Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Selangor: 22 individu ditahan sepanjang PKPP

SHAH ALAM, 18 JUN: Polis Selangor menahan 22 individu termasuk 13 warga tempatan atas pelbagai kesalahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata semua ditahan menerusi Ops Benteng yang dilakukan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin.

“Dalam tempoh sama, 44 individu turut dikompaun kerana gagal mematuhi PKPP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil itu memaklumkan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan 18 Mac lalu, seramai 6,001 individu diperiksa dalam Taskforce Operasi Pematuhan Selangor.

Categories
SELANGOR

14,000 polis Selangor terbabit PKPP, tumpu kawasan perairan

SHAH ALAM, 11 JUN: Seramai 14,000 anggota polis seluruh Selangor terbabit sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula semalam hingga 31 Ogos depan, kata ketua polis Selangor.

Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, bilangan itu merupakan 10 peratus dari 14,000 kekuatan anggota yang ada dan meliputi semua daerah negeri ini.

“Sekatan jalan raya tetap ada walaupun tidak banyak seperti sebelum ini dan akan ditumpukan di kawasan perairan negeri.

“Ini bagi memastikan tiada pendatang asing bolos hingga berisiko membawa penularan Covid-19 dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata beberapa sekatan jalan raya dikekalkan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin susulan pelaksanaan PKPP.

Polis juga katanya, akan tetap memantau orang ramai bagi memastikan mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Categories
SELANGOR

PKPB: Alasan paling munasabah sahaja boleh rentas negeri

SHAH ALAM, 29 MEI: Polis Selangor hanya akan pertimbangkan permohonan mana-mana pihak untuk merentas negeri dengan alasan paling munasabah selagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata antara permohonan rentas negeri yang diberi pertimbangan utama untuk diluluskan pasukan keselamatan itu adalah berkaitan kecemasan dan kematian.

Beliau berkata setakat semalam, Polis Selangor menerima 1,902 permohonan untuk merentas negeri dengan 1,674 daripadanya diluluskan iaitu berkaitan rawatan perubatan (484), kematian (181), kecemasan (869) dan pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan (140).

“Untuk sekatan jalan raya (SJR) di lebuh raya, setakat ini kami lakukan di lima lokasi khususnya di laluan masuk ke negeri ini selain 11 SJR antara negeri di lima daerah bagi memantau pergerakan orang awam.

“Polis juga akan mempertingkat kawalan menerusi SJR di kawasan strategik bagi mengesan mana-mana pihak yang cuba menyelinap balik ke lokasi asal selepas pulang berhari raya di kampung,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya sejumlah 523 kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sejak 22 Mei hingga semalam dan sebanyak 4,832 kenderaan diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan alasan munasabah untuk merentas negeri sepanjang tempoh berkenaan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Suspek langgar koperal polis direman empat hari

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Individu disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh Koperal Safwan Muhammad Ismail sehingga maut berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), direman empat hari bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmad berkata lelaki berusia 44 tahun yang masih menerima rawatan di Hospital Serdang, direman mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, satu kertas siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian dibuka terhadap suspek selain mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Siasatan dijalankan oleh pihak trafik dan Jabatan Siasatan Jenayah dan permohonan sambung reman akan dibuat sekiranya perlu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi Ahad lepas, Koperal Safwan, 31, yang bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Jenazah Safwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Perak, 6 pagi tadi dengan turut dihadiri lebih 300 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sejawat.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Selangor tahan 4,555 individu ingkar PKP

SHAH ALAM, 28 APRIL: Polis Selangor setakat ini menahan 4,555 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Jurucakap Op Covid-19 Polis Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,136 kertas siasatan dibuka.

“Masyarakat dinasihatkan sentiasa mematuhi PKP supaya usaha membendung wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ekoran jumlah tahanan yang semakin bertambah, Muhammad Yazid berkata pihaknya kini melaksanakan 99 sekatan bagi mengawal pergerakan masyarakat.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: 150 kes tipu penutup hidung dan mulut di Selangor, rugi RM1.9 juta

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sebanyak 150 kes penipuan dalam talian berkaitan penjualan penutup hidung dan mulut direkodkan di Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas sehingga semalam dengan jumlah kerugian menjangkau RM1.9 juta.

Jurucakap Ops COVID-19 Polis Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata seramai 22 individu ditahan dan 17 kertas siasatan dibuka berhubung kes penipuan itu.

Beliau berkata dua daripada individu yang ditahan itu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati kebanyakan mangsa yang ditipu itu membeli penutup hidung dan mulut untuk kegunaan sendiri namun ada juga yang mendapatkannya bagi tujuan dijual semula,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu nombor akaun penjual barangan secara dalam talian di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi memastikan ia bukan sindiket penipuan.

Pada masa sama, Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor berkata sepanjang pelaksanaan PKP dari 18 Mac hingga semalam, jenayah siber di negeri ini menunjukkan peningkatan 53.8 peratus, iaitu 283 kes berbanding 184 kes pada tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, penipuan dalam talian mencatatkan 102 kes berbanding hanya 26 kes bagi tempoh sama tahun lepas manakala penipuan skim pinjaman tidak wujud merekodkan 66 kes berbanding 60 kes pada 2019. Penipuan e-dagang juga naik daripada 47 kes kepada 89 kes sepanjang PKP ini,” katanya.

Muhammad Yazid mengingatkan orang ramai bahawa polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak akan membuat panggilan meminta individu mendedahkan butiran diri serta nombor akaun mereka.

“Sekiranya orang ramai ada menerima panggilan kononnya daripada pihak berkuasa dan meminta butiran peribadi termasuk nombor akaun bank, putuskan talian serta merta bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

20 individu ditahan kes tipu belian dalam talian, rugi RM1.5 juta

SHAH ALAM, 13 APRIL: Polis Selangor membuka 144 kertas siasatan berkaitan penipuan penjualan penutup mulut dan hidung secara dalam talian membabitkan kerugian kira-kira RM1.5 juta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata sehingga semalam seramai 20 individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan tersebut.

“Kes berkaitan penutup mulut dan hidung menjadi kebimbangan masyarakat dan orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati membuat pembelian secara dalam talian.

“Ini kerana sindiket penipuan penutup mulut dan hidung kini bergiat aktif kerana permintaan yang tinggi daripada masyarakat sepanjang pelaksanaan PKP,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata tahap pematuhan PKP di Selangor ketika ini adalah 92 peratus dan sehingga semalam pihaknya menerima 1,546 laporan, dengan 962 kompaun RM1,000 dikenakan terhadap mereka yang ingkar.

“Sehingga semalam 837 kertas siasatan dibuka dan Polis Selangor juga menahan 1,730 individu yang mana 339 kes dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau turut mengesahkan menerima maklumat dalam bentuk rakaman video menunjukkan beberapa warga asing menyambut perayaan Songkran di negeri ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Selangor tahan 1,225 individu ingkar PKP

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 1,225 individu termasuk 71 wanita ditahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata jurucakap khas Op Covid-19 Selangor.

ACP Mohd Ismail Muslim berkata sebanyak 859 laporan diterima berkaitan kesalahan PKP dan 596 kes disiasat di bawah Peraturan 7(1) serta Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Terdapat 42 tambahan sekatan jalan raya untuk fasa kedua PKP menjadikan keseluruhan 94 sekatan selama 24 jam. Polis masih lagi menutup 34 laluan alternatif bagi mengekang pergerakan di jalan yang tidak mempunyai sekatan,” katanya di Facebook hari ini.

Petang tadi, menteri kanan (Kluster Keselamatan) memaklumkan jumlah tangkapan individu ingkar PKP meningkat 51 peratus, dengan 554 orang ditahan dan sekatan jalan raya dan rondaan polis.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan kali pertama sejak empat hari lalu berlaku kerana orang awam mengambil kesempatan keluar sempena cuti hujung minggu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

PKP: 974 individu ingkar ditahan di Selangor

SHAH ALAM, 5 APRIL: Seramai 974 individu di negeri ini ditahan kerana melanggar arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, kata jurucakap polis Op Covid-19 Selangor.

Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, pihaknya juga menerima 737 laporan berhubung salah laku PKP dan 484 kes sudah disiasat.

“57 individu sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan di Facebook Polis Selangor semalam.

Tambah Ismail sepanjang PKP ini 89 sekatan jalan raya dibuat hasil kerjasama Angkatan Tentera Malaysia.

“Jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa. Polis juga tutup 34 jalan alternatif bagi mengawal pergerakan penduduk,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Selangor sedia terowong nyahcemar di IPD, IPK

SHAH ALAM, 4 APRIL: Polis Selangor akan menyediakan terowong nyahcemar di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) dan negeri untuk kegunaan anggotanya yang bertugas melakukan rondaan dan sekatan jalan raya serta mereka yang mempunyai urusan dengan pihak polis.

Jurucakap Op Covid-19 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ACP Ismail Muslim berkata Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Kontinjen Selangor sudah membuat permohonan untuk membeli 10 set berkenaan dan sedang menunggu kelulusan daripada Bukit Aman.

“Terowong nyahcemar ini penting terutama buat pegawai kami yang melakukan tugasan rondaan dan sekatan jalan raya agar mereka tidak terkena jangkitan Covid-19.

“Ia juga memandangkan Selangor merupakan negeri tertinggi yang merekodkan kes jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya menutup 34 jalan alternatif di lapan daerah yang dikenal pasti digunakan oleh orang ramai bagi mengelak sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, pihaknya juga mengawasi jalan alternatif lain yang sering digunakan oleh pengguna jalan raya dan akan menutupnya sekiranya orang ramai masih enggan mematuhi perintah berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Indeks jenayah di Selangor turun 7.16 peratus

SHAH ALAM, 8 JAN: Selangor mencatatkan penurunan 1,528 kes daripada 19,810 kejadian jenayah berbanding tahun lalu, kata ketua polis negeri.

Berdasarkan penurunan 7.16 peratus kes itu, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata sebanyak 33,977 kertas siasatan jenayah dibuka.

Walaupun sasaran penyelesaian kes ditetapkan adalah 45 peratus, beliau berkata sebanyak 61.75 peratus membabitkan 12,232 kes  dapat diselesaikan.

“Jabatan Siasatan Jenayah turut berusaha mengekang kegiatan perjudian, maksiat dan gangsterisme menerusi 4,650 serbuan Op Dadu, Op Noda (1,434 serbuan) dan Op Cantas (417 serbuan).

“Pada masa sama, seramai 439 individu diambil tindakan mengikut Undang-Undang Pencegahan dan Keganasan (POCA),” katanya dalam kenyataan di Facebook Polis Selangor, semalam.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 2,162 kes jenayah komersial membabitkan kerugian lebih RM71 juta direkodkan dengan tangkapan seramai 1,493 suspek tahun lalu.

Menerusi Belanjawan Selangor 2020, Kerajaan Negeri serius untuk mengurangkan kadar jenayah dan bakal menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) kepada 5,000 unit terutamanya di kawasan hot spot.

Setakat Oktober tahun lalu, sebanyak 775 unit CCTV dipasang di seluruh Selangor dan 4,225 akan ditambah pada 2020.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan lima lelaki, rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta

SHAH ALAM, 1 NOV: Polis menahan lima lelaki warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan seberat 36.24 kilogram bernilai RM2.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Pandan Indah, dekat sini pada Khamis serta semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, tangkapan ke atas kelima-lima pengedar dadah tersebut dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang sejak beberapa minggu lepas.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira 1.30 tengah hari Khamis itu, dua lelaki berumur 28 dan 20 tahun ditahan di sekitar Seri Kembangan ketika dipercayai sedang bersedia untuk ‘berurus niaga’ dadah.

“Kedua-dua suspek menaiki kereta secara berasingan dan bertemu di satu kawasan parkir. Mereka kemudiannya membuka bonet kereta seorang daripada suspek dan bersama-sama mengeluarkan satu bagasi lalu meletakkannya di atas jalan.

“Ketika itulah kedua-dua mereka ditahan. Hasil pemeriksaan ke atas bagasi berkenaan menemui 21 paket plastik lutsinar dan 12 bungkus plastik teh cina mengandungi serbuk serta ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu kira-kira seberat 32.84 kilogram dengan anggaran nilai RM1.64 juta,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Noor Azam berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berumur 28 tahun yang bekerja sebagai jurujual kenderaan bertindak sebagai transporter dadah dan memiliki tiga rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah manakala seorang lagi suspek tanpa rekod jenayah pula merupakan pembantunya.

Dalam serbuan kedua pada hari yang sama, Noor Azam berkata seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan kira-kira 3.30 petang di sebuah restoran makanan segera di sekitar Seri Kembangan.

“Siasatan terhadap penjual sayur di Pasar Borong Selayang itu membawa kepada pemeriksaan ke atas kenderaannya dan menemui 140 keping foil aluminium mengandungi 1,400 pil eramin 5 dianggarkan bernilai RM28,000 disimpan di dalam bonet kereta tersebut,” katanya sambil menambah suspek tiada rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemua suspek bagi kedua-dua kes tersebut dipercayai mula mengedar dadah sejak enam bulan lepas dan mendapatkan bekalan itu di sekitar Lembah Klang untuk pasaran di lokasi sama.

Tambah beliau, kesemua mereka direman bermula Rabu lepas hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi kes ketiga pula, Noor Azam berkata dua lelaki berumur 47 dan 45 tahun ditahan di hadapan sebuah pusat dandanan rambut di Pandan Indah kira-kira 3.30 petang semalam kerana disyaki membawa dua bungkusan plastik mengandungi dadah.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemui 8,710 pil ekstasi dengan anggaran berat tiga kilogram dipercayai bernilai RM435,500 dibawa dalam beg plastik berkenaan. Semakan mendapati, penganggur berumur 47 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah manakala rakannya tiada rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang disyaki aktif sejak enam bulan lepas itu akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Mengulas lanjut mengenai ketiga-tiga kes berkenaan, beliau berkata hasil ujian urin mendapati kesemua lelaki itu positif pelbagai jenis dadah dan turut disita tiga kenderaan milik mereka serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan sitaan RM136,180.

-BERNAMA