Categories
NASIONAL

Kesesakan Punca Penduduk Subang Jaya Bantah Pembangunan

SUBANG JAYA, 8 SEPT : Pelbagai pembangunan di dalam bandar ini termasuk pembinaan tiga stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang sedang dijalankan dikuatiri menyebabkan kesesakan lalulintas menjadi lebih teruk.

Ini kerana pembangunan yang dirancang termasuk pasaraya pukal dan blok rumah kedai akan meningkatkan kepadatan bangunan dan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata pembangunan yang dirancang itu merangkumi kawasan USJ1, USJ21, SS15,SS16, PJS9 dan PJS11.

Mengikut perancangan Prasarana Negara Berhad (Prasarana) projek sambungan laluan LRT dari Kelana Jaya ke Subang melibatkan pembinaan beberapa stesen.

Stesen tersebut terletak di Persiaran Jengka (SS15 dan SS17), Persiaran Kewajipan (USJ6 dan USJ7) serta di USJ21. Ia dijangka siap sepenuhnya pada 2014.

Keadaan trafik di kawasan ini sudah berada pada tahap kritikal.

Sekarang ini LRT juga akan dibina dan dikatakan LRT akan membantu meringankan sistem trafik tetapi belum terbukti.

Untuk mengetahuinya kita kena tunggu LRT siap sepenuhnya dan baru kita tahu.

“Tetapi kalau dibenarkan semua pembangunan ini dibuat ia akan memberikan kesan kepada penduduk yang terpaksa menghadapi lebih kesesakan lalulintas.

Rata-rata penduduk di sini menyatakan bantahan terhadap perancangan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mempunyai pelan perancangan bandar yang diwartakan pada 27 Mei 2010 dan pihak tersebut telah menghebahkan kepada umum untuk bantahan awam yang berakhir pada 19 Mac lalu.

Berkutan itu, katanya, MPSJ akan mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa exco seperti Elizabeth Wong, Iskandar Abdul Samad dan Ronnie Liu.

“Kita harap Menteri Besar dan jawatankuasa ini mendengar suara penduduk dan tidak meluluskan projek pembangunan ini,” katanya.

Sementara itu, Wakil penduduk USJ1 JKP Zon 4, Zulfazli Saharuddin, 37, berkata, ketika ini memang terdapat empat atau lima projek pembangunan yang dijalankan di kawasan ini yang menyebabkan aliran trafik di situ menjadi bertambah kritikal.

“Keadaan ini menyebabkan kebanyakan penduduk tidak bersetuju dengan pembangunan dibuat.

Kita tidak menghalang sebarang pembangunan tetapi apa dirancang itu perlu dibuat dengan teliti supaya tidak menambah masalah,” ujarnya.