Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Rangka Pelbagai Program Bela Ibu Tunggal

 

SHAH ALAM 28 NOV : Seramai 24,009 wanita bertaraf ibu tunggal di seluruh Selangor berpeluang membaiki taraf kehidupan apabila Kerajaan Negeri merancang pelbagai program untuk membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, insiatif itu diambil supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Antara program dijalankan ialah Pemberdayaan Wanita Selangor menerusi Pusat Wanita Budaya (PWB), Skim Mikrokredit Luar Bandar (SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (Mimbar), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (Wala), Program Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar), Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

“Semua program dan skim ditawarkan itu menarik ibu tunggal di Selangor untuk bersama turut serta dan mendaftar bagi melibatkan diri mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Rodziah berkata, dari jumlah dinyatakan, ibu tunggal di kalangan bangsa Melayu mencatat bilangan tertinggi seramai 18,011 orang, India (1,574), Cina (792), Orang Asal (dua) dan lain-lain (3,630).

Beliau berkata, kajian beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa serta NGO mendapati antara masalah dihadapi golongan itu adalah masalah kewangan untuk menampung keperluan harian diri dan keluarga.

Selain itu, tambahnya, ia turut melibatkan masalah berurusan dengan mahkamah seperti tidak mendapat pembelaan dari sudut penerimaan nafkah akibat perceraian di samping terpaksa melalui proses birokrasi mahkamah yang merumitkan dalam jangka masa panjang.

“Masalah dalam penjagaan sempurna anak-anak ketika mencari nafkah dan kesan psikologi khususnya dalam tempoh tiga bulan pertama menjadi ibu tunggal turut membelenggu mereka ini,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Rodziah : Kesaksamaan Gender Perlu Bagi Pembangunan Seimbang

 

SABAK BERNAM 15 OKT: Setiap rakyat tidak kira wanita atau lelaki hendaklah dilayani dengan cara yang sama tanpa mengambilkira perbezaan biologi atau gender.

Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, mencapai kesaksamaan gender diantara rakyat merupakan satu perkara penting dalam mencorakkan pembangunan untuk dinikmati oleh semua rakyat di Selangor.

Katanya, kefahaman mengenai gender adalah penting untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik supaya rakyat di Selangor khususnya dapat bergerak ke arah yang lebih baik.

“Apabila kita berbicara mengenai gender ia mestilah berkaitan tentang lelaki dan wanita supaya ianya tidak menimbulkan konflik di masa akan datang dan rakyat akan terus maju bergerak seiiring dalam pembangunan negara.

“Ia turut dapat menghasilkan keadilan kepada semua pihak dimana tiada diskriminasi berlaku diantara lelaki dan perempuan kerana kedua-duanya faham mengenai tanggungjawab dan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ‘Ada Apa Dengan Gender’ yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Sabak Bernam dan Pusat Wanita Berdaya(PWB) di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar hari ini.

Kesaksamaan gender katanya, bukan bermaksud keadilan yang diberi sama-rata tetapi mengambil kira keperluan lelaki dan wanita secara adil dan saksama.

“Jika kita ingin menyediakan gymnasium bagi kaum lelaki dan wanita, peralatan di dalamnya semestinya berbeza kerana wanita mempunyai keupayaan yang terhad berbanding lelaki dan pembangunan seimbang perlu diambil kira tanpa melibatkan kerugian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, golongan wanita di negeri ini terus menerima manfaat daripada pelbagai program yang dirancang Kerajaan Negeri seperti Skim Kesihatan Wanita(SKW), Program Mikrokredit Wanita Ladang (WALA), Pemberdayaan Ekonomi Ibu Tunggal SOHO-Selangor(PET SOHO-S) dan Pusat Wanita Berdaya(PWB).

Ibu Tunggal Selangor Dijemput ke Konvensyen Pemberdayaan Ekonomi

SHAH ALAM, 21 APR : Ibu tunggal di Selangor dijemput ke satu konvensyen yang memberi tumpuan khas kepada mereka terutama peluang bagi meningkatkan ekonomi melalui kerjaya dan usahaniaga khas.

Konvensyen tersebut akan memberi perhatian kepada kesihatan dan psikologi ibu tunggal bagi membina kekuatan dan keyakinan diri serta membekalkan panduan menjana kewangan diri dan keluarga.

Program ini juga akan melancarkan PET SOHO-S iaitu skim bantuan pemberdayaan ekonomi ibu tunggal bekerja dari rumah (SOHO) Selangor.

Ia dianjurkan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail dengan kerjasama Inisiatif Penyelidikan, Pembangunan dan Kemajuan Wanita (WIRDA).

Program ini akan berlangsung pada hari esok bermula 8.00 pagi hingga 5.30 petang di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.