Categories
KENYATAAN MEDIA

Rakyat Terengganu tiada royalti minyak jika BN kekal

OLEH RAJA KAMARUL BAHRIN

Baru-baru ini, terpampang keangkuhan Barisan Nasional (BN) di media cetak dan elektronik bahawa BN akan terus berkuasa walaupun pelbagai masalah kos sara hidup rakyat yang muncul dan hak royalti minyak rakyat Terengganu yang terus dinafikan. Jelas ini merupakan satu penghinaan besar kepada rakyat Terengganu.

Terengganu di bawah kekuasaan UMNO BN lebih 60 tahun telah menafikan hak royalti minyak yang sepatutnya menjadi hak kepada rakyat Terengganu. Malah Dato’ Menteri Besar Terengganu turut membisu dan tidak bersama dengan rakyat agar menuntuk hak royalti sepertimana perjanjian asal yang pernah ditemeterai dahulu.

Saya selaku pengerusi Pakatan Harapan Terengganu bersama rakan-rakan pimpinan PH Terengganu akan sentiasa komited memperjuangkan hak royalti minyak yang telah dirampas UMNO BN dan dikembalikan kepada seluruh rakyat Terengganu.

Kenapa penting hak royalti minyak untuk rakyat Terengganu?

1. Membasmi kemiskinan negeri Terengganu yang kini mencatat kemiskinan rakyat antara yang tertinggi di Malaysia.
2. Memulihkan sektor ekonomi penting negeri Terengganu seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan.
3. Meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah.
4. Menyediakan lebih banyak fasiliti awam yang berkualiti seperi jalan raya, elektrik, air di pedalaman dan kampung-kampung.
5. Meningkatkan keselamatan perairan Terengganu dan memulihkan ekosistem akuatik.

Lima perkara penting ini hanya beberapa yang diambil daripada banyak aspirasi rakyat, bayangkan sekiranya dana negeri Terengganu meningkat sekiranya royalti minyak dikembalikan, saya percaya banyak yang boleh kita capai dengan jayanya.

Adakah Terengganu bukan negeri berdaulat?

Jika dibandingkan Sarawak, mereka telah dilayan lebih baik dalam hak royalti mereka. Namun berbanding dengan Sarawak, kami di Terengganu kini telah kehilangan segala hak kami! Kebanyakan rakyat Terengganu pula terpaksa berhadapan dengan kekangan hidup yang amat perit sedangkan negeri ini merupakan pengeluar minyak dan pernah dikenali sebagai ‘Kuwait Malaysia’.

Kemelut ekonomi Terengganu juga sedang membelit seluruh kehidupan rakyat sehingga ke pundak. Rakyat Terengganu – khususnya anak muda – ramai tiada sumber pekerjaan tetap termasuk mahasiswa yang menjadi penganggur.

Bermula dari 1978, di bawah fasal 2 Perjanjian Royalti seperti yang telah dipersetujui oleh semua pihak, kerajaaan Terengganu telah menerima bayaran royalti dengan bayaran sulungnya sebanyak RM5.7 juta daripada Petronas.

Perjanjian ini adalah seperti dikehendaki Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang telah diluluskan kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak Hussein di Parlimen pada 15 November 1974.

Malangnya, pembayaran wang royalti secara tunai kepada Terengganu menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan “wang ehsan” yang dikendalikan terus oleh pusat.

Lebih malang lagi Petronas juga memaklumkan secara rasmi pada 25 September 2015 bahawa: “Petronas tidak lagi terikat secara undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada Terengganu di bawah Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan Terengganu”.

Ini berdasarkan terma di dalam negeri bahawa “kerajaan Terengganu tidak lagi berhak menuntut hasil wang royalti kerana segala penemuan telaga minyak adalah di luar tiga batu nautika yang diukur dari garis air surut persisiran pantai negeri”.

Menurut tafsiran diatas, kerajaan Terengganu kini tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak di perairan negeri. Semua telaga minyak yang ditemui selama ini dan terletak di perairan Terengganu bukan lagi menjadi milik ‘sah’ kerajaan Terengganu kerana kedudukannya di luar dari tiga batu nautika.

UMNO Terengganu bersetuju untuk hak royalti rakyat Terengganu terus dirampas?

Nyata, sehingga hari ini, tiada langsung usaha yang dijalankan oleh UMNO Terengganu apatah lagi kerajaan negeri Terengganu dan Menteri Besar untuk menuntut kerajaan persekutuan mengembalikan hak royalti minyak Terengganu.

UMNO BN adalah pengkhianat terbesar dalam usaha rakyat untuk mengembalikan hak royalti kembali ke rakyat Terengganu.

Adakah Pimpinan UMNO BN Terengganu lupa akan jasa besar rakyat Terengganu?

Negeri Terengganu telah meyumbangkan hasil minyak dan gas kepada kerajaan persekutuan sejak hampir 40 tahun dengan pengeluaran hasil bernilai ratusan bilion ringgit untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara kita cintai ini.

Selama bertahun-tahun, rakyat Terengganu telah berkompromi dengan kerajaan pusat untuk bersama berkongsi hasil kerana mengambil semangat perjanjian bersama yang telah ditandatangani pada 1975.

Namun, apakah wajar royalti sebanyak 5 peratus yang diterima kerajaan Terengganu dari 1978 hingga beberapa tahun lalu terbatal sepenuhnya dan dianggap sebagai “ehsan” dan “dana khas” daripada kerajaan persekutuan?

Apakah wajar perjanjian royalti minyak antara kerajaan negeri dengan persekutuan dan Petronas yang ditandatangani sejak 1975 juga sudah dianggap sebagai terbatal?

Lebih malang lagi, telaga minyak Bertam Blok PM 307 yang ditemui dan sah terletak di perairan Terengganu baru-baru ini telah ‘diserah’ sepenuhnya kepada kerajaan Pahang.

Malah, Lundin Oil yang merupakan syarikat cari gali berpengkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja cari gali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali mengesahkan bahawa Bertam Blok PM 307 ini terletak di perairan Terengganu.

UMNO BN telah gagal!

Justeru, rakyat Terengganu yang mahukan hak royalti minyak dikembalikan, maka seluruh rakyat Malaysia dan khususnya rakyat Terengganu perlu menolak UMNO BN di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri dan memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) demi pengembalian hak royalti yang lebih adil demi rakyat Terengganu.

# Datuk Raja Kamarul Bahrin adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu

Categories
NASIONAL

Raja Kamarul Bahrin nafi sokong cadangan larangan wanita bertudung

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menafikan beliau menyokong cadangan larangan wanita memakai tudung dalam sektor pekerjaan hotel dalam ucapan penggulungan, semalam.

Katanya, beliau hanya mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menganjurkan pertandingan rekaan uniform yang menepati kehendak Islam dan boleh digunakan di hotel.

Tegasnya, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz selaku menteri bertanggungjawab perlu membaca keseluruhan ucapannya dan tidak beremosi serta tidak mempolitikkan isu itu.

“Saya agak hairan kenapa cadangan itu dikecam ketika sesi jawapan menteri. Saya tidak sesekali bersetuju dengan cadangan melarang wanita Islam memakai tudung.

“Cadangan saya adalah untuk membuat pemakaian tudung dan penutupan aurat uniform hotel lebih menarik sebagai daya tarikan aset pelancongan. Hasil terbaik boleh dicapai melalui satu pertandingan fesyen,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Katanya, cadangan beliau adalah langkah mencari titik penyelesaian dalam situasi menang-menang supaya tuntutan Islam dipenuhi dan hotel menerima konsep itu.

Raja Kamarul berkata, beliau sendiri sudah memulakan perniagaan Aryani Resort sejak 1996 dengan memperkenalkan uniform bertudung dan uniform labuh dari ‘front office’ hingga ‘house keeping’.

Categories
KENYATAAN MEDIA

“Sindiket bawahan didakwa, atasan dilindungi”

OLEH RAJA BAHRIN SHAH

1) Setelah berita pendakwaan beberapa orang ahli sindiket nelayan ikan yang beroperasi secara haram dan ahli-ahli penguatkuasa Maritim tersiar, ramai bertanya adakah ini watak-watak utama yang telah dikenakan tindakan.

Memandangkan jumlah nilai kos kerugian kecurian tangkapan laut yang didapati dari sumber rasmi kerajaan setinggi diantara RM4 hingga RM6 bilion, tidak mungkin mereka yang terdiri orang biasa dan pegawai rendah merupakan perancang utama sindiket tersebut. Mesti ada pihak atasan yang lebih tinggi dan berpengaruh terlibat yang masih belum di “sentuh” atau di dakwa. Adakah pihak yang didakwa ini dahulu di lindungi oleh vvip atau “Godfather” yang mempunyai kekebalan tertentu? Mereka telah bermaharajalela begitu lama dan bebas di luar “kesanggupan” dan kemampuan pihak berkuasa bertindak seolah olah mereka adalah “Pirates of the Carribean’ di Asia yang ganas lagi berpengaruh besar. Ada juga wanita asing muda Vietnam yang mempunyai pengaruh di kalangan pihak berkuasa atasan hingga bolih memiliki status gelaran Datuk.

2) Laporan Bernama pada 9 November 2017 melaporkan seorang lelaki pemilik kapal menangkap ikan warga Vietnam dan seorang wanita Vietnam bersama suaminya telah di dakwa Mahkamah di Terengganu kerana cuba memberi RM 100,000 wang rasuah kepada seorang pegawai SPRM untuk melepaskan dua bot Vietnam yang telah dirampas oleh pihak berkuasa. Lelaki Vietnam bernama Tran Van Sang mengaku perbuatan rasuah tersebut dan hukuman maxima jika didapati bersalah ialah 20 tahun penjara dan juga boleh dikenakan denda.

Adakah dengan mengaku bersalah Encik Tran berharap siasatan lanjut tidak akan diteruskan? Adakah beliau ingin melindungi pihak yang lebih tinggi dan berkuasa? Adakah Tran juga mahu memikul tanggungjawab penuh supaya rakan rakyat Malaysia akan dilepaskan tanpa siasatan diteruskan yang boleh membongkar rahsia orang atasan vvip Malaysia yang berpengaruh?

3) Soalan soalan tersebut diatas adalah diantara tandatanya saya dan beberapa lagi rakan profesional yang berbincang beberapa tangkapan berkaitan isu nelayan oleh pihak berkuasa baru baru ini.

Seperti saya biasa lakukan apabila pulang dari sesi Parlimen pada hari Jumaat lepas, saya telah ke Jeti Utama Nelayan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu untuk mendapat reaksi nelayan isu penangkapan tersebut. Saya dapati hampir kesemua yang ditanya memberi komen sinis tentang operasi tersebut dengan menyatakan nelayan warga Vietnam dan bot mereka akan dilepaskan tidak berapa lama lagi serta bot mereka yang dirampas akan kembali beroperasi semula secara haram. Mereka juga menambah kakitangan dan pegawai yang ditangkap adalah golongan bawahan sahaja dan mereka percaya pihak yang lebih berkuasa yang terlibat masih bebas. Nelayan juga kecewa dengan sikap tidak tegas kerajaan yang melepaskan kembali bot yang di rampas dengan mudah sementara pihak berkuasa Indonesia lebih tegas dengan memusnahkan nya.

4 ) Pada keseluruhannya nelayan dan rakyat percaya selepas musim pilihan raya operasi seperti ini tidak akan dijalankan lagi. Mereka terlalu arif dengan adegan bermusim dengan agenda tersendiri kerajaan. Mereka telah melihat sandiwara sebegini dahulu. Nelayan akan masih kekal di kalangan termiskin dengan pendapatan di bawah RM450 sebulan.

Aktiviti nelayan haram Vietnam dan Thailand telah dibiarkan berleluasa terlalu lama dan mereka yang di cantas sekarang hanyalah ranting ranting kecil. Sindiket-sindiket ini telah berakar umbi di bumi dan di dasar lautan negara kita. Selagi perancang perancang utama dan “godfather” tidak dibawa ke muka pengadilan, ranting ranting yang dicantas akan tumbuh kembali seperti cendawan selepas hujan.

# Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Categories
NASIONAL

3 bangunan runtuh di Terengganu dalam tempoh setahun

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 3 DIS : Sebuah lagi insiden keruntuhan bumbung dilaporkan berlakudi Terengganu yang membabitkan Dewan Canselor Universiti Tati di Kemaman walaupun baru dibina kira-kira setahun lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin, berkata runtuhan yang berlaku semalam adalah kali ketiga dilaporkan berlaku di negeri itu untuk tahun ini.

RajaBahrinKatanya, pengulangan insiden itu dipercayai berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan kurangnya kawalan serta pemantauan terhadap kontraktor yang dilantik.

“Dua minggu lepas dalam Dewan Rakyat saya tanya kepada Timbalan Menteri Kerja Raya apa tindakan untuk kontraktor yang menyebabkan keruntuhan ini dan beliau mengatakan mereka yang didapati gagal akan disenarai hitam.

“Tetapi apabila analisa dibuat, saya mendapati kerajaan tetap menggunakan kontraktor sama untuk membina bangunan di Terengganu walaupun sudah disenarai hitam sebelum ini.

“Kalau betul disenarai hitam, kenapa kontraktor sama masih boleh buat projek itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan kontraktor yang dilantik mempunyai pengaruh besar dan menjalin hubungan baik dengan kerajaan hingga mengakibatkan mereka masih diberi peluang untuk melaksanakan projek walaupun mempunyai rekod buruk.

Katanya, Terengganu mencatatkan lebih 20 bangunan runtuh sejak lima tahun lalu dan malangnya perkara berkenaan tidak dijadikan iktibar oleh kerajaan negeri.

“Laporan Ketua Audit Negara banyak memberi syor kepada pihak kerajan tetapi perkara sama tetap berulang lagi. Setiap kali berlaku keruntuhan, tidak ada apa yang dipelajari dan perkara ini sangat membimbangkan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Henti segera tambak sungai Terengganu, elak kejadian Cameron Highland berulang

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Kerajaan pusat perlu menghentikan projek penambakan Sungai Terengganu supaya kejadian serperti empangan pecah di Cameron Highland tidak berulang.

Kamarul BahrinAhli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah, berkata langkah itu kerana terdapat laporan daripada Majlis Keselamatan Negeri yang menjangkakan akan berlaku lima gelombang banjir di Terengganu, termasuk ramalan hujan lebat dan air pasang surut.

“Dengan berlakunya cuaca luar biasa dengan angin lebih 320 kilometer sejam melanda Filipina, Vietnam dan China, kerajaan harus lebih peka dan berhati-hati dengan situasi ini.

“Begitu juga dengan tragedi di Cameron Higland, kerajaan harus ambil tindakan selepas mengorbankan nyawa penduduk,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Raja Bahrin berkata, , beliau pernah bertanya kepada Menteri Kerja Raya dan Alam Sekitar berkenaan isu itu namun dua kementerian itu tidak memberi jawapan yang memuaskan, pada 12 dan 13 November lalu.

Katanya, kerajaan perlu memberikan penjelasan serius kerana membabitkan lebih 200,000 penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berisiko dalam isu terbabit.

“Kerajaan memperjudikan nyawa rakyat dengan tindakan tidak bertanggungjawab. Saya harap kerajaan tolong prihatin dalam hal ini kerana sudah banyak kali membangkitkannya tetapi tidak satu tindakan diambil dan kerja penambakan sudah dua kali di lakukan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kerja penambakan lebih 80.94 hektar itu dibuat tanpa pelaksanaan kajian hidraulik dan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) juga tidak mengawasi kerja terbabit dan hanya Jabatan Kerja Raya (JKR) ditugaskan menjaga projek itu.

“Ini adalah satu keadaan luar biasa apabila jabatan yang seharusnya dipertanggungjawabkan tidak ditugaskan mengawas dan mengendalikan projek itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali, berkata beliau bimbang kerana projek itu akan menjejaskan penduduk sekitar.

“Projek ini akan menyebabkan rakyat berada dalam keadaan bahaya kerana banjir mudah berlaku jika tidak dikawal berlaku,” katanya.

-NFN-