Categories
NASIONAL

DEB perlu diperkasa bersesuai keperluan semasa

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kerajaan berpendirian pelaksanaan dasar dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih kekal relevan malah akan terus diperkasakan melalui dasar-dasar baharu yang lebih strategik bersesuaian dengan keperluan semasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masih terdapat ruang untuk ditambah baik terutama melibatkan kepentingan Bumiputera serta kaum-kaum yang lain di Malaysia supaya proses pelaksanaannya lebih telus dan bertanggungjawab.

“Sebagai Kerajaan yang peduli rakyat, pengagihan ekonomi mestilah dilakukan secara adil kepada semua rakyat mengikut keperluan masing masing.

“Dalam langkah kerajaan meneliti semula dasar-dasar utama negara, pembangunan sosioekonomi Bumiputera tetap menjadi agenda penting tanpa meminggirkan kaum-kaum lain di negara ini.

“Dalam hal ini, usaha berkaitan akan diteruskan khusus membangunkan potensi bumiputera bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi negara dan seterusnya mencapai matlamat pengagihan kekayaan yang lebih saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Menyentuh persoalan perancangan mikro dan makro untuk menggerakkan ekonomi bumiputera termasuk orang asal, bumiputera Sabah dan Sarawak, Mohamed Azmin menjelaskan perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada sesi pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11), Khamis ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tribunal Rakyat : Pengundi hantu satu bas -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 18092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Disebalik peruntukan berbillion ringgit dengan pelbagai retorik memperkasa pembangunan Bumiputera, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak disaran memberi penjelasan yang tepat mengapa Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini gagal menempatkan golongan majoriti itu di tempat yang membanggakan

2. Kajian Tahaluf Siyasi atau kerjasama politik harus tertumpu isu memperkukuh pentadbiran dan bukan semata-mata terhad kepada isu pilihan raya,kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad.

3. Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menjadi saksi pertama prosiding Tribunal Rakyat, sebuah inisiatif Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih 2.0) bermula 18 hingga 22 September.

4. Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Datuk Seri Shafee Abdullah kekal sebagai pendakwa utama kes liwat 2 walaupun turut sama dalam pertemuan antara Saiful Bukhari Azlan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Categories
SELANGOR

MB: PM perlu jelas kegagalan DEB

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 02BANDAR UTAMA, 18 SEPTEMBER : Disebalik peruntukan berbillion ringgit dengan pelbagai retorik memperkasa pembangunan Bumiputera, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak disaran memberi penjelasan yang tepat mengapa Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini gagal menempatkan golongan majoriti itu di tempat yang membanggakan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata orang-ramai mempersoalkan mengapa kedudukan Bumiputera kekal rapuh dengan jurang sosioekonomi semakin melebar, serta memerlukan sokongan Kerajaan biarpun DEB sudah lama dilaksanakan.

“Kerajaan sewajarnya mengkaji kelemahan-kelemahan yang ada terlebih dahulu sebelum mengubal dasar baru,” ujarnya.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai respon terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abd Razak mengenai langkah dan strategi baru memperkasa ekonomi Bumiputera menerusi penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera.

Abdul Khalid berkata usaha membangunkan sosioekonomi bumiputera tidak akan tercapai sekirannya Kerajaan masih memberi peluang kepada golongan ‘rentier class’ seperti dasar-dasar sebelum ini.

Abdul Khalid menambah, Kerajaan seharusnya mengubal sebuah dasar yang prihatin kepada Bumiputera dan bukannya melanjutkan survival politik mana-mana individu.

“Dasar Ekonomi Baru sebahagiannya telah memberi peluang kepada ‘rentier class’. Mereka tidak melaksanakan projek-projek diberikan sebaliknya menjalankan projek dengan cara usahasama yang mana sebahagian besar daripada kerja-kerja tersebut dilakukan oleh orang bukan Melayu.

“Keuntungan besar yang tidak berasaskan ‘value for money’ akan menyebabkan kontrak-kontrak itu dijual (alibaba),” jelas Abdul Khalid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Datum Jelatek Usaha Anjak Paradigma Melayu Berkenaan Pemilikan Aset

DATUM JELATEK

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Projek Datum Jelatek di Keramat yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan satu usaha mengembangkan keupayaan masyarakat Melayu supaya lebih berjiwa besar dalam pemilikan aset.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini juga satu usaha membantu orang Melayu melakukan anjakan paradigma dalam pembangunan memandangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai matlamat sebenar sehingga hari ini.

“Salah satu kelemahan DEB, kita meletakkan masyarakat Bumiputera terkongkong dalam satu keadaan mereka akan dapat (sebagai contoh) apa yang dipanggil kek.

“Sekarang kita mencari jalan bagaimana ingin membesarkan kek tersebut.

“Kalau dahulu, orang Melayu hanya dapat harta RM30 hingga RM40 juta, sekarang kita besarkan harta supaya masyarakat Melayu terbuka kepada RM500 hingga RM700 juta,” katanya pada satu sidang media.

Abdul Khalid menyifatkan sesetengah ahli Umno-BN tidak arif mengenai perkara ini sehinggakan masyarakat Melayu takut untuk keluar berhadapan persaingan lebih besar.

“Boleh jadi, setengah daripada orang Umno tidak arif mengenai perkara ini. Biarkan dia, sebab itu setengah daripada orang Melayu tidak berjiwa besar.

“Datum Jelatek sebagai satu ujian. Kalau tidak kita masih seperti katak dibawah tempurung,” ujarnya lagi.

Laporan media sebelum ini memetik pembangunan Projek Datum Jelatek di Keramat akan melonjakkan pemilikan nilai hartanah masyarakat Bumiputera melebihi RM500 juta.

Keputusan ini sekaligus melonjakkan nilai pemilikan masyarakat Bumiputera sebanyak 15 kali ganda di mana sebelum ini nilai pemilikan masyarakat Bumiputera di kawasan itu hanya sekitar RM20 juta.

Pembangunan di kawasan Jelatek sebelum ini menyaksikan kos tidak melebihi RM20,000 seunit dengan dimiliki 99 peratus masyarakat bumiputera.

Sebelum itu, Abdul Khalid menyampaikan ucaptama sepena Forum Ekonomi Datum 2013 (DEF’13) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Membina Masyakarat dan Memperkaya Kehidupan’, Forum Ekonomi Datum dianjurkan oleh Datumcorp International turut dihadiri Pengerusi Roubini Global Economics, Nouriel Roubini, yang merupakan seorang pakar ekonomi dunia dan salah-seorang dari 100 pemikir ulung sejagat.

Selain itu, hadir sama Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Ahli Lembaga Pengarah PKNS, Azmin Ali.

Persidangan bertaraf dunia ini menemukan pemikir dasar, tokoh industri dan jaguh perniagaan untuk bersama berkongsi pendapat dan penyelesaian kepada senario ekonomi semasa serta cabaran masa hadapan.

Forum yang bertujuan untuk menonjolkan isu-isu berbangkit dalam usaha memperkaya kehidupan masyarakat kini selain mengukuhkan lagi perbincangan mengenai halatuju dan urustadbir kepimpinan.

Categories
NASIONAL

Pua: Kronisme Tegar Di Era Transformasi Najib

SHAH ALAM,7 OGOS : Tindakan kerajaan menganugerahkan projek LRT Ampang kepada George Kent adalah bukti ketegaran amalan kronisme dalam kerajaan BN selain menyerlahkan lagi kegagalan konsep transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua berkata, ketika Najib Razak melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 2010,beliau telah mengisytiharkan untuk menghapuskan amalan ‘rent-seeking’ dan naungan.

Namun,penganugerahan projek kepada George Kent itu tidak menggambarkan kenyataan yang cuba dilaksanakan Najib Razak.

“Anugerah ini telah terbukti bahawa bukan sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk menghapuskan amalan ‘rent seeking’ dan naungan dalam perolehan Kerajaan dan proses tender.

“Perlakuan ini menjadi semakin terang-terangan dan berkembang pesat di negara ini,” kata Pua dalam kenyataan medianya.

Jelas Pua lagi,sejak minggu lalu, pelbagai pendedahan menunjukkan bahawa George Kent memenangi bidaan walaupun harganya RM167 juta lebih tinggi daripada tawaran asal yang dicadangkan pemilik projek Syarikat Prasarana Negara.

Malahan, George Kent telah dianugerahkan kontrak walaupun gagal kriteria teknikal.

“Eksekutif industri dipetik berkata bahawa “George Kent mungkin perlu subkontrak kira-kira 70 peratus sehingga 80 peratus daripada nilai kontrak kerana ia bukan merupakan pengeluar peralatan asal mana-mana komponen yang diperlukan untuk kerja sistem.

“Eksekutif tertinggi dari Nokia juga telah mengesahkan bahawa mereka telah dihubungi oleh George Kent untuk mengambil bahagian dalam projek itu sebagai subkontraktor,” ujar Pua.

Tambah beliau lagi,Balfour Beatty juga telah didekati untuk projek subkontrak itu tetapi eksekutif rapat kepada kumpulan yang berpangkalan di United Kingdom berkata ia telah “menolak” tawaran itu.

“Anugerah ini menunjukkan bahawa kontraktor Ali-Baba  yang masih wujud yang mempunyai pertalian  politik.

“Bagaimanakah Datuk Seri Najib Tun Razak boleh terus bercakap tentang “Model Baru Ekonomi” dan “Transformasi Ekonomi” apabila kroni Barisan Nasional (BN) terus memperolehi tender kerajaan yang lumayan melalui rent seeking dan naungan, dan bukan dengan kecekapan, kualiti dan daya saing harga,” katanya.