Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tumpaskan sindiket curi kenderaan mewah di Selangor

SHAH ALAM, 9 OKT: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah yang bergiat aktif di negeri ini dengan penahanan lapan suspek dalam beberapa siri serbuan pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan dan dua wanita warga asing itu ditahan di sekitar negeri ini dalam Op Lejang Mewah TODA yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata sindiket berkenaan disyaki aktif mencuri kenderaan mewah sejak tiga bulan lalu dan perbuatan itu dipercayai hanya mengambil masa kira-kira lima minit dengan bantuan alatan canggih seperti ‘smartkey programmer’ yang dibeli secara dalam talian.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini akan menjual kereta mewah yang mereka curi ke luar negara kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi selain harganya yang mahal.

“Disebabkan itu, pemilik kereta mewah dinasihatkan supaya sentiasa mengenakan kunci tambahan pada kenderaan bagi mengurangkan ia dijadikan sasaran untuk dicuri.

“Kunci tambahan ini akan menyebabkan sindiket terpaksa mengambil masa lebih lama dan mereka pasti tidak mahu mengambil risiko untuk mengelakkan kegiatan itu disedari orang ramai,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Noor Azam berkata dengan tertumpasnya sindiket itu, polis turut merampas lapan kenderaan pelbagai guna mewah pelbagai jenama, 29 unit alat kawalan jauh, 25 keping cukai jalan palsu, satu unit ‘signal jammer’, satu unit ‘smartkey programmer’ dan alatan dipercayai digunakan untuk mencuri kereta.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan berkenaan dianggarkan sekitar RM2 juta dan kesemua suspek berumur 36 hingga 52 tahun itu masih direman untuk siasatan lanjut.

Katanya, sejak awal tahun ini, polis Selangor menerima 80 laporan kecurian kenderaan mewah dan susulan itu, tiga sindiket berjaya ditumpaskan dengan penahanan 15 individu selain merampas 12 kenderaan mewah pelbagai jenama.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Polis Selangor siap sedia anggota

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JULAI: Polis Selangor akan menggunakan sepenuhnya anggota kontinjennya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini.

Ketua Polis Selangor, Dato’ Mazlan Mansor berkata, pihaknya tidak berhasrat mengambil anggota tambahan daripada kontinjen lain untuk menjalankan tugas sempena pilihan raya berkenaan.

“Setakat ini, jumlah anggota saya sudah mencukupi sepanjang berlangsungnya PRK itu.

“Bagaimanapun, jumlah keanggotaan kini sedang dinilai dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat, selain memberi fokus keselamatan pengundi, turut diberi keutamaan adalah kelancaran lalu lintas ekorann kawasan berkenaan agak sempit,” katanya dalam kenyataan.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia ekoran kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan penamaan calon, pada 21 Julai ini sementara pembuangan undi, pada 4 Ogos.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Polis Selangor guna nyanyian sampaikan mesej berguna

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 29 DIS: Polis Selangor melakukan kejutan apabila menyampaikan mesej berguna kepada pasukannya menggunakan pendekatan lebih mesra dan luar biasa iaitu menyampaikan nyanyian berunsur nasihat.

Lagu berjudul “Aku Memang Polis” itu diubah suai liriknya oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat yang turut sama menyanyikannya dalam video muzik khas di laman Youtube.

Video berdurasi tiga minit 36 saat itu turut menampilkan beberapa pegawai kanan kontinjen negeri termasuk Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab; Ketua Jabatan Pengurusan Polis Selangor, Sulaiman Salleh dan beberapa ketua jabatan lain.

Fadzil berkata, lirik berkenaan dihasilkan dalam bentuk nasihat bertujuan menyampaikan mesej positif kepada pegawai dan anggota.

“Saya ada sebut buat kerja jangan suka mengungkit macam pegawai samseng. Itu antara elemen yang masyarakat awam tanya polis kenapa suka cakap kasar-kasar.

“Dalam lagu itu juga ada sebut jangan suka berbohong nanti kena lambung dan kita cakap kerja demi keluarga,” katanya lapor Malaysiakini.

Beliau turut menggunakan bahasa yang mudah difahami di dalam lirik berkenana supaya anggota polis mengingati pesanan itu.

“Lirik itu tak rasmi tapi santai untuk hiburan sekurang-kurangnya boleh ingat di minda. Penyampaian secara halus. Kalau dia polis, dia boleh faham istilah kena lambung, balik kampung tanam jagung. Jadi keseluruhan lagu menasihati polis itu sendiri,” katanya.

Antara nasihat kepada anggota keselamatan itu adalah ketika kerja jangan suka berbohong dan jangan buat perangai samseng.

Mereka dilihat menyampaikan lagu berkenaan dengan penuh perasaan di dalam klip video yang disiarkan Friends Of PDRM.

Fadzil berkata, tujuan lagu itu dinyanyikan untuk mengikis tanggapan masyarakat bahawa polis harus sentiasa kelihatan garang.

“Kita nak tunjuk garang pada tempatnya, marah pada tempatnya. Namun, ada masa perlu mesra, humor, serius dan mesra dengan masyarakat,” katanya.

Setakat ini video berkenaan mencapai hampir 60,000 tontonan di media sosial dan mula menjadi viral.

 

Categories
SELANGOR

Polis Selangor selamatkan 56 mangsa sindiket

SHAH ALAM, 14 NOV: Polis Selangor menyelamatkan 56 mangsa eksploitasi sindiket pengemis dalam Op Ehsan, bermula Julai lalu hingga semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, dalam operasi dijalankan di 24 lokasi tumpuan di seluruh Selangor itu, pihaknya turut menahan 52 suspek dipercayai anggota sindiket dan pengemis.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan sementara menunggu perbicaraan berlangsung, mereka ini turut dijadikan saksi dalam pendakwaan anggota sindiket ditahan.

“Sejak operasi bermula hingga hari ini, 14 kes dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.

Beliau berkata, anggota sindiket dan pengemis yang ditahan berusia antara lapan hingga 50-an, lapor Bernama.

Categories
SELANGOR

Polis Selangor rampas 600,000 pil Erimin 5

SHAH ALAM – Polis Selangor merampas 600,000 biji pil Erimin 5 bernilai RM9 juta di sebuah gudang di Telok Gong, Pelabuhan Klang, pada 22 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata rampasan kira-kira pukul 2 petang itu adalah susulan tangkapan seorang lelaki berusia 30-an bersama 60 kotak berisi pil berkenaan di dalam kereta Toyota Vellfire di kawasan sama, pada 18 Mei.

“Suspek berusia 30-an itu dibawa ke gudang terletak di Jalan Udang Gantung dan polis berjaya merampas 60 kotak saiz sederhana berisi 600,000 pil sama dianggarkan seberat 17.52 kg.

samahmat“Sebiji pil itu bernilai RM15 mengikut harga pasaran. Siasatan awal mendapati dadah ini diimport dan dibawa masuk ke negara ini dengan kapal kontena serta diisytihar sebagai ubat-ubatan pelbagai jenis,” katanya, memetik BERNAMA.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati pil dirampas di gudang berkenaan adalah yang ketiga dibawa masuk ke negara ini manakala yang dirampas bersama-sama tangkapan suspek sebelum ini adalah kiriman (consignment) kedua.

“Daripada maklumat diperolehi, pil dengan jumlah sama yang pertama kali dibawa masuk ke negara ini oleh sindiket sama sudah terlepas,” katanya.

Abdul Samah berkata, pihaknya akan menyiasat kemungkinan wujudnya penglibatan orang dalam pihak berkuasa pelabuhan.

Katanya, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi suspek warga tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Categories
SELANGOR

Polis Selangor tetap 10 hala tuju 2016 banteras jenayah

SHAH ALAM 21 JAN: Polis Selangor menetapkan sepuluh hala tuju bagi 2016 dalam memperhebat usaha menurunkan kadar jenayah indeks keseluruhan di negeri itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata turut diberi penumpuan adalah mempertingkatkan kualiti dalam bidang penyiasatan ke arah pencapaian sasaran kadar pertuduhan bagi kes jenayah.

Katanya, usaha diperhebatkan bagi membanteras kegiatan berunsurkan perjudian haram serta pelacuran dan maksiat melalui pemantauan berkesan dangan mensasarkan pencapaian serbuan berjaya sekurang-kurangnya 60 peratus berbanding jumlah serbuan dilaksanakan.

Polis Selangor“Halatuju seterusnya ialah, menurunkan kadar kemalangan jalanraya sebanyak 5 peratus berbanding 2015 melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya dalam perhimpunan bulanannya pada 20 Januari lalu.

Pada majlis sama, beliau juga berkesempatan menyampaikan sijil penghargaan kepada 36 orang yang terdiri daripada warga polis, agensi penguatkuasa dari jabatan lain dan wartawan.

Sijil ini disampaikan berikutan jasa dan komitmin ditunjukkan dalam menyelesaikan dan membantu Polis Selangor dalam usaha mengekang dan membanteras jenayah.

Turut hadir dalam perhimpunan bulanan Ketua Polis Selangor itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaffar, Ketua-ketua Jabatan Polis Kontinjen Selangor, Ketua-ketua Polis Daerah Selangor, warga kerja Polis Kontinjen Selangor serta para jemputan.

EZY

Categories
SELANGOR

2 beradik dilarikan penjenayah berjaya ditemui

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JUN: Detik cemas seorang guru KAFA berakhir apabila dua anaknya yang dilarikan penjenayah berjaya ditemui di Puchong, semalam.

Kejadian berkenaan berlaku ketika guru terbabit berada di rumah pengasuh bagi menghantar bayinya berusia tiga bulan, namun bayi terbabit dan abangnya berusia sembilan tahun yang sedang tidur di dalam kereta dilarikan penjenayah.

Laman Facebook Polis Selangor turut memuatkan berita berkenaan cubaan melarikan dua mangsa terbabit dalam sebuah kenderaan jenis Proton Gen 2 dengan nombor pendaftaran WLX 4727.

Cubaan jahat itu bagaimanapun berjaya dipatahkan orang ramai yang menemui mangsa di tepi jalan berdekatan Kuil India di kawasan Maju Jaya, Puchong Utama, pagi semalam.

Sehubungan itu, polis Selangor menasihatkan orang ramai untuk tidak meninggalkan anak dalam kenderaan secara bersendirian kerana mengundang risiko berbahaya.

Melalui laman sosial Facebook itu juga, polis Selangor turut mengingatkan ibu bapa untuk memberi perhatian kepada keselamatan anak dalam jagaan dan sentiasa mengawasi mereka.

Ingatan itu dibuat ekoran pelbagai kes membabitkan golongan kanak-kanak ketika ini terutama membabiktkan penculikan dan kehilangan.

IMG-20140624-WA0005“Orang ramai dinasihati supaya menjaga keselamatan anak dalam jagaan supaya tidak ditinggalkan di dalam kenderaan sendirian tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga,” tulis Polis Selangor dalam satu status yang dimuat naik, semalam.

IMG-20140624-WA0003Mengikut statistik ibu pejabat polis Bukit Aman, terdapat 4,998 kes orang dilaporkan hilang pada tahun 2013 dan 2,382 orang berjaya dijumpai semula.

Sementara itu, 45 peratus daripada kes orang hilang membabitkan remaja dan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.

Antara kes kehilangan kanak-kanak termasuk kes Nurin Jazlin Jazimin, 8; Sharline Mohd Nashar, 5; Asmawi Jalaludin, 11, dan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5.

Mereka adalah antara kanak-kanak yang ditimpa musibah selepas keluar bersendirian walaupun jarak dengan kediaman tidak jauh.

-NFN-