Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Calon SPM 2020, 2021 dibenar hadir ke sekolah

SHAH ALAM, 11 JAN: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama bagi sesi 2020 dan 2021 dibenar hadir ke sekolah, tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran tersebut turut melibatkan sekolah di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berhubung perkara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperincikan SOP yang akan dilaksanakan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Pada 8 November, kerajaan mengumumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda ke 22 Februari 2021. Tarikh bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga dianjak ke 8 Mac.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wilayah Persekutuan, Selangor antara enam negeri dikenakan PKP

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meliputi tiga peringkat untuk tempoh 14 hari bemula 13 Januari.

Perdana menteri memaklumkan PKP dikenakan ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKP Bersyarat pula dilaksana di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Sementara PKP Pemulihan (PKPP) dikuat kuasa bagi Perlis dan Sarawak serta akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA

Beliau berkata PKP dikenakan ke atas negeri berisiko tinggi hasil penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selain keupayaan khidmat kesihatan mencapai tahap maksimum.

Sementara itu, Muhyiddin berkata aktiviti sosial melibatkan perkumpulan ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan dan sukan berkumpulan tidak dibenarkan.

Menurutnya, hanya negeri di bawah pelaksanaan PKPP boleh melakukan aktiviti tersebut, tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

“Pergerakan rentas negeri juga tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga dilarang.

“Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya akan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam, 13 Januari 2021,” kata Muhyiddin.

Jelasnya, bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan terhad dalam radius 10 kilometer dan hanya dua anggota isi rumah dibenarkan untuk membeli barangan keperluan.

Tegasnya, individu yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bidang teknikal janji masa depan cerah, pulangan besar – PM

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Minat generasi baharu perlu dipupuk untuk menceburi bidang teknikal terutamanya kejuruteraan yang sering dikaitkan dengan istilah ‘dirty, difficult dan dangerous’ atau 3D (kotor, bahaya dan sukar) kerana kerjaya itu mempunyai pasaran kerja lebih cerah dengan memberi pulangan besar.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lulusan bidang teknikal dijangka menjadi rebutan dalam pasaran pekerjaan pada masa hadapan walaupun bidang itu secara langsung atau tidak langsung memberi persepsi negatif bagi pemilihan kerjaya dalam kalangan generasi muda.

“Trend masa depan menunjukkan bahawa bidang yang berkait dengan teknologi akan menjadi profesion berpermintaan tinggi.

“Penggunaan teknologi terkini pula akan mengubah imej 3D ini kepada imej berprestij kerana profesion teknikal menuntut kesarjanaan ilmu dan kepakaran yang mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020 yang disiarkan secara rakaman video menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

HPTN disambut pada Sabtu pertama bulan Disember setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan tertinggi negara kepada warga profesion teknikal di Malaysia.

Justeru, Muhyiddin berkata kerajaan berusaha memperkukuh kualiti lulusan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dalam usaha untuk memajukan profesion teknikal negara.

Di peringkat lebih awal, perdana menteri berkata pelajar sekolah dan belia digalakkan untuk menjadikan bidang itu sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka, bukan sahaja demi memenuhi keperluan masa depan perindustrian negara, tetapi untuk melahirkan golongan profesion teknikal yang berdaya maju.

Jelas beliau, ia selari dengan perkembangan global terutamanya ledakan teknologi IR4.0 dan peluang pekerjaan yang ditawarkan berkaitan jurusan STEM dan TVET adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan turut berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pembuat dasar dan pemimpin dalam kalangan warga profesion teknikal supaya hala tuju negara selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

“Di samping itu, agensi dan syarikat strategik negara berasaskan teknologi perlu diterajui dalam kalangan profesional teknikal. Ini selaras dan bertepatan dengan tema HPTN 2020 – Masa Depan Adalah Kita,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PM ucap tahniah Biden berjaya ‘tawan’ Rumah Putih

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Malaysia berharap dapat memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Joe Biden yang baru sahaja memenangi pilihan raya presiden negara itu, ketika masyarakat dunia sedang bergelut menangani pelbagai cabaran termasuk Covid-19.

Dalam ucapan tahniah kepada Biden, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berharap presiden baharu AS itu akan merekodkan kejayaan besar sepanjang menerajui Rumah Putih.

Sambil menyatakan harapan dapat bertemu Biden secara peribadi apabila ada peluang, Muhyiddin berkata Malaysia mengikuti secara rapat perkembangan proses Pilihan Raya Presiden AS 2020 itu.

“Rakyat Amerika telah membuat keputusan memilih Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 berdasarkan kepimpinan dan wawasannya.

“Sebagai sebuah negara membangun yang sedang pesat berkembang, Malaysia memberi penekanan terhadap hubungan dua halanya dengan AS. Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia akan terus berperanan sebagai kerangka utama bagi kerjasama proaktif, pelbagai aspek dan saling menguntungkan di antara kedua-dua negara,” kata Muhyiddin dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan AP, Biden yang mewakili Parti Demokratik merampas Rumah Putih daripada Donald Trump selepas menguasai 290 perwakilan sekalipun tiga negeri iaitu Georgia, North Carolina dan Alaska masih belum mengumumkan keputusan rasmi selepas beberapa hari pilihan raya berlangsung pada Selasa.

Seseorang calon Presiden AS memerlukan 270 undi elektoral untuk memenangi pilihan raya presiden negara itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Ada keperluan PKPP diteliti semula, kekang Covid-19 naik

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan ada keperluan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diteliti semula, bagi kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak Covid-19 terutama di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak.

Perdana Menteri berkata ketika Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) harian mengenai Covid-19 hari ini, beliau berbincang mengenai PKPP yang akan berakhir Disember ini, sedangkan situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai cabaran Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan hujung tahun ini (5 Disember) dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi Covid-19 yang masih belum reda,” katanya dalam laman Facebooknya, malam ini.

Muhyiddin turut memuat naik beberapa keping gambar mesyuarat secara sidang video berkenaan, yang membincangkan situasi semasa pandemik dan langkah-langkah yang perlu diambil.

Beliau juga melahirkan rasa bimbang berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor, yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah, walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi dan intervensi telah dipertingkatkan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, walaupun kerajaan Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini.

Mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat, Muhyiddin berkata Dr Zulkifli menjelaskan ketetapan telah dibuat dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum dilaksanakan.

Menyentuh mengenai sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam, Muhyiddin berkata ia berlangsung dalam keadaan norma baharu, dengan pelbagai tatacara operasi piawai (SOP) diperkenalkan.

“Bagaimanapun sepanjang minggu ini sidang Parlimen diadakan setakat jam 1 petang sahaja, berikutan ada beberapa kes Covid-19 yang melibatkan beberapa petugas di Bangunan Parlimen.

“Berikutan kes tersebut, timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan ahli parlimen sendiri kerana kedudukan Bangunan Parlimen itu sendiri pun terletak di zon merah dan melibatkan pergerakan keluar masuk ahli parlimen, para pegawai mereka serta kakitangan di situ,” katanya.

Perdana Menteri turut percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dapat menggunakan kebijaksanaan beliau untuk menguruskan perkara itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM ajak umat Islam munajat hadapi Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Bersempena sambutan Maulidur Rasul, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengajak seluruh umat Islam untuk terus bermunajat di kala negara masih diuji dengan penularan jangkitan Covid-19, serta dalam usaha memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

Bermunajat bermaksud mengharapkan keredaan, hidayah dan pertolongan Allah dengan membanyakkan zikir dan doa.

Perdana Menteri berkata ujian itu seharusnya mengukuhkan iltizam umat Islam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah melupakan umatnya.

“Semoga dengan usaha ini kita akan beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah SWT, serta kita semua digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi, dan kelak akan menerima syafaat Rasulullah SAW, insya-Allah,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, melalui Facebooknya.

Beliau berkata Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat Rabbani dan akhlak terpuji, yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia.

“Saban tahun, kita memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kasih dan sanjungan terhadap risalah perjuangan serta pengorbanan Baginda SAW terhadap umatnya. Tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’,” katanya.

Muhyiddin berkata tema berkenaan dipilih untuk menggambarkan peri pentingnya sifat Rabbani dan kepatuhan hamba kepada pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.

”Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah insan yang sangat mulia dan kita kasihi ini,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya memuji inisiatif dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menggerakkan kempen “Malaysia Berselawat”.

Melalui inisiatif itu, peserta terdiri daripada rakyat Malaysia, dianjurkan merakam selawat dalam bentuk video pendek yang dikongsi di media sosial masing-masing dengan hashtag #SemarakCintaRasul serta tag laman sosial JAKIM.

“Ini bukan sahaja inisiatif sangat baik dan bersesuaian dengan amalan norma baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian, bahkan lebih utama melambangkan bukti kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah melalui amalan berselawat ke atas Nabi SAW,” kata Muhyiddin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Jemaah menteri ambil maklum tiada keperluan darurat, bincang lanjut

SHAH ALAM, 25 OKT: Jemaah Menteri mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jemaah menteri akan membincangkan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

“Keutamaan jemaah menteri pada masa ini ialah melindungi rakyat daripada wabak Covid-19,” kata perdana menteri dalam kenyataan media malam ini.

Muhyiddin berkata beliau menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka Baginda dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu bertitah tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara menerusi kenyataan yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Ahmad Fadil berkata sebelum ini Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi dan berbincang bersama Raja-Raja Melayu mengenai permohonan yang dipersembahkan oleh Muhyiddin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, Jumaat lalu.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan rentas negeri, kerajaan jamin beri notis awal

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan akan memberi notis mencukupi sebelum mengenakan sekatan rentas negeri bagi mengelakkan ramai penumpang terkandas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu bagi membolehkan orang ramai membuat
perubahan kepada jadual perjalanan mereka.

“Saya diberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri pagi tadi membuat keputusan untuk menyekat pergerakan antara Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa mulai esok.

“Setelah berbincang dengan beliau, saya membuat keputusan untuk memberi lebih banyak masa sebelum sekatan ini dilakukan. Tarikh baru sekatan berkuat kuasa mulai 12 Oktober jam 12.01 tengah malam hingga 25 Oktober,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan membabitkan orang ramai bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan mendapatkan input daripada Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu sebelum melaksanakannya, termasuk cadangan mengadakan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan jika perlu.

“Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh SOP dan arahan dikeluarkan kerajaan. Petugas barisan hadapan akan dikerah semula ke tempat awam untuk memastikan pematuhan.

“Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat,” kata Muhyiddin lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya sekolah di zon merah ditutup

SHAH ALAM, 6 OKT: Hanya sekolah di kawasan zon merah yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 akan ditutup, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kawasan tersebut ialah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau,
Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

“Saya tahu ramai ibu bapa bimbang mengenai anak-anak yang hadir ke sekolah. Setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau keadaan kes Covid-19 dan jika ada kes membabitkan warga sekolah, KPM akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menanganinya,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 sekiranya perlu.

Semalam, KPM memutuskan sebanyak 122 sekolah harian terdiri daripada 86 sekolah rendah, 25 sekolah menengah dan 11 sekolah swasta di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah ditutup mulai hari ini.

Langkah itu susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah terbabit berkuat kuasa 12.01 tengah malam 7 Oktober.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kerajaan tidak cadang laksana semula PKP

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara seperti sebelum ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bagi mengelakkan keruntuhan sistem sosial dan ekonomi negara.

“Apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan PKP Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.

“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas,” katanya dalam perutusan khas petang ini.

Muhyiddin berkata kesiapsiagaan sistem kesihatan negara membolehkan kerajaan menangani penularan Covid 19 tanpa perlu menutup sektor ekonomi seperti sebelum ini.

“Setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar. Apa jua keputusan perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat yang keluar bekerja bagi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi negara,” kata beliau lagi.

Kerajaan melaksanakan PKP secara berfasa mulai 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19. Pada 4 Mei, PKP Bersyarat yang membenarkan sektor ekonomi kembali beroperasi dilaksanakan.

PKP Pemulihan pula dikuat kuasa mulai 10 Jun dan dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Tujuh menteri, enam timbalan jalani kuarantin 14 hari

SHAH ALAM, 6 OKT: Tujuh menteri dan enam timbalan menteri tidak terkecuali daripada menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, tegas perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesemua yang terlibat perlu mematuhi peraturan tersebut dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar.

“Saya ingin tegaskan tiada pilih kasih dalam mematuhi arahan kuarantin. Saya sendiri pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah setelah mempengerusikan mesyuarat dihadiri oleh seorang menteri yang kemudian disahkan positif Covid-19.

“Ini adalah tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya tidak terkecuali daripada tertakluk dengan SOP dan ini kali kedua saya kuarantin sejak Covid-19 melanda negara,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata walaupun dikuarantin, beliau akan mengadakan sidang video secara harian bersama jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan untuk mengurus perihal Covid-19.

Beliau turut meminta masyarakat supaya tidak panik atau membuat kesimpulan sendiri berhubung situasi yang dihadapi ketika ini.

“Elakkan penyebaran berita palsu yang boleh menyebabkan kita keliru. Keputusan kerajaan khususnya menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 berasaskan data dan fakta yang dikumpul melalui sumber berautoriti,” kata beliau lagi.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menteri hal-ehwal agama, disahkan positif Covid-19 semalam dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Susulan itu, KKM menjalankan saringan ke atas semua ahli dan urus setia mesyuarat tersebut.

Menurut Bernama, mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh perdana menteri dihadiri, antaranya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri-menteri berkaitan turut hadir bagi membincangkan perkembangan terkini wabak tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan hadir.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM jalani kuarantin selepas menteri agama positif Covid-19

SHAH ALAM, 5 OKT: Perdana menteri akan menjalani kuarantin di kediamannya selama 14 hari selaras saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan itu susulan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang disahkan terkena Covid-19 hadir dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara kelmarin.

“Hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan kerajaan. Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,” katanya dalam kenyataan
hari ini.

Beliau turut menasihatkan ahli mesyuarat yang bukan kontak rapat Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menteri hal-ehwal agama, menjalani kuarantin selama 14 hari.

Muhyiddin juga memaklumkan beliau membuat saringan Covid-19 setiap dua minggu sejak April sebagai langkah berjaga-jaga dan kesemuanya disahkan negatif.

Beliau turut melakukan tiga lagi saringan dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September. Semua keputusan didapati negatif.

Dr Zulkifli disahkan positif Covid-19 hari ini dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Susulan itu, KKM menjalankan saringan ke atas semua ahli dan urus setia mesyuarat tersebut.

Kontak rapat Dr Zulkifli dalam pertemuan berkenaan diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari mulai 3 Oktober, selain dipakaikan gelang pengawasan.

Sementara mereka yang bukan kontak rapat kepada bekas mufti Wilayah Persekutuan itu dinasihat menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari sehingga 16 Oktober dan memantau kesihatan masing-masing.

Menurut Bernama, mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh perdana menteri dihadiri, antaranya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri-menteri berkaitan turut hadir bagi membincangkan perkembangan terkini wabak tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan hadir.