Categories
NASIONAL

Akta Ketelusan Maklumat Jamin Ketelusan Tadbir Urus Negara

SHAH ALAM, 7 DIS : Pemuda PAS menyokong saranan Transparency International Malaysia (TI-M) bagi menggesa kerajaan memperkenalkan Akta Ketelusan Maklumat bagi menjamin ketelusan dalam tadbir urus negara.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, akta ini perlu kerana ia akan memperuntukkan hak rakyat untuk mengetahui dan menyemak dokumen-dokumen berkaitan.

“Ia adalah supaya sebarang ketirisan dan penyelewengan duit rakyat tidak boleh diklasifikasikan ?rahsia kerajaan?,” kata Nasrudin dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, walaupun Indeks Persepsi Rasuah yang baru diumumkan dengan Malaysia naik enam anak tangga ke tangga 54 daripada 183 negara.

Namun peningkatan ini masih mengecewakan apabila melihat markah keseluruhan Malaysia hanya 49 daripada 100 markah.

“Kalau dinisbah kepada pencapaian anak-anak kita dalam peperiksaan 49/100 belumpun mampu meraih markah C.

“Pencapaian itu, Malaysia berada di belakang negara membangun yang lain seperti Rwanda (50), Botswana (30), Bhutan (33), Taiwan (37) dan Brunei (46) dengan negara jiran, Singapura berada di tempat ketiga keseluruhan.

Menurut Hassan berdasarkan markah 49/100 yang diperolehi, rata-rata rakyat berpandangan bahawa rasuah masih membelenggu sektor awam negara.

Ia bermakna rakyat masih cenderung berpandangan bahawa keberangkalian berlakunya rasuah yang melibatkan jentera pentadbiran adalah tinggi.

“Pendapat ini sememangnya bukan semata-mata perpepsi atau ilusi, sebaliknya urus tadbir negara khususnya berkait dana awam sememangnya sangat membimbangkan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Manifesto Pilihan Raya SPR Teruskan Sikap Berat Sebelah

SHAH ALAM 26 JUN : Pemuda PAS kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang  tidak bersungguh mahu memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang telus dan bersih.

Ini ekoran kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof yang mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata tindakan SPR itu seperti mahu meneruskan sikap berat sebelah dan zalim pemerintahan Umno-BN selama ini.

Meskipun mahu dilihat keluar dari persepsi buruk rakyat terhadap SPR sebagi  ?budak suruhan? BN, tindakan terbaru SPR ini menunjukkan mereka masih lagi dipengaruhi oleh kuasa politik.

“Pemuda PAS merasa curiga mengapa SPR masih tidak membenarkan siaran secara langsung kepada parti politik bagi membentangkan manifesto mereka.

“Apa yang amat dibimbangi oleh SPR sehingga tidak berani menyiarkannya secara langsung dan adakah SPR bertindak sedemikian bagi memastikan BN berada dalam zon selamat,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Ujar Riduan, rancangan secara rakaman dikhuatiri akan berlaku suntingan terhadap mana-mana slot penting yang perlu diketahui oleh rakyat.

Slot yang seharusnya berlangsung dalam satu masa tertentu akan dipendekkan mengikut selera penerbit.

Tambahan lagi, slot yang diberikan kepada Pakatan Rakyat mungkin akan diberikan bukan di waktu kemuncak, dan hanya disiarkan ketika rakyat sudah lena di waktu malam.

“Yang lebih dibimbangkan adalah jika berlaku penyuntingan di mana-mana slot sehingga ia dimanipulasi menjadi kempen negatif pula kepada Pakatan Rakyat. Ia pula berlangsung di saat akhir berkempen, di mana sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menjawabnya,” katanya.

Tegas beliau, setakat ini tiada jaminan jika suntingan tidak dibuat dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya SPR benar-benar mahu menjadi pengadil yang adil, SPR perlu berlepas diri dari pengaruh mana-mana parti politik.

“Benarkan siaran langsung kepada semua parti politik dan pemimpinnya untuk menampilkan manifesto mereka tanpa tapisan atau dibuat secara rakaman,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pemuda PAS : Segerakan Pilihan Raya Kampus

SHAH ALAM, 21 JUN : Pemuda PAS mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menyegerakan Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lama tertangguh.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata PRK itu sepatutnya diadakan pada bulan Mac 2012 lepas tetapi ditangguhkan di semua kampus sehingga ke bulan September 2012 kerana alasan remeh yang tidak boleh diterima.

“Tempoh masa tertangguh seperti yang diumumkan oleh KPT terlalu lama bagi mahasiswa kerana ia akan menyebabkan banyak agenda yang tidak dapat diselesaikan.

“Mahasiswa kini ketiadaan pemimpin di kampus-kampus yang akan berjuang bagi menentukan nasib mereka sendiri selama penangguhan ini,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Tambah Riduan, beliau kesal kerana kerajaan cuba menafikan hak mahasiswa berpersatuan dan berpolitik kampus.

“PRK adalah perlu bagi mahasiswa bagi memilih pemimpin baru yang akan berjuang bagi kepentingan mereka.

“Menangguhkan pilihan raya kampus bererti mematikan idealisme mahasiswa, suara mereka tersekat, kepimpinan mereka terbantut dan kematangan berfikir mereka juga akan terhalang,” ujarnya.

Ramai melihat alasan utama disebalik penangguhan PRK adalah kerana ia berlangsung dekat dengan Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Menyekat hak mereka memilih kepimpinan yang akan bersuara bagi pihak mereka merupakan suatu tindakan yang tidak wajar,” katanya.