Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI sumbang tablet untuk pelajar SAM Tinggi Tengku Ampuan Jemaah

SHAH ALAM, 28 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 15 unit tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah di sini bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata peranti jenis Lenovo bernilai RM700 setiap satu disumbangkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) selepas pemilihan dibuat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor.

“Mereka yang dikenal pasti ini mempunyai masalah untuk mengikuti PdPR dalam talian sepanjang tempoh pandemik kerana ketiadaan peranti malah ada sebahagian mereka terpaksa berkongsi satu gajet dengan adik-beradik lain.

“Kita berharap kemudahan ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk belajar dan mengelak melakukan perkara tidak sepatutnya,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menjangkakan akan menerima lebih banyak permohonan mendapatkan kemudahan sama mengambil kira sesi PdPR dilanjutkan sehingga akhir Ogos.

“Setakat ini ada dua permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), namun kebiasaannya kita mengehadkan antara 10 hingga 15 unit kerana perlu membantu sekolah lain.

“Insya-Allah, kita masih lagi mampu untuk memberi sumbangan seperti ini sehingga hujung tahun berdasarkan baki peruntukan tersedia melalui pakej bantuan Covid-19,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI sumbang 50 tablet, mudahkan urusan PdPR pelajar

SHAH ALAM, 24 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 50 tablet sepanjang tahun ini kepada pelajar terpilih.

Ketua tanggungjawab sosial korporat (CSR)nya berkata sumbangan itu mengutamakan pelajar dari golongan sasar bagi memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Pemberian ini menerusi permohonan diterima dari NGO (pertubuhan bukan kerajaan), pejabat Ahli Dewan Negeri atau Parlimen.

“Susulan penularan Covid-19 hingga menyebabkan sekolah ditutup, kita lihat sumbangan ini dapat membantu urusan pembelajaran lebih selesa,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini.

Pada Khamis, beliau menyerahkan empat tablet kepada lapan beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Noraini Ibrahim dan Benyajeed Bernie meninggal dunia akibat Covid-19 minggu lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama ibu bapa, guru perlu bagi kelancaran PdPR

SHAH ALAM, 7 JULAI: Ibu bapa dan guru perlu bekerjasama untuk memahami serta menyelami tanggungjawab satu sama lain demi kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Gunaan Universiti Multimedia (Psikologi) Dr Hawa Rahmat berkata sekiranya kedua-dua pihak tidak bekerjasama, ia hanya memberi kesan buruk kepada pelajar.

“Contohnya, guru memberikan kerja rumah tetapi pelajar tidak melakukannya. Cuba ibu bapa letakkan diri di tempat guru itu dan memahami perasaan mereka dan begitu juga sebaliknya.

“Oleh itu, penting ibu bapa dan guru memahami satu sama lain. Jika terdapat sebarang masalah, mereka perlu berbincang dan bertolak ansur sekali gus dapat membantu anak-anak dalam pembelajaran.

“Ibu bapa juga perlu mengambil berat dengan cuba mempelajari aplikasi yang digunakan guru bagi memudahkan proses PdPR,” katanya pada program bual bicara PdPR:Cabaran emosi di sebalik layar secara langsung melalui Facebook Media Selangor.

Menurut Dr Hawa lagi, ibu bapa dan guru kini sedang menghadapi proses transformasi baharu iaitu proses PdPR dengan menggunakan teknologi terkini.

“Perubahan baharu pasti memberi kesan dan tekanan kepada kedua-dua pihak terutama guru kerana sebahagian daripada mereka juga bergelar ibu bapa.

“Golongan pendidik ini perlu diberikan sokongan moral supaya tidak terkapai-kapai sehingga boleh mengakibatkan mereka mengambil tindakan kurang bijak sehingga membunuh diri akibat terlampau tertekan,” katanya.