Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua menteri Sabah positif Covid-19

KOTA KINABALU, 10 OKT: Datuk Hajiji Noor disahkan positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth, kata Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah itu Effendi Mohamed Sunoh.

Effendi dalam kenyataan malam tadi berkata Hajiji, yang menjalani kuarantin kendiri, sekali lagi melakukan ujian Covid-19 dan hasil ujian terbaru itu mengesahkan bahawa beliau positif.

“Keadaan kesihatan YAB (Yang Amat Berhormat Hajiji) baik dan stabil. Walaupun sedang menjalani rawatan, YAB masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan menerusi panggilan telefon dan sidang video. Kerajaan negeri berfungsi seperti biasa.

“YAB mengajak seluruh rakyat Sabah agar bertenang dan bersama-sama berdoa agar Allah SWT sembuhkan dan selamatkan Sabah dan Malaysia daripada Covid-19. Insya-Allah,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong menerusi kenyataan memaklumkan bahawa Hajiji menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula kelmarin sebagai langkah berjaga-jaga setelah terdedah dengan individu yang didapati positif Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sawit Kinabalu cipta jentera urus kerja lebih efisyen

TAWAU, 4 OGOS: Langkah sebuah syarikat berkaitan kerajaan, Sawit Kinabalu memperkenalkan jentera mekanikal yang dicipta sendiri, adalah satu usaha baik syarikat itu ke arah gerak kerja lebih efisien, jimat serta relevan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peralatan yang dicipta itu walaupun teknologinya tidak begitu canggih, tetapi berfungsi dengan baik, sekali gus syarikat menjadi perintis dalam penggunaannya.

“Antara jentera saya lihat tadi ada Sawit Tambadau, Sawit ‘Crawler’, peralatan ini masing-masing berfungsi, termasuk untuk mengambil dan memunggah longokan buah, ini bukan hanya membolehkan penjimatan kos kerana tidak menggunakan pekerja, malahan dari segi masa pungahan lebih baik dan pantas ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak jentera mekanikal ciptaan Sawit Kinabalu di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, meskipun Sawit Kinabalu berhadapan pelbagai ketidaktentuan masalah sawit di dunia, itu tidak melemahkan syarikat itu malahan menunjukkan semangat tinggi dan sifat kompetitif.

“Sawit Kinabalu merupakan satu GLC yang mempunyai keluasan ladang agak besar, dan kita sedar dan tahu bawa permintaan dan harga kelapa sawit cukup tidak menentu, dan agak berpanjangan dari segi kejatuhan harganya.

“Selain masalah mendapatkan pekerja atau buruh yang selalunya tidak kekal di satu-satu ladang (pekerja pindah bergantung kepada upah ditawarkan) dan masalah ini turut membimbangkan, namun apabila syarikat ini memperkenalkan peralatan sendiri yang lebih jimat, efisien dan relevan itu memberi kesan positif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan syarikat GLC lain agar mengambil contoh inisiatif Sawit Kinabalu dalam menangani masalah kos pengeluaran tetapi masih kompetitif.

Selain itu, Mohd Shafie turut menekankan keperluan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan, dalam usaha semua ladang-ladang di Sabah dapat meningkatkan pengeluaran kapasiti, mengurangkan kos dan memaksimumkan keuntungan produk dihasilkan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PRK Sandakan: Shafie yakin rakyat pilih Vivian Wong

SANDAKAN, 9 MEI: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin rakyat di Sandakan mahu Vivian Wong Shir Yee sebagai wakil rakyat mereka.

Katanya, sejak hampir dua minggu berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, wanita muda berumur 30 tahun yang bertanding sebagai calon DAP itu sering mendapat sambutan hebat daripada rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

“Tarikh 11 Mei (hari mengundi PRK Sandakan) ini cukup penting bagi kita kerana ia akan menentukan siapa calon yang akan menang dan menjadi wakil rakyat di Sandakan.

“Saya sangat pasti semua rakyat di Sandakan akan menyokong Vivian Wong kerana saya nampak, setiap kali beliau berucap, sambutan daripada rakyat di sini cukup hebat,” katanya pada majlis ramah mesra pemimpin bersama rakyat, di sini malam tadi.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri memahami harapan Wong untuk merancakkan pembangunan di Sandakan dengan memastikan peluang pekerjaan mencukupi untuk rakyat di sini.

“Kerajaan akan pastikan kita semua akan membangunkan Sabah kerana kita ada ‘resepi’ untuk pergi jauh dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Kita ada minyak, kita ada pelancongan…jadi kita akan pastikan, kalau ada orang hendak melabur di Sabah, mereka akan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat di Sabah,” katanya, sambil menyatakan harapan agar rakyat kelahiran Sabah yang berada di luar negeri dapat kembali membangunkan Sabah.

Mohd Shafie berkata, Sabah berupaya untuk lebih maju daripada negeri-negeri maju di Semenanjung.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri kini sedang mengubah cara bekerja dalam mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.

“Kerajaan mahu menyebarkan kekayaan negeri kepada rakyat, bukan orang tertentu sahaja yang mendapat kekayaan.

“Sebab itulah banyak kedai tutup, terutama di Sandakan, kerana ramai rakyat kita tidak ada duit. Ini tidak baik untuk kesihatan ekonomi negeri,” katanya.

Mohd Shafie turut menjelaskan usaha berterusan kerajaan dalam tempoh setahun sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas untuk kebaikan rakyat.

Katanya, usaha mentransformasi negeri dan negara dalam tempoh singkat bukan mudah selepas ditadbir selama 60 tahun oleh sebuah kerajaan yang didapati telah melakukan kesilapan.

Apatah lagi mengambil alih kerajaan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak baik, katanya.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa sedar ada peluang dalam memajukan ekonomi Sabah.

“Oleh itu, kita mesti mempunyai minda yang betul untuk melakukan apa yang betul, walaupun kita melaksanakannya (pembangunan) pada kadar perlahan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Shafie harap Malaysia keluar daripada senarai ‘K’

KOTA KINABALU, 16 APRIL: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berharap Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’, iaitu berpotensi untuk penculikan di pantai timur negeri ini.

Beliau berkata, Sabah selamat untuk dikunjungi dan pelancong dari China serta Eropah masih ramai ke negeri itu, termasuk Semporna juga Pulau Sipadan.

“Saya berharap permintaan Kementerian Luar untuk mengeluarkan Malaysia (daripada senarai itu akan diberikan perhatian) dan kawasan itu selamat untuk dikunjungi.

“Keadaan adalah terkawal dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Insiden (penculikan) berlaku sebelum ini tetapi kami melakukan yang terbaik bagi memastikan bukan sahaja keselamatan diperketatkan, malah pemantauan dipertingkatkan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar di Pusat Pentadbiran Sabah, di sini semalam.

Pada masa sama, Mohd Shafie turut berharap AS boleh memberi maklumat berkenaan sebarang kemungkinan ancaman di kawasan itu dengan berkongsi maklumat risikan.

Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat menandakan “K” ke atas 34 negara yang dikenal pasti mempunyai risiko penculikan dan pengambilan tebusan oleh penjenayah serta pengganas, termasuk Malaysia.

Untuk Malaysia, timur Sabah ditandakan sebagai sebuah wilayah dengan peningkatan risiko penculikan.
-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Shafie Apdal kekal Ketua Menteri Sabah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini memutuskan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah kekal dan sah.

Hakim, Datuk Yew Jen Kie berpendapat mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kehilangan majoriti selepas enam anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) berpindah sokongan kepada Mohd Shafie.

Beliau juga memutuskan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menjalankan kuasanya di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah untuk melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu selepas mendapati Musa tidak memperoleh majoriti ADUN.

“Menurut Perkara 7(1) Perlembagaan Sabah, Musa wajib meletak atau mengosongkan jawatan selepas kehilangan majoriti.

“Atas sebab di atas, saya menolak saman pemula plaintif (Musa) untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri,” katanya dipetik Bernama.

Beliau turut memerintahkan Musa membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Mohd Shafie dan Juhar.

Keputusan itu dibuat Yew selepas mendengar hujah daripada peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S Vanugopal yang mewakili Musa, Datuk Douglas Lind mewakili Mohd Shafie manakala Setiausaha Agung Negeri, Datuk Zaleha Rose Pandin hadir untuk Juhar, pada 24 Oktober lalu.

Pada 17 Mei lalu, Musa memfailkan saman terhadap Mohd Shafie tetapi menariknya semula.

Namun pada Jun lalu, beliau memfailkan saman pemula yang meminta pengisytiharan, antara lain dari mahkamah bahawa dia adalah Ketua Menteri Sabah yang sah sebagaimana dilantik, pada 10 Mei oleh Yang di-Pertua Negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPR Pilih Syarikat Lemah Untuk Bekal Peralatan Pilihanraya – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 18072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa tidak memahami prosedur dan mekanisme berkaitan sebelum sesuatu akta dimansuhkan terutama Akta Hasutan 1948.

2. Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengulangi dakwaan pembekal dakwat kekal PRU13 mempunyai hubungan rapat dengan pegawai atasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di luar kekebalan Dewan Rakyat.

3. Nash Ventures Sdn Bhd, yang disahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, mendapat kontrak perbekalan topi dari Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk PRU13 secara runding terus didakwa memiliki rekod kewangan meragukan berdasarkan penyata akaun 2009.

4. Mantan Senator Sabah Dr Chong Eng Keong mendakwa satu jawatankuasa bertindak Umno dikepalai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dibentuk pada 1991 untuk memburu dan mendaftarkan pendatang asing sebagai anggota Umno dan pengundi Barisan Nasional.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Serah Bukti Rasuah Konsensi Balak Sabah Kepada ICAC Hong Kong

PETALING JAYA, 11 DIS: PKR menghantar satu delegasi ke Hong Kong dalam usaha membuka semula siasatan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) terhadap tuduhan rasuah yang didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Delegasi itu yang diketuai Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli akan membawa bukti-bukti transaksi wang dari syarikat yang mendapat konsesi balak Sabah kepada akaun milik ahli perniagaan, Michael Chia.

Rafizi menunjukkan salinan slip pemindahan wang yang beliau mendakwa adalah bayaran deposit bagi syarikat yang medapat konsensi balak.

Antara syarikat yang mendapat konsesi balak dari Kerajaan Negeri Sabah dan membuat bayaran bernilai jutaan ringgit kepada Michael, termasuklah Ever Fame Enterprise Limited, Borion Enterprise Limited dan Wayco Enterprise Limited.

?Kewujudan akaun yang dimiliki Michael dan pemindahan wang oleh pemegang konsensi mengesahkan bahawa Michael bertindak sebagai orang tengah untuk mengutip wang hasil dari konsensi balak yang dikeluarkan kerajaan Sabah,? kata Rafizi.

Transaksi tersebut melibatkan akaun Bank UBS di Hong Kong dan akaun Shahghai Banking (HSBC) di Singapura.

Rafizi mendakwa mempunyai bukti pemindahan wang dengan jumlah berbeza di mana amaun tertinggi yang dicatatkan bernilai USD 1,727,928.33 (RM 5,290,210.18) pada 18 September 2007, manakala lainnya sekitar USD 100,000 (RM 306,011.81) hingga USD 700,000 (RM 2,141,736.33).

Rafizi turut menunjukkan kepada media transaksi bernilai AU $2,350 (RM 7,537.51) ke akaun anak Musa, Mohammed Hayssam di Australia oleh Zenique Investment Ltd.

Pada 2008, Michael Chia ditangkap di Lapangan Terbang Hong Kong disyaki cuba menyeludup keluar wang haram berjumlah S$16 juta (RM 40 juta).

Menurut laporan media ketika itu, Michael mendakwa wang tersebut milik Musa.

Bagaimanapun ICAC menerusi kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zevros, berkata ICAC tidak meneruskan siasatan terhadap wang ini kerana gagal mendapatkan kerjasama dari pihak berkuasa Malaysia untuk mengumpul maklumat dan bukti.

Pada Oktober lepas, Menteri Di Dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata wang tersebut adalah sebagai sumbangan kepada Umno Sabah dan bukan kepada Musa.