Categories
AGENDA NASIONAL

Bahagian pasaran Proton meningkat ke paras tertinggi dalam 77 bulan

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Pengeluar kereta nasional Proton mencatatkan keputusan kukuh bagi dua bulan berturut-turut pada 2020 dengan jualan meningkat lebih 80 peratus pada Februari berbanding bulan yang sama tahun lepas, meraih 23.8 peratus daripada bahagian pasaran bulan itu, paras tertingginya sejak Ogos 2013.

Syarikat itu berkata sejumlah 9,974 unit kenderaan didaftarkan terutamanya disumbang oleh Saga (3,934 unit), Persona (2,653 unit) dan X70 (1,973 unit).

Menurut Proton, Persona mencatatkan jualan hampir dua kali ganda manakala Proton X70 muncul sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular Malaysia bagi bulan kedua berturut-turut apabila pelanggan yang menempah kenderaan itu lebih awal mula menerima 2020 Proton X70.

“Setakat ini, lebih 7,000 tempahan diterima, membuktikan permintaan terhadap SUV pintar di Malaysia kekal kukuh,” kata syarikat kereta nasional itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Saga kekal sebagai model paling laris syarikat itu dengan permintaan mengatasi bekalan manakala Exora terus kukuh dalam pasaran kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C.

“Iriz meningkat ke tempat kedua dalam kategori hatchback segmen B apabila mencatatkan jualan memberangsangkan susulan pelancaran model yang diperbaharui pada 2019,” kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata Februari mencatatkan jualan kukuh bagi syarikat automotif itu meskipun penurunan Jualan Keseluruhan Industri (TIV).

“Dengan dapat mengekalkan pertumbuhan jualan kami, bahagian pasaran kini berada di kedudukan tertinggi dalam tempoh 77 bulan.

“Tempahan 2020 bagi Proton X70 juga menggalakkan jadi kami yakin dengan rancangan kami bagi bagi tahun ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Proton raih pengiktirafan di anugerah kereta Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Proton X70 yang dilancarkan pada 12 Disember 2018 telah dinamakan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019, ini merupakan kali pertama model Proton memenangi pengiktirafan berprestij itu di Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18.

Proton X70, kenderaan utiliti sukan (SUV), segmen C yang serba mewah dan yang paling popular di Malaysia itu, turut menggondol pengiktirafan dalam kategori SUV 5 tempat duduk sederhana, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Proton (CEO) Dr Li Chunrong telah diberi penghormatan sebagai Individu Automotif tahun ini.

“Melalui pengiktirafan itu, Dr Li Chunrong menjadi CEO Proton ketiga yang menerima penghargaan tersebut,” kata syarikat pengeluar kereta nasional itu hari ini.

Proton Saga yang baru-baru ini menerima peningkatan turut menjadi pemenang, ia menerima anugerah sebagai Sedan Peringkat Permulaan dan Hatchback. Ia menarik banyak perhatian sejak dilancarkan pada 6 Ogos 2019.

“Sehingga kini, lebih 42,000 tempahan telah diterima dan sejak dua bulan terakhir 2019, ia menjadi sedan segmen A yang paling laris di Malaysia,” katanya.

Kesimpulannya, pencapaian terbaru yang diraih Proton turut merangkumi peningkatan jualan sebanyak 55.7 peratus pada 2019 iaitu kepada 100,821 unit, termasuk penubuhan 120 cawangan 3S/4S, yang paling banyak bagi mana-mana jenama kereta di Malaysia.

Syarikat juga telah menyediakan kemudahan pengeluaran baharu di Tanjung Malim pada 2019 dan telah kembali mencatatkan keuntungan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Kereta nasional kekal pemacu utama segmen automatif

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Jumlah jualan kereta nasional akan terus menjadi pemacu utama dalam ruang automotif tempatan, kata AmInvestment Bank hari ini.

Menerusi pelancaran Saga baru-baru ini, bank pelaburan itu percaya Proton akan dapat mengekalkan momentum jumlah jualannya bagi tempoh berbaki tahun ini.

“Kami juga menantikan CKD X70 pada November ini dengan pengurusan DRB-Hicom membayangkan bahawa harga SUV yang popular itu akan dikurangkan,” kata AmInvestment Bank dalam kenyataannya hari ini.

Menurut laporan media baru-baru ini, Proton mencatatkan jumlah jualan sebanyak 860,000 unit pada Julai, atau 16.5 peratus penguasaan pasaran bagi bulan itu, dan kira-kira 15 peratus berdasarkan asas tahunan setakat ini (YTD).

Proton menjual 52,200 unit sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, iaitu pertumbuhan 48 peratus dari tahun ke tahun.

Sementara itu, pada Julai 2019, jumlah industri (TIV) meningkat 20 peratus dari bulan ke bulan namun merosot 26 peratus dari tahun ke tahun kepada 50,900 unit.

Bagi tujuh bulan pertama 2019, TIV turun 3.0 peratus kepada 347,200 unit daripada 358,100 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Walaupun kami masih belum menerima angka rasmi daripada Persatuan Automotif Malaysia ke atas jenama lain dan pecahan jumlah industri, kemungkinan besar Proton mengatasi Honda dan menduduki tempat kedua dalam penguasaan pasaran YTD.

“Dengan momentum dan penyerahan berterusan model berorientasikan Persona dan Iriz, kami yakin Proton akan menduduki tempat kedua menjelang akhir 2019, di belakang Perodua,” kata AmInvestment Bank.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pertukaran dua dokumen di Beijing bantu Proton berkembang

KUALA LUMPUR, 27 APR: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd menukar dua dokumen di Beijing semalam dengan rakan kongsi dari Pakistan dan China untuk membantu merancakkan pelan pengembangan masa depan syarikat itu.

Proton dalam kenyataan berkata, yang pertama merupakan pertukaran dokumen untuk perjanjian pelesenan dan bantuan teknikal (LTAA) antara Proton dan Al-Haj Automotive, pengedar rasmi kenderaan Proton di Pakistan.

“Susulan kepada majlis pecah tanah yang diadakan di Islamabad pada Mac, LTAA mengikat perjanjian untuk Proton dan Al-Haj bagi membina kilang pengeluaran komponen terurai (CKD) baharu untuk memasang dan mengedarkan kenderaan Proton di Pakistan,” katanya.

Kilang baharu itu akan dibina di Karachi di tapak baharu dengan pelaburan awal sebanyak US$30 juta, dan akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya dan anggaran 20,000 pekerjaan tidak langsung yang menyokong industri pada tahun-tahun akan datang.

Pertukaran dokumen yang kedua adalah antara Proton dan China Construction Bank (CCB) untuk kemudahan perbankan yang bernilai RM1.88 bilion untuk membiayai pelan pengembangan perniagaan masa depan Proton berikutan ia berusaha untuk mencapai matlamatnya untuk menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang 2027.

Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berada di Beijing untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa yang kedua.

Proton turut komited untuk membangunkan ekosistem automotif Malaysia dengan menggalakkan vendor tempatan membangunkan kecekapan, kualiti dan kepakaran mereka untuk membekalkan komponen berteknologi tinggi yang dikehendaki oleh penawaran pada masa depan.

Ini telah dilakukan dengan memadankan vendor Malaysia dengan rakan mereka dari China yang merupakan pembekal kepada Geely untuk mewujudkan syarikat usaha sama baharu dan menandatangani perjanjian teknikal.

“Setakat ini, seramai 16 vendor China telah mendaftar untuk inisiatif tersebut dengan enam sebagai pelabur langsung asing. Secara kumulatif, urus niaga ini telah meraih pelaburan awal lebih RM270 juta dengan 56 peratus daripada vendor membekalkan komponen elektronik dan elektrik,” menurut kenyataan itu.

Jualan kenderaan Proton bagi suku pertama 2019 telah melebihi jangkaan dengan meningkat pada kadar terpantas dalam kalangan tiga jenama automotif utama di Malaysia.

Ia diterajui oleh Proton X70, yang menjadi SUV paling laris sejak pengenalannya.

“Pada masa ini, lebih 11,000 unit telah diserahkan sejak pelancaran pada 12 Dis, 2018 manakala lebih 26,000 tempahan telah dibuat untuk SUV pertama Proton,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M saksi pertukaran dokumen Proton dan Al-Haj Automotive

BEIJING, 26 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meluangkan sedikit masa daripada jadual padatnya untuk menyaksikan pertukaran dokumen antara pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad dan rakan kongsinya dari Pakisten dan China.

Pertukaran dokumen antara Proton dan Al-Haj Automotive adalah bagi perjanjian pelesenan dan teknikal berkaitan dengan kilang pemasangan pengeluar kereta nasional itu di Pakistan.

Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, syarikat itu berharap dapat mengembangkan operasi antarabangsanya dan Pakistan, dengan kadar penggunaan kereta yang masih rendah akan menjadi pasaran yang baik.

Kilang pemasangan pertama Proton di Pakistan itu akan terletak di Islamabad, yang akan memasang kereta Proton unit terurai untuk dipasang (CKD) bagi pasaran negara tersebut, katanya.

Proton mengumumkan hasratnya untuk membuka kilang pemasangan di Pakistan semasa lawatan Perdana Menteri ke negara Asia selatan itu pada Mac tahun ini, yang juga menyaksikan upacara pecah tanah kilang tersebut bersama rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan.

Dr Mahathir berada di sini sempena lawatan kerjanya selama lima hari ke China bagi menghadiri Forum Belt and Road bagi Kerjasama Antarabangsa, yang dibuka secara rasmi oleh Presiden Xi Jinping awal hari ini.

Proton memeterai satu perjanjian dengan Al-Haj Automotive pada 2018.

Selain itu, Perdana Menteri juga menyaksikan pertukaran dokumen antara Proton dan China Construction Bank (CCB) bagi kemudahan pembiayaan bernilai RM1.888 bilion untuk penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan prasarana bagi pengeluar kereta nasional itu.

Menurut Syed Faisal, perjanjian antara Proton dan CCB itu akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

“Perjanjian itu juga merupakan bukti kejayaan projek Belt and Road, ” katanya mengenai projek prasarana diterajui China itu yang disertai oleh kedua-dua Malaysia dan Pakistan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Iriz dan Persona, satu lagi penggalak prestasi Proton

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Proton Holdings Bhd berharap pelancaran model Iriz dan Persona yang dipertingkat 2019 akan menjadi satu lagi penggalak ke arah pemulihan yang diperlukannya.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata kedua-dua model itu ditawarkan pada harga berpatutan dengan 300 pembaharuan dilakukan dalam usaha menambah baik model berkenaan.

“Kami melengkapkannya dengan unit stereo pintar (IHU) yang popular, menjadikan Iriz and Persona 2019 sebagai edisi terbaharu dalam rangkaian ‘kereta yang boleh bercakap’ kami.

“Tiada kereta lain dalam segmen sama dan pada kategori harga itu menawarkan fungsi ini. Justeru itu, kami berbangga merintis teknologi kereta Internet yang bertujuan agar menjadi lebih berpatutan untuk segmen pasaran ini,” katanya pada majlis pelancaran Iriz dan Persona 2019 di sini, semalam.

Harga atas jalan Iriz 2019 ditetapkan antara RM36,700 dan RM50,700 bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM38,700 hingga RM52,700 untuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Persona 2019 berharga antara RM42,600 dan RM54,600 bagi Semenanjung Malaysia dan daripada RM44,600 hingga RM56,600 untuk Sabah dan Sarawak.

Syed Faisal berkata bersama Zhejiang Geely Holding Group (Geely) China, Proton kini berupaya menangani cabaran.

“Selepas bertahun-tahun mewujudkan dan melabur dalam keseluruhan infrastruktur Proton, kami tahu Proton mengalami kekurangan keuntungan dari segi kos untuk mendapatkan semula pelaburan yang telah dibuat.

“Ini, selama bertahun-tahun, telah menjejaskan banyak perkara lain seperti daya saing kos, penawaran kualiti dan teknologi.

“Dalam usaha mengatasinya, kami menyedari bahawa Proton terpaksa berada dalam firma automotif yang lebih besar dan kami memutuskan untuk mencari rakan strategik yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh yang singkat bersama Geely, Proton berupaya mencatatkan begitu banyak pencapaian dengan yang paling tertinggi adalah pelancaran X70.

Syed Faisal berkata setakat ini, Proton X70 membuat rekod bagi pendaftaran paling banyak dicatatkan oleh kenderaan utiliti sukan dalam tempoh bulan pelancarannya Disember tahun lepas, dengan lebih 25,000 tempatan diterima.

“Setelah X70 berjaya mencatatkan rekod itu, kami tidak meraikan pencapaian tersebut sebaliknya menarik nafas lega apabila kerja keras dan strategi kami diiktiraf.

“Apabila X70 memenangi Anugerah Pilihan Editor bagi Kereta Terbaik 2018 kategori Kesalinghubungan dan Maklumat Hibur, kami turut tidak meraikannya dengan parti besar selain mengucapkan terima kasih kepada Yang Maha Kuasa bahawa kini adalah peluang sebenar untuk mengembalikan semula kebanggaan pekerja kami,” katanya.

Tersedia bagi varian Premium 1.6 CVT, sistem Iriz dan Persona menggunakan eSIM untuk kekal terhubung dengan Internet.

Sistem ini juga menawarkan aplikasi untuk penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara yang diakses melalui skrin sentuh tujuh inci yang menampilkan paparan warna penuh dan memori dalaman 16GB.

Bagi kemudahan tambahan, sistem ini menawarkan fungsi skrin ‘mirroring’ dengan telefon pintar Android.

Proton juga menyediakan data Internet lima tahun percuma (12GB/tahun), cukai jalan percuma selama dua tahun untuk 1,000 unit pertama yang berdaftar selain buruh percuma bagi tiga temu janji servis berjadual.

Pembeli kedua-dua model itu juga ditawarkan kadar pembiayaan lebih rendah bermula daripada 2.93 peratus di samping pakej perlindungan insurans yang menarik.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

X70: SUV paling laris setakat suku pertama 2019

KUALA LUMPUR, 2 APR: Proton X70 berjaya mencatatkan nombor pendaftaran yang memberangsangkan, dengan 2,979 unit didaftarkan pada Mac 2019, menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris untuk bulan tersebut dan SUV paling popular secara keseluruhan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menurut Proton Holdings Bhd.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, ia telah menerima lebih 25,000 tempahan untuk X70 sekali gus, menjadikannya model Proton paling popular pada 2019.

Katanya jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun pada Mac, dan syarikat telah mengatasi pasaran dengan peningkatan pendaftaran sebanyak 46.1 peratus, bersamaan dengan kadar pertumbuhan hampir empat kali lebih tinggi daripada keseluruhan industri.

“Bagi tempoh tiga bulan pertama 2019, angka kumulatif adalah 43.5 peratus, atau lebih daripada enam kali bilangan TIV sebanyak 6.7 peratus.

“Kedudukan keseluruhan jualan Proton merupakan yang paling hadapan berbanding jenama pesaing lain bagi bulan itu dan suku pertama 2019,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Li Chunrong berkata, pencapaian itu berdasarkan pembukaan cawangan 3S/4S (khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat), kualiti produk yang meningkat dan tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan.

“Dengan pelancaran pelbagai lagi model oleh syarikat pada tahun ini, Proton yakin pelaburannya dalam perniagaan akan terus memberi kelebihan kepada pertumbuhan jualan.

“Dengan jumlah penyerahan Proton X70 yang meningkat, kami berharap dapat mengurangkan masa menunggu pelanggan kami.

“Pada masa sama, kami berusaha untuk memastikan setiap unit yang diserahkan mempunyai tahap kualiti yang tinggi kerana matlamat kami adalah untuk SUV baharu ini menjadi kenderaan yang diberi nilai tertinggi untuk Kajian Kualiti Awal (IQS) Malaysia pada 2019,” kata Li dalam kenyataan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Proton catat 5,283 pendaftaran bagi Februari

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Proton Holdings Bhd meneruskan permulaan cemerlang, pada 2019 apabila mendaftarkan 5,283 unit kereta, pada Februari lalu.

Ia mewakili kira-kira 12.7 peratus penguasaan pasaran, meningkat lebih 3.0 peratus berbanding bulan sama, pada 2018.

Proton dalam kenyataan hari ini berkata, pertumbuhan jualan lebih tinggi daripada semua saingannya, berdasarkan peningkatan jualan sebanyak 37 peratus dari tahun ke tahun.

Katanya, ia juga mencatatkan pertumbuhan jualan 42 peratus bagi dua bulan pertama berbanding tempoh sama, pada 2018.

“Pendaftaran untuk Proton X70 terus meningkat setiap bulan dengan 2,823 unit didaftarkan, pada Februari termasuk 1,000 unit yang diserahkan kepada pelanggan pada hari yang sama, di seluruh negara sebelum Tahun Baharu Cina.

“Pada akhir Februari, lebih 20,000 tempahan diterima untuk SUV pertama Proton, melebihi jangkaan awal yang mengesahkan kedudukan syarikat itu sebagai pemimpin segmen walaupun baharu memasuki pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, Proton X70 sedang membangunkan asas peminatnya dan menarik sokongan kukuh daripada pembeli SUV Malaysia.

“Proton bangga mencatat rekod baharu untuk pendaftaran SUV dalam tempoh tiga bulan pertama selepas pelancarannya.

“Angka ini luar biasa kerana ia dicapai walaupun terdapat dua cuti perayaan yang panjang (Tahun Baru Krismas dan Tahun Bahru Cina), merangkumi hanya 78 hari secara keseluruhan.

“Sasaran kami seterusnya adalah untuk jumlah pendaftaran enam bulan dan setahun penuh yang kami yakini dapat dicapai,” katanya. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Proton X70 terima tempahan lebih 200 sehari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Proton X70, kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diperkenalkan Proton Holdings Bhd dengan kerjasama Zhejiang Geely Holding Group dari China, menerima 200 hingga 300 tempahan sehari sejak dilancarkan, pada 12 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, lebih 60 peratus tempahan adalah untuk varian premium yang menunjukkan pembeli tertarik dengan ciri dan tahap peralatannya serta berpandangan ia berbaloi.

“Sokongan kukuh itu berterusan dan ini adalah maklum balas terbaik diterima Proton,” katanya lapor BERNAMA.

Pembuat kereta nasional itu mencatatkan lebih 15,000 tempahan selepas kempen prapelancaran untuk model SUV pertamanya.

X70 yang menerapkan ciri model terbaik Boyou Geely akan dihasilkan sepenuhnya, di China dan diimport sebagai unit siap bina (CBU) ke Malaysia.

Proton dan Geely bercadang mengeluarkan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) di kilang Proton, di Tanjung Malim sebagai pemasangan tempatan (CKD) tahun depan dengan pelaburan RM1.2 bilion.

Abdul Rashid berkata, dengan kilang di Tanjung Malim dinaik taraf untuk pengeluaran RHD SUV berkenaan, Proton boleh menjual seberapa banyak unit CBU X70 melalui permit import sambil menunggu barisan pengeluaran CKD siap sekitar Oktober 2019.

X70 dilengkapi teknologi komunikasi mudah alih, sistem maklumat kokpit bersepadu maju yang menawarkan pelbagai fungsi pengguna selain keupayaan untuk disambungkan dengan peralatan mudah alih.

Proton menawarkan pembeli X70 pakej tambah nilai khas termasuk alat ganti dan kos buruh percuma untuk servis pertama selain kos buruh percuma untuk lima servis berjadual bagi 100,000 kilometer atau lima tahun.

Ia juga menawarkan kadar faedah rendah bermula 2.34 peratus setahun untuk pembeli yang layak, jaminan perbatuan tidak terhad sehingga lima tahun dan data internet satu gigabait sebulan untuk lima tahun.

“Tempahan baru X70 berpeluang menerima kereta berkenaan dalam masa dua ke tiga bulan daripada tarikh tempahan, bergantung kepada varian dan warna yang dipilih,” kata Abdul Rashid.

Categories
EKONOMI

Dr M harap usaha sama Proton-Geely dapat mengeluarkan kereta Proton

HANGZHOU, 19 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan harapannya supaya usaha sama strategik antara Proton dan pengeluar kereta Geely China, akan dapat meningkatkan proses menghasilkan kereta Proton yang lebih baik.

Perdana Menteri Malaysia itu mengambil maklum mengenai kemajuan besar yang telah dibuat oleh Zhejiang Geely Holding Group dari segi mengeluarkan kereta berkualiti walaupun memasuki perniagaan kereta lebih lewat berbanding Proton.

“Semasa Proton diperkenalkan, Geely belum wujud. Kita menghantar enam kereta Proton ke sini (China)… dan kita sangat bangga atas pencapaian itu.

“Namun, seperti yang anda tahu, Geely sudah menandingi kita dari segi kualiti dan produktiviti industri kita. Dan saya percaya Proton boleh meraih manfaat daripada kerjasama dengan Geely,” katanya selepas menyaskikan perjanjian antara Proton dan Geely, di ibu pejabat Geely di sini hari ini.

Dr Mahathir kini dalam lawatan rasmi lima hari ke China, yang turut membawanya ke Beijing.

Dr Mahathir juga berharap ilmu kejuruteraan yang bakal diperoleh menerusi usaha sama itu dapat membantu meningkatkan produk Malaysia seperti kereta.

Perdana Menteri berkata industri automotif sentiasa menambah baik dari segi teknologi dan kualiti, dan dalam hubungan ini Proton sudah mengikutinya, dengan meningkatkan reka bentuk dan kualiti keretanya.

“Kereta sedia ada sebenarnya boleh dipasarkan di banyak tempat,” katanya dan menambah kereta Proton tidak dapat dipasarkan di banyak negara Barat kerana tidak memenuhi standard pelepasan Euro 5.

“Namun kita percaya jika kita dapat memperoleh enjin baharu dan meningkatkan kualiti, kita akan dapat memasarkannya dan bersaing dengan jenama lain. Bekerjasama dengan Geely akan menambah baik kereta Proton,” kata Dr Mahathir.

Menjawab soalan, beliau berkata berdasarkan apa yang beliau saksikan, Geely, yang menguasai 49.9 peratus kepentingan dalam Proton, berkeupayaan untuk mengeluarkan kereta elektrik bersama Proton untuk pasaran ASEAN dan melepasinya.

Perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua syarikat hari ini adalah untuk penubuhan usaha sama, yang membuka jalan bagi Proton untuk memasang dan memasarkan kereta di China.

Dr Mahathir mengakui bahawa Proton berusaha untuk memasuki pasaran China sejak beberapa waktu.

“Namun kita mengeluarkan kereta pemanduan sebelah kanan yang tidak diterima di China, oleh itu kita perlu mengeluarkan kereta pemanduan kiri, kerana kos di sini lebih rendah daripada di Malaysia.

“Selain itu, saya fikir kita perlukan kereta berkualiti, dan yang akan dihasilkan oleh Proton bersama-sama dengan Geely akan lebih berkualiti berbanding yang kita ada di Malaysia sekarang,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, pengerusi Proton Holdings Bhd Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata usaha sama itu termasuk mewujudkan kemudahan pemasangan dan pengeluaran kenderaan di China dan pembangunan rangkaian peniaga untuk memasarkan kenderaan Proton di negara ini.

“Kemasukan Geely sebagai rakan strategik Proton telah membuka laluan mudah bagi penyertaan Proton ke pasaran China yang menguntungkan,” katanya mengenai negara yang mempunyai penduduk lebih 1.3 bilion orang itu.

Lotus dan Volvo merupakan antara pegangan lain Geely selain menguasai kepentingan besar dalam Daimler yang mengeluarkan Mercedes-Benz.

Semasa lawatan ibu pejabat Geely, Dr Mahathir memandu uji tiga kenderaan termasuk sebuah kereta elektrik.

Beliau kemudiannya menaiki kereta api berkelajuan tinggi ke Shanghai, perjalanan kira-kira 150 km, sebelum mengambil penerbangan ke Beijing untuk meneruskan lawatan rasminya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Berapa China bayar beli saham Proton?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Putrajaya didakwa gagal menyatakan perolehan kewangan sebenar diterima selepas pembelian 49.9 peratus saham PROTON oleh Syarikat Geely dari China, tahun lalu.

Justeru, Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong menuntut Kerajaan Persekutuan lebih telus dan mendedahkan nilai sebenar hasil pembelian saham itu.

“Sejak kerjasama itu dibuat dan walaupun banyak jawapan kebaikannya tetapi belum ada mana-mana pihak mendedahkan jumlah wang dibayar untuk perkongsian usahasama itu.

“Saya mahu kementerian memberi jawapan tepat kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita jual saham tetapi tidak tahu berapa jumlah diterima.

“Kerajaan (Persekutuan) perlu lebih telus dan dedahkan nilai itu kepada rakyat selaku pembayar cukai di negara ini,” katanya pada sidang media, di Lobi Parlimen.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam jawapan bertulis memaklumkan, salah satu syarat pagi pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion yang diluluskan kerajaan kepada Proton adalah pada April 2016.

Ketetapan itu dibuat bagi memastikan Proton mendapat rakan kongsi strategik yang menyaksikan sahamnya dijual kepada Zhejiang Geely bagi pengambil alihan saham konglomerat DRB-Hicom, pemilik Proton.

Hasil pengambil alihan itu, Proton hanya akan menerima suntikan tunai RM170.3 juta dari Geely serta pemberian landasan model SUV terbaharu iaitu Boyue yang dianggarkan bernilai RM290 juta.

Bagaimanapun, kata Kok Seong, pendirian sebenar terhadap jumlah milikan sebenar sehingga kini masih belum dinyatakan secara telus, di peringkat Persekutuan.

Categories
EKONOMI GLOBAL

Bakal CEO Proton baharu warga China?

GLOBAL 6 SEPT: Spekulasi mengatakan pemilik Proton, Zhejiang Geely Holding bakal melantik warga China sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat kereta nasional itu semakin kencang.

Portal China Automotif Review pada minggu lalu melaporkan, Chunrong, bekas ahli Lembaga Pengarah dan Naib Presiden Eksekutif Dongfeng-Honda Engine Co Ltd itu secara rasminya menyertai Geely dan berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif PROTON.

Dalam pada itu, satu lagi portal automotif China, Gasgoo melaporkan pada bulan lalu, Dongfeng Automobile kehilangan dua bakat besar iaitu Chunrong dan Che Yanhua, yang mana didedahkan akan menyertai Geely.

“Pada 21 Ogos, difahamkan Chunrong secara rasminya menyertai Geely dan berkhidmat sebagai CEO PROTON,” lapor portal berkenaan.

Lee ChunromgSementara itu, China Press yang memetik agensi berita China Xinhua, bekas timbalan pengurus besar Dongfeng Honda Engine Co ,Li Chunrong yang menyertai Geely 22 Ogos lalu bakal dilantik memegang jawatan itu.

Menurut laporan itu lagi, Li dibawa masuk ke Geely khusus untuk peranan itu.

Namun, kedua-dua Geely – pemegang 49.9 peratus saham Proton – dan Proton tidak mengesahkan khabar angin itu.

Jabatan Komunikasi Korporat Geely memberitahu China Press pihak mereka hanya akan mengeluarkan kenyataan berhubung CEO baru Proton pada waktu yang sesuai.

CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali juga enggan mengulas dakwaan itu.

Chungrong menyertai Dongfeng Automobile pada 1987 dan mengendalikan pembangunan bagi kenderaan penumpang Dongfeng selama 10 tahun.

proton_logoDalam tempoh 30 tahun dengan Dongfeng Automobile, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah bagi Lembaga Pengarah Dongfeng; Timbalan Pengurus Besar Dongfeng Yueda KIA Automobile Ltd Co; Pengawal Selia Dongfeng Group dan Pengurus Besar Bahagian Kereta Penumpang Dongfeng.

Beliau juga baru saja dilantik sebagai Pengarah dan Timbalan Pengurus Besar Eksekusif Dongfeng Honda Engine pada Julai.

=EZY=