Categories
NASIONAL SELANGOR

Asrama Khusus Untuk Anak-Anak Pekerja Ladang Di Selangor

Majlis Perasmian Asrama Anak Peladang 01

PETALING JAYA 2 FEB : Sejajar dengan misi memartabatkan institusi pendidikan anak-anak pekerja ladang, Kerajaan Negeri membina bangunan asrama untuk menempatkan anak golongan berkenaan.

MB Majlis Perasmian Asrama Anak Peladang 02Bertempat di Ijok, bangunan dua blok, tiga tingkat yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas bagi menjamin pembelajaran lebih selesa itu dijangka siap dibina sebelum hujung tahun ini dengan kos sebanyak RM 5 juta melalui peruntukkan dari Geran Selangorku.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar memaklumkan asrama terbabit menyediakan pelbagai kemudahan antaranya dewan makan, rumah warden, pejabat warden, bilik rekreasi, bilik sakit, perpustakaan dan makmal komputer yang berkeluasan lapan ekar.

Katanya, asrama itu akan mampu memuatkan sekurang-kurangnya 500 pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Tambahnya, Pakatan Rakyat benar-benar berhasrat untuk menolong masyarakat ladang agar berjaya dalam bidang pelajaran dan bebas daripada masalah sosial dan kemiskinan.

“Asrama ini adalah pertama di Malaysia yang khusus kepada golongan pekerja ladang. Ini satu permulaan untuk meningkatkan pelajaran anak-anak pekerja ladang dan bekas pekerja.

P.Sumathy“Kita akan memastikan mereka akan mendapat pelajaran yang terbaik. Kerajaan Negeri turut menyediakan kelas tambahan kepada pelajar. Tenaga pekerja terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam tugas pendidik,” katanya kepada pemberita.

Majlis pelancaran asrama itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di hadapan kira-kira 1,000 pekerja ladang di Bangunan Peladang, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Adun Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.

Dr Xavier turut tidak menolak untuk membina satu lagi asrama seperti itu di tempat lain jika mendapat persetujuan dari Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata tujuan pembinaan itu dilakukan untuk anak-anak generasi golongan itu mempunyai tempat belajar dengan persekitaran yang baik.

S.Thanabalan“Kita lancarkan di Selangor, saya harap Perdana Menteri membinanya di seluruh negara pula. Kalau beliau (PM) buang duit untuk perkara yang lain, lebih baik beliau buat asrama seperti ini,” katanya.

Bagi penduduk, P.Sumathy, 42, berkata inisiatif yang ditujukkan oleh Kerajaan Negeri itu mampu menjadikan pelajar khususnya anak pekerja ladang menjadi golongan yang berpelajaran tinggi satu masa nanti.

Selain itu, S.Thanabalan, 49, yakin dengan kemudahan yang disediakan di asrama itu dapat membuatkan pelajar-pelajar belajar dalam keadaan selesa seterusnya mempertingkatkan lagi taraf pendidikan pelajar.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, saya harap usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Himpunan Kebangkitan Rakyat Satu Lagi Ujian “Janji Ditepati”

Himpunan Kebangkitan Rakyat 02

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Himpunan Kebangkitan Rakyat pada Sabtu ini merupakan satu lagi ujian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak samada beliau betul-betul menepati janji yang dibuat semasa perhimpunan Bersih 3.0 April tahun lepas.

Pada masa itu, Najib mencadangkan kepada NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), agar perhimpunan gergasi BERSIH 3.0 diadakan di Stadium Merdeka.

Cadangan tersebut dibuat Najib bagi mengelakkan BERSIH 3.0 diadakan di Dataran Merdeka.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HKR, Mohamad Sabu berkata selain lokasinya yang startegik dan mampu memuatkan puluhan ribu hadirin, Pakatan Rakyat memilih stadium tersebut setelah mengambil kira cadangan yang pernah dibuat Najib.

“Bola sekarang berada di kaki PM, terpulang pada dia samada janji ditepati atau ‘janji dicapati’,” ujar Mohamad dalam satu wawancara dengan TVSelangor.

Himpunan yang bakal menarik kehadiran ratus ribuan peserta itu dijangka akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Setakat ini, Permodalan Nasional Berhad, syarikat yang mengurus stadium bersejarah itu masih tidak memberi kebenaran kepada PR untuk menggunakan tapak tersebut.

Ini walaupun PR telah mengemukan permohonan untuk menyewa tapak terbabit.

Pada April lepas, kira-kira 250,000 orang menyertai himpunan BERSIH 3.0 yang dibuat di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Mohamad juga berkata setakat ini pihak polis memberikan kerjasama yang baik kepada penganjur perhimpunan terbabit.

“Ikut Akta Perhimpunan yang baru, perhimpunan ini tak perlukan permit, cuma kita perlu beritahu sahaja dan polis dah pun hubungi saya dua kali dan setakat ini kerjasama pihak polis agak baik.

‘Pihak polis meminta agar surat kelulusan dari pihak pengurusan stadium dapat diserahkan kepada polis,” kata beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Lagi Pemimpin Kanan BN Sabah Bakal Sertai PR

SHAH ALAM 30 SEPT: Beberapa pemimpin kanan BN Sabah dijangka akan mengikuti jejak dua Ahli Parlimen BN Sabah yang meninggalkan parti sebelum ini.

Bayangan tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan ucapan dalam Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

“Sekarang kita ada dua orang pemimpin BN Sabah sertai kita, Insyaallah minggu depan akan ada lagi yang akan jadi agen kita,” kata Azmin.

Azmin ketika memberikan penjelasan lanjut kepada TV Selangor mendakwa, pihak yang dimaksudkan akan meninggalkan BN tersebut termasuk pemimpin kanan BN di Sabah.

“Memang ada perbincangan dijalankan dengan pemimpin BN di Sabah dan Sarawak tentang bagaimana mereka boleh mainkan peranan untuk membawa perubahan untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ini soal startegi, jadi tak semestinya kita umumkan semuanya serentak, kita tunggu masa yang sesuai, tetapi seperti saya nyatakan tadi, akan ada lagi pimpinan kanan, penting tempatan yang akan sertai kita,” kata Azmin sebaik selesai rapat tersebut.

Menurut Azmin, pemimpin-pemimpin yang terlibat merupakan pemimpin di peringkat Parlimen dan juga Adun di Sabah.

Selain itu, Azmin berkata perkembangan terkini di Sabah dan Sarawak menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada di dalam keadaan tertekan dan marah.

“Isu ini menjadi kemarahan PM Datuk Seri Najib, sebab itulah dalam belanjawan baru-baru ini tiada peruntukan yang benar-benar menggembirakan rakyat Sabah kecuali menyentuhnya secara pinggiran sahaja,” ujar Azmin lagi.

Sebelum ini, baru-baru ini bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin mengumumkan meninggalkan BN untuk menyertai PR.

Tindakan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut menyebabkan BN mulai kehilangan pengaruhnya terhadap masyarakat tempatan di beberapa kawasan kubu kuat mereka sendiri.