Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raikan Aidilfitri ikut kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Budaya saling berkunjung sudah menjadi amalan dalam masyarakat Islam pada sambutan Aidilfitri sepanjang bulan Syawal, bertepatan dengan konsep rumah terbuka dan menerima kunjungan tetamu.

Bagaimanapun, tahun ini, tradisi tersebut terpaksa dikorbankan dengan kebiasaan baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ini termasuk amalan balik kampung di musim perayaan terpaksa dilupakan kerana sekatan pergerakan rentas negeri selain budaya kunjung mengunjung hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan ia terhad kepada 20 orang ahli keluarga terdekat.

Selain itu, amalan menziarahi kubur juga perlu dielakkan dan bilangan jemaah bagi solat sunat Aidilfitri dihadkan di masjid.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerjasama orang ramai dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menyambut 1 Syawal amat diperlukan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Namun, kesedaran masyarakat dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 masih utuh, apabila kaji selidik Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Mei lepas menunjukkan sebanyak 74 peratus daripada 215,712 respondennya memilih untuk tidak menerima tetamu sepanjang sambutan Aidilfitri.

Malah, sebanyak 20 peratus sahaja memilih untuk membenarkan Aidilfitri disambut dengan saudara-mara terdekat bukan daripada kediaman sama manakala hanya enam peratus memilih untuk menyambut bersama saudara-mara jauh serta jiran tetangga.

Meskipun kajian itu menunjukkan rakyat memilih untuk menyambut Aidilfitri dengan cara selamat, ia tidak bermakna sebahagian kecil yang sudi menerima tetamu berkunjung ke rumah boleh sewenang-wenangnya berjalan ke sana ke sini tanpa mengira batasan.

Orang ramai juga diingatkan dalam keterujaaan menyambut 1 Syawal, jangan melangkau batasan sehingga pihak berkuasa berkunjung ke rumah anda kerana didapati melanggar SOP.

Ini berikutan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus membuat rondaan tanpa mengira waktu dalam musim tersebut dan jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan memeriksa kediaman berkaitan daripada segi jumlah orang yang berada di dalamnya.

Seperti yang dimaklumkan oleh pelbagai pihak sebelum ini, raikanlah Hari Raya pada tahun ini dengan cara yang tertutup di rumah masing-masing dengan ahli keluarga dalam rumah yang sama sahaja.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kes positif Covid-19 di Taman Nilam, Tanjung Karang

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan dakwaan berhubung laporan wujud kes positif Covid-19 di Taman Nilam, Sungai Terap di Tanjung Karang.

Perkara sama disangkal Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin yang dikongsi menerusi Twitter MKN dengan memaklumkan berita disebar warga maya menerusi kiriman teks dan nota suara itu menimbulkan kegusaran penduduk di Dewan Undangan Negerinya.

“Sebenarnya, ada ambulans masuk ke Taman Nilam tetapi ia hanya kematian biasa. Oleh itu, semua pihak perlu memastikan setiap berita diterima adalah sahih sumbernya sebelum dikongsi.

“Pada masa sama penduduk diingatkan untuk terus tinggal di rumah dan mengekalkan jarak sosial. Kewajipan kita adalah memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah tutup tak perlu ganti, mahasiswa diarah balik

SHAH ALAM, 17 MAC: Sekolah tidak perlu melaksanakan kelas ganti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini, maklum Majlis Keselamatan Negara.

Pemakluman tersebut berikutan perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengenai Covid-19 semalam, yang menyatakan cuti sekolah dilanjutkan sehingga hujung bulan ini.

Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara turut ditutup sepanjang tempoh perintah dan pelajar diarah kembali ke kediaman masing-masing.

“Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.

Pekerja kedai makan, Mahathir Muhammad dilihat menampal notis arahan penutupan operasi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto BERNAMA

“Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melapor kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada perintah yang berkuat kuasa,” kata Majlis Keselamatan Negara.

Bagi upacara pernikahan, ia boleh dilaksanakan tanpa melibatkan kehadiran ramai, sementara majlis persandingan dan resepsi disaran untuk ditangguhkan sehingga isu Covid-19 di Malaysia tamat.

Majlis Keselamatan Negara turut memaklumkan sekiranya berlaku kematian di rumah yang tidak melibatkan pesakit Covid-19, jenazah boleh diuruskan waris terdekat sahaja bersama khariah masjid atau surau serta solat jenazah sahaja tanpa tahlil.

Sepanjang tempoh ini juga, semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan.

Sebagai langkah mengawal penularan Covid-19, kedai makan masih boleh dibuka tetapi hanya untuk dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Perintah kawalan Covid-19: Boleh sanding, boleh tahlil?

Berikut adalah penerangan Majlis Keselamatan Negara mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020:

1.Nama Perintah
Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order).

2.Tempoh Masa
Perintah ini berkuatkuasa dari 18 – 31 Mac 2020.

3.Liputan Kawasan Perintah
Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia.

4.Kuatkuasa Undang-undang
Perintah ini disandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

5.Arahan-Arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan
Terdapat 6 arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini iaitu
i.Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya;
ii.Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara;
iii.Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;
iv.Penutupan semua Taska, Sekolah Kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;
v.Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swata serta Institut Latihan Kemahiran di seluruh negara; dan
vi.Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).

6.Adakah Majlis Keraian/ Perkahwinan/ Kenduri atau sebagainya boleh diadakan?
Upacara pernikahan boleh dilaksanakan dengan tidak melibatkan kehadiran ramai. Bagi Majlis Persandingan dan Resepsi serta majlis lain, disarankan untuk ditangguhkan sehingga isu penularan COVID-19 di Malaysia tamat.

7.Adakah Perintah Kawalan Pergerakan mempunyai tempoh waktu tertentu sepanjang 18 – 31/3/2020?
Tidak. Perintah ini berkuatkuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu.

8.Sekiranya barang keperluan habis, adakah boleh keluar membeli dan terus balik?
Ya.

9.Saya merupakan seorang warganegara Malaysia dan suami saya merupakan warganegara UK. Adakah kami dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini?
Boleh dengan syarat pasangan boleh membuktikan kesahan perkahwinan tersebut sama ada didaftarkan dengan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan negara asal. Pasangan perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

10.Anak saya yang merupakan seorang pelajar di institusi luar negara. Adakah beliau dibenarkan pulang ke Malaysia?
Dibenarkan. Mana-mana rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara boleh pulang dalam tempoh sekatan ini. Walau bagaimanapun, individu tersebut perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

11.Saya merupakan pemegang pas jangka masa panjang di Malaysia dan telah pulang ke negara asal saya sebelum Perintah ini dikeluarkan. Adakah saya dibenarkan untuk kembali ke Malaysia bagi tujuan kerja semasa tempoh sekatan ini?
Hanya migran asing yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan penting negara (essential services) sahaja yang dibenarkan masuk semula ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini. Migran asing tersebut perlu mendapatkan satu surat pengesahan daripada majikan masing – masing dan perlu dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia semasa berada di pintu masuk.

12.Saya bekerja di Singapura. Adakah saya dibenarkan untuk berulang alik ke pejabat di Singapura?
Tidak. Perintah Kawalan Pergerakan adalah terpakai kepada semua individu yang berada di dalam negara. Dalam hal ini, atas dasar keselamatan komuniti, mana-mana individu yang bekerja di negara jiran tetapi tinggal di Malaysia adalah tidak dibenarkan untuk keluar masuk secara harian dan dipohon untuk memaklumkan kepada majikan masing – masing berkenaan perkara ini.

13.Saya telah membuat perancangan untuk bercuti di Malaysia dan telah membuat pembayaran sepatutnya. Adakah saya masih boleh meneruskan percutian saya?
Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai dilarang untuk pergi ke mana-mana tempat termasuklah pusat peranginan untuk aktiviti sosial dan sekiranya kunjungan tersebut tidak melibatkan perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan penting negara. Anda dinasihatkan tidak meneruskan percutian anda.

14.Bolehkah saya memandu ke lapangan terbang untuk mengambil rakan yang baru pulang dari luar negara atau saudara yang bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan penting negara?
Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

15.Adakah sekolah perlu melaksanakan kelas ganti?
Tidak perlu.

16.Adakah kelas pengajian dan semua aktiviti yang melibatkan pelajar IPT awam dan swasta serta Institut Latihan Kemahiran tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan?
Ya.

17.Bagaimana dengan pelajar yang menginap di fasiliti IPT awam dan swasta khususnya pelajar luar negara?
Semua pelajar IPT awam dan swasta perlu diarahkan kembali ke kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pelajar luar negara dinasihatkan pulang ke negara asal dalam tempoh ini. Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melapor kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada Perintah yang berkuatkuasa.

18.Adakah kedai makanan seperti makanan segera, restoran atau pusat makanan penjaja boleh dibuka?
Kedai makanan boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.

19.Adakah pengangkutan awam seperti Bas, LRT, MRT, KTM boleh beroperasi?
Semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan dalam tempoh perintah kawalan ini berkuatkuasa.

20.Saya telah membayar penginapan saya di hotel untuk bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan. Adakah saya boleh meminta wang saya dikembalikan?
Orang ramai digalakkan untuk berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang yang telah dibayar bagi tempahan yang telah dibuat sebelum Perintah ini diumumkan.

21.Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit Covid-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan?
Boleh diuruskan dengan waris terdekat sahaja bersama khariah masjid/surau sahaja. Solat jenazah sahaja tanpa tahlil.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Majlis Penasihat Keselamatan Rakyat Ditubuh Pantau Isu Keselamatan, Pertahanan

jeneral Md Hashim Hussein PKR 02

PETALING JAYA, 31 MAC : Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Keselamatan Rakyat (MPKR) bagi memantau isu yang melibatkan pertahanan dan keselamatan negara.

Pengumuman yang dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyaksikan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein dilantik sebagai Pengerusi MPKR.

Menurut Hashim, selain berfungsi sebagai penasihat kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berkaitan aspek pertahanan dan keselamatan, majlis tersebut juga berperanan membangkitkan kesedaran awam tentang isu keselamatan negara.

Ahli Jawatankuasa majlis itu juga akan menilai kewajaran pembelian sesuatu aset pertahanan dari segi spefikasi dan samada berpadanan dengan harga yang dibayar kerajaan.

“Majlis ini akan menasihati pemimpin PR berkaitan semua aspek ruang lingkup isu-isu pertahanan dan keselamatan negara termasuk kaedah penilaian ancaman, proses penyediaan dasar, startegi pertahanan dan ‘force capability’ serta ‘capacity building’.

“Penubuhan MPKR ini adalah berasaskan rujukan kepada situasi keselamatan semasa di Malaysia, dasar-dasar serta peraturan kerajaan sedia ada dan pengalaman serta pengetahuan yang luas bekas penjawat awam dan tentera negara ini,” kata Md Hashim.

Menurut Md Hashim, MPKR turut bertindak mengisi peranan yang ditinggalkan Majlis Keselamatan Negara (MPK) yang ada hari ini.

“MKN pada masa ini fokus utamanya menjaga ‘keselamatan’ BN, tidak kepada isu keselamatan yang sepatutnya diutamakan,” kata beliau.

Selain Anwar dan Md Hashim, turut serta dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Tony Pua.

Categories
SELANGOR

Seramai 190 Mangsa Banjir Dipindah Di Sepang

Banjir Selangor

SHAH ALAM 27 FEB : Seramai 190 mangsa banjir ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir di Daerah Sepang setakat jam 10 pagi ini.

Kejadian banjir itu berlaku di Kampung Jenderam Hulu dan Kampung Ambar Tenang, Dengkil.

Gambar Banjir SepangMengikut laporan Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), ia melibatkan 27 keluarga iaitu seramai 142 yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Ampar Tenang, Dengkil.

Dan 11 keluarga yang melibatkan 48 orang di Pusat Pemindahan Taman Gemilang, Sepang.

Gambar Banjir Sepang1

 

Justeru, orang ramai dinasihatkan membuat persediaan banjir khususnya di kawasan rendah dan mendapatkan info perkembangan cuaca dari masa ke semasa daripada pihak berkuasa.

Apabila berlaku banjir orang ramai diingatkan untuk memastikan semua suis elektrik dan suis utama dimatikan untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik.

Ikuti arahan pihak berkuasa dengan segera berpindah (ke pusat pemindahan/ rumah saudara lain/ tempat tinggi) seperti yang diarahkan.
Untuk Info Lanjut L Bilik Gerakan

Pejabat Pembangunan Negeri Selangor
Telefon: 03-78849299

Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM)
Telefon: 03-55192876 / 03-55445415

Bilik Gerakan IPK Selangor
Telefon: 03-5514 5416 / 5414

Bilik Gerakan MKN Selangor
Telefon: 03-55218794