Categories
AGENDA NASIONAL

88 individu ditahan ingkar arahan PKP Pemulihan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Seramai 88 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, seramai 84 individu telah dikompaun manakala empat lagi direman, katanya.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP yang termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk sebanyak 31 kes, tidak memakai pelitup muka (15 kes), dan private party (32 kes),” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP hari ini.

Dalam tempoh yang sama, beliau berkata sebanyak 64,658 pemeriksaan dilakukan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Selain itu polis juga telah mengadakan 434 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua individu terbabit didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurut Ismail Sabri, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 18,401 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di 68 hotel dan enam Institut Latihan Awam (ILA).

Daripada jumlah itu, seramai 7,965 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala seramai 10,380 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Beliau berkata sebanyak 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng turut diadakan di seluruh negara semalam dan 25,503 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Tiada tangkapan dilakukan, katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

PKP Pemulihan: Kekal patuh SOP, ruang baiki ekonomi

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Bermula hari ini, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan kembali beroperasi secara berperingkat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam keghairahan rakyat dan kebanyakan sektor untuk kembali meneruskan aktiviti harian dan kelangsungan perniagaan masing-masing, perkara utama yang perlu dititikberatkan pastinya pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan di samping saranan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini tidak terkecuali bagi golongan majikan dan pekerja yang dituntut untuk lebih peka, sentiasa berjaga-jaga dan kekal mengamalkan normal baharu yang wujud sepanjang tempoh krisis pandemik Covid-19, dalam menjalankan operasi mereka.

Jangan tamak, patuhi SOP

Ramai golongan majikan dan pekerja yang terkesan berikutan Covid-19 ditambah pula dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac dan seterusnya PKP Bersyarat (PKPB) yang tamat semalam (9 Jun).

Anggota polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kota Setar Koperal Muhammad Syarif Ismail mengumpul lampu sekatan jalan raya di Plaza Tol Alor Setar (Utara) selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri mulai 10 Jun 2020. Foto BERNAMA

Justeru, perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad lepas berhubung PKPP, pastinya membuatkan golongan itu menarik nafas lega selepas hampir tiga bulan terjejas ekonomi dan sumber pendapatan.

PKPP yang turut memberi kebenaran bagi perjalanan rentas negeri, kecuali di kawasan yang diisytiharkan PKP Diperketatkan (PKPD), antara lain turut membenarkan aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan serta aktiviti pelancongan domestik.

Menurut Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD), Dr Shawaludin Husin, baik majikan mahupun pekerja, perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan sifat tamak dengan cuba mengaut keuntungan dalam masa yang singkat.

“Ramai majikan dan pekerja yang tertekan berikutan Covid-19, PKP dan PKPB. Mereka pastinya bersemangat untuk ‘bangkit’ dan memulihkan sumber kewangan. Sungguh pun begitu, SOP perlu dipatuhi sebagai contoh tidak membenarkan pekerja menerima jumlah pelanggan atau pengunjung yang ramai pada satu-satu masa lebih-lebih lagi di restoran, hotel atau mana-mana premis perniagaan.

“Apa yang penting sekarang, majikan perlu faham dan menerima hakikat bahawa sekurang-kurangnya mereka masih mampu bertahan dan meneruskan perniagaan daripada langsung tidak boleh beroperasi dan terus lumpuh disebabkan krisis ini,” katanya kepada Bernama.

Pelancongan domestik

Dr Shawaludin berkata, bagi kebenaran aktiviti pelancongan domestik, sektor perhotelan sebagai contoh perlu melakukan pembersihan dan sanitasi hotel, fasiliti, bas atau sebarang pengangkutan pelancong serta mengemaskini senarai pakej semasa yang boleh ditawarkan kepada pengunjung.

“Tiada masalah untuk kebenaran pelancongan domestik dengan syarat semua pihak tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mencegah penularan pandemik ini. Majikan atau pengusaha boleh menyenaraikan aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk pengunjung agar mereka mendapat maklumat yang jelas.

“Kebenaran kerajaan untuk pembukaan semula kebanyakan sektor yang sebelum ini terjejas teruk penting bagi pemulihan ekonomi, namun ia perlu dilakukan dengan SOP yang jelas bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pengguna, majikan dan pekerja dilindungi keseluruhannya,” katanya.

Pekerja feri penumpang ke Langkawi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengambil inisiatif membersihkan 35 buah feri secara lebih kerap bagi mengelak sebarang risiko penularan Covid-19 dalam kalangan penumpang tempatan dan antarabangsa di Jeti Penumpang Antarabangsa Kuah pada 11 Mac 2020. Foto BERNAMA

Beliau menambah, antara SOP yang wajar dipatuhi oleh setiap majikan dan pekerja ialah memastikan adanya penjarakan sosial, di samping penyediaan pembasmi kuman dan penggunaan penutup hidung dan mulut untuk pekerja di premis masing-masing serta mengikuti saranan KKM untuk mengelakkan 3S / 3C dan mengamalkan 3W.

Pengguna juga katanya, perlu ada kawalan kendiri dan mengelakkan 3S / 3C: iaitu kawasan yang sesak (crowded place), kawasan yang sempit (confined space) dan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) serta mengamalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan (warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan yang antaranya duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja.

“Kita belum menang sepenuhnya dalam mengekang penularan pandemik Covid-19. Kerjasama setiap pihak amat dituntut. Hargailah kelonggaran yang diberi dengan mematuhi setiap arahan dan saranan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa kerana kita tidak mahu kembali semula kepada fasa PKP apatah lagi PKPD.

“Fasa pemulihan ini amat penting bagi memastikan adanya pergerakan dan pengekalan ekonomi yang bertujuan mengurangkan kadar pengangguran yang boleh membawa kepada gejala sosial dan jenayah serta tidak terkecuali masalah mental dalam kalangan rakyat,” katanya.

Pulih ekonomi

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata tindakan kerajaan membuka hampir semua sektor dan sub-sektor dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi, meningkatkan rantaian perniagaan dan juga produktiviti.

Ia pada masa sama memberi keyakinan kepada pengeluar dan peniaga di tambah pula dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat 5 Jun, yang dapat menyokong pertumbuhan inventori (bahan mentah, barang dalam proses dan juga barang siap), pelaburan dan pengembangan modal.

Pengusaha kedai gunting rambut harus mematuhi SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu mengenakan sarung tangan, pemakaian pelindung muka dan pelitup muka semasa memberikan perkhidmatannya kepada pelanggan. Foto BERNAMA

“Pertumbuhan inventori sangat dipengaruhi oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Justeru kita berharap kebenaran untuk kembali beroperasi kepada hampir semua sektor ditambah dengan suntikan Penjana akan menjadi faktor penggerak pelaburan dan seterusnya pertumbuhan modal.

“Langkah membuka semua sektor dan beberapa sub-sektor menyokong interaksi rantaian industri terutama domestik. Interaksi antara sektor akan membantu kepada pemulihan ekonomi walaupun diakui akan sedikit perlahan dan mengambil masa untuk pulih seperti sediakala,” katanya.

Muhammad Ridhuan menambah, menurut Hukum Okun (Okun’s Law), peningkatan KDNK turut membantu menurunkan kadar pengangguran yang menjadi kebimbangan ramai pihak termasuk negara luar yang turut berdepan krisis pandemik Covid-19.

“Justeru, dalam jangka pendek kita berharap pakej rangsangan fiskal oleh kerajaan akan dapat merancakkan interaksi ekonomi melalui sektor yang antaranya terdiri daripada perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan kuari dan pembinaan,” katanya sambil menambah pelaburan sektor swasta juga amat digalakkan terutama melalui peningkatan perbelanjaan sektor itu.

PKPP yang akan berkuatkuasa pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020, menggantikan PKPB yang tamat pada 9 Jun. Dalam tempoh PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan untuk membolehkan rakyat di negara ini menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Pemulihan: Polis laksana tugas selaras arahan MKN, kerajaan

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Penugasan polis akan disesuaikan dengan arahan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata urusan pengkompaunan masih berterusan semasa tempoh PKPP berkenaan.

“Pihak JSPT akan melakukan penyesuaian arahan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa berkaitan PKPP,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata penempatan anggota di sekatan jalan raya selain penguatkuasaan pematuhan jarak sosial masih berkuat kuasa sehingga esok mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, ditanya mengenai kebarangkalian keadaan lalu lintas menjadi sibuk sebelum orang ramai betul-betul diberi kebenaran untuk melakukan aktiviti rentas negeri atau pulang ke kampung pada 10 Jun, beliau berkata tiada kesesakan luar biasa setakat ini.

“Setakat ini tiada kesesakan luar biasa dimaklumkan dengan aliran bergerak lancar di kebanyakan lebuh raya,” katanya.

Semalam Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador akan menetapkan bentuk penugasan baharu pada esok (9 Jun), susulan pengumuman PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menggantikan PKPB yang berakhir esok.

Berikutan itu, pihaknya sedang memperhalusi butiran berhubung pengumuman PKPP berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP Pemulihan: Kompaun masih diteruskan jika ingkar SOP

PUTRAJAYA, 8 JUN: Kompaun masih dikenakan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bakal berkuat kuasa pada Rabu ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun tiada lagi sekatan jalan raya dan larangan pergerakan rentas negeri dibuat dalam tempoh PKPP, orang ramai perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Sekarang ini, tiada kawalan pergerakan (dalam PKPP dan) telah dibebaskan tetapi ia lebih kepada pematuhan SOP dan pemantauan pihak berkuasa seperti biasa untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP.

“Sebagai contoh kegagalan sebuah premis mematuhi SOP akan menyebabkan premis berkenaan ditutup dan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra pada 8 Jun 2020. Foto BERNAMA

Ismail Sabri berkata walaupun PKPP bakal berkuat kuasa, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berterusan dalam tempoh PKPP.

“Sebagai contoh, di dalam sebuah bas, jika mahu ia berkapasiti penuh maka tiada penjarakan sosial yang berlaku. Lebih-lebih lagi, kita tidak tahu siapa dan nombor telefon penumpang yang menaiki bas tersebut sekali gus akan menyukarkan kita untuk mengesan mereka sekiranya penularan wabak berkenaan berlaku.

“Begitu juga jika berada di tempat-tempat awam seperti pasar-pasar awam, pasar raya, pasar tani, dan pasar malam yang telah dibenarkan beroperasi dengan SOP tertentu. Jadi, kekalkan kawalan kendiri dan terus patuh SOP untuk pastikan keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata pihaknya akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Kesihatan mengenai SOP terperinci sambutan Hari Raya Aidiladha kelak.

“Kita akan umumkan SOP berkenaan apabila sampai masanya nanti. Mengenai ziarah kubur pula, ia juga dibenarkan tetapi ia juga mesti lah mempunyai penjarakan sosial dengan kapasiti 20 orang pada satu-satu masa mengikut keluasan tanah perkuburan,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan asas kepada SOP ialah penjarakan sosial dan perkara yang sama juga perlu dilakukan walaupun selepas pelaksanaan PKPP.

Menurutnya, penjarakan sosial ini perlu dijadikan sebagai satu normal baharu dalam kehidupan selepas ini bagi terus mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis rangka penugasan baharu susulan PKP Pemulihan

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menetapkan bentuk penugasan baharu, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berakhir Selasa ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang memperhalusi butiran berhubung pengumuman PKPP tersebut.

“Menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu,” katanya kepada Bernama disini, hari ini.

Beliau berkata, penugasan baharu ini juga termasuk kawalan trafik memandangkan orang ramai akan mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung.

Selain itu, ditanya sama ada sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan, beliau berkata ia sudah tidak ada keperluan.

“Buat saat ini, SJR untuk PKPP ini jelas sudah tidak ada keperluannya lagi, kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng Covid-19. Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.

“Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada jarakan sosial,” katanya.

Abdul Hamid berkata, semangat ingin merayakan sambutan Aidilfitri masih berkobar-kobar dalam kalangan masyarakat dapat dijangkakan, namun mengingatkan bahawa kemenangan melawan Covid-19 belum berakhir.

Antara intipati PKPP adalah perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Pemulihan: KKM pantau pematuhan SOP hingga 31 Ogos

PUTRAJAYA, 7 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan dilaksanakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) supaya tindakan boleh dikenakan terhdap mereka yang ingkar SOP.

“Pemantauan perlu diteruskan kerana virus masih wujud dalam komuniti dan kemungkinan jangkitan berlaku masih ada.

“Jika selepas 31 Ogos, kes kekal satu atau dua angka KKM akan menimbang untuk membuka kawalan sempadan negara,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di KKM, hari ini.

Beliau berkata antara syarat yang dilihat sebelum sempadan negara dibuka semula ialah pergerakan hanya terhad dalam negara zon hijau atau negara kelompok yang rendah risiko jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham optimis Malaysia mampu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 tanpa vaksin dengan pendekatan kawalan kesihatan awam.

“Kalau kita patuh pada saranan awam, (sebelum ini) kita berjaya mengawal jangkitan SARS dan MERS yang tak ada vaksin.

“Tak mustahil kita berjaya putuskan jangkitan Covid-19 tanpa vaksin, tapi ada vaksin lagi bagus,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

PKP Pemulihan: Sambutan Aidiladha, ibadah korban dibenarkan

SHAH ALAM, 7 JUN: Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata namun, ia tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa agama Islam.

“Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di media utama hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan sedang memperhalusi kebenaran membenarkan lebih ramai solat jemaah dan aktiviti keagamaan di masjid serta rumah ibadat mengikut ruang keluasan tempat berkenaan.

“Kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi dan akan diumumkan sedikit masa lagi,” jelasnya.