Categories
AGENDA NASIONAL

Prasarana sedia ketat semula SOP pengangkutan awam

GEORGE TOWN, 26 JULAI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersedia memperketat semula tatacara operasi piawai (SOP) dalam pengangkutan awam yang dioperasikannya jika diarahkan oleh kerajaan.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata ini termasuk mengurangkan kapasiti penumpang.

“Kita akan patuhi, tidak jadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan ulang tahun ke-13 Rapid Penang di sini hari ini.

Tajuddin berkata demikian ketika ditanya persediaan Prasarana sekiranya kerajaan kembali mengetatkan SOP seperti yang dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Terdahulu pada majlis itu, Tajuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada kakitangan Rapid Penang dan berharap agar Rapid Penang terus menggiatkan usaha bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu untuk menarik lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam selaras dengan aspirasi kerajaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pas My30 rekod 10,000 langganan pada hari pertama

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sehingga tengah hari semalam merekodkan 10,000 langganan pada hari pertama, kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Abdul Hadi Amran.

Beliau berkata selain jumlah langganan memberangsangkan, rata-rata pengguna semalam turut memberikan maklum balas yang positif mengenai pas berkenaan.

“Pakej My30 menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My50 dan My100, adalah sah bagi tempoh enam bulan dari 15 Jun hingga 31 Disember. My30 adalah untuk warganegara sahaja dan penggunaannya hanya pada MyKad atau MyTentera yang mempunyai fungsi kad Touch ‘n Go,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini (MPI) terbitan Bernama TV semalam.

Inisiatif My30 diperkenalkan dengan bayaran RM30 untuk tempoh sebulan merupakan pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid di Lembah Klang serta terbuka kepada semua warganegara berkuat kuasa semalam sehingga akhir tahun ini.

Menerangkan fungsi pas berkenaan, Abdul Hadi berkata bagi pengguna pertama kali mereka perlu membuat pendaftaran dan mengaktifkan pas berkenaan terlebih dahulu di kaunter sebelum menggunakannya.

“Pertama kali, pengguna harus membayar RM35 untuk pas My30 kerana ia (RM35) merupakan jumlah minimum pas. Ini hanya untuk pertama kali sahaja, untuk pembaharuan tidak perlu. RM5 ini diperlukan bagi mengaktifkan fungsi pas.

“My30 boleh diaktifkan sebaik sahaja disentuh pada ‘gate’ masuk setiap stesen. Pembaharuannya pula boleh dibuat tujuh hari sebelum atau selepas tarikh tamat.

“Ia (My30) tidak akan mengganggu Touch ‘n Go sedia ada di kad pengenalan kerana kod yang digunakan adalah berlainan. Kaunter stesen boleh semak MyKad ada kad Touch ‘n Go atau tidak,” katanya.

Beliau berkata selepas 31 Disember nanti, Prasarana akan mengkaji semula My30 sama ada mahu meneruskannya atau tidak.

“Mereka yang melanggan pas pada hari terakhir iaitu pada 31 Disember tidak akan mendapat bayaran balik sebaliknya mereka boleh menggunakan kad itu selama 30 hari iaitu sehingga hujung Januari 2021,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kesesakan Punca Penduduk Subang Jaya Bantah Pembangunan

SUBANG JAYA, 8 SEPT : Pelbagai pembangunan di dalam bandar ini termasuk pembinaan tiga stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang sedang dijalankan dikuatiri menyebabkan kesesakan lalulintas menjadi lebih teruk.

Ini kerana pembangunan yang dirancang termasuk pasaraya pukal dan blok rumah kedai akan meningkatkan kepadatan bangunan dan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata pembangunan yang dirancang itu merangkumi kawasan USJ1, USJ21, SS15,SS16, PJS9 dan PJS11.

Mengikut perancangan Prasarana Negara Berhad (Prasarana) projek sambungan laluan LRT dari Kelana Jaya ke Subang melibatkan pembinaan beberapa stesen.

Stesen tersebut terletak di Persiaran Jengka (SS15 dan SS17), Persiaran Kewajipan (USJ6 dan USJ7) serta di USJ21. Ia dijangka siap sepenuhnya pada 2014.

Keadaan trafik di kawasan ini sudah berada pada tahap kritikal.

Sekarang ini LRT juga akan dibina dan dikatakan LRT akan membantu meringankan sistem trafik tetapi belum terbukti.

Untuk mengetahuinya kita kena tunggu LRT siap sepenuhnya dan baru kita tahu.

“Tetapi kalau dibenarkan semua pembangunan ini dibuat ia akan memberikan kesan kepada penduduk yang terpaksa menghadapi lebih kesesakan lalulintas.

Rata-rata penduduk di sini menyatakan bantahan terhadap perancangan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mempunyai pelan perancangan bandar yang diwartakan pada 27 Mei 2010 dan pihak tersebut telah menghebahkan kepada umum untuk bantahan awam yang berakhir pada 19 Mac lalu.

Berkutan itu, katanya, MPSJ akan mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa exco seperti Elizabeth Wong, Iskandar Abdul Samad dan Ronnie Liu.

“Kita harap Menteri Besar dan jawatankuasa ini mendengar suara penduduk dan tidak meluluskan projek pembangunan ini,” katanya.

Sementara itu, Wakil penduduk USJ1 JKP Zon 4, Zulfazli Saharuddin, 37, berkata, ketika ini memang terdapat empat atau lima projek pembangunan yang dijalankan di kawasan ini yang menyebabkan aliran trafik di situ menjadi bertambah kritikal.

“Keadaan ini menyebabkan kebanyakan penduduk tidak bersetuju dengan pembangunan dibuat.

Kita tidak menghalang sebarang pembangunan tetapi apa dirancang itu perlu dibuat dengan teliti supaya tidak menambah masalah,” ujarnya.