Categories
PBT SELANGOR

SS15 bakal berwajah baharu

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal menaik taraf dua kawasan utama di SS15, iaitu di pasar moden SS15/4 dan kawasan rojak mamak SS15/4G.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, kerja menaik taraf itu bertujuan memperindah kawasan terbabit, meningkatkan keselamatan dan melancarkan aliran trafik.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian adalah memasang lebih 100 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih efisien di kawasan terbabit.

“Selepas mengambil pandangan pelbagai pihak, kita jangkakan hujung tahun ini kawasan itu akan siap dipasang CCTV bercirikan teknologi imbasan muka dan kawalan aliran trafik.

“Selain itu, kita turut memperuntukan RM1 juta bagi kerja menaik taraf kemudahan awam seperti tempat duduk dan ruang istirehat serta membina laluan pejalan kaki dengan kemudahan jubin pandu arah kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Perjumpaan Awam bagi Menaik Taraf Kawasan Komersial SS15, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Pada masa sama, katanya, kerja menaik taraf itu turut membabitkan lapan unit kiosk perniagaan iaitu menambah baik tempat duduk pelanggan dan pembinaan struktur papan tanda SS15 di Jalan SS 15/4G.

Noraini berkata, SS15 dipilih kerana kawasan terbabit adalah projek perintis Bandar Pintar MPSJ, namun pihaknya akan bergerak secara berperingkat untuk menaik taraf kawasan lain dalam pentadbirannya pada masa akan datang.

Selain itu, katanya, kerja menaik taraf itu sedikit sebanyak mengutamakan keselamatan wanita yang melalui kawasan terbabit, pada bila-bila masa.

“Justeru, sebagai pembuat dasar saya juga mahukan kawasan Subang Jaya ini sebagai mesra wanita yang lebih selamat dan mesra,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 penduduk dan komuniti niaga sekitar SS15 turut terbabit dalam sesi perjumpaan itu.

Parkir baharu bantu selesaikan isu letak kereta SS15, SS14

Majlis Perbandaran Subang Jaya memperkenalkan parkir baharu bagi menangani isu letak kereta yang membelenggu pengunjung SS15 dan SS14

Categories
SELANGOR

MPSJ serbu 3 pusat urut tawar perkhidmatan tidak bermoral

DSCN5842 (1)SHAH ALAM 31 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerbu tiga pusat urut termasuk tanpa lesen yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral termasuk urutan batin dan seks.

Ketika serbuan kelmarin, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, seorang tukang urut dikesan memberi perkhidmatan seks.

Beliau berkata, soal siasat mendapati pengusaha premis menawarkan perkhidmatan tidak bermoral itu dengan bayaran RM120 sehingga RM180 atau lebih.

“Tindakan menyita tiga set peralatan urut dan penutupan premis. Seorang penjaga premis, seorang tukang urut warga China dan seorang lelaki tempatan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Turut diserbu sebuah premis yang beroperasi selama dua bulan di SS15, Subang Jaya kerana tidak ada lesen.

Tiga peralatan urut disita dan premis itu ditutup berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen.

Operasi dua jam itu diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa MPSJ, Ravintran bersama 23 penguatkuasa dan polis dari balai SS17, Subang Jaya.

Sebuah premis lain yang ada lesen sah turut disita kerana menawarkan perkhidmatan urutan batin kepada pelanggan.

Seorang penjaga premis, dua tukang urut warga Thailand dan seorang lelaki tempatan ditahan.

MPSJ turut menyita tiga set peralatan urut dan premis berkenaan ditutup kerana melanggar syarat.

Denda maksimum RM1,000 dikenakan terhadap ketiga-tiga premis berkenaan bagi setiap kesalahan.

– FZL

Categories
NASIONAL

Kesesakan Punca Penduduk Subang Jaya Bantah Pembangunan

SUBANG JAYA, 8 SEPT : Pelbagai pembangunan di dalam bandar ini termasuk pembinaan tiga stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang sedang dijalankan dikuatiri menyebabkan kesesakan lalulintas menjadi lebih teruk.

Ini kerana pembangunan yang dirancang termasuk pasaraya pukal dan blok rumah kedai akan meningkatkan kepadatan bangunan dan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata pembangunan yang dirancang itu merangkumi kawasan USJ1, USJ21, SS15,SS16, PJS9 dan PJS11.

Mengikut perancangan Prasarana Negara Berhad (Prasarana) projek sambungan laluan LRT dari Kelana Jaya ke Subang melibatkan pembinaan beberapa stesen.

Stesen tersebut terletak di Persiaran Jengka (SS15 dan SS17), Persiaran Kewajipan (USJ6 dan USJ7) serta di USJ21. Ia dijangka siap sepenuhnya pada 2014.

Keadaan trafik di kawasan ini sudah berada pada tahap kritikal.

Sekarang ini LRT juga akan dibina dan dikatakan LRT akan membantu meringankan sistem trafik tetapi belum terbukti.

Untuk mengetahuinya kita kena tunggu LRT siap sepenuhnya dan baru kita tahu.

“Tetapi kalau dibenarkan semua pembangunan ini dibuat ia akan memberikan kesan kepada penduduk yang terpaksa menghadapi lebih kesesakan lalulintas.

Rata-rata penduduk di sini menyatakan bantahan terhadap perancangan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mempunyai pelan perancangan bandar yang diwartakan pada 27 Mei 2010 dan pihak tersebut telah menghebahkan kepada umum untuk bantahan awam yang berakhir pada 19 Mac lalu.

Berkutan itu, katanya, MPSJ akan mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa exco seperti Elizabeth Wong, Iskandar Abdul Samad dan Ronnie Liu.

“Kita harap Menteri Besar dan jawatankuasa ini mendengar suara penduduk dan tidak meluluskan projek pembangunan ini,” katanya.

Sementara itu, Wakil penduduk USJ1 JKP Zon 4, Zulfazli Saharuddin, 37, berkata, ketika ini memang terdapat empat atau lima projek pembangunan yang dijalankan di kawasan ini yang menyebabkan aliran trafik di situ menjadi bertambah kritikal.

“Keadaan ini menyebabkan kebanyakan penduduk tidak bersetuju dengan pembangunan dibuat.

Kita tidak menghalang sebarang pembangunan tetapi apa dirancang itu perlu dibuat dengan teliti supaya tidak menambah masalah,” ujarnya.