Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Sidang Parlimen dijangka September atau Oktober

SHAH ALAM, 15 JUN: Sidang Parlimen dijangka boleh diadakan sekitar September atau Oktober, iaitu dalam fasa ketiga Strategi Pelan Pemulihan Negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun sidang berkenaan perlu dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.

“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Muhyiddin berkata fasa ketiga melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada negatif iaitu semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19 yang masih ditutup.

Katanya, proses peralihan kepada fasa tersebut boleh dilakukan sekiranya berjaya mencapai nilai ambang berikut, iaitu:

– Purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 2,000
– Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi dan
– 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin

“Nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM terima suntikan, program vaksin kebangsaan bermula

PUTRAJAYA, 24 FEB: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Perdana menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 di sini, yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Muhyiddin tiba di pusat kesihatan itu pada kira-kira 2.25 petang dan melalui lima stesen di PPV untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

Stesen pertama untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin Covid-19, stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen keempat bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 dan stesen kelima ialah stesen pemerhatian.

Turut menerima suntikan pertama dan merupakan antara yang terawal menerima vaksinasi dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Empat petugas KKM itu ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis.

Dr Tan, 30, merupakan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya manakala Sheilla Mellissa, 31, jururawat di klinik kesihatan tersebut.

Pesawat MH604 dengan hiasan Jalur Gemilang membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 mendarat di KLIA pada 21 Februari 2021. Foto BERNAMA

Khairul Asraf, 44, adalah Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Clement, 36, pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya.

Selepas dipantau sekiranya terdapat kesan sampingan suntikan yang diterimanya daripada Ketua Jururawat Kesihatan, Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11, Lina Ibrahim, di stesen pemerhatian, Muhyiddin kemudian mengambil janji temu bagi pengambilan dos kedua.

Vaksin Pfizer-BioNTech perlu disuntik dua kali, dengan suntikan kedua pada hari ke-21 selepas suntikan pertama.

Turut berada di PPV itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Perdana menteri kemudiannya melancarkan pendaftaran program vaksinasi menerusi MySejahtera yang akan memudah cara proses pendaftaran bagi menerima vaksin.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” itu dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Pendekatan kerajaan melalui program imunisasi itu adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, pandemik yang melanda telah menjangkiti seramai 288,229 orang sehingga 23 Februari, selain lebih 1,076 kematian dilaporkan.

Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos pada Ahad melalui pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penguatkuasaan perlu dipertingkat, pastikan SOP dipatuhi – PM

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Penutupan premis dan tindakan perundangan kepada pemilik perniagaan yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) adalah antara tindakan yang bakal dilaksanakan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata tindakan itu adalah antara pindaan di dalam Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang diteliti Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat diambil.

“Pematuhan kepada SOP di tempat kerja, tempat penginapan pekerja dan premis peniagaan dan kilang adalah penting untuk kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Tindakan penguatkuasaan mesti dipertingkatkan untuk memastikan pematuhan kepada SOP.

“Justeru, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan dalam Akta 342 yang perlu dipinda,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen utama negara.

Dalam perutusan kira-kira 40 minit itu, Muhyiddin menjelaskan ada enam pindaan yang sedang diteliti, yang antara lain melibatkan arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan kerajaan.

Selain itu katanya tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan juga bakal diambil kerajaan.

“Tindakan penguatkuasaan juga melibatkan aspek perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan.

“Malahan tindakan kompaun yang lebih tinggi akan dikenakan kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran selain penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan SOP,” katanya.

Muhyiddin berkata menerusi pindaan itu, penjawat awam juga tidak terlepas dari tindakan jika tidak mematuhi peraturan dan SOP termasuk kepada ketua jabatan berkaitan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).

Pada 16 Januari lepas, Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang pertama dipengerusikan Muhyiddin meluluskan penubuhan Jawatankuasa Teknikal bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

Jawatankuasa teknikal ini antara lain bertanggungjawab memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat; meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian; menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri dan mengetuai pemantauan serta naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

– BERNAMA

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

59 peratus gelombang ketiga kes Covid-19 dari tempat kerja – PM

SHAH ALAM, 4 FEB: Sebanyak 59 peratus kes Covid-19 gelombang ketiga yang mencatatkan peningkatan mendadak dikesan dari tempat kerja, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata diikuti 19 peratus jangkitan dalam pusat tahanan serta 14 peratus sekitar kediaman.

“Rumah ibadat atau aktiviti keagamaan merekodkan lima peratus manakala selebihnya dari kes import dan kumpulan berisiko.

“Kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau SOP (tatacara operasi piawaian) yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Sementara itu, perdana menteri memaklumkan sektor pengilangan merekodkan bilangan kluster tertinggi dengan 128 kluster setakat semalam.

Menurut Muhyiddin, sektor pembinaan merekodkan 82 kluster manakala 61 kluster bagi perkhidmatan.

“Penginapan pekerja asing yang sesak dan tidak memenuhi piawaian menjadi antara punca utama penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya.

Beliau berkata susulan itu, menerusi kuasa di bawah Proklamasi Darurat, kerajaan bakal meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 bertujuan menangani isu pengurusan tempat tinggal pekerja.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM umum Permai nilai RM15 bilion, 22 inisiatif perangi Covid-19

SHAH ALAM, 18 JAN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif untuk perangi pandemik Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan perniagaan.

Beliau mengumumkan pakej bantuan itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat dilaksanakan di negara ini yang disiarkan secara langsung melalui media utama.

“Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya.

Muhyiddin berkata di bawah matlamat memerangi wabak Covid-19, kerajaan  menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara serta agensi lain.

Perdana menteri berkata penyediaan peruntukan itu menumpukan kepada bekalan, antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutamanya kepada petugas kesihatan.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan PKP di beberapa negeri untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari sehingga 26 Januari.

Kerajaan turut melaksanakan PKP di seluruh Kelantan dan juga Sibu, Sarawak bermula 16 Januari berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Berikut adalah inisiatif yang diumumkan:

– Pemberian sekali gus RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, RM300 kepada petugas barisan hadapan lain mula dibayar pada suku tahun pertama tahun ini.

– Kerajaan tambah lebih 3,500 petugas kesihatan yang akan bertugas hujung Januari, dengan peruntukan tambahan RM150 juta.

– Moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank- bank, seperti yang diumumkan sebelum ini.

– JKM akan laksana Program Bakul Makanan bernilai RM100 ringgit bagi setiap isi rumah layak.

– Pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 bagi pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

–  Bayaran fasa terakhir BPN 2.0 akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari 2021.

– Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, semua majikan yang beroperasi semasa PKP layak untuk memohon tanpa mengambil kira sektor.

– Pemberian percuma data 1 Gigabit kepada orang ramai termasuk bagi tujuan pendidikan mulai awal bulan ini hingga April.

– Bantuan sekali gus RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi serta pemandu bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-panggilan.

– KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 ringgit bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2, terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat PKP serta bencana banjir.

– Program Subsidi Upah 3.0 melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dijangka dapat memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.

– Program Subsidi Upah – Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000, had pekerja 500.

– Kerajaan benarkan syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia untuk mendapat jaminan SJPD dengan syarat jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurang- kurangnya 75 peratus.

– Kerajaan sedia peruntukan awal RM200 juta bantu ringankan beban rakyat terjejas akibat banjir.

– RM50 juta disalur kepada NADMA bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Darurat: Tindakan tegas jika ingkar peraturan bendung pandemik – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk membendung penularan Covid-19 dalam tempoh Proklamasi Darurat.

Perdana menteri berkata pindaan termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas individu yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat yang hari ini.

Beliau menyeru rakyat untuk terus mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan darurat.

“Mudah- mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 dengan segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes-kes positif Covid-19 saban hari,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahkamah, aktiviti ekonomi tetap berfungsi ketika darurat – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Perdana menteri memberi jaminan badan kehakiman terus berfungsi menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh darurat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri  urusan mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pengumuman Khas Darurat yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau berkata aktiviti ekonomi juga terus berfungsi tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa.

“Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited memastikan amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran,” katanya.

Dalam pada itu,  beliau menjelaskan kepada pihak berkepentingan bahawa Malaysia masih terbuka untuk perniagaan dalam menghadapi masa mencabar ini.

“Tempoh darurat ini akan memberi kita ketenangan dan kestabilan yang diperlukan selain membolehkan kita menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan pertumbuhan.

“Kita kekal komited terhadap tadbir urus yang baik dalam tempoh-tempoh ini dan mempunyai ekosistem pengawalseliaan yang kukuh dan dinamik,” kata beliau.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Agong boleh masyhur ordinan ketika darurat

SHAH ALAM, 12 JAN: Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan ordinan yang perlu mengikut keadaan semasa ketika pelaksanaan darurat, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ordinan itu merangkumi hal berkaitan penggunaan aset, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih serta penggunaan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19.

“Bagi menghalang sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang yang keterlaluan,
boleh dimasyhurkan oleh baginda, dengan hukuman lebih berat boleh dibuat. Semua ordinan
yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong ini akan diwartakan dan diketahui oleh rakyat,”
katanya dalam pengumuman khas darurat Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memberi kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk kuasa sedia ada di bawah polis menerusi tatacara kanun jenayah, dengan ATM juga boleh diperuntukkan kuasa membantu melaksana kawalan berhubung kesihatan awam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kerajaan Persekutuan, negeri berfungsi seperti biasa

SHAH ALAM, 12 JAN: Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus berfungsi seperti biasa semasa tempoh darurat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata pengisytiharan darurat tidak membabitkan sebarang bentuk rampasan kuasa tentera atau pelaksanaan perintah berkurung.

“Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri akan terus berfungsi ikut Perlembagaan Persekutuan.

“Malah saya beri jaminan jentera perkhidmatan serta pentadbiran awam, kerajaan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat ini,” katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda memberi perkenan pelaksanaan sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal dengan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PM jangka 3,000 sukarelawan terlibat kajian klinikal vaksin fasa tiga

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19 akan bermula pada 21 Januari ini di sembilan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (CRC) masing-masing, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia itu dijangka melibatkan seramai 3,000 sukarelawan.

“Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon ‘inactivated Covid-19 vaccine’ buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini.

Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika daripada Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Perubatan (MREC) dan akhir sekali, Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dari NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) telah diperolehi pada 8 Januari 2021,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan hari ini.

Muhyiddin berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM juga telah meluluskan pendaftaran vaksin Covid-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer dengan Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Katanya sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin Covid-19 kepada rakyat negara ini berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan pada 11 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70 peratus atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin Covid-19.

Buat masa ini, kerajaan telah pun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin Covid-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Katanya, kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.

Katanya, proses penilaian dibuat Jawatankuasa NPRA untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin Covid-19 berkenaan boleh digunakan.

Muhyiddin pada akhir perutusannya turut mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan walaupun bekalan vaksin akan diterima tidak lama lagi.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk memberi perlindungan kepada seluruh rakyat.

“Saya juga memohon kepada anda semua untuk lakukan yang terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh menang. Insya-Allah,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima sektor ekonomi perlu boleh beroperasi sepanjang PKP

SHAH ALAM, 11 JAN: Hanya lima sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa mulai 13 Januari.

Perdana menteri berkata ia meliputi pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sektor tersebut dibolehkan kerana peranannya menyokong kerja membekal keperluan asas bagi memastikan rantaiannya tidak terputus.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja sokongan, jumlahnya akan ditentukan oleh majikan,” katanya dalam perutusan hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

Muhyiddin memaklumkan sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai perlu perlu bekerja dari rumah bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti.

“Hanya dengan langkah ini kita dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja,” tegas beliau lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Aktiviti riadah dibenarkan, jarak dua meter

SHAH ALAM, 11 JAN: Aktiviti riadah dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikuat kuasa bermula Rabu.

Perdana menteri berkata kebenaran tersebut bagi mengelak tekanan kepada kesihatan mental susulan pengasingan diri di rumah untuk tempoh lama.

“Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenar meninggalkan rumah untuk beriadah bersama keluarga sahaja,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas hari ini.

Beliau berkata aktiviti tersebut dibenarkan bersama anggota isi rumah sahaja dengan memastikan jarak dari orang lain adalah dua meter setiap masa.

“Kalau hendak joging, jangan lebih dua orang. Jika berbasikal, janganlah secara berkumpulan, cukuplah seorang sahaja,” kata beliau lagi.