Categories
AGENDA NASIONAL

Halang kenderaan keluar masuk, tujuh lokasi di Putrajaya ditutup esok

PUTRAJAYA, 31 MEI: Sebanyak tujuh lokasi di sekitar Putrajaya akan ditutup mulai esok susulan pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan penuh.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata tujuh lokasi terlibat adalah Jalan P5 menghala keluar dan masuk ke Taman Cabaran dan Dengkil (Presint 5), Jalan Resam menghala keluar dan masuk Presint 11, Jalan P11J menghala keluar dan masuk Cyberjaya (Presint 11).

Turut ditutup Jalan P14 menghala keluar dan masuk Sungai Merab Bangi (Presint 14), Pintu Satu menghala keluar dan masuk Presint 14, Jalan P7A, Bulatan Putrajaya Sentral dan Jalan P5 menghala ke Dengkil (Presint 5).

“Penutupan jalan ini bertujuan untuk memastikan kenderaan keluar masuk ke Putrajaya dapat dikawal bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dan memudahkan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR) yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau penutupan jalan menghala masuk Putrajaya dari Sungai Merab malam ini.

Beliau berkata penutupan jalan adalah perlu susulan Putrajaya merupakan laluan keluar masuk dari daerah Selangor antaranya Bangi, Puchong dan Sepang.

“Ia bukan untuk menyusahkan orang ramai tetapi mengekang perjalanan mereka supaya mengikut laluan SJR yang ditetapkan dengan surat kebenaran yang sah,” katanya.

Mohd Fadzil berkata pemeriksaan ketat akan dilaksanakan di setiap SJR dan individu yang tidak mempunyai surat kebenaran rentas akan diarah berpatah balik dan kompaun akan dikeluarkan kepada individu yang masih degil.

Selain itu, empat lokasi SJR sedia ada masih dikekalkan iaitu di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil (Presint 5), Pintu 2A Persiaran Utara menghala keluar ke Hospital Serdang (Presint 12) dan Pintu 3 Persiaran Utara menghala keluar ke Puchong (Presint 9).

Jelasnya, selain SJR statik yang sedia ada, dua pasukan ‘snap check’ yang bertugas secara bergerak juga ditubuhkan yang mana kedua-dua pasukan ini boleh digerakkan ke lokasi yang mempunyai aliran kenderaan yang banyak.

Menurut beliau jumlah kekuatan bagi pasukan tersebut terdiri daripada dua pegawai kanan dan 10 anggota.

“Lokasi snap check ini akan berubah-ubah mengikut kesesuaian bagi memastikan tiada pergerakan bebas keluar dan masuk di Putrajaya terutama di jalan pintas,” katanya.

‐BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan lebih ketat di 13 sekatan jalan KL mulai esok

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Polis Kuala Lumpur akan mengetatkan kawalan di 13 sekatan jalan raya (SJR) sedia ada bermula esok, seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata antara yang akan dilaksanakan ialah pemeriksaan lebih terperinci ke atas dokumen kebenaran rentas negeri atau daerah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan majikan.

“Polis akan mengekalkan 13 SJR sedia ada di Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun dengan pemeriksaan lebih terperinci,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya bersedia untuk mengatur gerak anggota bagi memantau dan membantu agensi berkaitan jika ada lokaliti lain dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) selain dua lokaliti semasa iaitu Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau.

Buat masa ini, polis membantu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengagihkan bekalan makanan kering selain melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan di dua lokaliti berkenaan, katanya.

Dua lokaliti itu diletakkan di bawah PKPD bermula semalam hingga 5 Jun ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Shah Alam kendali lima sekatan jalan

SHAH ALAM, 10 MEI: Satu sekatan jalan raya (SJR) tetap dan empat SJR bergerak dilaksanakan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 6 Mei lepas.

Ketua Polis IPD Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib berkata satu SJR tetap dijalankan arah masuk Shah Alam di plaza Tol Bukit Jelutong manakala selebihnya akan dilaksanakan secara bergerak mengikut keperluan dan keadaan tempat.

“Empat SJR bergerak akan dikendalikan oleh balai-balai (bawah IPD Shah Alam) iaitu Balai Polis Sri Muda, Bukit Jelutong, Seksyen 9 dan Seksyen 6,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SJR Plaza Tol Bukit Jelutong hari ini.

Baharuddin berkata pihaknya juga turut menggerakkan lebih 10 pasukan peninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKP di samping pasukan khas bagi menjalankan aktiviti pencegahan jenayah menjelang sambutan perayaan Aidilfitri.

Katanya, sebanyak 26 pegawai dan 147 anggota terlibat dalam penugasan berkaitan Covid-19 serta pematuhan SOP khususnya menjelang Aidilfitri pada Khamis ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tambah sekatan jalan, tubuh pasukan pantau pematuhan SOP

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Polis meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan di sempadan negeri dan daerah serta kawasan tumpuan awam bagi memastikan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 dan tidak melakukan perjalanan rentas negeri atau daerah.

Malah beberapa ketua polis negeri turun padang hari ini bagi memastikan penguatkuasaan pematuhan SOP dilaksanakan dalam usaha memutuskan penularan jangkitan wabak yang boleh membawa maut itu.

Di bandar raya ini yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jumaat lepas, polis Kuala Lumpur menubuhkan 91 Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP terdiri daripada lima pegawai dan 1,200 anggota yang akan digerakkan ke kawasan tumpuan ramai untuk melakukan pemantauan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim yang ditemui selepas meninjau sendiri pematuhan SOP PKP di bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) berkata pasukan itu juga akan memberi peringatan berterusan kepada orang ramai dari semasa ke semasa supaya sentiasa mematuhi SOP.

Beliau berkata pihaknya turut dibantu 61 pasukan penguat kuasa daripada agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kompaun akan dikeluarkan kepada individu yang masih bersikap sambil lewa dan ingkar arahan yang ditetapkan, katanya.

Di Johor pula, walaupun larangan rentas negeri dan daerah dikeluarkan, masih ramai yang mencuba nasib membuat permohonan untuk merentas negeri dan antara alasan yang diberikan ialah untuk pulang berhari raya menziarah keluarga.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam tempoh 25 April hingga semalam pihaknya menerima 19,090 permohonan untuk merentas negeri dan daerah.

Sebanyak 465 permohonan ditolak berikutan alasan yang tidak munasabah, katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Seelong di sini.

“(Lepas ini) dah tiada nasihat-nasihat. Banyak kali nasihat dan amaran (telah diberikan sebelum ini). Kalau kita tangkap (lepas ni), kita akan terus kompaun dan jangan cakap polis tidak bertimbang rasa.

“Amaran sudah diberi jadi perlu bertanggungjawab,” katanya sambil memberitahu seramai 1,212 pegawai dan anggota bertugas pada Aidilfitri ini dengan 840 orang di sekatan jalan raya (SJR).

Di Pulau Pinang pula polis menambah sekatan jalan raya daripada 15 kepada 41 berikutan pelaksanaan PKP di tiga daerah dan tiga mukim di negeri itu bermula esok hingga 23 Mei bagi memastikan orang ramai tidak merentas negeri atau daerah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata selain itu polis juga akan melakukan sekatan jalan raya bergerak di 10 laluan tikus yang dikenal pasti.

“Seramai 3,500 daripada 6,022 pegawai dan anggota polis di negeri ini terlibat dalam penugasan berkaitan Covid-19 termasuk SJR serta Ops Covid-19 manakala selebihnya menjalankan tugasan hakiki sedia ada,” katanya ketika dihubungi.

Tiga daerah yang dikenakan PKP di negeri itu ialah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta Bandar Butterworth dan Mukim 14 di Seberang Perai Utara (SPU) serta Mukim 12 di Barat Daya.

Sahabudin berkata pihaknya juga akan lebih teliti dalam meluluskan permohonan rentas negeri atau daerah bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan dengan memberikan maklumat tidak tepat untuk melakukan perjalanan.

“Pelbagai alasan yang diberikan tapi kami mahukan bukti…jika salah guna kebenaran yang diberikan, tiada lagi amaran, kita akan terus kompaun,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Polis Petaling Jaya tambah dua lagi sekatan jalan

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Polis Petaling Jaya menambah dua lagi sekatan jalan raya (SJR) melibatkan daerah itu susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 6 Mei hingga 17 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lokasi SJR itu membabitkan Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kannagapuram di bawah Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

“SJR di Lebuhraya Persekutan bermula pada 4 petang ini sementara SJR di Taman Kannagapuram pada 12.01 malam ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata di daerah Petaling Jaya, hanya empat lokasi SJR dikekalkan membabitkan Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara dan Tol Subang.

Beliau turut menasihati orang ramai agar terus mematuhi SOP supaya jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Sembilan sekatan jalan di KL bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Polis Kuala Lumpur menggerakkan sekatan jalan raya (SJR) di sembilan kawasan bermula hari ini bagi memantapkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bermula pada 7 hingga 20 Mei.

Sekatan jalan raya dilaksanakan bermula hari ini di kawasan Kuala Lumpur iaitu di Jalan Sentul Pasar, di hadapan Balai Polis Kepong, Jalan Klang Lama, Jalan 2/27A Wangsa Melawati, Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa dan Lebuhraya Bukit Jalil.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur DCP Datuk Yong Lei Choo berkata sembilan lokasi utama di daerah ini akan diperketatkan sekatan jalan raya bagi mengelakkan sebarang aktiviti rentas daerah tanpa kebenaran berlaku.

“Sekatan jalan menghala ke Kuala Lumpur turut dijalankan di Lebuhraya Persekutuan, Jalan Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur dan Jalan Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yong berkata pemantauan akan dipertingkatkan oleh kumpulan pematuhan dan rondaan oleh unit Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan penguatkuasaan PKP di Kuala Lumpur adalah komprehensif.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

-BERNAMA