Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tiada Kuasa Tentukan Kadar Sewa Asrama KUIS

SHAH ALAM, 12 DIS : Kerajaan Negeri Selangor mengesahkan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan kadar sewa asrama Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) yang didakwa mahasiswa sebagai tidak adil dan tidak munasabah.

Sebaliknya, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ia berhak ditentukan oleh Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berdasarkan perjanjian pembinaan asrama yang dimeterai mereka sebelum ini.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menyifatkan dakwaan Pengarah Urusan RRSB yang juga Adun Permatang(Umno-BN), Sulaiman Razak semalam bahawa Kerajaan Negeri berkuasa menentukan kadar sewa asrama Kuis adalah tidak benar.

“Pada pandangan saya, jawapan yang diberikan oleh Adun BN adalah tidak benar kerana perjanjian pembinaan dan penswastaan asrama tersebut adalah antara syarikat milikan Sulaiman dengan Mais.

“Kuasa Mais bukan tertakluk di bawah Kerajaan Negeri. Justeru kenyataannya yang mengatakan Kerajaan Negeri berhak menentukan kadar sewa adalah tidak tepat sama sekali,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Kuis, Abdul Khalid menasihatkan pihak Kuis dan Mais supaya membuat penyusunan semula agar kos pembayaran asrama tersebut tidak membebankan mana-mana pihak terutamanya mahasiswa.

Sebelum ini, sekumpulan mahasiswa Kuis mengadakan demonstrasi aman di hadapan kediaman Sulaiman di Shah Alam bagi mendesak supaya kontrak menguruskan asrama tersebut dibatalkan.

Mahasiswa berkenaan mendakwa, kontrak tersebut menyebabkan mereka terpaksa menanggung kenaikan kos asrama yang disifatkan tidak adil dan tidak munasabah.

Mahasiswa berkenaan juga menuntut Sulaiman supaya menandatangani kontrak baru dengan kadar sewa asrama yang lebih rendah berbanding kadar sedia ada.

Bagaimanapun, Sulaiman menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa kadar sewa tahunan itu adalah tetap berdasarkan perjanjian konsesi yang dipersetujui bersama Kerajaan Negeri pada 2007.