Categories
AGENDA NASIONAL

Nestlé terawal sertai POIS, dipuji polis amal SOP berkesan

SHAH ALAM, 11 JUN: Syarikat pengeluar makanan dan minuman Nestlé (Malaysia) Berhad, Seksyen 15, di sini mendapat pujian pihak berkuasa berikutan amalan tatacara operasi piawai (SOP) berkesan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menyarankan semua sektor industri perkilangan mencontohi syarikat terkenal itu, lapor Berita Harian.

“Saya berharap kilang industri lain boleh mengikut cara syarikat ini melaksanakan SOP di tempat kerja,” katanya selepas memantau operasi kilang itu hari ini.

Pada 22 Januari lalu, Nestlé menjadi kilang terawal yang memenuhi komponen pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Kriteria itu meliputi penggunaan platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), penubuhan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza dan ujian pengesanan awal.

Setakat 30 Mei, lebih 120 syarikat merangkumi 50,000 pekerja menyertai POIS.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA kompaun sembilan individu berjoging di taman awam

SHAH ALAM, 6 JUN: Sembilan individu dikenakan kompaun oMajlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) berikutan mereka berjoging di taman awam pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata lima kompaun dibuat di Taman Tasik Seksyen 7 manakala empat lagi di Taman Seksyen 14 di sini.

“Masyarakat umum terutama di Shah Alam adalah dimaklumkan aktiviti joging secara individu hanya dibenarkan di taman kejiranan yang mana 10 kilometer (km) radius dari alamat rumah masing masing.

“Tindakan merentasi had tersebut bagi tujuan itu adalah tidak dibenarkan sama sekali di bawah SOP MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi tempoh 1 hingga 14 Jun,” katanya menerusi kenyataan.

Tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan beriadah di kawasan awam dalam tempoh PKP menyeluruh.

Pemantauan dijalankan bersama antara polis dan penguat kuasa MBSA antara jam 7.30 hingga 10 pagi.

 

Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam nafi berita anggotanya ditawan tahanan

SHAH ALAM, 29 MEI: Polis Shah Alam menafikan kejadian ‘ditawan tahanan’ sepertimana tajuk berita ‘Polis Kena Tawan’ yang diterbitkan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Dalam berita itu menyatakan seorang anggota polis berpusat di Shah Alam berdepan detik cemas apabila ditawan dan diserang sekumpulan tahanan lokap hingga cedera ketika mangsa bersama dua anggota polis lain melakukan pemeriksaan mengejut terhadap semua sel lokap.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib amat menghargai sekiranya media dapat memastikan berita yang disampaikan kepada umum adalah tepat.

“Pohon kerjasama semua rakan media untuk berhubung dengan pihak media Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam (DSP Karthik ditalian 012-9300162) sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, kemusykilan atau pengesahan maklumat bagi memastikan berita yang disampaikan adalah tepat dan benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam nafi kenakan kompaun kerana memandu sebelum 8 pagi

SHAH ALAM, 27 MEI: Polis menafikan mengeluarkan kompaun kepada individu kerana memandu kenderaan sebelum 8 pagi seperti yang ditularkan menerusi media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib juga menegaskan tidak ada tatacara operasi piawai (SOP) yang menyatakan kenderaan tidak dibenarkan berada di atas jalan sebelum 8 pagi dan selepas 8 malam.

Menurutnya polis mengesan satu klip video yang tular menerusi beberapa laman sosial sejak pagi tadi memaparkan perbualan anggota polis trafik dengan individu di dalam sebuah kereta di satu sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Persiaran Anggerik Eria, Seksyen 31, Shah Alam.

Dalam perbualan itu anggota tersebut bertanya mengenai surat pergerakan dan tujuan pemandu kenderaan berkenaan ketika melakukan SJR bergerak Op Pelbagai Kesalahan Lalu lintas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di lokasi tersebut.

“Anggota itu juga menerangkan SOP pergerakan PKP dan tidak ada mengeluarkan sebarang kompaun kepada pemandu berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas perkembangan berkaitan, Baharuddin berkata sebanyak 78 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan dalam operasi tersebut yang bermula dari 7 hingga 9.30 pagi.

“Turut dikeluarkan adalah satu kompaun Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Peraturan 17 (3) (No 5) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Ketika Pelaksanaan PKP kepada sebuah kenderaan persendirian yang membawa penumpang melebihi had dibenarkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Polis Shah Alam pantau kilang, tapak bina dan pengangkutan awam

SHAH ALAM, 25 MEI: Polis Shah Alam memperluas pemantauan di kawasan perkilangan, tapak pembinaan dan pengangkutan awam susulan langkah mengetatkan tatacara operasi piawai (SOP) PKP 3.0 bermula hari ini.

Ketua polis daerah ACP Baharuddin Mat Taib berkata pihaknya memberi tumpuan di kawasan tersebut bagi memastikan SOP terkini dipatuhi.

“Tumpuan kami di tapak pembinaan dan kilang berikutan SOP terkini kena ada peratusan kehadiran yang boleh bekerja.

“Kami juga memberi tumpuan kepada pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) serta bas awam,” katanya ditemui media selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Bukit Jelutong dekat sini hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Shah Alam kendali lima sekatan jalan

SHAH ALAM, 10 MEI: Satu sekatan jalan raya (SJR) tetap dan empat SJR bergerak dilaksanakan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 6 Mei lepas.

Ketua Polis IPD Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib berkata satu SJR tetap dijalankan arah masuk Shah Alam di plaza Tol Bukit Jelutong manakala selebihnya akan dilaksanakan secara bergerak mengikut keperluan dan keadaan tempat.

“Empat SJR bergerak akan dikendalikan oleh balai-balai (bawah IPD Shah Alam) iaitu Balai Polis Sri Muda, Bukit Jelutong, Seksyen 9 dan Seksyen 6,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SJR Plaza Tol Bukit Jelutong hari ini.

Baharuddin berkata pihaknya juga turut menggerakkan lebih 10 pasukan peninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKP di samping pasukan khas bagi menjalankan aktiviti pencegahan jenayah menjelang sambutan perayaan Aidilfitri.

Katanya, sebanyak 26 pegawai dan 147 anggota terlibat dalam penugasan berkaitan Covid-19 serta pematuhan SOP khususnya menjelang Aidilfitri pada Khamis ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Shah Alam tumpaskan dua kumpulan samun

SHAH ALAM 19 MEI: Polis menumpaskan dua kumpulan samun dengan menahan enam individu termasuk seorang wanita warga asing sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kumpulan pertama ditumpaskan dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta di Padang Jawa di sini pada Rabu lepas selepas menerima beberapa laporan mengenai kecurian motosikal di lokasi berkenaan semasa tempoh PKP.

“Dalam serbuan sekitar pukul 4 petang itu, polis menahan tiga lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing dalam sebuah kereta yang sedang parkir di kawasan tersebut. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menjumpai pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal dan pecah rumah,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Baharudin berkata, hasil soal siasat ke atas suspek menemukan beberapa barangan disyaki dicuri antaranya dua motosikal, dua topi keledar, 10 jam tangan pelbagai jenama, lapan pasang kasut dan satu komputer riba.

Beliau turut percaya, tangkapan itu dapat menyelesaikan sembilan kes samun serta curi motosikal sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dan kesemua suspek berumur antara 20 hingga 33 tahun direman sehingga esok bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379A/457 Kanun Keseksaan.

Baharudin berkata kumpulan samun kedua pula tumpas apabila tertangkapnya dua lelaki berumur lingkungan 20-an di sebuah rumah di sini 13 Mei lepas dan pelbagai peralatan dirampas antaranya dua bilah pisau dipercayai digunakan untuk menyamun.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu terlibat dalam kira-kira enam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Shah Alam dan Klang Selatan dan mereka kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM30,000 dengan menahan empat lelaki berumur lingkungan 27 hingga 40 tahun dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Seksyen U12 dan Seksyen 32, baru-baru ini.

Katanya, tangkapan pertama pada 9 Mei lepas iaitu dua suspek warga tempatan berumur 27 dan 40 tahun di Seksyen U12 itu menemukan 110 peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM5,500 dalam kenderaan mereka.

“Kenderaan dinaiki suspek diperiksa anggota yang sedang meronda di kawasan tersebut apabila melihat ia diletakkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kira-kira pukul 3 petang. Hasilnya, dadah tersebut dijumpai disorokkan dalam satu beg pakaian dalam kereta itu.

“Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki mengedar dadah berkenaan dan mereka telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada Khamis lepas,” katanya.

Bagi tangkapan kedua pula katanya, seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun ditahan di sebuah rumah di Seksyen 32 di sini kira-kira pukul 10 malam pada Selasa lepas dan pemeriksaan ke atas suspek serta kediaman itu menemukan 99.1 gram syabu dianggarkan bernilai RM13,000.

Baharudin berkata semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau serta satu rekod berkaitan dadah dan suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

“Tangkapan ketiga dilakukan pada Jumaat lepas sekitar 1.40 pagi ke atas seorang lelaki berumur 30-an di Jalan Dato Yusuf Shahbudin, Klang. Hasil tangkapan itu, polis merampas empat botol berisi cecair disyaki mengandungi ganja.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke rumahnya di Taman Sentosa, Klang dan menemukan 400 mililiter cecair dipercayai ganja diisi dalam 40 botol. Dia kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952,” katanya.

– BERNAMA