Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan kajian semula undang-undang pemberi maklumat antara isu Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka mengupas isu berkenaan cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri selain ingin tahu mengenai keberkesanan melindungi pemberi maklumat dalam kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.

Pada sesi itu juga, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) meminta penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja yang mencecah sehingga 70 peratus dan tindakan kementerian bagi menangani isu tersebut.

Sementara itu, Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) pada sesi soal jawab akan bertanyakan kepada Menteri Kanan Pertahanan tentang sejauh mana inisiatif berkaitan pertahanan dan keselamatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menjamin keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula akan membangkitkan mengenai proses penggubalan satu Akta Halal bagi tujuan penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara.

Selain Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama, sidang Dewan Rakyat hari ini turut tertumpu kepada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat dasar oleh kementerian terlibat.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Dis ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ganjaran RM20,000 pemberi maklumat sungai tercemar

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pemberi maklumat berkaitan dalang yang melakukan pencemaran sungai.

Dato’ Menteri Besar berkata ganjaran tersebut diberi jika bukti dikemukakan membawa kepada penangkapan penjenayah alam sekitar serta disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Pihak berkuasa tidak mungkin dapat memantau keadaan di sepanjang lembangan sungai pada setiap masa atau tempat, jadi kita memerlukan kerjasama masyarakat untuk salur maklumat.

“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini dapat menarik kerjasama semua pihak untuk bersama-sama mengatasi isu pencemaran sungai,” kata Dato Seri Amirudin Shari pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Berhubung dakwaan pencemaran sungai yang kerap berlaku di Selangor kebelakangan ini, beliau berkata Kerajaan Negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut.

Isnin lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran bau.

Susulan itu lebih 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

SUARAM : Henti ‘Ganggu’ Pemberi Maklumat, Siasat Suspek Rasuah

 

SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Umno-BN digesa untuk menyiasat suspek dalam skandal rasuah berhubung pembelian kapal selam Scorpene dan bukannya pihak yang menjadi pemberi maklumat.

Sekretariat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, ‘gangguan ‘oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan membuat pemeriksaan mengejut ke premisnya baru-baru ini adalah contoh yang mengejutkan berhubung keutamaan yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Sebaliknya siasat segera aktiviti syarikat yang dipersoalkan seperti Perimekar dan Terasasi baru-baru ini yang didedahkan di Paris.

“Pihak berkuasa memutuskan untuk mengganggu Suaram, pemberi maklumat dalam skandal berterusan Scorpene, yang melibatkan sekurang-kurangnya RM500 juta komisyen,” kata Sekretariat Suaram dalam kenyataan media.

Jelas kenyataan itu, lawatan oleh SSM mengenai ‘pemeriksaan rutin’ mengurangkan kredibiliti agensi itu apabila jelasĀ  bahawa sebelum ini Suaram mempunyai rekod yang cemerlang selama 23 tahun dan mengemukakan rekod kepada SSM sejak tahun 2002.

Pada 2011 Suaram dikurniakan dengan anugerah daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Kami mempersoalkan motif politik SSM apabila mereka melakukan pemeriksaan ‘rutin’ untuk kali pertama selepas lebih 23 tahun beroperasi.

“Suaram tiada apa yang hendak disembunyikan dan kami bersedia untuk mematuhi mana-mana kehendak yang dinyatakan di bawah undang-undang dalam mengemukakan rekod sepenuhnya pengauditan kami,” katanya.

Jelasnya, Suaram berkembang selama 23 tahun melalui derma oleh sumber-sumber awam dan swasta dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada penaja.

“Kami adalah sebuah pertubuhan bukan membuat keuntungan dan kami bangga perkhidmatan tidak mementingkan diri sendiri .

“Kami pembayar cukai di Malaysia dan sumbangan kami adalah untukĀ  keadilan demokrasi Malaysia, dan hak asasi manusia,” kenyataan itu dipetik.

Semalam, pegawai SSM sekali lagi mencuba tetapi gagal untuk menyampaikan notis pemeriksaan kepada Suaram.

Tiga pegawai SSM yang diketuai Timbalan Pendaftar, Azahari Ab Rahman tiba beberapa minit sebelum pejabat ditutup pada jam 5.53 petang dan mendapati tidak ada kakitangan yang layak menerima notis tersebut.