Categories
AGENDA NASIONAL

PIBGN cadang PPD jadi pusat sehenti selesai masalah PdPR, DidikTV

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menjadikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai ‘one stop centre’ atau pusat sehenti dalam menyelesaikan dan menangani masalah berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) serta DidikTV KPM.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata ini berikutan PPD adalah medium terbaik untuk berhubung dengan ibu bapa yang menghadapi kerumitan dan membawa masalah setempat kepada pihak atasan dengan segera.

“Saya cadangkan KPM boleh mewujudkan talian hotline dan diuruskan oleh kakitangan berdedikasi yang ditugaskan khusus untuk menangani dan mengatasi apa sahaja perkara ini (PdPR dan DidikTV) di peringkat daerah berbanding dipusatkan di negeri atau peringkat kebangsaan.

“Ini cara penyelesaian yang baik untuk membantu ibu bapa di pedalaman. Misalnya, wakil rakyat mudah dihubungi di peringkat daerah, jadi hanya PPD yang mempunyai akses mudah kepada ibu bapa, seterusnya membawa perkara tersebut ke peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai persediaan terhadap PdPR sekiranya sekolah ditutup semula berikutan jangkitan Covid-19 di institusi tersebut.

Sejak seminggu lepas, dilaporkan terdapat jangkitan Covid-19 di sekolah yang menyebabkan beberapa kluster dikesan di sekolah dan institusi pendidikan di beberapa negeri.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Selangor pada Isnin lepas telah mengeluarkan arahan supaya 19 sekolah di negeri itu ditutup selepas kes jangkitan Covid-19 dikesan di sekolah terbabit.

Sehubungan itu, Mohamad Ali berpendapat KPM perlu mempertimbangkan supaya semua sekolah di seluruh negara ditutup sementara selama dua minggu memandangkan terdapat banyak petunjuk negatif yang mengancam kesihatan dan keselamatan warga sekolah.

“Tetapi ibu bapa janganlah rasa gentar dan curiga kerana saya percaya ini yang sebaiknya, kita memikirkan dari segi keselamatan serta nyawa anak kita dan pada masa yang sama kita tidak mengetepikan pendidikan. Jadi buat masa ini, inilah cara yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berpendapat adalah tidak adil jika sekolah ditutup sepenuhnya kerana laporan menunjukkan jangkitan Covid-19 tidak datang daripada sekolah, tetapi jangkitan dalam komuniti menerusi ibu bapa atau penjaga pelajar.

Sebaliknya, beliau berkata sokongan daripada semua pihak, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing, dapat meningkatkan lagi pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) di sekolah.

“PIBG dan orang awam yang tidak mempunyai latar belakang perubatan seharusnya menjadi pihak terakhir yang meminta penutupan sekolah disebabkan beberapa kes terpencil. Mereka tidak perlu menekan butang panik dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

“Sebaliknya, dalam situasi seperti ini, mereka perlu membantu pengurusan sekolah untuk meningkatkan pematuhan SOP di sekolah dan mendapatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah,” katanya dan menambah ahli PIBG boleh memantau pergerakan pelajar atau ibu bapa semasa datang dan balik sekolah, secara sukarela.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata sekiranya sekolah diarahkan tutup dan dibuka sekali lagi, KPM diharap dapat menyediakan SOP untuk membuka sekolah secara bergilir sahaja, seperti yang disarankan tahun lepas.

Katanya, penggiliran jadual jelas dapat mengawal bilangan pelajar dan kakitangan ke sekolah untuk tempoh tertentu apabila separuh pelajar ke sekolah dan separuh lagi PdPR mengikut tahap.

“Agak telah menjadi norma baharu PdPR ini, ibu bapa pun sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

“Memandangkan kes jangkitan Covid-19 kian menaik, kebarangkaliannya sekolah terpaksa ditutup semula adalah tinggi. PdPR adalah langkah terakhir kerana tiada pilihan lain. Hendak atau tidak, ibu bapa pun tiada pilihan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Portal pendidikan Selangor beri manfaat kepada pelajar, wajar diluaskan

SHAH ALAM, 23 JAN: Portal pendidikan Selangor eptrs.my wajar diluaskan ke seluruh negeri berikutan manfaatnya yang besar kepada pelajar, kata presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata inisiatif Kerajaan Selangor itu membolehkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) memperoleh ilmu tambahan untuk menduduki peperiksaan.

“Kita mengalu-alukan langkah Selangor melancarkan portal itu dan berharap inisiatif ini mudah diakses pelajar serta pemberian adalah secara menyeluruh termasuk pelajar luar bandar,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohamad Ali, Kerajaan Negeri juga dinasihat memilih guru yang berkemahiran, pakar serta berpengalaman bagi mengendalikan portal berkenaan.

“Ini bagi memastikan usaha dibuat berbaloi. Guru yang bagus dan cemerlang mampu membantu kejayaan pelajar dan inilah yang kita mahu,” katanya.

Pada 16 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan portal dilengkapi sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM bagi membantu calonnya.

Melalui portal berkenaan, pelajar berpeluang menyertai sesi soal jawab bersama guru bimbingan selain membolehkan mereka mengulang kaji pelajaran.

Ia turut menyediakan program khas ‘pecutan terakhir’ untuk meningkatkan penguasaan calon peperiksaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Capaian internet, peranti belenggu pelaksanaan PdPR

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Pengaktifan semula kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan dilihat sebagai kaedah terbaik ketika ini, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Namun, berdasarkan pengalaman pelaksanaan PdPR sebelum ini, terdapat beberapa isu yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan baik tanpa ada yang tercicir.

Masalah capaian internet dan kekangan perolehan peranti merupakan isu utama yang perlu diberikan perhatian tatkala pembelajaran norma baharu itu menjadi alternatif kepada sesi persekolahan secara bersemuka yang tidak dapat dilakukan ketika ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya telah mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan perhatian kepada usaha menyediakan peranti dan capaian internet murid yang berada di rumah.

“Satu daripadanya adalah berikan satu “Tax Holiday” kepada ibu bapa untuk membeli peranti. Kedua, pengecualian cukai pendapatan untuk membeli peranti bagi anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama TV semalam.

Isu keberkesanan PdPR dibangkitkan banyak pihak, terutama dalam aspek capaian internet dan peranti yang memberi kesan kepada anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Berikutan itu, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai tarikh tersebut.

Tan berkata kerajaan juga boleh mencari jalan dengan menggemblengkan usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan persendirian bagi mendapatkan dana membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk memperoleh peranti.

Mengenai kelemahan proses PdPR seperti pelajar tidak bersemangat kerana tiada guru secara bersemuka dan masalah pengurusan masa ibu bapa dalam memantau pelaksanaan PdPR tersebut, Tan berkata kejayaan kaedah pembelajaran itu melibatkan kerjasama semua pihak.

“Google Classroom jika nak dijayakan perlukan kerjasama semua pihak, bukan guru saja, khasnya ibu bapa kerana guru-guru tidak dapat mendisplinkan anak didik mereka. Murid-murid ini perlukan arahan dan ketegasan ibu bapa untuk memastikan anak mereka mengikuti kelas,”katanya.

Tan berkata pihaknya juga menerima cadangan untuk melaksanakan PdPR di luar waktu bekerja ibu bapa iaitu pada sebelah petang atau malam, namun perkara itu perlu mendapat persetujuan semua pihak.

Selain itu, beliau berpendapat latihan formal kepada para guru untuk mengajar dengan lebih efektif dalam situasi itu, juga amat diperlukan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan pula mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan pusat rujukan PdPR di setiap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“(Ia) sebagai pusat sehenti menangani sebarang masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pihak yang menjalankan PdPR di rumah. Saya juga cadangkan seorang pegawai khas atau ‘’person in charge’’ diwujudkan sebagai koordinator atau perancang atau penyelaras untuk PdPR,”‘ katanya.

Katanya pendekatan PdPR masih baru di Malaysia dan perlu diperkukuh dan diperkasakan dengan komitmen jitu semua pihak.

– BERNAMA