Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes di Singapura meningkat kepada 2,299, lapan kematian

SINGAPURA, 12 APRIL: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura melaporkan 191 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,299 kes di republik itu.

MOH dalam kenyataan berkata daripada kes baharu itu, tiada kes import dilaporkan, 52 dikaitkan dengan kluster yang diketahui, 20 dikaitkan dengan kes-kes lain, manakala 119 masih lagi menunggu pengesanan kontak.

Antara kes yang berkaitan itu, MOH berkata 51 kes dikaitkan dengan kluster di asrama pekerja asing dan 21 dikaitkan dengan bukan asrama atau kes lain.

Tiga lagi asrama dikenali sebagai kluster baharu iaitu Westlite Woodlands di Woodlands Sector 2 dengan lapan kes, North Coast Lodge di North Coast Avenue (enam) kes dan Cassia @ Penjuru di Penjuru Walk (lima) kes.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 asrama terjejas daripada 45 asrama di republik itu dengan lebih 500 kes bergabung setakat ini.

Sementara itu, tiga kes tempatan melibatkan lelaki warga Malaysia dilaporkan, masing-masing berusia 26, 31 dan 44.

Mereka yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, kini masing-masing ditempatkan di Hospital Umum Singapura (SGH), City International Hospital dan Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

Republik itu turut melaporkan kematian kelapan kerana wabak Covid-19, membabitkan seorang lelaki warga Singapura berusia 90 tahun.

Warga emas itu disahkan mempunyai jangkitan pada 3 April dan terus ditempatkan di NCID pada hari yang sama.

Menurut MOH, 35 lagi kes jangkitan Covid-19 telah discaj dari hospital atau dari kemudahan isolasi komuniti, menjadikan keseluruhan 528 telah pulih sepenuhnya.

Daripada 943 kes yang disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik termasuk 31 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Menurut kementerian itu 820 kes yang secara klinikalnya baik tetapi masih positif ujian Covid-19 diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

Sehingga tengah hari semalam, MOH mengenal pasti 26,189 kontak rapat yang telah dikuarantin.

— BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 32 kes baharu di Singapura, semuanya 345, 124 pesakit pulih

SINGAPURA, 20 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan kes tempatan baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di republik ini, menjadikan jumlahnya 345 kes.

Dalam kenyataan di sini, MOH berkata satu daripada kes import itu melibatkan lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura.

Lelaki itu disahkan dijangkiti virus itu pada Rabu dan kini ditempatkan di wad isolasi di Hospital Besar Changi.

Baki kes import merupakan residen yang kembali ke republik ini dan pemegang pas jangka panjang mempunyai sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara dan Asean, katanya.

Pada hari ini, MOH berkata tujuh lagi kes jangkiti Covid-19  discaj daripada hospital, dan sehubungan itu, secara keseluruhannya sebanyak 124 telah pulih sepenuhnya.

Daripada 221 kes disahkan dan masih berada di hospital, kementerian itu berkata kebanyakan mereka berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih manakala 15 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah semalam, MOH telah mengenal pasti 6,574 kontak rapat yang dikuarantin.

Diumumkan pada Rabu, mulai 20 Mac, jam 2359, semua pelawat yang memasuki Singapura daripada semua negara diberikan Notis Duduk Rumah selama 14 hari.

-BERNAMA