Categories
ADN SELANGOR

Permatang berpotensi jadi hab makanan Jawa, laut

SHAH ALAM, 9 JULAI: Permatang memiliki pelbagai produk makanan berasaskan hasil laut dan masyarakat Jawa yang berpotensi diketengahkan kepada pelancong, kata ahli dewan negerinya.

Rozana Zainal Abidin berkata beberapa restoran dan premis makanan dengan kebanyakan diusahakan penduduk setempat menawarkan sajian tersebut pada harga berpatutan sekali gus mampu memenuhi citarasa pelanggan setiap kali berkunjung ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata antara tempat wajib dikunjungi ialah Warung Udang Galah di Kampung Baru Pasir Penambang yang menyajikan aneka menu seperti udang masak lemak, udang tepung berempah dan udang masak merah.

“Mereka yang datang ke Permatang perlu merasai keenakan mi udang galah banjir di Pasir Penambang, Kuala Selangor dan restoran ini sering menjadi tumpuan warga kota termasuk selebriti. Kebiasaannya, pelanggan akan menghubungi pemilik restoran terlebih dahulu sebelum datang.

“Bagi penggemar makanan Jawa pula, jangan ketinggalan mencuba nasi ambeng asli di Warung Ibu di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor. Makanan tradisi ini bukan hanya disukai masyarakat Jawa tetapi kaum Melayu, Cina dan pelancong Inggeris,” katanya kepada SelangorKini.

Nasi goreng udang galah di Pasir Penambang, Kuala Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada masa sama, Rozana berkata media sosial berperanan penting menonjolkan keunikan sesebuah lokasi selama ini kurang diketahui umum bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat.

“Konsep kehidupan masa kini jauh berbeza, jika dulu kita kena turun ke satu-satu kawasan untuk menikmati apa yang terdapat di situ tetapi sekarang kita boleh ulas (review) melalui media sosial sahaja.

“Saya gembira kerana kebanyakan rakyat sangat berlapang dada berkongsi maklumat mengenai tempat dan juadah dinikmati di samping mengajak lebih ramai untuk mencuba,” katanya.

Destinasi makanan lain di sekitar Dewan Undangan Negeri Permatang antaranya Warung Dimyati Roti Canai Pelangi, Restoran Ah Yu Kuala Sungai Pasir Penambang, Azee Restoran Satay Hut Tanjong Karang,  Emanis Bahulu Panas dan Kunyah-Kunyah Mis Kiah.

Categories
ADN SELANGOR

Unisel tawar biasiswa buat pelajar DUN Permatang

SHAH ALAM, 15 JUN: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang ditawarkan biasiswa pengajian ke Universiti Selangor (Unisel).

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata tawaran Biasiswa Bestari Unisel berjumlah RM3,000 itu akan disalurkan pada semester pertama untuk semua program diploma dan ijazah sarjana muda di Unisel Kampus Bestari Jaya.

Katanya, sebagai DUN dengan motto Permatang Peduli Ilmu, ia adalah satu cara bagi menggalakkan anak-anak di Permatang melanjutkan pelajaran ke Unisel dan pada masa sama meningkatkan taraf pendidikan mereka terutama dari keluarga B40.

“Saya menyokong usaha murni ini memandangkan Unisel terletak dalam DUN Permatang, dan ia juga menjadi universiti pertama di Malaysia milik Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana berkata menerusi biasiswa berkenaan, Unisel akan menanggung kos pengajian bagi semester pertama berikutan terdapat pelajar tidak dapat menyambung pengajian ke universiti disebabkan kekangan kewangan bagi membayar yuran permulaan.

“Apabila pelajar ini memasuki semester kedua, dengan keputusan dari semester pertama, mereka boleh memohon biasiswa atau pinjaman dari Kerajaan Negeri,” katanya.

Pendaftaran pelajar baharu bagi pengambilan Julai dan Ogos tahun ini kini dibuka dengan yuran pendaftaran hanya RM100 sahaja.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-55223400 atau WhatsApp ke 018-5714084 atau 018-5714087.

Categories
ADN SELANGOR

Kerjasama semua bantu Kuala Selangor cegah Covid-19

SHAH ALAM, 17 MEI: Komitmen tinggi semua agensi kerajaan di Kuala Selangor membolehkan daerah berkenaan bertukar status kepada zon hijau kes Covid-19 semalam, kata Ahli Dewan Negeri Permatang.

Rozana Zainal Abidin berkata beliau gembira dengan perkembangan itu apabila kes aktif wabak berkenaan susut ke angka sifar sekali gus menjadikan daerah itu sebagai zon hijau kedua di Selangor selepas Kuala Langat.

“Ternyata komitmen tinggi agensi kerajaan termasuk polis, pejabat kesihatan daerah dan Majlis Daerah Kuala Selangor yang menjalankan sanitasi di tempat awam telah mendatangkan impak cukup positif.

“Saya percaya berita gembira ini sememangnya dinantikan penduduk setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Kuala Selangor menjadi daerah terbaharu di negeri ini diisytihar sebagai zon hijau susulan tiada pertambahan kes aktif Covid-19.

Namun begitu Rozana berkata beliau berharap penduduk tidak leka dan terus mendisiplinkan diri dengan norma baharu.

“Pertahankan diri dengan tetap berada di rumah sekiranya tiada keperluan penting untuk berurusan di luar. Kerjasama rakyat Selangor diperlukan dalam menjayakan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menangani Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kes positif Covid-19 di Taman Nilam, Tanjung Karang

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan dakwaan berhubung laporan wujud kes positif Covid-19 di Taman Nilam, Sungai Terap di Tanjung Karang.

Perkara sama disangkal Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin yang dikongsi menerusi Twitter MKN dengan memaklumkan berita disebar warga maya menerusi kiriman teks dan nota suara itu menimbulkan kegusaran penduduk di Dewan Undangan Negerinya.

“Sebenarnya, ada ambulans masuk ke Taman Nilam tetapi ia hanya kematian biasa. Oleh itu, semua pihak perlu memastikan setiap berita diterima adalah sahih sumbernya sebelum dikongsi.

“Pada masa sama penduduk diingatkan untuk terus tinggal di rumah dan mengekalkan jarak sosial. Kewajipan kita adalah memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Jangan takut jalani pemeriksaan mammogram

SHAH ALAM, 8 OKT: Sempena bulan Kesedaran Kanser Payudara, wanita disaran untuk tidak berasa takut, malu atau bimbang menjalani pemeriksaan mammogram bagi mengetahui tahap kesihatan mereka.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, untuk tujuan itu Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melaksanakan Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSel) secara percuma buat semua wanita berusia 40 tahun ke atas.

“Saya menyarankan wanita perlu mengambil serius berkenaan perkara ini sekali gus menjalani saringan Mammogram kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

“Jika kita dikesan mempunyai simptom kanser sekurang-kurangnya kita tahu lebih awal untuk melakukan rawatan segera,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, seramai 60 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang sudah menjalani pemeriksaan Mammogram di trak Majlis Kanser Nasional yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Permatang pada Mac lalu.

Manakala, baru-baru ini seramai 40 wanita DUN Permatang turut menjalani pemeriksaan itu di KPJ Klang pada 5 Oktober lalu.

Mula dilancarkan pada November 2010 sempena Sambutan Hari Wanita Desa 2010 peringkat negeri,
Program MammoSEL dirangka khusus untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada seluruh wanita di Selangor.

Ia mula ditambah baik pada 2016 dengan penambahan rawatan susulan ultrasound bagi yang memerlukan atas nasihat doktor.

Untuk mendaftar, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di Pusat Khidmat DUN berhampiran.

Categories
ADN SELANGOR

175 warga emas, OKU DUN Permatang terima baucer Jom Shopping SMUE

KUALA SELANGOR, 22 SEPT: Seramai 175 warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menerima Baucer Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE), hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, sumbangan baucer bernilai RM100 itu disampaikan beliau di Pasaraya Mustafa, Pasir Penambang, Kuala Selangor, di sini.

“Penerima sangat gembira dengan jumlah diterima dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif dalam menghargai golongan seperti mereka.

“Pada masa sama, kita turut meraikan hari lahir penerima yang lahir pada bulan ini dengan mengadakan majlis potong kek,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE yang bermula bulan ini sehingga Disember depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan penjajaran semula skim terbabit yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom ‘Shopping’ Warga Emas.

Sehingga kini seramai 317,932 warga emas dan OKU mendaftar di bawah skim berkenaan.

Pendaftaran SMUE boleh dibuat dimana-mana pejabat Pusat Khidmat DUN terdekat dengan kawasan tempat tinggal.

Sebarang pertanyaan berhubung SMUE, sila hubungi Careline YAWAS di talian 03-5481 8800.

Categories
ADN SELANGOR

SHES buka ruang wanita maju ke hadapan

SHAH ALAM, 22 JUL: Program ‘Safe, Heal, Empower and Strength’ (SHES) membuka ruang kepada golongan wanita untuk terus maju ke hadapan, kata Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Program dengan kerjasama Majlis Prihatin Wanita Universiti Selangor (UNISEL) dan Kelab Psikologi Industri di bawah Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial itu diadakan di Auditorium Za’ba, UNISEL Kampus Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Rozana berkata, program itu adalah landasan terbaik memberi kesedaran kepada kaum wanita selain membuka ruang golongan terbabit mengatasi diskriminasi dan penindasan dihadapi.

“Perkongsian input pada program SHES ini yang memberi fokus kepada tajuk “Wacana Belia Wanita” banyak memberi pencerahan lebih mendalam berkenaan hak, diskriminasi dan pemerkasaan wanita.

“Harapan saya semoga program seumpama ini dapat dikongsi bukan sahaja dalam kalangan wanita, bahkan juga lelaki setiap lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, slot perkongsian ilmu bertajuk “Wacana Belia Wanita” yang disampaikan oleh Dr Sharifah Syahira dan ceramah “Peranan Wanita Muslimah di Era Globalisasi” pula disampaikan Isfadiah Mohd Dasuki kedua-duanya mengupas isu berkenaan peranan dan hak wanita pada masa kini.

Hadir sama, pada program tersebut adalah Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri), Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak dan pensyarah serta pelajar Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial.

Categories
SELANGOR

LUAS wujud landskap kehidupan, inovasi unik

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 1 JUL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mewujudkan Landskap Kehidupan (LUAS Rotary Peace Park Malaysia) di Kolam 1 Off River Storage (ORS), Bestari Jaya, di sini.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, ORS Bestari Jaya antara lokasi terpilih bagi melaksanakan landskap kehidupan kerana konsep ‘off river storage’ yang dilihat mampu untuk direplikasikan di tempat lain.

Katanya, inovasi pembangunan landskap kehidupan dalam sumber air alternatif di ORS Bestari Jaya berjaya mengurangkan kos pembangunan landskap dengan menggunakan konsep gotong-royong membabitkan komuniti setempat dan pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Kelab Rotary.

“Dengan adanya inovasi sebegini ia berjaya membuktikan bahawa pengurusan sumber air secara holistik, mampan dan memberi pelbagai faedah kepada komuniti setempat dan alam sekitar serta berpotensi dikembangkan ke seluruh negara.

“Tahniah saya ucapkan kepada LUAS dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kerana berjaya menghasilkan ciptaan inovasi yang unik ini.

“Hal ini sejajar dengan matlamat LUAS dan MDKS sebagai agensi rujukan dalam pengurusan sumber air serta pembandaran lestari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Landskap Kehidupan LUAS Rotary Peace Park Malaysia) di Kolam 1 ORS Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah LUAS, Haslina Amer berkata, inovasi itu juga berpotensi menjadi peneraju era baharu pengurusan dalam menyelaras kawasan sumber air dengan membenarkan aktiviti rekreasi yang terkawal.

“Ini mampu memberikan manfaat sosial kepada masyarakat dan pada masa sama sumber air dapat digunakan apabila diperlukan.

“Malah, selain mengangkat konsep ORS untuk bekalan air, ia juga dipelbagaikan fungsinya dengan pembangunan sebagai tempat sukan air, pendidikan, latihan dan rekreasi sumber air negeri,” katanya.

Categories
SELANGOR

DUN Permatang edar lebih 6,000 bubur lambuk

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 MEI : Lebih 6,000 pek bubur lambuk berjaya dimasak dan diedarkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, ia bersempena program Memasak Bubur Lambuk Mega anjuran DUN belia dengan kerjasama 13 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Permatang dan beberapa sukarelawan.

“Ia julung kali dianjurkan di DUN Permatang. Kepelbagaian resepi Bubur Lambuk dari 13 MPKK DUN Permatang menjadikan ia lebih menarik.

“Selain itu, setiap sukarelawan yang hadir dari pelbagai institusi ini dapat bertukar-tukar idea dan tips dalam suasana yang cukup meriah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, sukarelawan terlibat hadir dari pelbagai institusi antaranya penglibatan siswa UNISEL Kampus Bestari Jaya dan peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

“Program ini bagus dilaksanakan kerana ia sebagai salah satu medium untuk mendekatkan anak muda dengan komuniti,” katanya.

Terdahulu, seramai 200 orang bergotong-royong hampir tiga jam bagi menyiapkan bubur lambuk untuk diedarkan di setiap kampung di DUN Permatang.

Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Selangor, Ahmad Satim yang turut memuji program sedemikian bagus dilaksanakan kerana selain mengangkat tradisi kampung ke peringkat yang lebih tinggi, secara tidak langsung dapat menghidupkan semula semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.

Categories
SELANGOR

Beli yang perlu, bawa bekas makanan sendiri

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 MEI: Bagi mengelakkan berlakunya pembaziran terutama di bulan Ramadan, masyarakat yang berkunjung ke bazar digalak membawa bekas makanan sendiri.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, amalan membawa bekas makanan sendiri ke bazar mampu mengelakkan terjadinya elemen pembaziran sebaliknya membeli mengikut keperluan bukan kehendak.

“Inisiatif ini juga bagi menyahut seruan kerajaan untuk kempen bebas plastik bagi menyelamatkan alam sekitar daripada sebarang pencemaran.

“Saya berharap orang ramai boleh menjadikan amalan membawa bekas sendiri ke bazar mahupun pasar pagi atau malam sebagai trend,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, Rozana turut menyantuni peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Kampung Sungai Gulang-Gulang.

Rozana turut membawa bekas makanan sendiri sebagai usaha kecil menjayakan kempen “Katakan Tidak Pada Beg Plastik’.

 

Categories
SELANGOR

Masjid dan surau Kuala Selangor terima sumbangan Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MEI: Sebanyak 105 buah surau dan 40 masjid di sekitar Kuala Selangor menerima sumbangan RM1,000 serta RM1,250, menerusi Program Menyemarak Ramadan Bersama Masjid dan Surau Negeri Selangor baru-baru ini.

Sumbangan daripada Kerajaan Negeri itu diserahkan Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

“Adalah menjadi harapan saya supaya dalam kesungguhan kita melaksanakan program Ramadan, perlulah kita mematuhi undang-undang, peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan agensi bertanggungjawab.

“Hal ini seiring titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang mahukan penceramah dan pentazkirah mempunyai tauliah, tidak menyentuh isu politik sehingga menimbulkan perpecahan, tidak menggunakan khidmat Imam tarawih luar negara dan melaksanakan tazkirah selepas tamat solat tarawih,” kata Rozana menerusi kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, beliau meminta umat Islam supaya mengambil peluang memanfaatkan Ramadan, pada tahun ini.

“Semoga Ramadan kali ini kita dapat memanfaatkan sebaiknya, sekali gus menjadi madrasah terbaik untuk membentuk diri yang baharu,” katanya.

Categories
SELANGOR

KASURA’19 popular sukan rakyat, amal gaya hidup sihat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

TANJONG KARANG, 12 APR: Dalam usaha merapatkan jurang komuniti di bawah satu bumbung, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bakal mengadakan Karnival Sukan Rakyat (KASURA’19) di Kampung Parit Serong, di sini, pada ‪19 hingga 21 April‬ ini.

Program dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Permatang, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) itu dikelola sepenuhnya Persatuan Anak Muda Bersatu Tanjong Karang.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, edisi ketujuh penganjuran itu antara lain bagi mempopularkan acara sukan rakyat supaya tidak dilupakan masyarakat, khususnya anak muda.

Katanya, selain menggabungkan golongan belia yang cenderung dengan kegiatan sukan, KASURA’19 adalah medan terbaik bagi menerapkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat.

“Kita tidak mahu menyisihkan bakat anak muda dalam aktiviti sukan kerana di sini ruang dan peluang untuk mereka menunjukkan bakat, kemahiran dan kepakaran, selain menguji tahap kekuatan fizikal serta mental.

“Malah, program seumpama ini akan memastikan sukan rakyat dapat dihidupkan meskipun pada masa ini kita tinggal dalam suasana kehidupan serba moden.

“Saya optimis karnival ini juga mampu menjadi enjin penyatuan yang dapat memecah tembok pemisah antara masyarakat tempatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, KASURA’19 adalah salah satu karnival sukan bertaraf antarabangsa yang dilihat berupaya mewujudkan daya saing dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta terlibat.

“Sekurang-kurangnya kita mahu melihat hasil dan impak positif terhadap penganjuran itu, terutama dalam meningkatkan mutu sukan melalui bakat serta kemahiran dimiliki peserta,” katanya.

KASURA’19 yang mengetengahkan tema ‘Merakyatkan Sukan Untuk Kesihatan Dan Perpaduan’ terbuka kepada semua penduduk menetap, bekerja atau belajar di kawasan DUN Permatang.

Sebanyak 10 acara bakal dipertandingkan antaranya bola sepak, bola tampar dan bola jaring termasuk permainan sukan dalaman (indoor games) seperti futsal serta badminton, selain beberapa sukan tradisional.

Turut diadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan aktiviti kepada wanita melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Difahamkan, setakat ini seramai 15 kontinjen sudah mengesahkan tempat bagi merebut trofi kejuaraan.

Terdahulu, KASURA adalah cetusan idea daripada Mohd Yahya Mat Sahri sejak 2008 hingga 2013.