Categories
SELANGOR

LZS Pergiat Promosi Kutip Zakat Saham

zakat saham 01

SHAH ALAM 20 JUN : Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mempergiatkan promosi zakat daham pada tahun ini bagi meningkatkan jumlah kutipan kumpulan zakat tersebut.

Dengan motto ‘Saham Dunia Saham Akhirat’, LZS mensasarkan usaha itu mampu mengubah kefahaman komuniti pelabur Muslim khususnya, agar menjadikan zakat saham sebagai satu tanggungjawab.

Ujar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, kekayaan yang tercipta daripada permainan saham juga perlu dizakatkan demi kekuatan umat Islam secara keseluruhannya.

“Sebelum ini kebanyakan para pelabur Muslim kurang didedahkan dengan zakat saham secara terperinci, sedangkan sektor pelaburan pada masa ini ini lebih kompleks dengan pelbagai variasi.

zakat saham 02“Saham kini juga sudah menjadi salah satu aspek kekayaan baharu bagi umat Islam yang meliputi saham-saham syarikat, saham di akaun amanah, saham dalam bon yang dikeluarkan kerajaan dan banyak lagi,” katanya di hadapan kira-kira 100 hadirin.

Beliau berucap demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Zakat Saham yang diadakan di Plenary Hall, Shah Alam Convention Centre (SACC) semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof serta Pengurus Besar Kutipan LZS, Roszy Non.

Dengan promosi yang lebih giat pada tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat saham akan meningkat sebanyak sepuluh peratus iaitu RM8.5 juta, berbanding kutipan pada tahun lepas, yang berjumlah RM 7.7 juta.

LZS merupakan institusi zakat pertama di Malaysia yang mengemas kini panduan kiraan zakat saham dan pelaburan dengan mewujudkan Warta Fatwa Zakat Pelaburan Saham pada 30 Mac 2011.

Nilai zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5 peratus daripada nilai pelaburan di hujung haul(genap satu tahun) sementara bagi pelaburan yang diniagakan, jumlah keuntungan yang ditunaikan sepanjang tahun hendaklah dicampurkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengiraan zakat saham, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang LZS di www.e-zakat.com.my atau menghubungi terus wakil pegwai di pejabat LZS.