Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Syarikat sewa kapal kes pertama didakwa bawah Seksyen 17A Akta SPRM

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Sebuah syarikat penyewaan kapal menjadi organisasi komersial pertama di negara ini yang didakwa mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sejak seksyen itu dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lepas.

Menurut kenyataan SPRM semalam, pendakwaan akan dibuat terhadap pengarah syarikat tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Untuk rekod, Seksyen 17A akta itu (Pindaan 2018) memperuntukkan organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.

Menurut kenyataan itu, terdahulu hari ini SPRM menahan bekas pengarah syarikat tersebut kerana disyaki terbabit rasuah sebanyak RM321,350 sebagai imbuhan memberikan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Lelaki berusia 64 tahun itu ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 bagi kesalahan memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal.

Menurut kenyataan itu, perbuatan rasuah tersebut dilakukan antara 29 Jun hingga 14 Oktober tahun lalu membabitkan nilai keseluruhan projek sebanyak RM1 bilion.

Susulan itu, SPRM memanggil dan mengambil keterangan pengarah syarikat tersebut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Padah curi kandungan siaran TV, pengarah syarikat didenda RM30,000

SHAH ALAM, 16 FEB: Seorang pengarah syarikat menjual aksesori telefon bimbit didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas enam pertuduhan memiliki kotak media yang mengandungi perisian, bagi mendapatkan siaran televisyen berbayar secara tidak sah.

Hakim Muhamad Anas Mahadzir menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Lee Lee, 46, selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut, dan memerintahkan hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Muhamad Anas dalam penghakimannya berkata tindakan tertuduh menjual kotak media berkenaan adalah suatu bentuk cetak rompak, dengan mengambil jalan mudah dan keuntungan atas hasil titik peluh orang lain.

“Pengakuan dan kejujuran mengaku bersalah adalah dihargai namun, salah tetap salah kerana ia merupakan kesalahan serius,” katanya.

Ng merupakan individu pertama dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 232 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengikut kesemua pertuduhan, Ng didakwa memiliki enam kotak media berjenama iBoite-X mengandungi perisian MyTV.apk untuk memperoleh secara salah, perkhidmatan aplikasi kandungan yang dibekalkan oleh Measat Broadcast Network System Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan tersebut di sebuah premis di Taman Putra Prima, Puchong kira-kira pukul 2.30 petang pada 12 Dis 2019 mengikut Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi menawarkan hukuman denda berjumlah RM30,000 bagi setiap pertuduhan, selepas mengambil kira kepentingan awam, pencipta karya dan kandungan kreatif, kerana perbuatan itu menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan melalui cukai.

Peguam bela tertuduh Low Li Qun, memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum, memandangkan perbuatan tersebut adalah kesalahan pertama anak guamnya dan dia perlu menanggung ibu bapa yang sakit serta tiga anaknya.

“Pendapatan melalui perniagaan beliau hanyalah antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan. Semua digunakan untuk menanggung keluarga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat individu termasuk pengarah dua syarikat import daging beku direman

JOHOR BAHRU, 4 JAN: Empat individu termasuk pengarah dua syarikat pengimport daging sejuk beku, dikenakan perintah reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret hari ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah penyeludupan daging sejuk beku, awal bulan lepas.

Perintah reman sehingga 7 Jan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Baharu Nur Izzaty Muhammad, yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan merupakan pengarah, pengarah urusan dan kerani dari sebuah syarikat yang diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan manakala seorang lagi lelaki merupakan pengarah syarikat lain yang diwakili peguam Yap Che Kai.

Kesemua mereka yang berusia antara 39 dan 50 tahun ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kesemua mereka yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 9 pagi diiringi pegawai SPRM dengan menaiki kenderaan SPRM.

Terdahulu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan sudah mengenal pasti pengimport daging sejuk beku yang dipercayai terbabit dengan rasuah dalam aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.

SPRM mendapat kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat pengarah syarikat didakwa lepaskan bahan buangan ke Sungai Kundang

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Empat pengarah syarikat sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan melepaskan bahan buangan daripada premis itu ke dalam Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen.

Ong Seng Khek, 71, Low Sze Wai, 66, Siow Lee Chen, 66, dan Ong Chee Ming, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Ketiga-tiga lelaki dan seorang wanita itu didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan daripada premis Syarikat United Fineoleo Sdn Bhd ke dalam parit yang mengalir ke Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen di premis syarikat itu di Lot 19701, Jalan KPK 1/3 , Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya, Gombak pada 22 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri pada setiap bulan di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam S Y Ong yang mewakili kesemua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin yang berlainan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang menganggu saksi pendakwaan serta melaporkan di balai polis berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Dis untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, kempat-empat pengarah syarikat itu masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membenarkan lapan imigran haram berada di dalam premis yang sama tanpa kebenaran yang sah pada 3 petang, 26 Okt lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) akta sama, yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin namun peguam mereka memohon jaminan lebih rendah atas alasan syarikat anak guamnya telah digulung.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin yang berlainan dan menetapkan 7 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati pencemaran bau air sungai itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (nilai bau ambang) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera.

-BERNAMA