Categories
AGENDA NASIONAL

Kit Siang percaya kerajaan PAKATAN boleh tangani penyebaran berita palsu

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata beliau percaya kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh menangani penyebaran berita palsu dan ucapan berbaur kebencian secara berkesan.

Katanya, berita palsu dan ucapan berbaur kebencian itu bukan sahaja boleh menghancurkan Malaysia yang bermasyarakat majmuk, tetapi juga telah dikenal pasti sebagai ancaman eksistensi ketiga terhadap manusia.

“Di Malaysia, atau di seluruh dunia, persoalan mengenai berita palsu, ucapan berbaur kebencian telah mengatasi sifat manusia dan kita sepatutnya berupaya untuk memeranginya,” katanya di forum Demokrasi Pada Era Polarisasi di sini semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata beliau sendiri pernah menjadi sasaran penyebar berita palsu di media sosial pada tahun 2017, dan isu itu telah menjadi suatu kebiasaan dan kelaziman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kebelakangan ini, beliau berkata terdapat peningkatan dalam sentimen perkauman dan agama di negara ini, dengan permasalahan itu diburukkan oleh parti-parti tidak bertanggungjawab, pihak yang mengambil kesempatan dan penyebar berita palsu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adakah Menteri KDN Penjenayah?, Soal Kit Siang

lim-vs-zahid

SHAH ALAM, 6 JUN: Lim Kit Siang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih tidak membersihkan namanya daripada tuduhan serangan yang disabitkan ke atasnya pada 2006.

Penasihat DAP itu bersetuju dengan saranan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu menggantung Zahid daripada jawatannya.

Sebelum ini, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, adalah tidak wajar meletakkan Zahid yang masih mempunyai caj saman sivil ke atasnya sebagai menteri yang mempunyai kuasa besar ke atas agensi penguatkuasaan seperti polis.

Kit Siang berkata, Najib perlu menjelaskan sama ada beliau tahu mengenai dakwaan terhadap Zahid yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Penerangan pada tahun 2006.

“Kes ini menimbulkan persoalan penting mengapa Zahid tidak pernah dikenakan oleh pihak polis bagi kesalahan jenayah serangan.

“Ini menimbulkan persoalan lagi sama ada Malaysia mempunyai ‘penjenayah’ sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Kit Siang mempersoalkan kenapa Zahid tidak diheret ke mahkamah oleh pihak polis dan disabitkan atas serangan jenayah.

Katanya, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low yang dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri perlu mengeluarkan kenyataan sama ada beliau bersetuju bahawa Zahid perlu membersihkan namanya daripada segala tuduhan yang dikenakan terhadapnya

Pada 16 Januari 2006 lalu, Zahid telah didakwa oleh ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah,41 kerana didakwa menumbuk di bahagian mata sehingga mengalami patah tulang hidung dan bengkak mata kiri bertempat di Kelab Rekreasi Country Heights, Kajang.

Zahid telah menafikan dakwaan tersebut dan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menutup kes, tetapi mahkamah menolak permohonan tersebut.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan untuk membatalkan saman sivil berkenaan dan mengarahkan Zahid membayar RM5,000 sebagai kos.

Categories
NASIONAL

Mulakan Perubahan SPR dengan Lantik Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Baru

kit siang parlimen 01

SHAH ALAM 2 JUN : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memulakan usaha perubahan dan penambahbaikan dalam pilihan raya di negara ini dengan membuat pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang baru.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara berkenaan adalah penting untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu dalam melaksanakan tugasnya yang professional yang sebelum ini dipertikaikan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa SPR akan melaporkan terus kepada jawatankuasa khas di bawah Parlimen,” kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau lagi, adalah perlu bagi Najib berkenaan hal penambahbaikan SPR ini dengan diadakan perbincangan menyeluruh dengan Ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat (PR) sebelum sebarang pengumuman dilakukan.

“Jadi dengan adanya perbincangan maka sebarang cadangan pembaharuan akan diberikan daripada pelbagai pihak dengan butiran lengkap dapat diperhalusi,” kata beliau.

“Justeru, adalah penting Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang dibaru dapat dilantik kerana Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang ada sekarang seolah-olah berpihak kepada Barisan Nasional,” ujar beliau.

Sebelum ini, Najib Razak dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkata akan memindahkan kawal selia SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik.

Categories
NASIONAL

Kit Siang Persoal Angkat Sumpah Lima Ahli Kabinet Tidak Sah

lim-parlimen

SHAH ALAM, 20 MEI : Tindakan dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri yang menyertai mesyuarat pertama Kabinet baru pada Khamis lalu dipersoal memandangkan upacara mengangkat sumpah kelima-lima ahli kabinet itu adalah tidak sah dan terbatal.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sepatutnya kelima-lima mereka itu perlu mengangkat sumpah sebagai senator terlebih dahulu.

“Mengapa tidak Najib, atau Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengakuan terbuka mengenai kesalahan mereka memalukan Yang di Pertuan Agong.

“Kesalahan besar melibatkan perlembagaan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Mengapa ia berlaku sekarang? Apakah standard protokol telah merudum seperti mana standard kehidupan orang ramai, baik dalam pendidikan, kehakiman atau perkhidmatan awam sepanjang lima dekad lalu?

“Apa yang rakyat Malaysia jangkakan daripada Kabinet ini?” soalnya dalam satu kenyataan media.

Tambah Kit Siang, beliau menjangkakan pentadbiran Najib adalah lebih cekap dengan mengambil langkah segera memastikan dua Menteri dan tiga Timbalan Menteri berkenaan mengangkat sumpah sebagai Senator pada malam Jumaat itu walaupun ia dilakukan pada tengah malam.

Katanya, kesemua ahli kabinet itu perlu mengangkat sumpah sebanyak dua kali di hadapan Yang Dipertuan Agong sebelum mereka dibenarkan masuk ke pejabat Kementerian.

Namun katanya, tiada apa yang dilakukan pentadbiran Najib untuk memperbaiki kesalahan melibatkan Perlembagaan, sebaliknya beliau mempamerkan ketidakcekapan yang mengejutkan atau sikap acuh tidak acuh.

“Saya faham tiga Timbalan Menteri itu akan mengangkat sumpah sebagai Senator pada hari Selasa sementara upacara mengangkat sumpah dua lagi Menteri adalah pada awal Jun.

“Tetapi mereka terpaksa mengulangi upacara angkat sumpah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di hadapan Yang di Pertuan Agong sebelum mereka boleh masuk ke pejabat Kementerian, membuatkan mereka mengangkat sumpah dua kali untuk pejabat dan Akta Rahsia Rasmi,” katanya lagi.

Dua Menteri berkenaan adalah Datuk Paul Low dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar (kedua-duanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri) manakala tiga Timbalan menteri ialah Waytha Moorthy (JPM), Dr. J. Loga Bala Mohan (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).