Categories
KENYATAAN MEDIA

FELDA milik kita bersama

OLEH MAZLAN ALIMAN

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menyeru semua pihak agar prihatin dan sensitif dengan situasi kritikal yang sedang dihadapi FELDA.

Mengakui kemelut sedia ada, mengorak langkah melalui berbagai usaha samada konvensyen, seminar, dialog dan apa nama sekalipun demi menyelamatkan institusi rakyat kebanggaan negara. Penganjuran seperti ini bukan perkara baru.

Misalnya, Konvensyen Hala tuju Felda anjuran Gerakan Se!amatkan Felda telah dibuat pada 12 april 2012 di UNISEL Shah Alam. Tidak timbul sebarang isu pun.

Justeru, kenyataan Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada yang kononnya pihak lain tidak boleh menggunakan nama FELDA atas alasan mengelirukan adalah tidak berasas.

Sejak bila FELDA jadi hak mutlak mereka sahaja?

PEKEBUNKerajaan dan FELDA seharusnya berterimakasih dengan mana mana penganjuran yang dibuat, contohnya; Konvensyen Warga Felda pada 19 mac ini yang melibatkan profesional, pengamal undang undang, pakar ekonomi, aktivis peneroka dan lain lain. Rumusan dan resolusi akan dibuat sebagai usaha penyelesaian demi masa hadapan Felda.

Jika ia langkah proaktif Pakatan Harapan sebagai tawaran mereka terhadap warga Felda, inilah harapan yang ditunggu tunggu!

Menimbulkan soal penggunaan perkataan FELDA adalah isu remeh yang cuba untuk mengalih perhatian terhadap persoalan pokok yang sedang hangat diperkatakan.

Kedudukan FGV yang terumbang ambing, Felda yang sarat dengan masalah, nasib buruk peneroka, rumah Generasi Baharu yang terbengkalai, rezab tunai Felda yang hampir habis, adalah contoh kebobrokan yang tidak boleh disembunyikan.

Sedari awal ANAK mengalu alukan perlantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru. Telah sebulan menunggu jawaban untuk bertemu dengan beliau dari surat yang dihantar. Seharusnya keterbukaan berkembang demi kebaikan bersama.

ANAK ingin tegaskan, FELDA adalah milik bersama. Segala usaha mengembalikan Felda kepada matlamat asalnya wajar diiraikan. Ini suatu perjuangan yang dituntut oleh Agama.

ANAK mengucapkan tahniah kepada kesungguhan Pakatan Harapan dan berterima kasih atas kesediaan Kerajaan Negeri Selangor bagi mempastikan Konvensyen ini mencapai matlamatnya.

MENERAJUI PERUBAHAN

Mazlan Aliman adalah Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)

-nR-

Categories
NASIONAL

Sokongan warga Felda berubah, PR mampu menang 15 – 30 “kerusi Felda”

himpunan oren gadai aset 01

SHAH ALAM, 2 MAC: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) percaya peneroka felda terutama ganerasi muda akan membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ini ekoran anjakan sokongan yang memberansangkan sekaligus mampu membantu Pakatan Rakyat memenangi 15 hingga 30 kerusi parlimen yang mempunyai kawasan Felda.

Ini berbanding hanya empat kerusi parlimen dengan skim Felda yang dimenangi PR dalam PRU-12, kesemuanya di Kedah.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman mengakui 54 kerusi parlimen yang mempunyai skim Felda dahulunya adalah ‘fix deposit’ (simpanan tetap) Umno-BN.

“Namun dengan anjakan sokongan ganerasi muda, saya berkeyakinan ini ujian getir buat Umno-BN,” kata ahli jawatankuasa Pas pusat itu kepada Tv Selangor.

Mazlan berkata peralihan sokongan oleh peneroka Felda kepada PR berlaku setelah semakin banyak maklumat tentang salah-urus Felda oleh pentadbiran Umno-BN sampai kepada peneroka.

Maklumat tersebut masih dapat disalurkan kepada peneroka walaupun terdapat pelbagai sekatan terhadap aktivis Anak dan PR daripada memasuki kawasan felda.

“Sekatan bukan bererti kita tidak boleh teruskan (penyampaian maklumat). Namun kita terus menyalurkan maklumat kepada mereka.

“Kita ada pendekatan melalu media alternatif dengan gerakan maksimum unit media di bawah. Sebahagian besar (maklumat) sudah diakses,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Anak sering berhadapan sekatan dan provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghalang warga felda daripada maklumat semasa mengenai Felda dan kedudukan saham Felda Global Ventures (FGV).

Siri jelajah ke seluruh Malaysia menyaksikan aktivis dan ceramah ANAK diserang pihak yang tidak bertanggungjawab.

Categories
NASIONAL

ANAK Dedah Konspirasi Lantik Isa Samad Sebagai Pengerusi KPF

KUALA LUMPUR, 5 DIS : Persatuan Anak peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendedahkan konspirasi terancang untuk mengangkat Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi baru Koperasi Permodalan Felda (KPF) demi ‘menyelamatkan’ Felda Global Ventus (FGV) yang sahamnya semakin menjunam.

Menurut Pengerusi Anak, Mazlan Aliman mendakwa, ‘kerja jahat’ ini diketuai oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail didakwa mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengeluarkan notis bertarikh 4 Disember agar Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad mengadakan  Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke- 31 pada 27 Disember depan  bertempat di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Mazlan mendedahhkan tujuan mesyuarat ini dipanggil semula berikutan kes pertikaian No.05/2012 bertarikh 26 November lalu yang memerintahkan KPF mengadakan semula mesyuarat agung tahunannya.

Turut dilampirkan pada surat berkenaan surat kuasa memanggil mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke 31 oleh Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Samsudin.

“Surat kuasa menyatakan Mesyuarat Agung perwakilan Tahunan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad yang berlangsung pada 20 Jun lalu adalah tidak sah dan terbatal.

“Daripada bukti yang ada sudah ada wujud campurtangan dalam KPF. KPF merupakan koperasi terbaik di Malaysia yang mempunyai 246,000 anggota dengan jumlah caruman lebih RM2 bilion,”katanya.

Sebelum ini, FGV berhasrat membawa masuk KPF menjadi sebahagian daripada mereka, namun usaha itu gagal kerana KPF sebagai badan bebas maka mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan dan semuanya bergantung kepada lembaga pengarah.

“Untuk bawa masuk KPF adalah sukar dengan peraturan sedia ada, melainkan satu konspirasi dibuat antaranya membatalkan mesyuarat agung KPF dan memastikan dua orang, Tan Sri Isa Samad dan Faizoull Ahmad berada di dalam KPF,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS.

Tambahnya, perkara ini perlu diselesaikan sebelum akhir tahun 2012 dan antara strategi yang sedang berjalan sekarang adalah mengarahkan pengurus-pengurus Felda melobi agar Isa Samad dilantik sebagai Pengerusi KPF yang baru sementara Pengurus Besar Felda, Faizoull Ahmad sebagai Setiausaha KPF.

Tegas Mazlan, pelantikan dua inidividu ini bakal membawa kepada pengurangan penguasaan KPF dalam 11 anak-anak syarkat melalui Felda Holding daripada 51 peratus kepada 29 peratus

Sebagai pertukaran, KPF diberikan saham 10 peratus dalam FGV sekaligus menyaksikan kekuatan KPF akan ditentukan FGV dengan tujuan mereka boleh melonjakkan semula saham FGV.

Sehubungan itu, Anak menerusi Jawatankuasa Selamatkan KPF yang dipengerusikan oleh Mohd Nasaie Ismail akan mengadakan sesi penerangan dan menawarkan khidmat nasihat percuma kepada pemegang saham pada 21 Disember ini bertempat di Kelab Sultan Sulaiman pada jam 3 petang.

Selain itu, pihaknya akan mengemukakan injuksi di Mahkamah Tinggi bagi menghalang mesyuarat agung yang bakal berlangsung pada 27 Disember ini.

Ujar Mazlan lagi, Anak akan menggerakkan satu himpunan besar Felda bersama NGO lain seperti BERSIH dan Anti Lynas pada 28 Disember ini selepas solat Jumaat bertempat di Masjid UTM Jalan Semarak dengan mensasarkan kehadiran seramai 30,000 orang.

“Kita akan serah memorandum dan memorandum ini akan diterima oleh Isa Samad sahaja. Kita tidak akan serahkan jika mereka menghantar wakil. Selagi (Isa Samad) tidak terima, kita akan berkhemah. Antara gimik kita akan longgokkan setengah tan buah sawit di hadapan bangunan Felda,” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Himpunan Oren Selamatkan Felda Berakhir Aman

Himpunan Oren Selamatkan Felda Berakhir Aman
Oleh Nazli Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Perhimpunan Oren Selamatkan Felda yang diadakan untuk menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung hari ini berakhir dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, perhimpunan ini berjaya diadakan dengan aman apabila tiada sebarang tindakan provokasi dari pihak berkuasa seperti yang berlaku dalam perhimpunan BERSIH 3.0 sebelum ini.

“Ini membuktikan ketegangan yang berlaku dalam perhimpunan sebelum ini disebabkan adanya provokasi dari pihak tak bertanggungjawab termasuk pihak keselamatan sendiri.

“Hari ini Alhamdullilah, pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan profesional, beri kerjasama yang baik kepada kita,” kata Badrul atau dikenali juga sebagai Chegu Bard.

Terdahulu, lebih kurang jam 2.00 petang tadi kira-kira hampir 10,000 perserta perhimpunan yang diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu itu telah berarak dari Masjid Wilayah Persekutuan menuju ke persimpangan berhadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.


Selepas ucapan ringkas beberapa pemimpin, perarakan anjuran Gabungan NGO Gerakan Selamatkan Felda (GSF) tersebut diteruskan ke Istana Negera yang terletak kira-kira kurang 2 km dari situ.

Dalam satu ucapan ringkas oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, perhimpunan tersebut telah mendapat sokongan dari 12 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Antara NGO yang disebut adalah Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam (ABIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS),Sekretariat Kebajikan Bekas Tentera Malaysia (KERABAT), Majlis Perunding Islam Malaysia (MAPIM) dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Selain itu NGO yang turut menyokong gerakan tersebut ialah Badan Bertindak Peneroka Felda (BANGKIT), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS),Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Badan Bertindak Peserta Felcra Malaysia (BAPA).

Sementara itu menurut Mohd Sabu, pihak istana terlebih dahulu telah pun memberikan persetujuan untuk menerima memorandum itu.

Seramai enam orang termasuk beliau sendiri telah dipilih untuk masuk ke Istana Negara dan bertemu Pegawai Istana yang akan menerima memorandum itu bagi pihak Dipertuan Agung.

Selepas itu, perarakan penyerahan memorandum kepada Di Pertuan Agung itu mula bergerak semula menuju ke pintu 3, Istana Negara.

Kira-kira jam 3.20 deligasi penyerahan memorandum telah mendapat kebenaran masuk ke Istana Negara.

Deligasi penyerahan memorandum tersebut telah keluar semula dari Istana Negara pada kira-kira jam 4.00 petang.

Menurut Mohd Sabu, memorandum tersebut berjaya diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara, Hairi Abd Rahman yang menerima bagi pihak Dipertuan Agung lebih kurang jam 3.30 petang tadi.

Mohd Sabu juga berkata, beliau dan rakan-rakan telah menerangkan kepada pihak istana campur tangan Dipertuan Agung campur tangan dalam isu ini amat diperlukan bagi menyelamatkan tanah-tanah milik orang Melayu.

Memorandum setebal 10 muka surat itu telah menyenaraikan lima justifikasi penolakan penyenaraian FGVH.

Terdapat juga empat saranan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan Felda dan beberapa tindakan bagi menyelamatkan Felda yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

Kira-kira jam 4.00 petang, Mohd Sabu mengumumkan kepada para hadirin, misi menyerahkan memorandum telah berjaya.

Para peserta himpunan aman tersebut mula bersurai dengan beberapa minit selepas pengumuman itu dengan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan.