Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

PKPB mukim Klang: Tidak perlu kebenaran polis jika ada surat majikan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pekerja yang tinggal di kawasan dilaksanakan sekatan jalan raya (SJR) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang, perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan daripada majikan masing-masing supaya tidak timbul masalah ketika melalui SJR.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pekerja yang mempunyai surat pelepasan perjalanan daripada majikan tidak perlu mendapatkan kebenaran polis untuk keluar bekerja.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mempunyai surat pengesahan bekerja yang dikeluarkan majikan atau pas pekerja, mereka boleh memuat turun borang tersebut atau mendapatkannya dalam laman Facebook ibu pejabat polis daerah yang berkaitan atau boleh memperolehnya di lokasi sekatan jalan raya di kawasan terbabit.

“Mereka boleh memuat turun borang kebenaran dalam laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang Utara dan Shah Alam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Azam berkata demikian bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai pergerakan di mukim Klang yang dikenakan PKPB mulai hari ini hingga 23 Oktober.

Beliau berkata pelaksanaan SJR diadakan di Bayu Perdana, Sri Andalas serta Bukit Tinggi dalam mukim Klang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memastikan butiran pada borang berkenaan diisi dengan lengkap bagi mengelak kesesakan ketika mereka melalui SJR yang dijalankan pihak polis.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata pelaksanaan PKPB adalah bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan terbabit, selain bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksana sepanjang tempoh 14 hari.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam buat sekatan jalan raya di Kampung Bukit Naga

SHAH ALAM, 9 OKT: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Bukit Naga susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata sekatan itu beroperasi 24 jam di bawah pentadbiran Balai Polis Taman Sri Muda yang menghubungkan laluan sempadan Klang dan Shah Alam.

“Lokasi SJR Kampung Bukit Naga (di) Lot 6012, Lorong Takiah, Batu 6, Kampung Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan orang ramai yang ingin keluar atau masuk ke kawasan Bukit Tinggi melibatkan Bayu Perdana, Flat Sri Angkasa, Apartment Vista Bayu dan Bayu Villa serta Taman Sri Andalas dinasihat untuk mendapatkan surat kebenaran di balai polis bergerak yang disediakan.

Baharudin menambah Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan membuat pantauan secara berkala bagi memastikan laluan antara kedua-dua daerah berjalan lancar.

“Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang setakat ini (tertakluk kepada perubahan semasa),” katanya.

PKPB dilaksanakan di 36 kawasan di mukim Klang bermula hari ini hingga 23 Oktober sebagai langkah pencegahan susulan peningkatakan kes Covid-19 di daerah itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB Klang: Pasar, restoran dan stesen minyak boleh operasi

SHAH ALAM, 8 OKT: Restoran, stesen minyak dan pasar dibenar beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata waktu operasi pasar borong bermula jam 4 pagi hingga 2 petang, pasar biasa (6 pagi hingga 2 petang) dan pasar tani (6 pagi hingga 12 tengah hari).

“Restoran, kedai makan, gerai, warung, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenar beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 10 malam namun untuk pembelian secara pandu lalu atau beli dan makan di rumah serta penghantaran.

“Waktu operasi stesen minyak pula bermula jam 6 pagi hingga 11 malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai makan, gerai dan warung dibenar 6 pagi sehingga 10 malam

SHAH ALAM, 8 OKT: Operasi kedai makan, gerai dan warung dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata waktu operasi dihadkan dari jam 6 pagi sehingga 10 malam sahaja.

“Kebenaran operasi ini hanya untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran dan pesanan bawa pulang,” katanya hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

MKN perinci PKPB Klang, Selangor beri cadangan ubah suai

SHAH ALAM, 8 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang termasuk beberapa cadangan pengubahsuaian daripada Kerajaan Negeri akan diperinci Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara berkenaan disampaikannya dalam sidang khas MKN bersama perdana menteri secara maya jam 11 pagi tadi.

Katanya, cadangan itu dibuat berdasarkan maklum balas pelbagai agensi dan jabatan melalui mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

“Untuk penyelarasan dan keseragaman informasi, MKN di bawah kerajaan persekutuan akan mengumumkan perincian pelaksanaan PKP Bersyarat Klang.

“Kerajaan Negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,” kata Amirudin dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Selangor juga meneruskan saringan bersasar Covid-19 yang dijalankan mulai 4 Oktober lalu bagi membendung wabak itu.

Seramai 337 pemastautin Selangor yang ada sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September menjalani pemeriksaan percuma di Klinik Selcare. Satu kes positif dikesan setakat semalam.