Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan komited tangani isu ringgit

PETALING JAYA, 30 NOV: Kerajaan berusaha mencari langkah untuk menyelesaikan isu penurunan ringgit memandangkan penyusutan nilai mata wang negara menjadi antara punca kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Satu daripada sebab (penurunan nilai ringgit) adalah pihak yang menurunkan nilai mata wang kita.

“Kalau dulu mata wang kita RM3.80 (US$1) sekarang RM4.20 (US$1). Oleh kerana nilai mata wang kita (turun) segalanya yang kita beli itu sudah menjadi lebih mahal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan ke-58 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kajian Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas, yang menunjukkan Indeks Kerisauan Nasional (NWI) berada pada tahap ‘maksimum’.

Kos sara hidup merupakan antara empat faktor yang menjadi kebimbangan utama dalam kalangan rakyat Malaysia, selain pekerjaan, ekonomi dan keselamatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerosakan pentadbiran lampau sukarkan PAKATAN kota janji

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mendapati sukar untuk mencapai janji dan matlamat manifestonya disebabkan oleh kerosakan yang disebabkan kerajaan terdahulu.

“Sewaktu kita sediakan manifesto, kita tak dapat maklumat penuh dan apabila kita ambil alih kita dapati kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan lama itu jauh lebih dahsyat daripada yang kita anggar.

“Kalau dia (rakyat) tak yakin, ada masanya dia boleh undi bila ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dia undi lah… untuk menentukan nasib PAKATAN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan ke-58 di sini, hari ini.

Dr Mahathir juga menjangkakan ia akan mengambil masa lima tahun sebelum kerajaan PAKATAN dapat tunaikan janjinya.

Ditanya mengenai status pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), beliau berkata kerajaan masih dalam proses melakukan kajian mendalam berkaitan akta itu.

“Perkara ini sukar dan sementara itu kita tak nak dengan mudah membebaskan pengganas seumpamanya… kalau kita dapati orang itu menyediakan bom, letup sana sini, orang yang macam itu kita tak boleh bagi ‘bail’,” katanya.

Kerajaan sebelum ini pernah berkata ia akan mengkaji untuk meminda peruntukan drakonian yang terdapat dalam SOSMA, tidak lama lagi.

Mengenai Perkim, Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua persatuan itu berharap ia akan lebih aktif dalam aktiviti dakwahnya memandangkan peruntukan kerajaan kepada Perkim dikembalikan kepada RM10 juta, berbanding RM4 juta tahun lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Negara Islam punya kekuatan, mampu bersaing

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Negara-negara Islam mempunyai kebolehan, kekuatan dan mampu bersaing dengan negara maju yang lain namun tidak mempunyai kemahuan untuk melakukannya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perkara itu menyebabkan mereka dilihat lemah dan mengakibatkan umat Islam terus ditindas, dikuasai dan dizalimi oleh orang lain.

“Dengan jumlah 52 negara Islam di dunia ini, tidak ada satu pun dianggap negara maju, apakah ini kerana larangan daripada agama kita supaya kita tidak maju? Apakah ini bermakna bahawa orang beragama Islam tidak maju, tidak dibenarkan maju?

“Saya ingin jelaskan bahawa kita mampu bersaing dengan mereka. Kita sama dengan orang asing ini…daripada segi kebolehan akal fikiran tapi kita tidak gunakan kurniaan Allah SWT itu dengan cara baik.. dengan cara yang membolehkan kita melindungi agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-58 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) kali ke-58 di sini, hari ini.

Mengambil contoh Korea Selatan, Dr Mahathir berkata, negara itu yang suatu masa dahulunya berada di belakang Malaysia daripada segi pembangunan pentabdiran kini jauh berada di hadapan dengan pendapatan perkapitanya tiga kali ganda daripada negara ini.

Jelasnya, perkara itu antara lain didorong faktor penguasaan ilmu khususnya ilmu berkenaan pembangunan industri sehingga menjadikan mereka salah satu negara termaju di dunia.

“Apabila saya bandingkan negara kita dengan Korea dengan negara-negara Islam yang lain, saya berasa amat kecewa kerana kebolehan kita tidak kurang. Tapi oleh kerana kesilapan kita membuat tafsiran tertentu maka kita tidak dapat capai kemajuan seperti Korea dan lain-lain.

“Saya berpendapat yang salah bukan agama kita…agama tidak larang kita cari kekayaan asalkan kita mencari kekayaan secara halal dan kita guna kekayaan kita untuk bersedekah untuk membantu mereka yang lemah,” katanya.

Beliau berkata sebenarnya segala konflik yang melanda di negara-negara Islam ketika ini boleh diselesaikan jika kembali kepada ajaran sebenar berpandukan kepada Al-Quran.

Mengambil kira senario yang melanda ketika ini, Dr Mahathir berkata adalah amat sedih melihat orang Islam di Myanmar misalnya dihalau keluar dari negara mereka manakala di dunia Arab umat Islam di sana lari daripada negara mereka untuk mendapatkan perlindungan di negara lain.

“…dengan pengakuan bahawa kita tidak mampu pun mentadbir dengan baik negara kita…Ini adalah kesalahan kita kerana kita tidak patuh kepada ajaran agama Islam seperti terdapat dalam Al-Quran. Saya harap kita di sini ambil ingatan,” katanya.

Beliau berkata satu masa dahulu, ada negara Islam yang dianggap maju dan kuat dan tiada siapa pun yang dapat menekan umat Islam ketika itu tetapi senarionya berbeza pada hari ini.

“Apabila hal ini berlaku kita patut tanya kepada diri kita sama ada kita patuh atau tidak dengan ajaran Islam. Ajaran Islam memerlukan kita melengkapkan diri dengan tombak, pemanah namun harini ia tidak boleh digunakan, tidak mampu pertahankan umat Islam.

“Kita perlu ada alatan canggih seperti yang digunakan oleh musuh kita…tapi untuk itu kita tidak ada keupayaan…membina dan membekal diri kita dengan alatan untuk mempertahankan umat Islam…secara langsung kita tidak dapat lindungi umat Islam seperti dikehendaki oleh agama kita,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keperibadian mulia mampu tarik minat bukan muslim dekati Islam

PETALING JAYA, 30 NOV: Umat Islam perlu menunjukkan sifat mulia supaya masyarakat bukan Islam tertarik dengan keperibadian dan ajaran Islam, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, Dr Mahathir menggesa amalan negatif seperti tidak bertimbang rasa, mencemuh agama dan bangsa lain, serta bertelagah akibat perbezaan pendapat, disisihkan bagi mencapai matlamat umat Islam sebagai pendakwah.

“Penerimaan bukan Islam akan berkurangan, kalau kita pamerkan sikap daif dan gagal dalam kehidupan.

“Kita kena tunjukkan sifat-sifat yang baik, InsyaAllah mereka akan tertarik dengan tingkah laku kita dan percaya kepada ajaran Islam,” kata Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali Ke-58, di sini malam tadi.

Hadir sama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Dr Mahathir juga mahu umat Islam hidup dalam semangat muafakat, dengan tidak terpengaruh dengan sikap mementingkan diri sendiri, sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat lain.

“Manusia hidup bermasyarakat bukan hidup tunggal, berasingan. Jangan kita terpengaruh dengan perasaan kita hingga cetus huru hara, kerana akan merugikan,” katanya.

Beliau berkata, betapa ruginya sesebuah negara jika rakyatnya hidup dalam perbalahan, sehingga menyebabkan pihak lain mengambil kesempatan mengeruhkan lagi keadaan.

“Bila bermusuh ada pihak lain akan ambil kesempatan, dengan itu tidak aman negara. Kita kena cekap kurangkan emosi dan bendung rasa benci dan marah dan terima pendapat orang lain,” katanya.

Mengenai Perkim, Dr Mahathir mahu pertubuhan itu bergerak sebagai satu pertubuhan yang cergas dalam menjalankan tanggungjawab untuk berdakwah menyampaikan mesej agama Islam kepada seluruh masyarakat.

“Perkim sudah 58 tahun. Peranan Perkim adalah laksanakan dakwah dan angkat martabat Islam.

“Perkim mampu laksanakan tanggungjawab, menjayakan misi dengan menumpukan kepada matlamat asal,” katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua 1 Perkim, Datuk Seri Shahidan Kassim menyambut baik saranan Dr Mahathir menyatu padukan umat Islam, dengan mengikut ajaran Islam dalam erti kata sebenar.

“Kita kena ada pemimpin yang ada usaha satu padukan orang Islam. Inilah masanya, Dr Mahathir sebagai perdana menteri kena jalankan tanggungjawab itu. Beliau perlukan kerjasama semua,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima negara perintis Sidang Kemuncak KL

PUTRAJAYA, 21 NOV: Lima negara – Malaysia, Indonesia, Turki, Qatar dan Pakistan akan menjadi perintis Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi sidang kemuncak itu berkata ketua-ketua negara dari Qatar, Turki dan Pakistan telah bersetuju untuk menghadiri sidang kemuncak 2019 yang diadakan dari 18 hingga 21 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 akan membincangkan mengenai isu umat Islam berdasarkan tujuh teras iaitu pembangunan dan kedaulatan; integriti dan tadbir urus yang baik; budaya dan identiti serta keadilan dan kebebasan.

Tiga lagi teras ialah keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan serta tadbir urus internet dan teknologi, katanya pada prapelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata negara lain juga ingin dan menyatakan minat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

“Jelas sekali, kita memerlukan umat Islam menyokong inisiatif ini tetapi sebagai permulaan, kita perlu melakukannya secara kecil dan saya berharap kita dapat membawa mesej ini ke seluruh dunia,” katanya.

Bertemakan ‘Peranan Pembangunan Dalam Mencapai Kedaulatan Negara’, sidang kemuncak itu akan dihadiri 450 pemimpin Islam, pemikir, intelektual dan cendiakawan dari seluruh dunia.

Mengenai pemilihan lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Turki, Qatar dan Pakistan yang menjadi nukleus dan kumpulan teras sidang kemuncak itu, Dr Mahathir berkata: “Sebenarnya kita perlukan kumpulan kecil.”

Dr Mahathir berkata, banyak negara Islam sedang sibuk atau menghadapi perang saudara.

“Jadi kita (sidang kemuncak) memilih negara-negara kecil yang mempunyai masa dan tenaga untuk mencari penyelesaian dan itu sebabnya kita memilih lima negara itu.

“Ini bukan kerana mereka tidak mempunyai masalah, tetapi masalah mereka tidak sebesar negara lain. Tetapi diharapkan yang lain akan turut serta kemudian,” katanya.

Ketika ditanya sama ada sidang kemuncak itu adalah alternatif lain selain Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk kebaikan umat Islam, Dr Mahathir berkata: “OIC adalah organisasi yang sangat besar. Sangat sukar bagi kita untuk mendapatkan organisasi sebesar itu menyertai persidangan ini.

“Itulah sebabnya kita bermula dengan lima negara dan kita berharap dari semasa ke semasa anggota OIC lain akan turut menyertainya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M serikan prapelancaran Sidang Kemuncak KL 2019

PUTRAJAYA, 21 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merasmikan prapelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini.

Sidang kemuncak itu dijangka berlangsung dari 18 Dis hingga 21 Dis ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ia bertujuan menghidupkan semula tamadun Islam, membincang dan mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan terhadap masalah yang menimpa dunia Islam, menyumbang dalam peningkatan urusan di kalangan umat Islam dan negara-negara Islam dan membentuk rangkaian di antara pemimpin Islam, cendekiawan, sarjana dan pemikir di seluruh dunia.

Dengan tema “Peranan Pembangunan Dalam Mencapai Kedaulatan Negara, sidang kemuncak itu akan dihadiri oleh 450 pemimpin Islam, pemikir intelektual dan cendiakawan dari seluruh dunia.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi sidang kemuncak mengumumkan bahawa ketua negara Qatar, Turki dan Pakistan telah bersetuju menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur itu

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahathir bayangkan kemungkinan rombakan Kabinet

PETALING JAYA, 20 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan rombakan kabinet dilakukan susulan kekalahan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi PAKATAN merangkap Pengerusi Bersatu itu bagaimanapun berkata keputusan mengenainya “tidak akan dilakukan hari ini atau esok”.

“(Ia akan dibuat) selepas kita mengkaji pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini dan selepas itu barulah kita bincang tentang kemungkinan mengadakan rombakan kabinet ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Dalam mengambil sebarang langkah ke arah rombakan Kabinet, Dr Mahathir mengakui beliau perlu berdepan dengan kekangan tertentu.

“Kekangannya ialah walaupun saya perdana menteri, saya perlu memberi pertimbangan kepada parti-parti komponen (PAKATAN), saya tak boleh dengan begitu mudah menukar atau menggugurkan mana-mana pihak.

“Sebab itu ia akan mengambil masa sedikit,” kata beliau.

Menyentuh kekalahan PAKATAN di Tanjung Piai, Dr Mahathir berkata ia mungkin antara lain “kerana parti kita baharu, belum cukup matang lagi, belum susun parti dengan cukup lengkap di Tanjung Piai dan tempat-tempat lain”.

Menurutnya, turut ditimbulkan di Tanjung Piai ialah isu kos sara hidup yang tinggi, keadaan ekonomi, bantuan kepada rakyat dan sebagainya.

“Akhirnya kita berpendapat ada perlunya kita mengadakan rombakan kabinet,” kata Dr Mahathir.

“Saya sebagai perdana menteri bertanggungjawab berkenaan rombakan kabinet, sebab itu saya dengar pandangan mereka (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu), dan saya akan memberi pertimbangan terhadap desakan supaya kita adakan rombakan kabinet,” kata Dr Mahathir.

Sementara itu, perdana menteri berkata tiada perubahan radikal akan berlaku sebelum Malaysia menjadi hos Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung pada November tahun hadapan.

“Saya berpendapat bahawa banyak lagi kerja yang perlu dibuat dan tahun depan kita akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat APEC,” katanya sambil menegaskan persidangan antarabangsa itu adalah penting dan tidak boleh diambil ringan.

“Saya tidak mahu perubahan terlalu banyak berlaku kerana kita perlu membuat persiapan yang diperlukan kerana ia (APEC) melibatkan banyak negara. Kita perlu berhati-hati,” kata perdana menteri.

Sementara itu, Dr Mahathir mengakui bahawa banyak rancangan yang dilancarkan kerajaan PAKATAN akan mengambil masa sebelum ia membuahkan hasil.

Namun, beliau berkata banyak juga perubahan yang dilakukan oleh PAKATAN untuk menjadikan pentadbiran kerajaan lebih berkesan, termasuk mengurangkan amalan rasuah.

Mengenai pertemuan antara Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan sekumpulan ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini, Dr Mahathir berkata perkara itu perlu diselesaikan di peringkat PKR sendiri.

Menyifatkan perkara itu sebagai masalah dalaman PKR, perdana menteri mencadangkan parti itu menyelidik punca pertemuan tersebut diadakan.

“Saya belum bercakap dengannya lagi. Saya tidak tahu kenapa ada pertemuan, ia melibatkan parti lain juga,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya kepimpinan PAKATAN putus siapa PM

KLANG, 22 OKT: Hanya mesyuarat kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) sahaja yang berhak menentukan siapa selayaknya mengetuai pentadbiran kerajaan masa kini, demikian tegas Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

“Buat masa ini kita (PAKATAN) telah melantik dan mengesahkan jawatan itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah tentu tidak ada sebarang tarikh penentu kepada tamat tempoh beliau mengalas tanggungjawab itu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menegaskan Tun Dr Mahathir sewajarnya kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai tempoh penggal kali ini kerana itu mandat diberikan rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, Kerajaan PAKATAN tidak mempunyai masalah terhadap isu yang dibangkitkan.

“Siapapun boleh bangkitkan isu ini, kita tiada masalah tetapi walau apapun keputusannya ia bergantung kepada mesyuarat kepimpinan parti,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Ubah strategi pastikan perniagaan kekal berdaya saing

PETALING JAYA, 14 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perniagaan Malaysia perlu mengubah strategi mereka termasuk menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk kekal berdaya saing

Beliau berkata, kadang-kadang perniagaan terlalu berorientasikan operasi untuk menyediakan keputusan dan sering terlalu konservatif untuk membuat pempelbagaian perniagaan dan pembangunan produk.

“Mentaliti dan budaya perniagaan seumpama ini perlu berubah. Perniagaan Malaysia perlu mula lebih serius untuk banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan bagi meningkat dan menaik taraf pembangunan produk dan perkhidmatan, proses perniagaan dan teknologi bersepadu mereka,” kata Dr Mahathir.

“Kita perlu mengubah strategi kita daripada menjadi peniaga dan pengguna teknologi kepada menjadi pencipta teknologi,” katanya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Industri 4.0: Revolusi Global Ke Arah Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti (MYINDUSTRIES 2019), di sini, hari ini.

Industri 4.0 merujuk kepada fasa baharu dalam Revolusi Perindustrian yang banyak menumpukan kepada kesalinghubungan, automasi, pembelajaran mesin dan data masa nyata.

Dr Mahathir menegaskan Industri 4.0 akan mentransformasikan pasaran buruh menjadi persekitaran kerja yang bertumpu kepada kemahiran berkaitan dengan penyatuan teknologi operasi dan teknologi maklumat, analisis data, pemahaman proses dan keupayaan untuk bekerja dengan teknologi disruptif.

“Teknologi seperti internet of things (Internet pelbagai benda), robotik canggih, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan aditif adalah faktor penyumbang untuk menjana peningkatan dalam produktiviti bersih,” katanya.

Perdana Menteri berkata dasar kebangsaan bagi Industri 4.0 atau Industry4WRD yang dilancarkan setahun lalu adalah respons Malaysia kepada Industri 4.0.

“Dengan adanya dasar itu, kita menyasar untuk memacu Malaysia ke arah menjadi hab Industri 4.0 di Asia Tenggara – satu peluang baik bagi kita untuk mendapatkan kembali status kita sebagai Harimau Asia,” katanya.

Beliau berkata, negara perlu mengambil serius transformasi Industri 4.0 untuk kekal berdaya saing dan relevan di peringkat antarabangsa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LTTE: Saya puas hati alasan polis ambil tindakan – PM

PETALING JAYA, 14 OKT: Polis mempunyai alasan mereka dalam tindakan menahan individu-individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, beliau telah diberi taklimat oleh polis mengenai perkara itu dan berpuas hati dengan alasan diberikan polis dalam tindakan mereka itu.

“Saya dapat penerangan daripada polis, mereka beri sebab-sebab mereka bertindak. Saya puas hati dengan sebab-sebab mereka ambil tindakan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan persidangan bertajuk ‘Revolusi Global dalam Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti’ di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan polemik yang dikeluarkan sesetengah pihak berhubung isu penahanan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Semalam, polis menahan lima lagi individu termasuk seorang guru kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak 10 September kepada 12 orang.

Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ditanya mengenai kenyataan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kurang bersetuju apabila penahanan berkaitan LTTE itu dibuat mengikut SOSMA, Dr Mahathir berkata: “Ya, Akta SOSMA masih wujud, jadi bila ketiadaan undang-undang lain yang boleh dipakai, mereka gunakan Akta SOSMA”.

Semalam, Anwar dilapor sebagai berkata beliau bersetuju dengan tindakan polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE, namun berpendapat penahanan itu tidak seharusnya dibuat mengikut SOSMA yang disifatkannya sebagai ‘terlalu keras’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tangkapan LTTE: Polis ikut peruntukan undang-undang

LANGKAWI, 13 OKT: Tindakan polis menahan 12 individu termasuk dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu siasatan berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dilakukan mengikut peruntukan undang-undang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, tindakan polis itu juga dilakukan tanpa campur tangan pentadbirannya dan beliau menyangkal kononnya tangkapan itu bagi melemahkan mana-mana pihak.

“Pihak kerajaan ingin tahu apa sebab perkara ini berlaku. Kita tidak suka guna kuasa untuk lemahkan mana-mana pihak.

“Ini bukan saya tangkap orang, bukan Muhyiddin (Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin) tangkap orang, (tapi) polis yang tangkap dan benda yang dibuat pegawai mereka itu ikut undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai pembangunan Langkawi, di sini hari ini.

Ditanya sama ada tangkapan itu akan menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PAKATAN) yang akan berdepan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai bulan depan, Dr Mahathir berkata: “Kalau ada implikasi politik, itu kita terpaksa cari lah, apa latar belakang dia (mereka yang ditahan),” katanya.

Polis hari ini menahan lima lagi individu termasuk seorang guru kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis lalu ialah 12 orang.

Pada 10 Oktober lalu, tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM terima Anugerah Khas Kelestarian Canselor USM

ARAU, 12 OKT: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan Anugerah Khas Kelestarian Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini.

Penganugerahan itu berlangsung di Istana Arau sebelum bermulanya Majlis Santapan Negeri sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin Ke-76.

Turut berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selain itu, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan isteri Datin Seri Nor Aswana Omar turut hadir pada majlis berkenaan.

Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan darjah dan pingat kebesaran negeri Perlis kepada 19 penerima pada istiadat penganugerahan yang berlangsung sempena ulang tahun keputeraan baginda itu di istana sama pagi tadi.

– BERNAMA