Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti pendakian di hutan simpan Selangor dibenar mulai 1 Februari

SHAH ALAM, 17 JAN: Aktiviti pendakian di hutan simpan kekal (HSK) Selangor dibenarkan semula bermula 1 Februari depan.

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan ketika ini aktivti di HSK masih dilarang sehingga 31 Januari ini, lapor portal Astro Awani.

“Larangan mendaki akan tamat pada 31 Januari dan aktiviti mendaki boleh bermula pada 1 Februari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan peminat dan penganjur sukan serta aktiviti lasak yang berhasrat meneruskan semula aktiviti susulan keadaan cuaca semakin baik.

Pada 30 November Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memaklumkan semua aktiviti pendakian di HSK ditutup sementara bermula 1 Disember 2021 sehingga 31 Januari 2022.

Individu yang melanggar notis berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Sebarang pertanyaan, hubungi talian 03-55447000, 03-55447507 atau e-mel [email protected].

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP baharu pendakian lebih 457.2 meter berkuat kuasa 2022

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Bermula tahun ini, setiap aktiviti pendakian di bukit atau gunung yang mempunyai ketinggian melebihi 457.2 meter di Semenanjung Malaysia perlu menepati nisbah setiap seorang jurupandu bersamaan tujuh peserta.

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Yussainy Md Yusop berkata peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2022 itu bagi mempertingkatkan keselamatan para pengunjung serta langkah waspada pihaknya mengawal Covid-19 yang masih wujud.

Jabatan Perhutanan Negeri katanya akan mengenal pasti kawasan pendakian yang wajib menggunakan khidmat malim gunung perhutanan namun tiada halangan bagi pendaki untuk mengupah jurupandu bagi pendakian di bawah ketinggian 457.2m kerana kos ditanggung mereka sendiri.

“Di bawah Jabatan Perhutanan kami sudah empat kali mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP) pembukaan semula taman eko rimba dan taman hutan negeri… kami mahu walaupun kemudahan (aktiviti rekreasi dan pendakian) dibuka semula kepada pengunjung tetapi SOP perlu diteruskan untuk mengawal Covid-19.

Orang awam perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan menjaga jarak fizikal sebelum dibenarkan mendaki Bukit Wawasan, Puchong pada 28 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Syarat nisbah seorang jurupandu bersamaan tujuh orang bagi aktiviti di kawasan pendakian berketinggian 1,500 kaki atau 457.2m adalah supaya setiap pergerakan keluar masuk hutan dapat dikawal pihak Jabatan Perhutanan dan juga jurupandu… sekali gus kami mahu jadikan tahun 2021 sebagai kesedaran kepada setiap peserta kerana aspek penguatkuasaan akan bermula pada 2022,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, Mohd Yussainy berkata Jabatan Perhutanan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan kursus malim gunung perhutanan di seluruh negara bagi meningkatkan pelbagai kemahiran terutama aspek keselamatan dan ilmu asas perhutanan.

“Ini sangat penting kepada jurupandu atau malim gunung. Dalam tempoh 10 tahun ini lebih 218 kes kemalangan seperti kecederaan direkodkan, bencana kepala air, sesat di luar denai pendakian termasuk melibatkan 128 kes kematian.

“Jadi kursus ini akan memberi latihan asas perhutanan termasuk perundangan, ikhtiar hidup, pengecaman tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan survival mereka. Di pihak JBPM adalah lebih kepada modul keselamatan dari segi memberi bantuan kecemasan awal,” katanya.

Mohd Yussainy berkata kursus selama lima hari itu akan diadakan setiap bulan di seluruh negara bermula Februari dan mengutamakan golongan belia serta warga tempatan yang mahir dengan selok-belok kawasan pendakian setempat.

Setakat ini katanya pihaknya telah menerima 3,000 permohonan dan ia satu maklum balas yang positif memandangkan ramai rakyat Malaysia kini menjadikan jurupandu sebagai profesion disebabkan kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata jurupandu atau malim gunung yang terpilih mengikuti program itu akan dilatih sebagai responden pertama untuk memberi bantuan awal kepada mangsa jika berlaku sebarang kecemasan atau kemalangan ketika pendakian sebelum ketibaan bantuan daripada pihak bomba.

“Kami akan melatih jurupandu atau malim gunung ini mengikut modul JBPM seperti asas mencari dan menyelamat, bantu mula dengan peralatan bantuan kecemasan, membawa keluar mangsa ke kawasan selamat, penyelamatan di kawasan tinggi serta asas penggunaan kompas dan peta,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Raja Muda Selangor berkenan rasmi tarikan terbaru Taman Tasik Shah Alam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 OKT : Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan upacara perasmian tarikan terbaru di Taman Tasik Shah Alam yang bernilai RM1.9 juta, pagi ini.

Keberangkatan tiba baginda di Taman Tasik Shah Alam itu turut disambut oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi dan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Baginda turut dibawa melihat menara tinjau serta menaiki jambatan kanopi yang dibina sepanjang 147.6 meter.

Pada majlis yang sama, baginda turut berkenan menanam pokok pine ‘araucaria columnaris’.

Ahmad Zaharin yang berucap pada majlis berkenaan berkata, beliau berbesar hati apabila program berkenaan mendapat perhatian baginda Tuanku Raja Muda Selangor.

“Ini jelas mengambarkan komitmen Tuanku terhadap kemudahan yang dibangunkan MBSA demi rakyat setempat.

“MBSA juga akan meneruskan beberapa projek lain bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar di Shah Alam,” katanya.

Categories
SELANGOR

LZS Didik Asnaf Cintakan Alam Sekitar

BANTING, 5 NOV : Bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan generasi muda, seramai 60 pelajar asnaf yang mendiami asrama pendidikan Baitul Hasanah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dipilih untuk menyertai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berteraskan alam sekitar di Pantai Kelanang, di sini hari ini.

Program perkhemahan yang berlangsung selama dua hari dengan bertemakan ‘Kami Prihatin, Hijau Untuk Semua’ itu mendedahkan para pelajar mengenai isu-isu alam sekitar, khususnya kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar.

Bagi tujuan itu, sebanyak 200 anak pokok bakau disumbangkan LZS untuk ditanam di Pantai Kelanang bagi menggalakkan aktiviti pemuliharaan ekosistem hutan bakau.

Program itu mendapat kerjasama daripada Yayasan Anak Warisan Alam (Yawa), Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Perhutanan, MASKargo dan Ali Bikers All Riders (ABAR).

Antara aktiviti lain yang dianjurkan termasuk program gotong-royong mengecat serta pembersihan Surau Hajjah Fatimah, Kampung Kelanang.

Selain itu, pihak LZS turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah bagi memenuhi keperluan kariah surau berkenaan.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.