Categories
SELANGOR

MB: Putrajaya lalai teliti draf perjanjian air

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 7 APR: Kelalaian Kerajaan Pusat dalam meneliti draf Perjanjian Utama Penstrukturan Air Selangor dipertikaikan sehingga mendakwa dua aset air milik mereka di Kuala Lumpur dan Putrajaya ‘dirompak’ Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, aset milik Kerajaan Negeri serta tanah bernilai RM2 bilion akan dipindah milik kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk mendapatkan wang tunai bagi membiayai pengambil alihan syarikat konsesi berdasarkan perjanjian utama yang dipersetujui.

Katanya, kedua-dua aset itu turut disenaraikan dalam perjanjian utama yang ditandatangani Putrajaya bersama Kerajaan Negeri pada September 2014.

Empangan“Maksudnya, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bersetuju bahawa dua loji rawatan air (Semenyih dan Bukit Nanas) adalah sebahagian daripada aset yang dimiliki Air Selangor, maka tiada istilah merompak seperti yang dibangkitkan beberapa individu sebelum ini.

“Yang Berhormat Pelabuhan Klang juga harus bersetuju bahawa aset ini disenaraikan beliau sendiri sebagai sebahagian daripada aset Air Selangor.

“Maka, saya percaya dalam proses rundingan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang diketuai (Adun) Pelabuhan Klang, dia patut tahu apa aset yang sudah diserahkan kepada Putrajaya seperti yang dinyatakan dalam perjanjian utama bertajuk aset air milik Air Selangor,” katanya ketika sesi penggulungan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

IMG_9966Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) turut mengulang kenyataan bahawa aset milik Kerajaan Negeri itu disenaraikan secara terperinci dalam perjanjian utama dan dipersetujui sendiri Kerajaan Pusat supaya diserahkan kepada PAAB.

“Kalau benarlah dakwaan itu (merompak), apakah pimpinan Umno setuju Kerajaan Pusat yang menandatangani perjanjian ini dirompak?

“Sebab itu, saya kata daripada kita berbalah, lebih baik kita rujuk kepada perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak kerana kalau setuju dengan ini, esok kita boleh selesaikan perjanjian air,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Anwar nafi arah, cuma minta penjelasan MB

Oleh NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 SEPT: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau ‘mengarahkan’ Datuk Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengkaji semula kenaikan gaji wakil rakyat, pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan perjanjian penstrukturan air.

Anwar menjelaskan beliau hanya meminta penjelasan samada perjanjian-perjanjian itu mengikut undang-undang atau sebaliknya.

Beliau juga menafikan menuduh mantan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengamalkan rasuah.

forumunisel1“Saya tidak tuduh rasuah, tapi tidak ada ketelusan,” tegas Anwar.

Berhubung isu air, Anwar melahirkan kekhuatiran diatas pemeteraian perjanjian air yang dibuat secara tergesa-gesa. Anwar juga persoal siapa yang mendapat kontrak dan keuntungan daripada perjanjian itu.

“Nak berebut luluskan kontrak air itu sebab apa?

“Siapa yang dapat kontrak dan berapa banyak keuntungan itu. Jika terlalu banyak untuk dua ke tiga orang atasan memperolehi kekayaan adakah itu akan jadi kesan dan beban kepada rakyat Selangor yang mesti membayar kadar air yang tinggi?,” soal beliau.

Manakala bagi isu Lebuhraya Kidex pula, Anwar menuntut semakan dibuat kerana mengundang bantahan daripada penduduk.

“Jadi saya nak tahu kepimpinan mana yang untung. Umno mana yang dapat? Peguam Umno mana yang terbabit? Kenapa kita negeri perlu tunduk kepada keputusan itu,” soal Anwar.

Anwar turut mempersoalkan pembangunan projek kediaman mampu milik ‘Rumah Selangorku’ di Sungai Sering.

“Begitu juga 70 ekar tanah Sungai Sering kepada Tan Sri Rashid Manaf. Siapa yang tentukan harga?,” soal beliau.

Anwar berkata jika pentadbiran Abdul Khalid dianggap baik meskipun timbulnya persoalan-persoalan ini, maka rakyat Selangor mempunyai kefahaman tatakelola yang lemah.

Sebelum ini, Selangor Kini melaporkan pengambalian operasi dan aset air negeri kepada entiti milik rakyat Selangor iaitu Air Selangor Sdn Bhd.

Selangor Kini juga pernah melaporkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menolak permohonan untuk menggerakkan pembinaan lebuhraya Kidex sebanyak tiga kali selepas pemaju gagal menyerahkan laporan impak terkemaskini seperti yang diminta Kerajaan Negeri.

Manakala pemaju Rumah Selangorku di Sungai Sering, Ecoworld Development Group Berhad dikatakan layak kerana mempunyai kemahiran dan memenuhi syarat yang dikehendaki Jawatankuasa Khas Penilaian Kontrak Projek Rumah Selangorku Sungai Sering yang terdiri daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi Perumahan, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta pakar-pakar bidang pembinaan.

HM