peratus masyarakat bumiputera.

“PKNS sebagai peneraju pembangunan negeri Selangor mempunyai keinginan dengan penglibatan masyarakat Melayu dalam pembangunan hartanah,” kata Abdul Khalid.

Tambah beliau, pembangunan di Datum Jelatek telah meningkatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM1 bilion dengan 50 peratusnya akan dimilik oleh golongan Bumiputera.

“Harta pemilikan Bumiputera kita tingkatkan kepada RM500 juta sekurang-kurangnya, dengan ini kita membawa masyarakat Melayu ke satu status yang lebih tinggi lagi,” katanya.