Categories
SELANGOR

Rodziah : Kesaksamaan Gender Perlu Bagi Pembangunan Seimbang

 

SABAK BERNAM 15 OKT: Setiap rakyat tidak kira wanita atau lelaki hendaklah dilayani dengan cara yang sama tanpa mengambilkira perbezaan biologi atau gender.

Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, mencapai kesaksamaan gender diantara rakyat merupakan satu perkara penting dalam mencorakkan pembangunan untuk dinikmati oleh semua rakyat di Selangor.

Katanya, kefahaman mengenai gender adalah penting untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik supaya rakyat di Selangor khususnya dapat bergerak ke arah yang lebih baik.

“Apabila kita berbicara mengenai gender ia mestilah berkaitan tentang lelaki dan wanita supaya ianya tidak menimbulkan konflik di masa akan datang dan rakyat akan terus maju bergerak seiiring dalam pembangunan negara.

“Ia turut dapat menghasilkan keadilan kepada semua pihak dimana tiada diskriminasi berlaku diantara lelaki dan perempuan kerana kedua-duanya faham mengenai tanggungjawab dan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ‘Ada Apa Dengan Gender’ yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Sabak Bernam dan Pusat Wanita Berdaya(PWB) di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar hari ini.

Kesaksamaan gender katanya, bukan bermaksud keadilan yang diberi sama-rata tetapi mengambil kira keperluan lelaki dan wanita secara adil dan saksama.

“Jika kita ingin menyediakan gymnasium bagi kaum lelaki dan wanita, peralatan di dalamnya semestinya berbeza kerana wanita mempunyai keupayaan yang terhad berbanding lelaki dan pembangunan seimbang perlu diambil kira tanpa melibatkan kerugian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, golongan wanita di negeri ini terus menerima manfaat daripada pelbagai program yang dirancang Kerajaan Negeri seperti Skim Kesihatan Wanita(SKW), Program Mikrokredit Wanita Ladang (WALA), Pemberdayaan Ekonomi Ibu Tunggal SOHO-Selangor(PET SOHO-S) dan Pusat Wanita Berdaya(PWB).