Categories
AGENDA SUKANKINI

Memori Piala Thomas 1992 terlalu manis

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Biarpun sudah 27 tahun berlalu, memori saingan Piala Thomas 1992 masih segar dalam ingatan dan sentiasa membuatkan beliau bergenangan air mata.

Air mata itu bukan menandakan kesedihan, namun isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mempunyai nostalgia indah bersama skuad badminton negara yang muncul juara piala berprestij itu.

Melalui tayangan video aksi final Piala Thomas 1992, tanggal 16 Mei, ketika Malaysia mencari mata kemenangan ke atas Indonesia, kelibat peminat sukan badminton nombor satu negara itu ‘tidak senang duduk’ di tempat penonton.

Beliau dengan berbaju kurung merah putih, dilihat mengangkat tangan berdoa ketika aksi beregu lelaki Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang mencari mata kemenangan Malaysia yang berjaya menundukkan Indonesia, 3-2 pada aksi final penuh dramatik itu di Stadium Negara.

Dan hari ini, pada majlis pelancaran program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah, sekali lagi Dr Siti Hasmah yang ibarat seorang ibu kepada pemain, menitiskan air mata apabila sekali lagi dikelilingi legenda Piala Thomas ketika itu.

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (lima, kiri) bersama barisan lagenda badminton negara pada majlis pelancaran Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah di Menara OBYU, pada 9 Oktober 2019. – Foto BERNAMA

“Ketika Rashid (Sidek) menjemput saya ke acara ini hari ini, saya mula di genang air mata seperti sekarang apabila melihat anda semua….sahabat dan wira-wira…semua sudah rambut putih tapi masih sihat dan bertenaga.

“Peranan saya sebagai penanung badminton pada masa itu adalah untuk menjadi ibu kepada mereka semua dan perkara utama saya inginkan ialah memastikan apabila saya berada di sana mereka bermain bersama sebagai satu pasukan.

“Ia adalah perkara paling sukar yang boleh dilakukan seorang ibu untuk menjadikan keluarga sebagai satu pasukan terutamanya dalam sukan dan kita harus bangga dengan itu pada tahun 1992….anak-anak muda bangkit dan saya tidak akan melupakan itu,” katanya.

Dr Siti Hasmah berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan yang diilhamkan Kelab Badminton Sports Affairs sebagai tanda penghormatan kepada beliau.

Skuad negara ketika itu dibarisi Rashid Sidek, Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng serta dua pasangan beregu Razif Sidek-Jalani Sidek dan Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang.

Program ini adalah landasan menghimpunkan lapan legenda badminton untuk mencari, melatih dan mengasah bakat 96 bakal juara badminton masa hadapan.

Pada majlis itu juga, Dr Siti Hasmah sempat ‘membawang’ apabila mendedahkan situasi genting yang dihadapi pasangan beregu lelaki Soon Kit-Beng Kiang menjelang aksi final mereka.

“Saya hendak ‘membawang’ (gosip) sikit…situasi ketika Piala Thomas itu. Saya tahu, ketika itu mereka (Soon Kit-Beng Kiang) sedang bergaduh. Saya pergi berjumpa Soon Kit dan cakap pada dia, tiada pasangan lain yang lebih baik untuk digandingkan dengan awak selain Beng Kiang.

“Perkara sama saya cakapkan kepada Beng Kiang selepas berjumpa Soon Kit. Dan kemudian mereka masuk ke dalam gelanggang untuk beraksi, dan paling manis, mereka meraih mata kemenangan buat negara,” katanya.

Legenda badminton yang terlibat dalam program diketuai Rashid itu terdiri daripada bekas pemain skuad Piala Thomas dan Sukan Olimpik Malaysia iaitu Kok Keong, Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Mereka akan membentuk lapan pasukan terdiri daripada 12 pemain yang dikenal pasti dalam jerayawara seluruh negara bermula Oktober dan aksi final akan berlangsung pada Disember ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kerap tukar sistem cukai beri kesan buruk kepada negara

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Tiada sebab untuk kerajaan mengembalikan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan peralihan sistem cukai yang kerap hanya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perubahan sistem percukaian tidak wajar dibuat terlalu kerap kerana ia akan mengurangkan keyakinan pelabur dan memberi imej yang kurang baik.

“Banyak jenis cukai yang diperkenalkan, GST diperkenalkan dan banyak rintihan oleh rakyat kerana mereka perlu membayar cukai dua kali, sebab itu kita perlu kembalikan SST.

“SST ini sedang berjalan dengan kita hanya perlu perbaiki dan tidak ada sebab untuk kita mengembalikan cukai yang ditolak oleh rakyat (GST),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia untuk melaksanakan semula sistem percukaian GST jika ia dikehendaki oleh rakyat.

Ma’mun berkata, terdapat luahan sentimen yang berbeza dalam kalangan masyarakat memandangkan terdapat yang menyokong sepenuhnya cadangan tersebut dan juga segolongan besar yang menolaknya.

Dr Mahathir berkata, antara sebab lain GST tidak boleh dikembalikan ialah pelaksanaan sistem cukai itu telah membebankan orang ramai dan pembayar cukai terutamanya lewat mendapat bayaran balik kredit cukai input yang menjadi kos kepada peniaga.

Menjawab soalan tambahan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai kemampuan SST untuk mengawal mereka yang lari daripada membayar cukai seperti dalam sistem GST, Dr Mahathir yakin masalah tersebut tidak akan berlaku di bawah pelaksanaan SST.

“Sebenarnya tidak berlaku halangan untuk mencari mereka yang lari daripada membayar cukai kerana SST ialah sistem cukai yang sudah lama dilaksanakan dan tiada masalah yang dihadapi.

“Sebab itu kita tolak GST dan memperkenalkan semula SST. (Saya yakin) apabila diuruskan dengan baik (SST) boleh lebih baik daripada GST,” katanya.

Mengenai soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Kurau) yang mahu Perdana Menteri menjelaskan adakah langkah dasar ekonomi dan penjimatan kerajaan dapat mengembalikan kekurangan hasil kutipan cukai sebanyak lebih RM20 bilion berbanding pendapatan cukai semasa pelaksanaan GST, Dr Mahathir berkata kekurangan tersebut bukan kerana kelemahan sistem SST.

Beliau menjelaskan apabila sesuatu cukai diperkenalkan, pada awalnya memang akan berlaku penyusutan kerana wujud perubahan termasuk dari segi sistem pengkomputeran untuk melaksanakan sistem cukai tersebut.

“Bagaimanapun, saya yakin dalam tahun-tahun akan datang (hasil kutipan) SST akan melebihi kutipan GST,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Tun M ketengah usaha Malaysia dalam pemuliharaan

NEW YORK, 27 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia mengambil komitmen terhadap pemuliharaan secara serius dan bangga menjadi penandatangan kepada senarai penuh perjanjian global mengenai pemuliharaan, hidupan liar, perhutanan dan alam sekitar.

Perdana Menteri Malaysia berkata, negara turut melihat perjanjian alam sekitar pelbagai hala sebagai sebahagian utama formula keseimbangan dari segi tanggungjawabnya terhadap planet ini dan penduduknya bagi menjamin hak mereka untuk makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia juga memegang janji alam sekitar termasuk yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio pada 1992 yang mana ia komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah besarnya dilitupi oleh hutan.

“Hari ini, hampir tiga dekad kemudian, saya bangga untuk mengumumkan bahawa kita tidak mengingkari ikrar itu. Sebanyak 55.3 peratus atau 18.3 juta hektar daripada bumi Malaysia diliputi hutan, melebihi komitmen awal Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio.

“Ini mewakili kehendak dan komitmen negara untuk memulihara dan menguruskan hutan kami, flora dan faunanya,” katanya pada program ‘Pengawasan Persekitaran dalam Menangani Kemiskinan bagi Mencapai Pembangunan Lestari untuk Semua’, acara sampingan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Dr Mahathir berkata, walaupun pertumbuhan ekonomi dan proses urbanisasi yang pesat di Malaysia, mengekalkan hutan dan menjadikan tanah pertanian sedia ada lebih produktif dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat, tidak dapat dicapai tanpa mengguna pakai dasar pragmatik, progresif dan pembangunan mampan.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mencegah kehilangan alam sekitar, negara itu masih berhadapan dengan cabaran daripada keperluan pembangunan sosioekonomi yang semakin meningkat.

“Pertambahan penduduk Malaysia membawa kepada peningkatan keperluan makanan, air dan infrastruktur lain yang memberi tekanan kepada sumber dan alam semula jadi kami,” katanya.

Dr Mahathir turut mengetengahkan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) iaitu sumber yang banyak diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai tindakan bagi menangani perubahan iklim serta mempertingkatkan usaha pemuliharaan dan pemulihan.

Malaysia adalah penganjur utama program itu dengan sokongan daripada Pakistan, Turki dan Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia usaha imbangi matlamat pembangunan lestari, keperluan rakyat

NEW YORK, 26 SEPT: Malaysia sedang berusaha menyeimbangkan antara mencapai matlamat pembangunan lestari (SDGs) dan menangani keperluan rakyatnya.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, strategi baru perlu diambil untuk mencapai sasaran pembangunan lestari dan pada masa sama menjaga kesejahteraan rakyat.

“Malaysia percaya kepada matlamat pembangunan lestari, tetapi antara percaya dan mencapai matlamatnya, kita tahu ia bukan perkara mudah,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak SDG – Leaders Dialogue 6 mengenai ‘Wawasan 2020-2030’, di sini semalam.

Beliau menegaskan kerajaan sedang melihat secara dekat perkara seperti alam sekitar dan pembasmian kemiskinan.

Berhubung alam sekitar, Dr Mahathir menyatakan apabila penduduk Malaysia bertambah, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak wang untuk merawat sisa yang mereka hasilkan.

Malangnya, katanya, sesetengah negara memilih untuk menghantar beberapa sisa mereka ke Malaysia.

“Kita kini menghadapi masalah untuk melupuskan sisa tambahan ini,” katanya sambil menyatakan harapan bahawa negara akan menguruskan sisa mereka sendiri dan bukan mengeksport ke negara lain.

Dr Mahathir berkata, menjaga alam sekitar juga bermakna Malaysia akan berusaha sebaik-baiknya untuk tidak menebang pokok.

Negara ini, katanya, berjanji untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan negara dilitupi hutan semula jadi.

“Dan ini kami lakukan kerana kami kini mempunyai 53 hingga 55 peratus daripada tanah yang dilitupi oleh hutan semula jadi,” katanya.

“Dan kita berhasrat untuk menjaga ini walaupun kita harus memperoleh manfaat dari hutan kita. Tetapi kita akan berhati-hati supaya tidak menyebabkan hutan itu berkurang sehingga ia menjadi buruk bagi negara kita dan seluruh dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia bagaimanapun memerlukan tanah dari masa ke masa untuk penempatan manusia.

Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita harus menghalang orang daripada tinggal di rumah yang baik hanya kerana kita tidak mempunyai ruang untuk mereka.

“Jadi Malaysia hari ini membina lebih banyak bangunan bertingkat tinggi sehingga pada setiap meter persegi terdapat lebih banyak orang yang dapat hidup dan mengekalkan diri,” katanya sambil menambah bahawa ini juga satu lagi cara pembangunan lestari.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia terpaksa mengamalkan teknik pertanian moden untuk menyediakan makanan kepada rakyatnya sambil mengekalkan alam sekitar.

Mengenai kemiskinan, Dr Mahathir berkata beliau meragui sama ada ia benar-benar mungkin untuk membasmi kemiskinan sepenuhnya kerana garis kemiskinan menjadi lebih tinggi berbanding satu ketika dahulu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

PM: Multilateralisme lebih bermanfaat

NEW YORK, 26 SEPT: Ancaman terbesar kepada multilateralisme adalah unilateralisme yang berlaku apabila negara-negera berkuasa memilih untuk melakukan perkara mengikut cara mereka sendiri, kata Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata dalam keadaan ini, negara berkenaan tidak akan mempertimbangkan perasaan atau memikirkan tentang negara-negara lain.

“Tetapi, oleh kerana kekuatan mereka, mereka memutuskan untuk membuat keputusan dan melakukan sesuatu perkara sendiri – demi kepentingan mereka tanpa menghiraukan orang lain yang terkesan dengan apa sahaja yang dilakukan mereka,” katanya.

Dr Mahathir yang berada di bandar raya ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74 berkata demikian pada Forum Pemimpin Dunia di Columbia University di sini, semalam.

Mengenai bagaimana multilateralisme berjaya di Malaysia, perdana menteri menegaskan bahawa negara itu sentiasa percaya dengan penyelesaian melalui rundingan, timbang tara atau undang-undang mahkamah.

“Sekiranya kami menyokong unilateralisme, kami akan menyelesaikan masalah melalui konfrontasi dan mungkin perang. Tetapi kami tidak pernah melakukannya. Sebaliknya, kami berunding dengan negara jiran,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata perkongsian kuasa dalam kalangan pelbagai kaum yang memerintah negara juga membentuk multilateralisme bagi Malaysia.

Dr Mahathir juga memerhati bahawa dunia pada masa ini telah menjadi saling berkaitan dan semakin kecil, dengan apa yang dilakukan sesuatu negara akan mempengaruhi negara lain.

“Jadi, multilateralisme adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sekarang. Mengakui bahawa Malaysia yang merupakan negara perdagangan sejak lama dahulu, memutuskan bahawa dunia yang lebih besar akan menjadi pasaran lebih besar. Sekarang, kami mempunyai seluruh dunia sebagai pasaran.

“Oleh kerana seluruh dunia telah menjadi pasaran, adalah penting bagi semua negara di dunia kekal aman dan stabil serta dapat menjadi rakan dagang kami,” katanya.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk menghentikan perdagangan atau melaksanakan sekatan dan sebagainya akan memberi kesan negatif.

Apabila sekatan dikenakan, beliau berkata, ia bermaksud bukan hanya negara yang dipilih untuk dikenakan sekatan itu terjejas kerana ketidakupayaannya berdagang tetapi negara lain juga mengalami kesan kerana mereka tidak dapat melakukan perdagangan dengan negara terlibat.

Perdana Menteri menganggap situasi ini tidak akan menyumbang kepada kesejahteraan atau penciptaan kekayaan di dunia ini.

“Jadi, kita semua lebih kepada multilateralisme tetapi sudah tentu perlu ada peraturan tertentu yang mengawal sebarang tindakan kita, tetapi peraturan itu tidak boleh mengehadkan perdangangan tetapi mempromosikan lebih banyak perdagangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Tun M: Sistem antarabangsa tidak mampu hentikan kebakaran hutan

NEW YORK, 26 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sistem antarabangsa ketika ini wujud dalam keadaan di mana tiada apa yang dapat dilakukan dunia bagi memaksa Indonesia menangani kebakaran hutan yang berleluasa yang mengakibatkan fenomena jerebu di kawasan tertentu di Asia Tenggara.

Beliau turut menyamakan keadaanya dengan kebakaran hutan yang berlaku di Brazil.

“Sebagaimana yang anda semua tahu Presiden Brazil yang baharu percaya kepada pembakaran hutan sebagai aktiviti untuk pertanian, dan tiada siapa yang boleh menghalang beliau setakat ini. Jadi saya rasa sistem semasa tidak membenarkan kita untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

“… anda boleh salahkan Indonesia, anda boleh mengkritik mereka, tetapi mereka akan terus dengan pembakaran mereka,” katanya di sesi dialog Forum Pemimpin Dunia yang berlangsung di Universiti Columbia di sini, semalam.

President Indonesia, Joko Widodo memerhati kemusnahan hutan akibat kebakaran yang berterusan di Pekanbaru pada 17 September 2019. Foto AFP

Dr Mahathir ditanya sekiranya tindakan lebih keras seperti sekatan ekonomi atau menggunakan komuniti antarabangsa untuk berhadapan dengan Indonesia akan dapat membantu masalah menangani masalah jerebu, susulan keadaanya yang cukup serius.

Perdana Menteri berkata, akan tiba masanya nanti pembakaran hutan akan menjadi teramat serius sehingga seluruh dunia diliputi jerebu.

“Ketika itu saya rasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mungkin akan berkata – ini bukan lagi hal dalaman negara semata-mata, ini sudah menjadi masalah dunia (untuk mengatasinya) dan dunia seharusnya melaksanakan hak mereka untuk mengambil tindakan.

“Sekiranya kita mempunyai pandangan yang sebegini, kemudian barulah kita boleh berbuat sesuatu apabila seseorang enggan menerima bantuan untuk memadamkan kebakaran misalnya,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata, ketika ini “PBB tidak dapat berbuat apa-apa, tapi kita perlu cuba memujuk”.

Katanya, beliau faham Indonesia juga menenerima kesan jerebu yang serius, dan ini mungkin akan membawa kepada pendirian yang lebih tegas berhubung usaha mengawal kebakaran hutan di negara mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M terima Anugerah Khas Kelestarian Canselor USM

GEORGE TOWN, 22 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerima Anugerah Khas Kelestarian Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada Upacara Konvokesyen Komemoratif universiti itu di sini, esok.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata, Upacara Konvokesyen Komemoratif adalah satu upacara istimewa diadakan pada tahun ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 universiti itu.

“Tuanku Canselor, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Upacara Konvokesyen Komemoratif pada 23 Sept bermula 10 pagi.

“Konvokesyen Komemoratif ini akan menyaksikan USM memberikan penganugerahan kepada Perdana Menteri, seorang negarawan ulung tanah air, Dr Mahathir. Sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat global, menjadi titik tolak kepada USM menganugerahkan beliau dengan Anugerah Khas Kelestarian Canselor,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak dapat menghadiri upacara konvokesyen itu sebaliknya bakal menerima anugerah itu dalam satu upacara khas yang akan diadakan di Istana Arau dalam masa terdekat, kata Asma.

Dalam pada itu Asma berkata, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan untuk menganugerahkan beberapa tokoh terkemuka yang diiktiraf oleh USM semasa Upacara Konvokesyen Komemoratif itu.

Selain Dr Mahathir, tokoh sukan negara Datuk Nicol Ann David bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan. Selain itu, Pemegang Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 2014, Profesor Shuji Nakamura akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains manakala mantan Pendaftar Wanita Pertama USM Datuk Siti Mazenah Saad akan menerima Ijazah Kehormat Sarjana Pentadbiran Awam.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan berangkat mempengerusikan sidang pertama sehingga sidang keempat Upacara Konvokesyen ke-57 USM pada 24 dan 25 September ini.

Pada tahun ini, 6,338 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk tiga penerima Ijazah Kehormat, empat Profesor Emiratus, 508 Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,564 Ijazah Sarjana, 4,266 Ijazah Sarjana Muda, dan 45 orang Diploma Kejururawatan.

Upacara konvokesyen USM bermula pada 23 sehingga 29 September ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM ucap takziah atas pemergian Dr Md Farid

PONTIAN, 21 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik atas pemergian beliau hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyifatkan pemergian Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu sebagai satu kehilangan kepada negara.

“Masih muda. Takziah kepada semua keluarga, terima kasih,” kata Dr Mahathir dalam nada sebak ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat jenazah dan solat Asar di Masjid Datuk Noh Gadut, Serkat, di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir tiba di masjid berkenaan pada kira-kira 3.40 petang dengan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Sementara itu, Dr Sahruddin yang turut ditemui pemberita di masjid sama berkata hasil bedah siasat Allahyarham Dr Md Farid menunjukkan beliau meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Dr Sahruddin berkata pemergian Allahyarham merupakan satu berita mengejutkan dan kehilangan besar kepada negara serta Pakatan Harapan.

“Berita (pemergian) yang sangat mengejutkan kerana arwah masih ada program (di kawasan Parlimen Tanjung Piai) sehingga malam tadi.

“Dikhabarkan sehingga 3 pagi. Dalam pukul 6 lebih, arwah ke hospital selepas mengalami sakit dada kiri,” katanya dengan menambah Allahyarham merupakan seorang pakar bius di sebuah hospital swasta di Melaka sebelum menyertai politik.

Menurut Dr Sahruddin, hasil bedah siasat mendapati tiga saluran utama jantung Allahyarham tersumbat dengan ada yang tersumbat sehingga 90 peratus selain saluran utama darah di otak turut tersumbat.

Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai meninggal dunia kira-kira 6 pagi tadi di Hospital Pontian.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan majoriti undi 524 undi.

Allahyarham berkahwin dengan Datin Farah Syazwani Hanis Ismail, 32, pada 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sophie Farissya, 8, Eva Ariaana, 4 dan Zara Aleena, 2.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gerakan koperasi boleh bantu tangani peningkatan kos sara hidup

CYBERJAYA, 21 SEPT: Gerakan koperasi boleh memainkan peranan besar dalam membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di bandar dan luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sumbangan koperasi bukanlah semata-mata mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi perlu dilihat daripada aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama.

“Dalam konteks berkoperasi, kuasa yang ada di tangan kita adalah dalam menentukan harga patut dengan kualiti dan jaminan penggunaan,” katanya menyampaikan amanat kepada 20,000 ahli Gerakan Koperasi pada majlis Countdown Hala Tuju Koperasi Selepas 100 Tahun, di sini hari ini.

Mengambil contoh di Jepun, Dr Mahathir berkata Japanese Consumer Co-operative Union (JCCU) merupakan gabungan 320 koperasi pengguna dan dianggotai oleh 29 juta orang.

Katanya, mereka bukan sekadar menguasai segmen pasaran dengan membekalkan barangan keperluan harian tetapi mampu menawarkan persekitaran yang lestari kepada komuniti setempat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Urusan pentadbiran Sipadan dan Ligitan diserah kepada Sabah

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah kecuali perkara berkaitan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penyerahan itu adalah satu hasil perundingan Jawatankuasa Khas Kabinet Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) dan ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan PAKATAN memenuhi perjanjian itu.

“Harus kita ingat, kedua-dua buah pulau ini juga dituntut oleh negara lain. Tetapi apabila Kerajaan Persekutuan membawanya ke mahkamah dunia, maka mahkamah putuskan kedua-duanya milik Malaysia… dengan itu kita dapat memberi Sabah kuasa ke atas kedua-dua pulau berkenaan.

“Dengan itu kita dapat memberi Sabah kuasa ke atas kedua-dua pulau itu,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di Kuching, malam tadi.

Perdana Menteri berharap rakyat dan pemimpin dari Sabah dan Sarawak dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan kerajaan Persekutuan untuk meletakkan kedua-dua negeri ini sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Tanah Melayu seperti yang termeterai ketika Malaysia dibentuk bersama.

Pada 19 Ogos lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan setakat 23 Julai lalu, tujuh isu Perjanjian Malaysia 1963 mendapat persetujuan bersama, manakala 14 isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangka akan diputuskan sebelum 31 Ogos.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan pada 23 Julai dan dihadiri 23 ahli Jawatankuasa terdiri daripada Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Antara tujuh isu yang mendapat persetujuan adalah pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan, yang menyebut: “Secara prinsipnya penyerahan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan khususnya berkaitan pelancongan kepada Kerajaan Negeri Sabah dipersetujui. Isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi.”

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M tonton dokumentari ‘M for Malaysia’

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa menonton tayangan perdana filem dokumentari ‘M for Malaysia’, malam tadi.

Dr Mahathir yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, tiba di GSC Cinema, Pavilion kira-kira 8.30 malam.

Beliau menyifatkan filem itu sebagai kisah benar perjalanan pembentukan Malaysia Baharu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) antara Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Barisan Nasional.

“Filem ini adalah kisah benar yang bukan menceritakan tentang sebelah pihak sahaja. Ia menjadi pengajaran buat semua pihak dan pentingnya untuk menerima kritikan,” katanya selepas menyaksikan tayangan perdana filem itu.

Ditanya mengenai cabaran pada PRU15, Dr Mahathir berkata, pengajaran daripada PRU14 perlu diambil semua pihak bagi memastikan kerajaan PAKATAN mengekalkan tampuk pemerintahan.

“Anda tahu, isu utama pada PRU14 adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pada PRU15, ia tidak akan ada rekod (yang berlaku) dalam tempoh ini. Jadi orang akan mahu menilai pencapaian PAKATAN, dan ia bukanlah perkara mudah,” katanya.

Dokumentari berdurasi 90 minit arahan dan terbitan Dian Lee serta Ineza Roussille mengisahkan tentang penubuhan Malaysia Baharu oleh kerajaan PAKATAN selepas kemenangan pada PRU14, Mei tahun lepas.

Dokumentari itu adalah rakaman istimewa pasca PRU14 yang menyaksikan penyatuan seluruh rakyat memilih masa depan baharu buat Malaysia.

Ia mengembalikan ingatan rakyat terhadap cerita mengenai harapan, perpaduan dan perdamaian warganegara untuk Malaysia yang menyaksikan Dr Mahathir kembali memegang jawatan sebagai perdana menteri buat kali kedua selepas menewaskan kerajaan yang memerintah Malaysia sejak kemerdekaan selama 61 tahun.

Dokumentari dengan lagu runut nyanyian Yuna bertajuk ‘Bermula Kita’ akan ditayangkan secara eksklusif di 37 pawagam terpilih di seluruh negara selama empat hari bermula 12 Sept 2019.

Terdahulu ketika ucapan pelancaran, Penerbit Eksekutif Datin Paduka Marina Tun Mahathir berkongsi tentang idea penghasilan filem dokumentari itu.

“Pada mulanya, Dian dan saya membuat keputusan untuk merakamkan kempen PRU14 tanpa mengira sama ada Pakatan menang atau tidak, hanya kerana kami berpendapat pertembungan antara si kerdil dengan sang gergasi ini sangat berharga untuk didokumentasikan.

“Seminggu lepas 9 Mei, kami dapati kami mempunyai rakaman filem yang sangat luar biasa, selama 90 jam, dan ia seharusnya dikongsi bersama dunia, dan dari situ, segala-galanya mula mengambil tempat, seperti apa yang akan anda saksikan hari ini,” kata anak sulung Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

Marina pada masa sama, mengalu-alukan sokongan daripada rakyat Malaysia terhadap industri filem tempatan khususnya filem berkisar tentang sejarah dan pembangunan negara.

“Saya harap anda gembira menontonnya, dan sila beritahu sahabat handai dan kaum keluarga anda untuk turut sama menonton. Ayuh kita bersama-sama melakar sejarah dalam pembikinan filem di Malaysia,” katanya dengan disambut tepukan gemuruh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM lancar buku “Dr M: apa habaq orang muda?” edisi Jepun

KYOTO (Jepun), 7 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini melancarkan buku berjudul “Dr M: Apa Habaq Orang Muda” bagi edisi Jepun.

Buku itu adalah koleksi ungkapan Dr Mahathir yang membangkitkan semangat, menyegarkan dan tajam daripada wawancara, ucapan dan penulisan beliau sebelum ini.

Ia, yang menampilkan Chedet (nama pena Dr Mahathir) dan Matrodi (Radzi Tajuddin) sebagai penulis bersama dan diterbitkan kali pertama pada 2016, adalah himpunan pesanan, pengajaran, dan peringatan berhubung perpaduan, demokrasi, pendidikan, budaya, perjuangan dan sistem nilai mengikut acuan Malaysia.

“Dr M: Apa Habaq Orang Muda” edisi Jepun itu diterbitkan bersama oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) serta DuBook Press.

Buku itu dijangka dipasarkan secara meluas menerusi rantaian Kinokuniya Co. Ltd yang memiliki 70 kedai buku di seluruh Jepun menjelang akhir bulan ini.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Kennedy Jawan, Pengurus Besar dan Pemangku Pengurus ITBM Sakri Abdullah, Pengarah Eksekutif JMA Takuji Arai serta Pengarah dan Pengurus Besar Kedai Utama Umeda Kinokuniya, Masaya Yumoto.

-BERNAMA